Bab 29

Family Series 2580

Qila memasuki ruang pejabat dengan wajah ceria. Manakan tidak. Hari ini Manisa akan masuk kerja kembali. Sungguh dia berasa gembira kerana beberapa hari ini, dia merasa kesunyian tanpa teman mengusik. Manisa yang manis, Manisa yang akan masam mencuka apabila diusik, Manisa yang mudah tersenyum walhal begitu banyak kerja yang perlu dia selesaikan. Qila tidak sabar mahu melihat wajah Manisa yang kelat apabila dia menceritakan pengalamannya ke Korea bagi urusan Projek Nilam. Projek yang seharusnya diuruskan oleh Manisa sendiri. Bukan niatnya mahu mencaras kerja Manisa, namun dia mahu Manisa luangkan masa lebih lagi dengan Tuan Saif.

Qila membetulkan cekak rambut yang dibeli di Korea. Sengaja dia pakai hari ini. Padahal sudah tiga hari dia mula kembali bekerja. Namun niatnya hanya satu. Mahu menyakat Manisa. Sesekali dia mengerling ke arah jam. Lagi beberapa minit, sudah masuk waktu bekerja. Mana pula Manisa? Tidak pernah dia lewat. Cuma dia terlalu menepati masa.

Tidak sempat Qila hendak mengelamun, perhatiannya tertumpu pada bunyi bising di hadapan pejabat. Tidak perlu dia meneka. Dia sudah tahu siapa gerangannya yang membuat bising di depan pejabat hari ini. Manisa.

“Engkau, kalau tak buat kecoh pagi-pagi begini, memang boleh tukar nama.” Perli Qila.

Manisa tidak membalas. Berkali-kali dia menunjukkan ke arah pintu, meminta Qila membukakan untuknya. Melihat Manisa yang tiada respon mahu membalas kata-katanya, Qila membantu Manisa membuka pintu pejabat.

Terkocoh-kocoh Manisa mengimbas kad kerjanya. Risau benar rekod kehadirannya dikira lambat. Setelah selesai, barulah Manisa duduk mengambil nafas sebentar. Tercungap-cungap dia membetulkan pernafasannya.

“Terima kasih, Qila. Nasib baik. Seminit je lagi.” Manisa mengimbas jam di tangannya. Mati! Ini semua gara-gara jam tangannya yang mati. Kalau tidak, masakan dia lambat sebegini.

“Kali ni, apa masalah kau? Kenapa susah benar nak masuk pejabat?” soal Qila setelah melihat rakan kerjanya itu bertenang sebentar.

Manisa yang masih menahan kelelahan, hanya menunjukkan jari-jemarinya yang mengelupas. Kebetulan, tangannya terkena air semasa hendak masuk ke pejabat. Sudahnya, thumb print tidak boleh mengenalpasti jarinya sendiri sehingga menyebabkan dia tidak boleh masuk ke pejabat.

“Ini tak lain tak bukan. Kau main air ke sepanjang bercuti ni?” soal Qila. Tahu benar dengan masalah jari Manisa yang satu ini. Kalau berendam lama di dalam air, kulitnya mudah mengelupas. Jadi teknologi pengecaman jari seperti ini pastinya akan menyusahkan Manisa.

“Aku tak main air. Aku jatuh dalam air. Tengok ni. Esok-esok pun kau kena bukakan pintu.” Pinta Manisa. Dengan wajah yang manis, siapa je yang tak cair dengan permintaannya itu.

“Kau dah la suka datang lambat. Penat la aku nak tunggu depan pintu setiap hari.” Rungut Qila. Tahu benar dengan sikap rakan kerjanya yang satu itu. Mujur Kak Azila bukan sebegitu. Sudahlah rajin, awal pula masuk ke pejabat.

“Cop. Aku bukan lambat. Aku datang on time. Kau tengok, lagi seminit. Aku boleh buat benda lain sementara tunggu masuk waktu kerja.” Manisa membela diri. Memang dari dulu perangainya sebegitu. Kadang-kadang naik hafal semua orang dengan dialog yang dia utarakan.

“Dah. Jom buat kerja. Aku ada benda nak bincang pasal Projek Nilam tu. Ada beberapa barang aku dah dapatkan, khas dari Korea. Contoh macam ni.” Qila menunjukkan cekak rambut yang terletak elok di kepalanya. Sengaja ingin membuat Manisa cemburu. Namun dia lebih cemburu melihat meja Manisa yang tersusun beberapa jambak bunga.

Manisa yang baru tiba di mejanya mengambil jambak-jambak bunga yang tersusun. Setiap satu kad yang ada, dibaca. Setelah mengetahui siapa pengirimnya, bunga yang ada dihantar ke pantri untuk dijadikan hiasan. Tak kuasa rasanya mahu meletak di atas mejanya sendiri. Buat rasa sakit mata.

“Aku nak buat kau cemburu, sudahnya aku yang cemburu.” Luah Qila hampa. Melihat kelopak bunga yang bertaburan di atas meja Manisa, Qila jadi putus asa. Terkenal benar si Manisa ni. Kalah artis.

“Kalau kau nak, kau ambil.” Pelawaan Manisa mengundang senyuman di wajah Qila. Bila lagi mahu melaram dengan bunga pemberian orang?

“Bukan main kasihan, si pemberi. Kau tak hargai.” Ucap Qila. Diusap-usap kelopak bunga yang masih segar. Setiap hari, ada sahaja yang menghantar bunga. Tidak perlu diteka. Dia sudah tahu siapa pengirimnya, kalau bukan Tuan Saif Haziq. Suka benar dengan Manisa gayanya.

“Cukup baik aku tak masukkan dalam tong sampah.” Ujar Manisa dingin. Dia tidak suka apabila komen-komen berbaur simpati diberikan kepadanya. Telinganya terasa panas. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia pijak-pijak bunga itu. Namun bila difikirkan semula, bukan bunga itu yang salah.

“Apa dosa pengirimnya sampai kau keras betul hati. Kalau dekat mata aku ni, Tuan Saif tu bukan main tampan. Cakap je, mana perempuan tak cair dengan dia. Belum lagi kalau dia senyum. Boleh jadi tasik, pejabat kita ni sebab ramai gadis-gadis mencair. Kaya? Itu jangan cakap. Usahkan tujuh keturunan, entah-entah, masuk yang ke empat belas pun belum tentu habis. Haih, apalah yang kurangnya dia tu, sampai kau tolak mentah-mentah.”

Manisa hanya buat tidak dengar. Kalau dilayan perangai Qila, memang kerja tak jalan jawabnya. Qila kalau bab mengampu, memang tiada tara lagi.

“Kau cuba cerita, apa masalahnya kau dengan dia? Hari-hari tahu, sepanjang kau tak ada, dia datang cari.” Manisa angkat kening. Bunga dah hantar, dia pun datang sekali? Sejak bila Tuan Saif tukar profesion jadi penghantar bunga?

“Bunga datang pagi. Dia datang tengahari. Aku tahu dah apa yang bermain di fikiran kau. Dah, mari kita sambung kerja ya. Sebab kau cuti, banyak kerja nak kena selesaikan.” Pujuk Qila tatkala melihat kelibat Encik Malek mula masuk ke ruangan biliknya. Bimbang dituduh makan gaji buta.

“Tapi kan, selain Tuan Saif, ada lagi yang cari kau.” Manisa memandang Qila dengan pandangan tajam.

“Okey, kita buat kerja dulu.”

*****

Tuan Saif Haziq membelek-belek fail di tangannya. Beberapa kali dia membaca dari mukasurat yang sama dari tadi. Dia berusaha untuk fokus, namun nyata usahanya gagal. Kerapkali dia teringat akan kata-kata Syahira kepadanya.

“Saya berharap Tuan Saif dapat lupakan Manisa. Luka yang tuan pernah tinggalkan, sangat dalam. Sehinggakan saya yang ada di sampingnya pun tak mampu nak sembuhkan luka itu.” Telus bicara Syahira sewaktu dia mengajak gadis itu makan petang bersama.

Namun dia sendiri bingung. Apa yang dia sudah lakukan kepada Manisa sehingga wanita itu begitu kuat menolaknya? Apa kesalahan yang aku dah lakukan?

“Bukan hak saya untuk menceritakan apa sebenarnya yang berlaku. Saya harap Tuan Saif Haziq dapat terima semua ni.” Ujar Syahira sebelum berlalu pergi.

Tuan Saif menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sudah sehabis baik dia berfikir. Apakah kesilapannya kepada Manisa di masa lalu? Adakah berkaitan dengan Iman? Adakah mereka saling mengenali pada suatu ketika dahulu? Kalau ya, mengapa dia langsung tidak dapat mengenali Manisa sewaktu pertama kali bertemu? Tuan Saif jadi bingung. Terlalu banyak persoalan yang bermain di minda sehinggakan dia tidak punya tenaga untuk memikirkan hal kerja yang lain.

Manisa oh Manisa. Kenapa hukum aku sebegini?

Tuan Saif Haziq mencapai fail yang tersimpan rapi di dalam laci bersebelahan dengan mejanya. Fail yang begitu dia jaga dengan sepenuh hati. Fail yang mungkin menjadi kunci kepada masalah ini.

Perlahan-lahan dia membuka fail berisi gambar dan beberapa dokumen mengenai Iman. Kanak-kanak lelaki itu terlihat manis dengan lesung pipit di pipi kirinya. Kalau dilirik benar-benar, memang tidak dinafikan, Iman ada iras raut wajahnya sendiri. Namun penafian dari Manisa membuatkan dia ragu-ragu. Mana mungkin tidak, dia sendiri tidak pernah mengenali Manisa. Jadi, bagaimana mungkin Iman itu adalah miliknya?

Tuan Saif Haziq memicit tulang hidungnya lalu ditarik ke atas di antara kedua matanya. Cuba untuk mengurangkan rasa sakit kepala. Perlahan-lahan dia mengambil telefon bimbitnya. Tertera nama Khairi di skrin telefonnya.

“Assalamualaikum sabahat lama. Apa masalah kamu?” terdengar suara Dr. Khairi di hujung talian dengan nada ceria. Mana mungkin tidak ceria. Sudah sekian lama sahabatnya itu menyepi tanpa sebarang khabar, tiba-tiba dia dihubungi. Sudah tentu dia gembira.

“Tolong aku, Khai.” Pinta Tuan Saif.

“Apa? Kau nak buat pembedahan plastik ke?” Ujar Dr. Khairi dalam nada berseloroh.

“Aku dah cukup kacak. Nak repair bahagian mana lagi?”

“Betul la tu. Terlalu kacak pun tak elok juga. Jadi, apa yang kau nak?”

“Tolong aku buatkan DNA test.” Serius nada suara Tuan Saif kali ini. Dia benar-benar nekad. Menanti jawapan yang tak kunjung tiba, bukan caranya. Dia perlu mencari jalan lain untuk mendapatkan jawapan.

“Untuk siapa? Kau? Dengan siapa? Iman?” soal Dr. Khairi seakan meneka jawapan yang dia memang tahu. Siapa lagi yang merunsingkan hati sahabatnya yang satu ini kalau bukan Iman. Tidak Iman, Manisa.

Mendengar tiada balasan dari hujung talian memberi tanda tebakannya benar. Dr. Khairi berjeda. Mengambil nafas dalam.

“Kalau macam tu, kau sediakan barang yang diperlukan. Hal-hal lain, aku uruskan.” Ucap Dr. Khairi dengan penuh keyakinan sebelum mematikan talian.

Dia memandang ke arah Syahira yang duduk di hadapannya dengan penuh pengharapan.

“Saya tak akan tolong. Manisa kawan baik saya. Awak ingat saya suka tengok dia menangis, meracau setiap malam risaukan Iman.” Syahira bertegas.

“Kalau macam tu, beritahu saya hal yang sebenar.” Pujuk Dr. Khairi. Kali ini dia benar-benar bermain dengan api. Bukan main susah untuk dia pikat hati Syahira, dek kerana permintaan sahabatnya, dia terpaksa pertaruhkan cintanya pula. Ini kalau kau tak kenang jasa aku Saif, memang aku bakar kereta kesayangan kau.

“Iman tu, dah macam anak saya. Tak mungkin saya nak bahayakan dia. Kalau nanti, suatu hari nanti kita ni ditakdirkan berjodoh. Saya tak kira, saya nak bawa Iman duduk sekali dengan saya. Seminggu dalam sebulan, mesti kena tinggal dengan saya.” Mendengar kata-kata Syahira membuatkan Khairi tak henti menguntum senyuman.

Dia kata kalau jodoh, nak kahwin dengan aku? Jadi dia betul suka dekat aku? Iman? Tak apa. Demi Syahira, aku sanggup jadi ayah ekspres. Khairi masih lagi senyum meleret hingga ke telinga. Rasa berbunga-bunga di dalam hati ini.

“Ini kenapa senyum-senyum macam kerang busuk?” Terjegil mata Syahira melihat gelagat Khairi. Kalau bukan sebab tersuka, tak ada maknanya dia mahu bertahan dengan perangai Khairi yang gila-gila ini. Mana tidak tersukanya, gelagat Khairi yang seringkali mencuit hatinya, sudahnya dia pasrah bila sedar dia sudah jatuh hati pada lelaki itu.

“Kita nak kahwin? Bila?” Khairi masih tersengih memandang wajah Syahira.

“Bila semua ni selesai.” Jawab Syahira tegas. Jawapan Syahira mematikan senyuman Dr. Khairi. Bila semua selesai? Macam tak habis-habis je episod kejar-mengejar ni.

“Kalau macam tu, awak kena tolong saya. Saya niat nak selesaikan masalah kawan-kawan kita. Manalah tahu, rupanya di Saif tu jodoh Manisa. Bukan ke senang nanti kita nak kahwin? Serentak.”

Syahira mencapai air lalu membuat gaya seperti mahu menyimbah ke arah Dr. Khairi. Geram dengan perangai lelaki itu yang tidak pernah ambil serius dengan sesuatu perkara.

Syahira tayang muka ketat. Lalu berdiri mencapai beg tangannya. Terkejut dengan tingkah Syahira, Khairi segera menangkap lengan tangan kekasih hatinya itu. Marahkah dia?

“Awak nak pergi mana?” Khairi sudah tayang muka risau. Ini kalau marah, dia terus balik. Memang tak ada hari esok lagi untuk dia. Memang putuslah cinta dia di tengah jalan. Jangankan soal kahwin, entah-entah tunang pun tak sempat. Fikir Khairi. Khairi berlari mendapatkan Syahira.

“Lepaslah. Saya nak balik.” Syahira merenggut tangannya dari pegangan Khairi. Rimas diperlakukan sebegitu.

“Jangan macam ni. Saya bergurau je. Awak nak makan apa? Saya belikan. Gula-gula?” Syahira memandang Khairi dengan pandangan tajam. Gula-gula? Kau ingat aku adik-adik ke?

Khairi garu keningnya yang tidak gatal. Biasa perempuan kalau marah, kena belikan makanan. Ini kenapa macam tak berkesan je tips yang aku tengok di internet tempoh hari?

“Saya janji nak jumpa awak sekejap je. Saya nak kena balik sekarang. Ada urusan lain.” Syahira berkeras mahu meninggal Khairi. Dalam hatinya terasa geram dengan perangai lelaki itu yang seperti anak kecil yang kehilangan ibunya. Asyik nak menempel dengannya. Pergi balik sana, menempel dengan mak awak! Jerit Syahira dalam hati.

“Tapi, saya masih belum puas tatap wajah awak. Kita duduk semula ya.” Pujuk Khairi lagi, masih tidak berputus asa.

Syahira melepas keluhan panjang. “Saya nak kena balik. Saya nak ambil Iman dari taska. Awak nak suruh Iman jadi ikan kering ke tunggu saya dekat sana lama-lama?”

Khairi jadi kebingungan. Iman anak siapa ni? Kenapa Syahira pula yang kena ambil? Bukan Manisa ke sepatutnya?

“Nisa dia balik lewat. Shift saya habis awal. Jadi yang hantar Manisa, yang ambil saya. Kan saya dah kata, Iman tu macam anak saya. Awak jangan sibuk nak ambil tahu hal peribadi orang boleh tak?” Perangai Khairi dari hari makin ke hari makin menyakitkan hati. Kadang-kadang dia tertanya-tanya, adakah niat Khairi mendekatinya hanya untuk mendapatkan maklumat mengenai Iman semata-mata.

Mendengar ucapan Syahira menjadikan Khairi tersentak seketika. Terlalu memaksa ke aku? Pandangannya berubah menjadi sugul. Namun tidak begitu lama. Kemudian dia menguntumkan senyumannya kembali.

“Saya teman awak. Barulah dapat rasa macam jadi ayah ekspres.” Khairi menarik tangan Syahira mengikutinya. Sepanjang perjalanan mereka untuk keluar dari kawasan itu, sempat Khairi membeli beberapa bekalan untuk dimakan di dalam kereta. Dalam hatinya yang dingin, sempat Syahira tergelak melihat gelagat Khairi. Taska Iman tidaklah sejauh 90km sehingga hendak beli bekalan semua.

*****

Iman takut-takut hendak menghampiri kereta Khairi. Dia kenal wanita yang ada di dalam kereta Khairi itu. Itu Mommy Ira. Tapi mengapa wanita itu bersama Khairi?

“Iman, sini dekat mommy.” Panggil Syahira. Tangannya melambai-lambai ke arah Iman yang masih setia duduk di bangku luar sekolah taska. Sedikitpun dia tidak berganjak. Melihat Iman yang seakan tiada reaksi, sudahnya Syahira sendiri yang masuk ke dalam untuk menjemput anak kecil itu.

“Iman kenapa? Tak mahu balik ke?” soal Syahira lembut. Dia seakan dapat membaca isi hati Iman yang takutkan kehadiran Khairi. Pertemuan pertama kali membuatkan Iman mungkin terasa janggal.

Syahira cuba memainkan peranan. Dipeluk Iman dengan lembut. Kemudian dia berbisik di telinga Iman, memujuk anak kecil itu. Khuatir juga jika Iman tidak mahu ikut dengannya. Sudahlah dia tidak bawa kereta pada hari ini. Tak mungkin mereka mahu pulang berjalan kaki.

Melihat Iman yang jalan berpimpingan tangan dengan Syahira menuju ke kereta membuatkan Khairi berasa lega. Sekurang-kurangkan Iman sudah berani untuk keluar dari zon selesanya.

Masuk sahaja ke dalam kereta, Khairi terus menyapa Iman dengan senyuman. Kemudian diberi anak kecil itu sekotak minuman susu yang dibelinya tadi. Nak bodek budak, kena dari perutnya. Perangai Iman mestilah tidak jauh dari yang mengasuhnya, iaitu Syahira sendiri. Jadi sedikit sebanyak, Khairi sudah dapat mengagak perilaku Iman yang selanjutnya. Malu-malu tapi mahu.

“Iman, lapar tak?” soal Khairi sewaktu dia memulakan perjalanan mereka.

Iman yang malu-malu memandang Syahira meminta pertolongan. Dia mahu Syahira menjawabkan untuknya. Syahira yang seakan dapat membaca isyarat Iman mengangguk mengerti.

“Kita singgah makan sekejap boleh ke awak?”

“Boleh. Iman nak makan apa? Daddy Khairi boleh tolong bawakan.” Amboi, daddy! Begitu cepat Khairi menyesuaikan diri. Belum sempat pun Syahira memperkenalkan diri, dia sudah memperkenalkan diri sebagai daddy kepada Iman.

Tak semena-mena wajah Khairi bertukar kelat apabila terasa sebuah cubitan hinggap di pinggangnya. Syahira punya kerjalah tu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience