BAB 4

Romance Completed 11569

DIA bermain-main dengan cincin di jarinya. Sudah seminggu dia tidak bersua muka dengan Zafuan. Tidak ada sekelumit perasaan rindu pun bertandang di hati. Malah dia berasa lega kerana akhirnya dia berjaya juga lepas dari tanggungjawab seorang isteri. Ya, isteri. Dia sudah sah menjadi isteri kepada Zafuan dua bulan lalu. Semuanya umpama mimpi.

Dia teringat pada hari akad nikah mereka yang dijalankan secara tertutup dengan hanya dihadiri keluarga rapat sahaja. Suara Zafuan tatkala melafazkan ijab kabul masih terngiang-ngiang di telinganya namun pada waktu itu dia langsung tidak berasa apa-apa. Sedih pun tak. Takut pun tak. Teruja dan gembira jauh sekali! Raisya yakin perempuan yang bernikah secara ‘normal’ pastinya akan merasai pengalaman yang jauh lebih indah.

Namun walaupun mereka sudah sah sebagai suami isteri, semuanya bagai tiada apa yang jadi. Zafuan masih dengan egonya yang tidak mahu menerima kenyataan. Raisya pula masih menganggap perkahwinan mereka hanya sekadar mahu mengikut permintaan terakhir arwah ibu dan ayahnya. Dia masih kecil sewaktu ibu dan ayahnya meninggal dunia jadi sekurang-kurangnya dia dapat menunaikan permintaan ayah dan ibunya walaupun mereka sudah tiada.

Sewaktu dia mendaftar minggu lalu pun Zafuan tidak turut serta menghantarnya. Ketika mereka berangkat ke bumi Perlis ini Zafuan berkeras tidak mahu ikut dan beralasan sudah berjanji dengan rakannya walaupun Raisya tahu Zafuan memang sengaja mahu mengelak daripadanya.

Di rumah pun jarang sekali mereka bersua muka walaupun tinggal sebilik kerana Zafuan kerap keluar dan pulang lewat. Puas sudah dibebel dan dimarahi oleh orang tuanya namun Zafuan masih berdegil menyebabkan Raisya sendiri jarang dapat menemui lelaki itu jauh sekali mahu berbual. Namun Raisya tidak kisah. Dia sendiri selesa begitu dan mengandaikan majlis pernikahannya tidak pernah berlaku.

Di matrikulasi ini, Raisya hanya memegang satu status saja iaitu pelajar. Tiada seorang pun tahu bahawa dia berstatus isteri orang. Kini baginya dia sama saja seperti gadis lain yang baru mahu mengenal dunia luar.

Perjalanan hidupnya masih jauh. Isteri itu hanya dianggap satu status di atas kertas saja. Zafuan sendiri memberi keizinan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri malah membenarkannya untuk jatuh cinta pada mana-mana lelaki. Ada ke keizinan yang macam tu dari seorang suami?

“Hang dok menung apa tu? Teringat marka ka?”

Tegur Shuhada atau mesra disapa Shud. Si gadis balik pulau yang sangat pekat utaranya.

“Tu cincin dekat jari tu entah-entah pakwe kasi kot. Eden tengok dari tadi ekau dok membelek cincin tu.”

Nadia atau Nad yang berasal dari Negeri Sembilan pula menegur.

“Marka apa kebendanya. Aku mana ada pakwe. Cincin ni memang aku punyalah.”

Bidas Raisya sambil menyambung mengemas meja studinya memandangkan mereka akan memulakan kelas pada keesokan harinya.

‘Dah sah-sahlah aku mana ada pakwe. Laki adalah!’ bisik hati Raisya.

“Najwa! Hang nak pilih meja mana?”

Dini yang baru muncul sambil membawa stok makanannya memekik memanggil Najwa. Banyaknya lahai stok makanan budak ni. Untuk air aje dah berapa jenis. Coklat, biskut, dan segala macam snek. Duduk Kedah ajepun tapi stok makanan macam takkan balik!

“Thia nak tepi tingkap!”

Thia yang berasal dari Johor pula tiba-tiba muncul sambil cepat-cepat meletakkan beberapa buah buku rujukannya. Raisya lihat ada buku rujukan Matematik Tambahan tingkatan 5 dibawa sama. Mak aii… budak ni simpan lagi ke buku sekolah dia? Aku punya buku sekolah semua dah selamat kena jual dengan Ah Seng surat khabar lama tu!

“Aku nak duduk sebelah Thialah.”

Najwa yang turut membawa buku rujukan muncul. Najwa merupakan satu-satunya pelajar jurusan sains di bilik mereka ini.

“Ish, korang ni bising betullah! Kitorang elok aje pilih tempat diam-diam.”

Omel Raisya sengaja mengusik.

“Eh, hello! Biarlah kitorang bising. Lebih mesra gitu. Kitorang tak pendiam macam hangpa.”

Najwa si anak jati Kodiang, Kedah membalas.

“Kang aku bising tak boleh berhenti jangan korang menyesal pula.”

Ugut Raisya.

“Dah… dah… asyik bergaduh aje. Sekarang siapa yang matured?”

Thia tiba-tiba menyampuk.

“Tapi apapun Shudlah paling matured Thia.”

Shud pula menambah.

Mereka berenam kemudiannya terus bergurau dan bergelak ketawa sambil mengemas barang-barang mereka. Seminggu orientasi menyebabkan mereka tiada masa untuk mengemas barang-barang mereka. Mujur sudah selesai semuanya malah esok mereka akan memulakan kelas. Raisya amat bersyukur kerana rakan-rakan sebiliknya mudah mesra dan sekepala. Malah semoga sepanjang setahun dia di matrikulasi ini, dia berharap semoga semuanya akan dipermudahkan jalan oleh Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience