Bab 6

Family Series 2580

“Siapa namanya tadi?” soal Mak Temah. Tangannya laju membancuh air. Manisa mula menyusun atur kuih untuk dibawa ke ruang depan. Kuih itu sudah dia beli pagi tadi sementara menunggu masa emaknya membeli barang dapur untuk dimasak buat kehadiran bakal suaminya.

“Ismail mak nama dia,” laju sahaja Manisa memetik nama.

Mak Temah mengangguk tanda mengerti. Dia membawa air bancuhannya ke ruang depan untuk dihidang buat tetamu yang hadir. Maklumlah, rumahnya sudah lama tidak kehadiran tetamu. Atau lebih tepat lagi, kawan lelaki Manisa. Ada juga orang yang berkenaan pada anaknya itu.

“Ismail, jemput makan. Jangan malu-malu. Rumah mak cik ni, macam inilah. Tak besar tak kecik. Ada rezeki besarkan lagi.” Iqwan memandang wajah Mak Temah. Siapa Ismail?

“Siapa pulak Ismailnya mak dia? Budak ni namanya Iwan. Macam nama penyanyi kesukaan awak dulu. Memori daun pisang.” Dalam menegur sempat lagi Pak Derus bergurau. Dia memang begitu dengan isterinya. Katanya, biar manis selalu rumahtangganya.

“Ini Manisa yang bilang bang, tadi.” Mak Temah mencerlung memandang anak gadisnya. Manisa buat-buat tak nampak. Sebenarnya bukan dia sengaja mengenakan Mak Temah. Tetapi dia memang lupa. Ismail itu nama calonnya yang pertama dulu. Si buaya yang dah tak sedar diri mengaku bujang. Manisa jadi keliru. Namun dia tetap berpura-pura kononnya mengenakan Mak Temah. Dia bukan sengaja.

“Dah lama kenal Nisa?” soal Pak Derus secara terang. Dia tak suka selindung-selindung dalam hal sebegini. Ini soal maruah keluarga.

“Lama juga. Kenapa pak cik?” Iqwan masih belum dapat membaca niat Pak Derus.

“Begini. Pak cik tak suka orang bawa anak dara pak cik ke hulu ke hilir. Anak pak cik bukan anak kucing. Kalau suka, cakap ya. Minggu depan hantar rombongan meminang. Cukup sebulan nikah terus. Kalau ada duit, buat majlis sekali. Kalau tidak, kita halalkan dulu hubungan ni.” Iqwan terkebil-kebil. Dia tak salah dengar bukan?

Biasanya kalau dia lihat drama, pasti akan ada yang menentang bagi menampakkan cerita cinta mereka begitu epik. Tapi ini kenapa lain? Oh, dia lupa. Ini bukan kisah cinta sebab mereka tak ada rasa suka. Iqwan hanya mengangguk tanda faham dan setuju dengan kenyataan Pak Derus. Ya, memang tak elok. Kalau dia tahu aku nak angkut anak dara dia ke negara Eropah, adakah akan semudah ini? Mungkin bahagian ini, kita rahsiakan dulu. Buatnya tiba-tiba Pak Derus tak bagi, mana aku nak cari pengantin baru?
“Kalau hal rombongan tu, saya rasa tak ada masalah. Cumanya, saya kena maklum pada mama saya dulu. Saya ingat baru nak minta izin denga pak cik terlebih dulu untuk berkenalan dengan Manisa.” Iqwan cuba menunjukkan sisi budimannya.

“Baguslah. Kadang-kadang budak sekarang, kenal apa tidak, tahu-tahu nak kahwin. Tup-tup cukup masa, cerai. Pak cik tak suka. Ya memang jodoh tu di tangan Tuhan. Tapi kita pun kena usaha untuk pertahankan rumahtangga yang dah dibina. Bukan main redah kalau suka kahwin, bila benci cerai. Kita kena ikut prosedur.” Leter Pak Derus. Dia tak mahu anaknya gagal dalam alam perkahwinan. Anaknya cuma dua. Hanya Manisa yang belum berkahwin. Apa salahnya kalau dia berli perhatian lebih untuk anak kecilnya itu.

“Saya faham pak cik. Saya usahakan.” Usahakan? Iqwan kecut perut. Macam mana dengan perancangan mereka nanti? Semalam elok dia berbincang dengan Manisa cara-cara untuk mereka berpisah. Kalau tak jadi, tak mungkin mereka berdua kekal sebagai suami isteri selamanya? Ini perlu dielakkan. Sama sekali tidak boleh terjadi.

*****

Manisa menguis krim kek yang berlebihan ke hujung piring. Krim kali ini terasa muak. Atau sebab dia terlalu lama menghadapi wajah Iqwan? Manisa, dia bakal suamikau! Bisik hatinya. Tapi sementara. Bidas fikirannya.

“Tak apa ke kalau saya nak minta kahwin cepat?” soal Iqwan.

“Tak jadi masalah. Jumpa je mak dengan abah saya. Dia orang tak suka anaknya tunang lama-lama. Sebulan pun dah cukup lama katanya. Jadi tenang.” Manisa membuat riak wajah biasa. Cukup dia kenal sifat abahnya. Semua sudah ada dalam poketnya.

“Saya nak kena buat apa?”

“Berlagak biasa. Tak perlu berlakon. Cuma cakap kita dah kenal lama. Kalau sekejap mungkin takut tak jadi.”

“Yang soal berpisah tu?”

“Okey Encik Paranoid. Tenang. Sampai dekat UK, awak bawa haluan awak. Saya akan ikut haluan saya. Cuma jangan lupa masukkan nama saya sebagai pasangan awak. Berkenaan perpisahan kita selepas empat tahun nanti, kita balik sama-sama. Awak balik ke rumah awak, saya ke rumah mak abah saya. Kita cakap yang kita dah tak sehaluan atau apa-apa sahaja. Yang paling penting, perkara ni jangan cerita pada sesiapa.” Manisa menerangkan secara terperinci. Semuanya sudah dia fikirkan sejak dari hari pertama dia nekad mendaftar di laman mencari jodoh. Tak sia-sia dahulu dia belajar kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Dapat juga dia aplikasikan dalam kehidupan seharian. Walaupun untuk memperdaya keluarga sendiri.

Iqwan jadi kagum beserta takut. Siapa Manisa ini? Kenapa dia boleh teliti dalam hal yang sebegini? Dia tak salah pilih orang kan? Gadis di hadapannya ini bukan bekas pesakit mental kan? Niatnya mahu membawa Manisa berjumpa mamanya jadi terbantut. Betul ke aku tak tersilap langkah?

“Lepas jumpa keluarga saya, saya akan jumpa keluarga awak pula. Kita perlu bertindak cepat. Kalau tidak, awak akan terlepas peluang sambung belajar. Taknak ketinggalan bukan?” Manisa mengingatkan Iqwan kepada misi utama mereka. Kata-kata Manisa benar. Dia perlu fokus untuk sambung belajar. Tak mungkin dia akan melepaskan peluang kali ini.

“Masa kita pergi nanti, musim dekat sana macam mana ya? Saya nak kena bawa baju sejuk atau baju nipis. Saya tak berapa faham ekuinoks-ekuinoks semua tu.” Iqwan tertawa kecil. Dalam perancangannya yang hebat, ada juga bahagian yang Manisa lemah. Mana mungkin dia berpakaian tebal pada musim panas. Mahu banjir peluh Manisa dibuatnya dek bahang musim panas pada ketika itu.

“Nanti bab baju kita bincang. Sekarang awak nak hantaran berapa dulang? Kes tunang kahwin kita ni belum selesai, sayang.” Manisa buat mimik muka bila dipanggil sayang. Dia tahu bukan niat Iqwan untuk menggodanya. Cuma mereka perlu berlatih untuk memudahkan lakonan mereka dalam masa satu bulan lebih ini. Kalau tidak, mungkin ramai akan berasa sanggsi akan keputusan mereka.

“Kita buat sikit je. Nanti dekat sana nak pakai lebih banyak duit. Awak tu nak sambung belajar. Dengan nak buat majlis lagi. Jangan membazir.”

“Eh, kita kaya tahu.” Iqwan berseloroh. Manisa buat-buat tak dengar. Dia tak mahu digelar kaki kikis. Lagi pula, kesudian Iqwan untuk membawanya bersama sudah cukup baginya. Dia tidak minta lebih.

“Iya lah tu. Kita buat yang ringkas sahaja okey. Jangan terlalu risau. Esok jangan buat muka gelabah depan mak abah saya.” Manisa beri amaran.

*****

Baru minggu lepas Iqwan berjumpa dengan mak dan abah Manisa. Semuanya berjalan dengan lancar. Tapi entah mengapa, untuk bertemu dengan mama Iqwan, Manisa jadi tak tentu arah. Dia menggelabah. Lebih-lebih lagi apabila dia tahu mama Iqwan merupakan seorang ibu tunggal. Siapa tak rasa serba salah?

“Manis, kalau awak menggelabah macam ni, lagi mama saya syak. Tenang. Mama saya cuma nak berkenalan. Dia nak tahu siapa yang dah curi hati anak lelaki dia. Itu sahaja.” Manisa memandang wajah Iqwan. Kata-kata Iqwan memang menarik perhatiannya. Tetapi panggilan Iqwan terhadap dirinya lebih menarik baginya untuk dibahas.

“Jangan panggil saya macam tu. Hanya orang teristimewa sahaja yang boleh panggil. Macam mak, abah, dan Kak Mas.”

“Habis saya tak istimewa? Saya bakal suami awak Cik Manisa Adira.” Iqwan menekankan perkataan suami. Sengaja dia mahu mengusik Manisa dengan harapan ketakutan gadis itu akan menghilang.

“Siapa nama awak?”

“Iqwan.”

“Nama penuh.” Suara Manisa mengeras memberi arahan.

“Muhamad Iqwan Hakim bin Huzairi bin Mustafa Sheikh Albakri. Ingat tu. Nanti beritahu bakal anak-anak kita.” Usik Iqwan.

“Haa, ya Encik Muhamad Iqwan Hakim bin Huzairi bin Mustafa Sheikh Albakri. Kita ni kahwin tipu-tipu. Tapi dalam tipu-tipu tu, mama awak akan jadi mama saya. Adik awak akan jadi adik saya. Jadinya, agak normal untuk saya rasa gementar macam ni.”

“Tapi tak perlu sampai menggigil. Sejuk sangat ke aircond kereta ni?” perli Iqwan.

Manisa mendengus. Dia kalah. Tapi dia belum mahu mengalah.

“Panggilan awak?”

“Iq. Tapi kena panggil dengan penuh kasih sayang. Kalau tidak, tak akan dilayan.”

Manisa mahu membidas.

“Awak simpan dulu. Nanti balik kita sambung. Kita dah sampai ni.” Iqwan tayang senyuman paksa di hadapan Manisa. Mana tidaknya. Puan Marlia sudah tegak berdiri di depan rumah menanti kehadiran mereka. Di sisinya kelihatan Indah mengendong seorang kanak-kanak perempuan sambil memimpin tangan anaknya yang seorang lagi.

Manisa, jangan takut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience