Bab 15

Family Series 2580

Iqwan memandu memasuki ruang perkarangan rumahnya. Tidak semena-mena dia terpandang meja yang terletak di tengah-tengah taman rumahnya. Dia teringatkan Manisa. Memori yang sempat mereka cipta sebelum pergi ke luar negara membawa haluan masing-masing. Sejujurnya, pada ketika itu, dia sudah tertarik kepada Manisa. Namun, dia masih tidak pasti akan perasaannya kerana dia takut terluka sekali lagi. Tawa Manisa, senyumnya yang penuh keceriaan, semuanya dia rindukan.

Iqwan tersenyum sendiri. Dia rindu pada Manisa yang dulu. Entah bila dia sedar akan perasaan itu. Yang pastinya, dia berasa sangat kehilangan sewaktu melepaskan Manisa pergi dari hidupnya. Mungkin, dia tidak berasa sedih sebelumnya kerana dia menyangka mereka akan berpisah seketika, dan akan bersama semula setelah dia tamat pelajaran. Namun, dia tidak menyangka Manisa masih ingat akan perjanjian mereka pada empat tahun lepas.

Iqwan meneruskan perjalanannya memasuki ruangan rumah. Ruang rumah yang gelap, dihidupkan lampu yang ada. Mungkin mama belum pulang dari urusannya di Kuala Lumpur. Sudah dua hari mama pergi, sepanjang dua hari itu jugalah, bayang-bayang Manisa mula muncul dalam fikirannya. Jatuh cintakah dia? Jatuh cinta pada janda sendiri?

Entah kenapa tiba-tiba, satu kelibat menghampiri Iqwan. Lalu menampar wajahnya dengna sekuat hati. Iqwan jadi terkesima. Mama?

“Sampai hati abang.” Puan Marlia menitiskan air matanya. Agak lama dia menunggu kepulangan anaknya itu. Drama ini sudah dia bayangkan sepanjang perjalanannya dari KL. Lihat bagaimana dia akan bawa Manisa masuk semula ke dalam keluarga ini.

“Mama, kenapa ni?” Iqwan memegang pipinya. Terasa pijar menerpa.

“Abang tahu tak, betapa kecewanya hati mama dengan tindakan abang. Abang bawa Manisa dalam keluarga kita. Mama dah mula terima dia. Mama anggap dia macam anak sendiri. Tapi abang lepaskan Manisa, seolah-olah mama ni tunggul. Mama ni ibu abang tahu tak? Abang tak pernah tanya ,mama terima ke dengan keputusan abang. Abang tak pernah kongsi masalah abang dengan mama, tiba-tiba balik, abang beritahu mama yang kamu berdua dah tak ada apa-apa. Dan sekarang, abang rahsiakan yang abang ada anak dengan Manisa dari pengetahuan mama. Sampai hati abang.”

Iqwan jadi kebingungan. Apa yang mama cuba sampaikan ni? Drama petang mana pula mama dah terpengaruh sekarang ni? Anak? Aku ada anak?

“Iman. Nama budak tu Iman Haziq. Mama dah jumpa keluarga Manisa. Keluarga dia sendiri cakap itu anak Manisa. Kalau mama tak pergi rumah mereka, entah sampai bila mama tak tahu. Entah-entah sampai mama mati pun tak akan tahu kebenaran ni.”

Iqwan jadi runsing. Perlahan-lahan dia duduk di atas kerusi yang berhampiran. Cuba menghadam segala apa yang dilontarkan dari mulut Puan Marlia. Dia punya anak? Bukankah hubungan mereka sekadar suami isteri kontrak? Bagaimana mereka boleh mempunyai anak? Betul ke malam itu tiada apa yang terjadi antara mereka?

*****

Iqwan memegang kuat kepalanya terasa berpusing. Seingatnya, dia hanya minum air kopi yang dipesan dari kafe tempat dia selalu lawati. Dalam kepayahan dia cuba berjalan menuju ke hotel berdekatan. Niatnya untuk pulang malam ini, nampaknya terpaksa dibatalkan. Dalam kesamaran, dia nampak kelibat Manisa di lobi hotel yang dia tuju. Manisa ke? Atau dia yang berhalusinasi?

Perlahan-lahan Iqwan menghampiri Manisa. Sebaik sahaja tangannya menggapai Manisa, gadis itu menoleh ke belakang. Ya, itu memang Manisa. Melihat keadaannya yang tidak berupaya, seboleh-bolehnya Manisa cuba membantu. Dia menempah bilik di hotel itu untuk Iqwan. Sedaya upaya dia memapah Iqwan menuju ke bilik penginapan mereka. Entah apa yang telah ditelan Iqwan malam itu, Manisa tidak mahu ambil pusing. Yang dia fikir hanyalah untuk menghantar Iqwan ke bilik mereka.

Iqwan terbaring lesu di atas katil. Malam tadi, dia benar-benar tidur lena tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Sebaik sahaja dia membuka matanya, dia menemukan dirinya hanya berbalut selimut tanpa seurat benang. Dia cuba mengingat kejadian malam tadi. Yang hanya dia ingat, dia bersama dengan Manisa. Apa sudah terjadi?

Iqwan cuba bangkit. Kepalanya masih terasa berat. Dia masih tidak dapat ingat dengan jelas apa yang sudah berlaku antara dia dan Manisa. Di hujung meja kecil berhampiran katilnya, Iqwan nampak sekeping nota diselit bawah dompetnya. Di sebelah dompetnya, terlipat kemas baju Iqwan beserta barangan peribadinya. Iqwan mencapai nota yang ditinggalkan. Dari gaya tulisan, sepertinya Manisa yang meninggalkan pesan itu.

Saya tak mahu ingat kejadian malam tadi. Saya pasti, awak pun rasa perkara yang sama.
-Manisa

Iqwan tersenyum membaca nota itu. Dia dapat membayangkan gaya Manisa mengucapkan kata-kata itu padanya. Namun yang menjadi kemusykilan baginya, apa yang telah terjadi pada malam tadi?

“Iqwan Hakim!” Bagai dipanah halilintar, Iqwan benar-benar kaget. Betapa dia mengelamun terlalu lama mengingat kejadian yang berlaku pada empat tahun yang lepas. Iqwan mengeratkan dahinya. Jika kejadian itulah yang Manisa tidak mahu bincangkan, ini akan menjadi hal besar baginya. Ertinya, Iman itu anaknya.

“Abang ada anak ma?” Puan Marlia mengelengkan kepalanya mendengar soalan dari Iqwan. Bahagian mana yang tidak difahami anaknya ketika ini?

“Abang ada anak ma.” Kata-kata Iqwan yang tadinya berbaur soalan bertukar menjadi ayat pernyataan. Perasaannya sedikit bercampur baur. Kecewa, sedih, bahagia, semuanya berlaku serentak. Sedikit dia kecewa dengan sikap Manisa yang merahsiakan hal ini. Sudah semestinya dia marah. Hanya kerana impian Manisa yang ingin hidup bebas tanpa ada sang suami, dia sanggup merahsiakan kewujudan anak mereka dari pengetahuan Iqwan.

“Abang nak cari Manisa. Abang nak bawa Iman ke sini.” Iqwan berjalan mencapai kunci keretanya. Langkahnya yang laju berhenti tatkala mendengar ucapan dari Puan Marlia.

“Abang sabar dulu boleh? Mama tak faham. Kenapa bila ada Iman, baru abang beria-ria mahu cari Manisa. Sebelum ni, abang buat tak peduli pun. Abang dah tak ada hati pada Manisa ke?” Puan Marlia cuba menebak isi hati Iqwan. Kata-kata mamanya membuat hati Iqwan bagai disayat. Siapa kata dia tak ada hati pada Manisa? Hakikatnya, mengetahui bahawa dia dan Manisa akan pulang ke Malaysia, dia sangat berharap agar Manisa berubah hati untuk tidak memilih jalan perpisahan. Sedikit sebanyak, dia ada menaruh hati pada wanita itu.

Namun, bagaimana dia dapat memaksa Manisa untuk menerimanya? Mengetahui dia dan Manisa punya anak, betapa girangnya hati dia. Akhirnya dia punya alasan untuk kembali pada Manisa. Iqwan perlahan-lahan mendatangi Puan Marlia. Dia memeluk wanita itu seeratnya.

“Abang akan usahakan untuk bawa Manisa bersama.” Ucapan dari mulut Iqwan membuatkan Puan Marlia menguntumkan senyuman. Sekurang-kurangnya, Iqwan akan cuba merebut hati Manisa semula.

*****

Manisa mengetuk pintu bilik Iman. Dibuka pintu bilik anak lelakinya itu. Dilihat, Iman masih belum tidur dan masih membelek album gambar milik mereka berdua. Melihat Iman yang leka merenung gambar-gambar di dalam album, Manisa menghampirinya.

“Dah malam. Esok sambung ya.” Manisa mengambil album di tangan Iman lalu menyimpannya di dalam laci bersebelahan katil Iman.

“Mommy, where is daddy?” Manisa membulatkan matanya. Sejak bila Iman mula pandai bertanya mengenai ayahnya? Ini pertama kali Iman mempersoalkan keberadaan ayahnya.

“Somewhere.. Inside here.” Manisa menuding jari ke dada Iman. Berhadapan dengan Iman, dia perlu bijak memainkan peranannya sebagai seorang ibu. Tidak mudah baginya menjadi seorang ibu tunggal.

“Jadi, yang semalam tu?” Iman begitu polos bertanya. Di usianya yang baru berumur tiga tahun, pastinya banyak perkara yang dia ingin tahu. Jadi, wajarkah jika Manisa merahsiakan hal dari Iman?

“Itu, nenek Iman yang lain. Iman ada banyak nenek.” Manisa sedapa upaya cuba menerangkan status Puan Marlia kepada Iman. Harapannya, supaya Iman tidak kekok ketika bertemu dengan wanita itu di masa hadapan. Rasanya, pasti Puan Marlia akan datang lagi menemuinya untuk berkenalan dengan Iman. Sejujurnya, Manisa agak tidak senang dengan perkara ini. Bukan dia mahu menjauhkan diri dari Puan Marlia, cumanya, sekiranya Puan Marlia kerap ke rumahnya, pasti akan mengundang syak wasangka Iqwan terhadap kehidupannya yang kini. Atau lebih teruk lagi, Iqwan mengetahui hal Iman. Pasti lelaki itu akan marah padanya.

“Is this daddy?” Iman menunjukkan sekeping gambar kepada Manisa. Mata Manisa membuntang. Mana Iman dapat gambarnya ini? Gambar ketika Iqwan mencium pipinya ketika photoshoot di sebuah lapangan hijau. Manisa cuba mengagak, pasti Puan Marlia yang memberikan kepada Iman.

“Technically yes, but biologically no, dear.” Manisa mengambil kepingan gambar yang ditunjukkan Iman tadi. Tangannya membuka laci tempat dia menyimpan album, lalu meletakkan gambar kahwinnya ke dalam album tersebut. Dia meletakkannya di halaman terakhir sekali supaya Iman tidak perasan akan kewujudan gambar itu setelah ini. Kemudian Manisa membuka laci selanjutnya, lalu mengeluarkan sebingkai gambar. Gambar seorang lelaki yang segak memakai baju bewarna hitam sambil tersenyum memandang kamera. Dihulurkan gambar itu kepada Iman.

“This is your another daddy.” Manisa menunjukkan wajah lelaki itu kepada Iman.

“Iman got two daddies.” Iman ketawa kecil. Entah apa yang dia tawakan, Manisa seakan tidak ambil pusing. Fikirannya tiba-tiba serabut. Bagaimana jika suatu hari nanti, Iman bertanya mengapa ayahnya ada dua. Apa yang perlu dia katakan?

“Yeah. So, let’s go to sleep.” Manisa membetulkan pembaringan Iman. Dia menyelimuti Iman sebelum mencium ubun-ubun anak lelaki itu . Manisa kemudiannya mematikan lampu bilik tidur Iman. Belum sempat dia bangun, tangan Iman tiba-tiba memeluk tangannya.

“Mommy, tidur dengan Iman?” soalan Iman berbaur permintaan.

“Why?”

“I miss daddy.” Jawapan Iman meluluhkan hati Manisa. Iman membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Mana mungkin dapat dia penuhi kekosongan itu. Bukan dia tidak mahu mencari ayah untuk Iman, namun, siapa yang dapat menerimanya bersama Iman? Tidak sesekali dia akan tinggalkan Iman. Imanlah pengarang hati dan jantungnya. Satu-satunya anak yang dia punya. Demi Iman, dia sanggup menyendiri hingga tua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience