Bab 26

Family Series 2580

Dibelek wajahnya berkali-kali di hadapan cermin. Setelah berpuas hati, barulah Manisa tersenyum puas. Kalau boleh hari ini dia tidak mahu kalah tanding. Dengan wajahnya yang polos, digandingkan busana biru muda, makin terserlah keayuan wajah Manisa. Kalau orang tak tahu, mesti tiada yang menyangka bahawa dia sudah pernah berkahwin sebelum ini. Iman sudahpun dirapikan dari awal lagi. Lengkap dengan baju kemeja senada dengan warna baju Manisa, semakin segak anak kecil Manisa itu jadinya. Sengaja dia pakaikan Iman baju begitu, senang untuk dia cari dalam kesesakan orang ramai sebentar lagi. Maklumlah, hari ini dia mahu ke majlis perkahwinan Azie, jadi takut benar kalau Iman hilang dari penglihatannya. Kalau suami hilang, boleh cari baru, tapi kalau anak hilang, boleh gila jadinya. Fikir Manisa.

Sebelum memasuki kereta, sempat Manisa merapikan rambut Iman yang kusut ditiup angin. Hari ini, dia meminta Pak Derus menghantarnya ke majlis persandingan Azie. Bukan niat mahu menyusahkan, namun cukup arif benar dia dengan kesesakan yang bakal dia tempuhi. Mencari tempat letak kereta sewaktu majlis perkahwinan bukan hal yang mudah. Lagi-lagi di kawasan kampung. Tiada tempat khas untuk meletak kenderaan kerana majlis diadakan di kawasan perkarangan rumah masing-masing.

Sebaik sahaja memasuki kenderaan, Manisa senyum simpul kepada Pak Derus.

“Abah, Manisa hari ni cantik tak?” Niatnya mahu mendapatkan pujian dari Pak Derus tak kesampaian apabila abahnya itu mencebik sambil memandu kereta.

“Lawa-lawa nak ke sana buat apa? Kalau kamu kena ngurat dekat sana baru tahu.” Mendengar celoteh Pak Derus, kali ini Manisa pula mencebik. Sampai hati dia kata aku melawa sebab nak orang mengurat. Ini Manisa kot. Janda edisi terhad. Tak ada makna aku nak kahwin lagi. Cukup sekali tu je.

“Ini berapa lama ni dekat sana?” soal Pak Derus. Risau juga kalau ditinggalkan lama-lama, ada anaknya balik jalan kaki. Bukan boleh tebak perangai Manisa ni. Sukar dijangka perbuatannya. Lawa-lawa macam ni, nak suruh jalan kaki. Ada kena angkut dengan van putih.

“Tak apa ke abah nak ambil? Manisa suruh Kak Mas je jemput. Abah jangan risau.” Pak Derus hanya mengangguk tanda mengerti dengan perancangan Manisa. Kemudian dia tersenyum sendiri. Ada idea nakal yang timbul di benak fikirannya ketika ini.

“Abah, kenapa tak hantar naik motor je tadi? Naik kereta ni nanti susah nak buat u-turn. Abah boleh ke?”

Pak Derus memberikan jelingan kepada anaknya yang seorang itu. Kau pertikaikan kemampuan seorang pemandu bertauliah. Abah dulu bekas racer tau.

“Apa kau ingat, kampung ni baru buat ke? Sebelum kau wujud lagi, kampung ni dah jadi tempat drift abah dengan ketua kampung kita dulu. Kau je yang tak tahu.” Mendengar bebelan Pak Derus membuatkan Manisa kecut perut. Mana ceruklah sekejap lagi abah nak masuk. Namun dia tak berani bersuara. Ada tidak sampai ke rumah Azie jawabnya. Manisa sudahnya memilih mendiamkan diri. Iman yang duduk diam di tempat duduk belakang dipandang sesekali. Risau juga kalau-kalau Iman rasa tak selesa sepanjang perjalanan mereka.

Tidak sampai sepuluh minit, Manisa akhirnya tiba di majlis perkahwinan Azie. Terpampang wajah Azie dan pasangannya di bunting yang digantung kemas di tiang elektrik depan rumahnya. Puas Manisa tenung gambar mempelai lelaki, memang muka ni pernah aku nampak. Macam budak sekolah aku je. Detik hati Manisa. Namun kali ini dia malas ambil pusing. Yang lebih merisaukan hatinya ketika ini adalah kesesakan yang bakal Pak Derus termpuhi sebentar lagi.

Manisa dengan berat hati menuruni kereta. Betul ke abah boleh buat pusingan dekat sini? Rumah Azie ni penghujung jalan. Mana tembus jalan lain.

“Dah masuk sana. Jangan risaukan abah. Nanti balik, jangan susahkan kakak kamu. Abah boleh jemput.” Ujar Pak Derus sebelum meneruskan deruman keretanya. Mendengar bunyi ngauman kereta yang kuat membuatkan Manisa jadi lebih sangsi. Betul ke abah aku ni? Namun dia teruskan juga perjalanan apabila melihat isyarat Pak Derus menyuruhnya untuk terus masuk. Risau benar cucunya itu kepanasan dek terik matahari.

Manisa menarik nafas sedalamnya. Tangan kanannya menggenggam tangan Iman yang kecil, kemudian melangkah memasuki kawasan perumahan Azie. Berbekalkan hadiah untuk perkahwinan Azie, Manisa beranikan diri memasuki ruang tamu rumah Azie. Dia sedar ada mata-mata yang memerhati. Namun dia buat tidak peduli. Makin manis senyuman yang cuba dia ukir ketika itu. Memang manis pun, sampaikan ada beberapa pasang mata tak lepas memandangnya sejak dia mula melangkah masuk. Sebaik sahaja meletakkan hadiahnya, Manisa membawa Iman ke tempat menjamu selera. Dipilih beberapa lauk pauk untuk dia dan Iman makan bersama. Manisa membawa Iman ke meja bulat yang terletak di hujung kanopi. Kalau boleh dia mahu berada di luar, supaya senang mendapatkan angin yang lalu sesekali. Kesesakan umat manusia membuatkan dia berasa bahang.

Manisa menyuap juadah yang ada di pinggannya ketika ini. Nasi putih berlaukkan ayam masak merah. Manakala Iman, nasi putih beserta daging masak kurma. Sengaja dia ambilkan daging kurma untuk Iman, kerana dia tahu itu kegemaran anak tunggalnya itu. Sedang asyik Manisa menjamu selera, dia tiba-tiba disapa oleh beberapa orang yang dia cukup kenal. Rakan kelasnya yang lain datang menghampiri sambil mengambil tempat di meja Manisa. Dengan ramah Manisa menghadiahkan senyuman.

“Nisa kan?” soal salah seorang dari mereka. Manisa hanya mengangguk. Hendak ditegur, dia kurang pasti nama mereka. Semuanya muka sudah lain benar. Kalau salah sebut, mahu tarik muka masing-masing.

“Kau tak ingat aku ke? Ini aku, Adila.” Teragak-agak Manisa mahu mengiyakan. Adila? Ini bukan budak kelas sebelah ke? Kenapa muka dia lain benar?

“Muka kau dah lain lah sekarang. Aku nyaris tak cam.” Sambung Adila lagi. Manisa hanya tersenyum. Bukan aku je. Kau pun sama. Lain benar dengan gambar profil dekat Fac.

“Ini siapa? Anak saudara kau ke?” soal rakannya yang di sebelah. Manisa seperti mengenali wanita yang bertanyakan soalan itu.

“Eh tak. Ini anak aku.” Laju Manisa menidakkan kenyataan mereka. Sebaik sahaja dia berkata begitu, ada suara-suara sumbang yang dapat ditangkap di telinganya.

‘Betul la. Itu anak dia.’

‘Suami dia mana?’

‘Dia dah cerai la. Janda dah sekarang.’

“Suami kau mana?” tanya Adila.

Manisa tak menjawab. Namun suara-suara di belakangnya sudah menjawabkan soalan buat Adila. Adila yang mendengar hanya tersenyum sahaja.

“Alah biasalah. Mulut orang kampung kita. Kau dah tengok pengantin?” soal rakan di sebelah Adila. Manisa masih dalam cubaannya mengingat nama rakan Adila itu. Siapa ya?

“Belum. Aku takut ganggu Azie. Aku makan dulu, sementara tunggu dia sanding, nanti lepas dia sanding aku baliklah.” Jawab Manisa.

“Balik dengan siapa?” soalnya lagi. Manisa jadi aneh. Kenapa dia banyak tanya ni?

“Ini, sepupu Laila, si Badri tu, budak kelas rekacipta dulu, dia kata nak kenal dengan kau. Kau ingat tak dia?” Adila membuka mukadimah apabila melihat rakannya itu seakan sukar memulakan bicara. Manisa mengeleng perlahan. Siapa?

“Dia kawan Nazri la. Masa zaman sekolah dulu, dia selalu kacau kau. Dia dengan Nazri sekelompok, suka lalu depan kelas, lepas tu sebut-sebut nama kau bila ada cikgu mengajar. Nakal dia orang ni dulu. Tapi sekarang dah okey. Dia dah lama nak kenal dengan kau. Sejak dari zaman habis sekolah. Tapi sebab Nazri tu kerap sangat ganggu kau, dia ingat Nazri tu syok dekat kau. Tapi memang pun. Nazri tu dulu suka dekat kau. Tapi jodoh dengan Azie pula.” Manisa terkedu mendengar ucapan Adila. Ini majlis perkahwinan Nazri kot. Tak perlu nak ungkit kisah lama dia. Lagi kisah cinta dia. Tak sedap kalau didengari orang. Namun terima kasih kepada penerangan Adila, kini dia mulai ingat siapa gerangan Nazri yang sebenarnya. Lain benar muka dia sekarang.

Manisa membetulkan kedudukannya. Lidahnya jadi kelu. Bagaimana ya nak menolak dengan cara halus?

“Dia pakai kereta Honda tau.” Tambah Adila lagi. Terkebil-kebil Manisa dibuatnya. Kalau dia pakai Saga pun, apa masalahnya dengan aku? Bukan aku yang bayar.

“Aku ni, janda.” Perlahan sahaja Manisa bersuara. “Ini anak aku.” Sambungnya lagi. Kemudian dia menoleh sekeliling, khuatir ada yang mendengar.

“Mana ada orang nak janda anak satu.” Manisa menyudahkan kata-katanya.

“Aku tahu tu. Badri pun tahu.” Ujar Laila. Manisa jadi termangu. Dah tahu? Jadi yang tanya suami aku mana tu, sekadar wayang ke? Manisa menggaru pipinya yang tidak gatal. Belum sempat dia bersuara, datang seorang jejaka menghampiri meja mereka. Dari pandangan Manisa, lelaki itu cukup segak dengan berbaju batik. Nampak klasik tapi cukup memukau mata tetamu yang hadir.

“Saya Badri.” Ujarnya sebaik sahaja dia duduk di sebelah Manisa. Melihat Manisa dihampiri lelaki, Iman jadi tak senang duduk. Ditarik kerusinya mendekati kerusi Manisa. Risau sekiranya ibunya diambil lelaki itu.

Manisa senyum tipis. Kenapa aku macam tak pernah dengar nama dia ni? Betul ke dia ni kawan Nazri? Manisa cuba mengingat. Namun yang dia ingat hanyalah kelakuan nakal Nazri masa zaman sekolah dulu. Nazri memang rajin mengusiknya. Kalau tiada guru yang masuk kelas, Nazri akan datang ke kelasnya. Berpusing-pusing mengejar Manisa dengan menyanyikan lagu sumbangnya. Bukan orang tak tahu yang ketika itu dia sedang rapat dengan Athirah. Namun sengaja dia mahu membuat onar. Itu belum lagi masuk acara pemilihan bendahari kelab sukan, sengaja si Nazri mencalonkan nama Manisa. Kebetulan ramai rakan baik Nazri di dalam kelab itu, sudahnya Manisa terpilih sebagai bendahari kelab kerana undian terbanyak ketika itu. Bagi Manisa, jawatan itu yang paling dia tak mahu kerana perlu berjumpa dengan semua ahli terutama Nazri bagi sesi mengutip wang kelab.

Pernah juga sekali, Nazri memperkenalkan dirinya sebagai rakan baik Manisa kepada Mak Temah ketika bertemu di sebuah kedai runcit. Pulang sahaja ke rumah, terus Mak Temah tanyakan kepada Manisa berkenaan Nazri. Siap dipuji melambung kerana kebaikan budinya. Bila dikenang-kenang, memang banyak ulah yang Nazri buat. Namun sedikit pun dia tidak ingat watak Badri dalam zaman persekolahannya.

“Ingat tak anak belalang?” soal Badri yang semakin rapat kedudukannya dengan Manisa. Dalam cuba mengingat, Manisa menarik kerusinya menjauhi Badri. Dah kenapa nak dekat-dekat ni?

“Kasut sekolah awak, ingat tak yang sangkut atas bumbung?” Mata Manisa membulat. Kau!

“Sayalah yang baling kasut awak tu.” Badri tersenyum senang memandang Manisa mula ingat siapa dirinya.

Manisa ketap gigi gerahamnya sekuat mungkin. Kini dia ingat siapa Badri. Kalau sebut Badri, memang dia tak ingat. Namun, gelaran belalang itu cukup dia ingat. Siapa lagi budak yang sama nakal seperti Nazri kalau bukan si belalang tu. Kasut aku baru beli, bau kedai masih lekat lagi, dah terbang ke atas bumbung dia buat. Semuanya gara-gara Manisa ke bilik kesihatan untuk menghantar rakannya yang kurang sihat. Untuk masuk ke bilik itu, Manisa perlu tanggalkan kasutnya. Namun malang tak berbau, sebaik sahaja dia keluar dari bilik itu, sebelah sepatutnya hilang. Dah serupa apa ketika Manisa jalan terhincut-hincut dengan memakai kasut hanya sebelah sahaja.

Ketika dia sampai di kelas, dilihat kasutnya sudah diikat di pintu kelas Nazri. Dek, kerana tubuhnya yang rendah, Manisa sempat menarik kerusi untuk mengambil kasutnya kembali. Tapi dia tidak sempat mencapai, si belalang itu sudahpun berjaya mengambilnya terlebih dahulu, lalu dibaling-baling kepada rakannya yang lain seperti bermain bola jaring. Manisa yang geram mula menerkam belalang yang ketika itu memegang kasutnya. Sudahnya, belalang melambung kasutnya dengan begitu tinggi sehingga sangkut di bumbung sekolah. Ya, Manisa ingat sangat saat itu. Dia pulang ke rumah dengan memakai selipar jepun sahaja.

Itu belum lagi si belalang itu meniru jawapannya sewaktu menjawab soalan peperiksaan subjek Sejarah. Tubuh belalang yang tinggi memudahkan dirinya menoleh ke kiri dan ke kanan. Satu dewan nampak belalang melihat jawapan Manisa secara terang-terangan, namun hanya Manisa yang tidak perasan. Habis sahaja waktu peperiksaan, kecoh satu kelas memaklumkan hal itu kepada Manisa. Manisa hanya mampu menahan sakit hati. Namun, ketika keputusan peperiksaan diumumkan, Manisa cukup lega kerana gred belalang tidak seperti yang dia duga. Jadi, mungkin dia tidak tiru aku sebenarnya, fikir Manisa. Jadi, kenakalan Badri sama sahaja seperti Nazri. Nama pun dah nak dekat, memang patut kawan baik dulu.

“Manisa, kita kenal nak?” ajak Badri tanpa berdolah-dalih lagi. Sudah lama dia menanti kesempatan itu. Dan hari yang dia nanti akhirnya tiba.

“Kita memang dah kenal.”

“Bukan kenal yang itu. Kenal hati budi masing-masing dengan lebih mendalam. Mana tahu berjodoh?” usul Badri. Adila dan Laila yang sedari dari tadi ada di situ menyokong cadangan Badri.

“Jodoh kita cukup sampai kawan je kot. Saya belum terfikir nak kahwin sekali lagi.” Terus terang Manisa menolak. Biarlah apa dia nak kata, tak ingin aku dengan mamat ni. Biar dia naik Ferrari sekali pun, aku tak sudi.

“Awal sangat nak menolak. Kawanlah dulu.” Badri terkejut dirinya ditolak serta merta.

“Kita memang kawan. Tapi cukup sampai setakat tu je. Tak perlu lebih.” Sekali lagi Manisa menolak. Orang macam ni, kena jujur. Boleh jadi dia spesies kepala batu, tak mahu dengar pandangan pihak lain.

“Tukar nombor?”

“Tak apa. Kalau ada masalah, beritahu dekat Azie. Nanti dia sampaikan.” Arah Manisa. Dia mula rasa sedikit rimas. Tidak suka apabila ada yang mendesak sesuatu yang dia tak mahu.

“Awak tunggu abah awak ambil ke nanti? Tak payahlah. Saya hantarkan.” Manisa menggaru dahinya yang tidak gatal. Kenapa dia macam tak faham bahasa ya? Manisa menolak pelawaan itu dengan lembut. Kali ini, Badri cuba memujuk Iman.

“Adik, nak naik kereta uncle tak? Kereta uncle besar. Nanti uncle hantarkan balik rumah.” Pujuk Badri terhadap Iman. Tak dapat pikat mak, kita cuba anak dia pula.

Iman hanya tayang muka kosong. Tidak mahu mencampuri urusan ibunya. Dia bingung apabila dirinya terlibat sama. Tiba-tiba tubuhnya terasa melayang seperti diangkat. Iman awalnya terkejut, namun sebaik melihat siapa yang mengangkatnya, dia tayang wajah gembira. Kini dia duduk di atas ribaan lelaki yang mengangkatnya.

“Patut saya telefon awak tak dapat, dekat sini rupanya. Test market ke?” soal Iqwan sinis. Dia geram sebenarnya. Dalam suasana orang ramai, cuaca bahang pula, bayang Manisa pun dia tidak nampak sejak mula menjejaki kaki ke majlis itu. Dari dalam rumah, dia keluar pula mencari di ruang makan. Punya hujung tempat Manisa duduk, nasib dia baik kerana ternampak sosok Iman yang tidak reti duduk diam ketika itu.

Berdesing telinga Manisa mendengar soalan Iqwan. Kalau ya pun, ada masalah ke? Kita dah tak ada apa-apa! Tolong terima hakikat Encik Iqwan.

“Tak. Ini kawan-kawan sekolah saya dulu. Kenalkan, ini Adila, Laila, Badri. Semua, ini Iqwan.” Manisa memperkenalkan satu persatu rakan sekolahnya kepada Iqwan. Dia boleh lihat, riak wajak Adila dan Laila bagai tersipu malu ketika bertentang mata dengan Iqwan. Maklumlah, penampilan Iqwan juga tidak kurang hebatnya berbanding Badri. Dengan baju biru cair senada dengan warna baju Manisa, sesiapa pun boleh salah sangka bahawa mereka berdua ada pertalian.

“Manisa, siapa ni? Aku macam pernah nampak.” Adila sudah senyum-senyum menatap wajah Iqwan. Kalau tidak ada meja di antara mereka, mahu diterkam agaknya Iqwan ketika ini. Galak benar kawan lamanya itu.

Belum sempat Manisa menjawab, Badri sudahpun melontarkan soalannya kepada Iqwan.

“Datang sini naik apa?” soal Badri. Ada nada bengkak dalam nada pertuturannya. Iqwan hampir tergelak mendengar soalan Badri. Manisa jadi pelik. Dia naik kereta dia sendirilah. Kenapa pula mamat ni nak sibuk?

Iqwan tak menjawab. Sebaliknya dia menuding ke arah motor vespa yang terletak berdekatan dengan kawasan perumahan Azie. Manisa hampir tergelak sama, namun segera ditahan. Macam mana Iqwan boleh terfikir nak datang dengan motor abah ni? Motor antik ni, bukan senang abah nak beri pinjam. Sekejap, ini ke maksud abah, dia nak jemput?

“Kenapa awak datang sini? Bukan awak nak balik ke?” soal Manisa dalam nada suara tertahan. Dia masih ingat lagi yang Iqwan ada cakap dia mahu pulang hari ini. Bukan sepatutnya dia dah tak ada di bumi Pontian inikah?

“Rindu. Nak jumpa awak dan Iman dulu sebelum balik. Sekalian, nak ambil awak berdua.” Balas Iqwan perlahan namun cukup jelas untuk didengari orang-orang di meja mereka. Adila dan Laila yang mendengarnya jadi hampa. Baru sahaja nak berkenalan, rupanya, kenalan Manisa sendiri. Jangan-jangan, buah hati Manisa yang baru. Fikir mereka dalam hati.

“Naik motor je bro. Aku cadangkan, kau balik sendiri sajalah. Biar aku hantar Manisa. Lagi pun, budak kecil ni, tak lama lagi bakal jadi anak aku.” Bakar Badri kepada Iqwan. Ada bau-bauan cemburu dalam kata-kata Badri. Iqwan yang mendengar ucapan Badri, mula menggaru keningnya yang tiba-tiba gatal. Bakal anak eh? Nakal betul janda aku ni.

“Dengan motor cabuk ni, jauh manalah kau dapat bawa anak orang ni balik. Lainlah kalau aku. Berkereta, selesa lagi untuk mereka sepanjang perjalanan. Motor kau tu, bolehlah daftar ke muzium. Kalau muzium taknak, pusat besi buruk pun masih terima.” Mendengar kata-kata Badri membuatkan kepala Manisa terasa mendidih. Mahu sahaja lelaki itu di karate dengan ganas. Dia kutuk motor abah aku? Punya baik motor tu, antik, masih cantik, kau kata besi buruk. Memang nak kena si Badri ni. Dendam lama pun masih belum terbalas lagi, kau dah tambah masalah dengan aku lagi. Manisa seakan mahu berdiri, namun segera ditahan Iqwan. Iqwan seakan mengerti gunung berapi Manisa sudah mahu meletus. Dengan tenang dia membalas kata-kata Badri.

“Encik Badri, kita ni hidup biar beradab. Walaupun awak naik kereta paling mahal dekat kampung ni, tak perlu hina pengangkutan orang lain. Mungkin, itu sahaja kenderaan yang dia punya.”

Badri mencebik. Seakan tidak mahu kalah dengan Iqwan. Mana mungkin dia mahu kalah dengan lelaki yang hanya bermodalkan motor untuk mengurat Manisa. Dia tak mungkin kalah.

“Aku cuma nasihat je. Undur diri siap-siap, sebab Manisa akan jadi milik aku. Kau dengan motor kau ni, aku rasa dah boleh pergi kot. Balik ni, nampak sungai depan sana tu? Terjun sekali dengan motor kau ya.” Badri kali ini benar-benar tidak mahu beralah. Sudah lama dia nantikan Manisa, sudah ada di depan mata. Tidak mungkin dia sia-siakan peluang ini dengan mengalah pada Iqwan.

Manisa jadi makin tidak puas hati. Kali ini dia nekad. Tidak mengapalah sekiranya dia tidak dapat melihat Azie bersanding. Dia sudah tidak tahan mendengar kata-kata Badri yang seakan memerli. Yang si Iqwan ni pun satu, yang mengaku itu motor dia kenapa? Dia pun punya kereta juga. Iqwan melepaskan pegangan tangannya sebagai isyarat membenarkan Manisa memberontak. Dia tahu, Manisa tak akan bertindak keterlaluan kerana Iman ada di situ.

“Eh Badri, sedapnya mulut kau berkata ya. Aku rasa, lebih baik kau dengan kereta Honda kau tu balik dulu sebelum pancit aku buat. Motor yang kau hina tu, motor bapak aku. Motor Pak Derus. Kau ingat dengan cakap macam tu, darjat kau lagi tinggi ke? Kita semua sama je.” Manisa menunduk seakan-akan mahu meninggalkan kasut tumitnya. Mahu rasanya diketuk Badri itu bertalu-talu sebagaimana dia lumatkan lada dalam lesung batu. Biar dia tahu, Manisa bukan main-main.

“Mamat yang kau hina tak berharta ni, kalau kau nak tahu. Dia ayah budak ni. Bekas suami aku. Jaga-jaga sikit bila bercakap. Walaupun dia tak pakai Honda macam kau, tapi dia ada Yamaha.” Iqwan menyembunyikan senyumannya dari dilihat semua orang. Dia tidak pasti mahu senyum bahagia atau tergelak dengan ucapan Manisa. Di satu sisi dia gembira apabila Manisa mengaku Iqwan ayah kepada anak mereka, dia satu sisi yang lain, dia berasa lucu dengan perbandingan yang Manisa buat.

Tidak mahu memanjangkan lagi cerita, Iqwan segera berdiri di sebelah Manisa. Ditarik tangan Manisa untuk dibawa pulang. Tangannya yang sebelah lagi digendong tubuh kecil Iman. Hendak dibiar jalan sendiri, rasanya mahu tak cukup tanah Iman hendak mengejar rentak kaki Manisa yang semakin laju meninggalkan Iqwan.

“Cik adik oi, jangan laju sangat. Motor kita dekat sini je.” Laung Iqwan sedikit kuat dengan niat menghentikan pergerakan Manisa yang seakan mahu berlari pulang. Manisa yang sememangnya sudahpun melepasi motor vespa milik Pak Derus kembali berpatah balik. Mukanya memerah, seakan menahan malu, namun tidak berani Iqwan menegur, buatnya dia tengah marah, ada aku yang disodok Manisa dengan kasut tumitnya itu.

Melihat Manisa kembali merapatinya, Iqwan tersengih nakal. Malu tapi mahu. Iman dikendong lalu diletakkan ke dalam bakul motor. Tubuhnya yang kecil cukup menjimatkan ruang untuk mereka bertiga duduk di atas sebuah motor. Melihat Iqwan yang sudah menaiki motor bersama Iman, Manisa jadi kekok. Ada saja yang tidak kena dengan gayanya hendak menaiki motor. Dengan kain potongan A, tidak memungkinkan dia menaiki motor seperti memakai seluar. Sudahnya diserongkan tubuhnya, lalu perlahan-lahan dia memegang bahu Iqwan untuk memanjat pemijak motor.

Sedaya-upaya Manisa cuba menjarakkan tubuhnya dengan Iqwan sepanjang di atas motor. Suasana petang itu sungguh nyaman. Iqwan seakan mengambil kesempatan melalui jalan yang jauh. Sengaja dia pura-pura tidak tahu jalan. Puas Manisa menunjukkan arah, sudahnya dia mengerti sendiri dengan niat Iqwan yang sebenar.

Iqwan yang melihat ada bonggol besar di hadapan mereka sesekali melajukan pemanduan sehingga Manisa hampir melambung dibuatnya. Setiap kali itu jugalah, Manisa sedikit merapati Iqwan dengan memegang pinggangnya dengan lebih erat. Makin lebar senyuman Iqwan apabila Manisa semakin dekat dengannya. Melihat Iqwan yang tersenyum dari cermin sisi, sempat juga Manisa mengetipkan jari jemari halusnya ke pinggang Iqwan.

Sesungguhnya, saat itu merupakan detik yang paling bahagia buat Iqwan pada ketika itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience