Bab 7

Family Series 2580

Indah jadi ralit memerhati wajah Manisa. Betul ke ini bakal jadi kakak ipar aku? Indah cuba untuk tidak skeptikal. Dia tidak nampak cacat celanya dari paras wajah Manisa. Cuma dia berasa sangsi dengan pilihan abangnya ini. Selama ini dia tak pernah ambil tahu ciri-ciri wanita idaman abangnya. Jadi bila sampai seorang di rumahnya, dia jadi canggung. Dia tahu gadis itu bukan sama sekali mahu merampas takhtanya sebagai anak perempuan. Cuma dia takut, kalau-kalau ada muslihat di sebalik perkahwinan abangnya ini.

Indah segera mengeleng. Apa kau fikir Indah? Itu abang kau.

“Manisa jemput la makan. Jangan malu-malu.”pelawa Puan Marlia. Dia sebolehnya tidak mahu Manisa kekok. Kalau tak jadi kahwin nanti macam mana? Merana anak teruna aku. Walaupun jauh di sudut hati dia masih belum dapat percaya sama ada benar Iqwan sungguh-sungguh mahu berkahwin, tapi hatinya tetap gembira kerana gadis yang dibawanya pulang masih lagi baik-baik orangnya. Tidak seperti dalam drama televisyen petang, asal suruh kahwin, mula si hero upah orang menyamar supaya ditolak oleh keluarga hero. Aku bukan macam tu.

“Iya mak cik. Saya dah tambah dua kali.” Seperti yang Iqwan minta, Manisa betul-betul berlagak normal. Maklumlah, kalau kena tolak pun, bukan dia cintakan Iqwan. Yang tak dapat sambung belajar nanti pun bukannya aku. Buat apa kena pura-pura ayu sedangkan perkahwinan ini pun palsu. Manisa memang tak simpan sedikit pun perangai sebenarnya.

Habis sahaja sesi makan tengahari, terus Manisa ke dapur membasuh pinggan mangkuk. Bukan setakat itu, habis periuk belanga semua dia sental kasi berkilat. Tak ada tinggal sikit pun sisa kotoran.
“Mama tengok, budaknya baik.” Bisik Puan Marlia. Indah mengangguk. Awalnya dia berasa canggung. Namun apabila melihat Manisa begitu serasi dengan anak-anaknya, dia tarik semula kata-katanya sebelum ini. Manisa memang pilihan terbaik. Kalau abang pura-pura kahwin, memang siap mamat ni aku kerjakan. Punya baik budaknya, itu pun tak nampak lagi.

Indah membuka langkah menuju ke arah Manisa yang sibuk mengelap pinggan sementara melayan anak-anak Indah yang asyik bertelagah dari tadi. Sengaja dia besarkan matanya agar budak-budak itu patuh mendengar kata-katanya.

“Haip, tak boleh gaduh-gaduh. Kalau gaduh nanti tak ada kawan. Nanti awak nak main dengan siapa?” ugut Manisa kepada anak-anak Indah. Indah yang mendengar hanya tergelak melihat gelagat Manisa. Bakal kakak iparnya ini sungguh berbakat.

“Ayok, mak long dah marah. Mama tak tahu. Nanti pak long tak mahu belikan coklat.” Indah menambah perisa pada ugutan Manisa. Manisa hanya sengih tayang gigi.

“Budak-budak ni kak, suka bergaduh. Ini cara dia orang nak menyampaikan kasih sayang antara adik-beradik. Saya dulu selalu juga bergaduh dengan kakak saya.” Manisa cuba mengetengahkan teorinya yang tak berapa nak bernas.

“Memang selalu macam ni. Itu yang akak selalu bawa ke sini. Tak sanggup nak layan karenah dia berdua. Ada je akal nak buat hal.” Luah Indah walaupun tiada niat untuk dia mengeluh sama sekali.

Manisa tersenyum. Dia memang berpengalaman dalam hal ini. Anak saudaranya sudah masuk tiga orang. Mana tak arif dia jadinya. Kalau nak suruh urus dua anak kecil ini, Manisa sendiri pun tak larat. Lagi kan Indah yang sibuk mengurus perniagaan bersama mamanya. Memang nampak ketara penatnya.

“Manisa orang mana?” soal Indah. Cubaan mengorek rahsia akan dijalankan. Kalau ada abangnya, macam mana nak tahu cara mereka berkenalan.

“Orang Pontian. Dekat je. Tahu tak kawasan Gunung Pulai? Rumah saya sehaluan nak ke situ. Nanti ada masa saya bawa nak. Sekali budak-budak la. Airnya tak dalam, jadi boleh budak-budak nak mandi-manda.” Terang Manisa panjang lebar. Dia selalu memberi lebih dari jangkaan. Lengkap bukan jawapan aku?

“Senanglah kalau macam tu. Manisa dah lama duduk sana? Macam mana kenal Abang Iq?” sikit lagi dikorek Indah. Kita kalau nak korek, jangan terang-terang sangat. Nanti orang perasaan. Kena kasi nampak macam borak biasa.

“Haa, itu. Abang Iq selalu ke Pontian. Tapi saya tak ingat la sebab apa. Kenal dari situ la.” Manisa cuba untuk tidak berbohong. Kali ini ringkas jawapannya.

“Eleh, nak rahsia-rahsia pulak. Ceritalah…” pujuk Indah.

“Tak ada rahsia. Abang nampak Indah masa uruskan projek dekat Pontian dulu. Dah jangan sibuk nak korek hal peribadi abang.” Indah terbeliak. Abang dah balik?

Iqwan meletak barang yang dikirim Indah untuk dibeli di kedai runcit depan taman. Sengaja dia minta Iqwan belikan supaya dia ada masa lebih bersama Manisa. Tapi tak disangka Manisa terlebih dulu melarikan diri memilih untuk mencuci piring. Sementara dia dibiar mengemas ruang makan yang bersepah kerana aksi nakal anak-anak kembarnya. Nampak gayanya, terlepas peluang dia kali ini.

*****

“Mama ingat nak hantar rombongan meminang minggu depan. Boleh Manisa?” soal Puan Marlia. Sengaja dia mahu membiasakan Manisa dengan panggilan mama. Manisa hanya tersenyum mendengar usul Puan Marlia.

“Cepatnya.” Manisa cuba menayangkan perasaan gugup. Hakikatnya, memang itu yang dia rasai ketika ini. Biarpun cuma perkahwin sementara, tapi ini tetap perkahwinannya yang mungkin akan dia lalui sekali sahaja seumur hidup. Apabila nanti dia sudah bergelar janda, belum tentu ada yang sudi menjadi pendampingnya hingga ke hari tua. Walaupun dia bertaraf janda berhias tanpa semua orang tahu.

“Nampak gayanya kena la macam tu. Iqwan dah nak sambung belajar tak lama lagi. Tak mungkin nak tangguh majlis kahwin lepas dia balik. Baik Manisa ikut sekali.” Jelas Puan Marlia. Indah yang tadi di sisinya hanya mengangguk setuju akan perancangan mamanya. Biar abang kena ikat kali ini dengan menantu mama yang baru. Manisa cuba memberi reaksi positif. Biarpun dia cukup maklum dengan semua ini, namun dia tetap rasa berdebar. Nak merantau di negeri orang. Seorang diri pula. Iqwan dah sambung belajar. Aku macam mana? Bukan main hari itu dia kata akan ikut haluannya sendiri tanpa memikirkan cara untuk hidup sendiri di sana.

Tiba-tiba Manisa teringatkan kawan karibnya semasa di zaman universiti dahulu. Seingatnya, Tiara sudah lama menetap di UK hampir 3 tahun. Jadi rasanya Tiara lebih mahir dalam hal sebegini. Jangan takut Manisa. Kau mampu hadapi semua ini.

Manisa senyum memandang wajah Puan Marlia.

“Nampaknya kena setuju je lah. Kalau tak nanti Iqwan lari.” Seloroh Manisa tanpa dia ketahui, itulah punca mengapa Puan Marlia meminta Iqwan untuk kahwin terlebih dahulu.

“Kalau dah habis bincang, abang nak hantar Manisa dulu boleh ma? Abang takut terlambat nak balik semula ke sini.”

“Eh, balik semula? Bukan tidur di Pontian?” Puan Marlia keanehan.

“Kerja dah siap. Abang tinggal selesaikan kerja dekat sini je.” Balas Iqwan. Dia kalau boleh tak mahu lama-lama terpisah dengan mamanya. Dia akan merantau selama empat tahun. Jadi ini sahaja peluang yang dia ada untuk bermanja dengan mamanya.

“Kalau macam itu, hati-hati dalam perjalanan. Jangan bawa laju-laju. Ingat, awak ada penumpang.”

Iqwan memberi isyarat tanda mengerti. Segera dia keluar untuk memanaskan enjin kereta. Manisa ditinggalkan terkontang-kanting menemani mama dan adiknya.

“Manisa, jangan serik ya datang ke mari.” Manisa tersenyum manis. Hari ini sungguh dia murah dengan senyuman.

*****

Indah membelek helaian majalah di hadapannya. Fikirannya kusut. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Namun dalam diam, dia sudah menyukai pilihan abangnya. Tak mungkin sebagus itu jika hanya untuk sebuah helah.

“Termenung jauh nampak.” Tegur Iqwan dari belakang. Dia perasan, sejak dia pulang dari mennghantar Manisa tadi, Indah mula diam. Tidak seperti biasanya.

Indah jadi kaget bila disergah abangnya. Tercampak majalah ditangannya. Hampir sahaja mengenai cawan yang berisi air di depannya. Kalau tidak, dah menjadi satu kerja nak membersih waktu malam begini.

“Tak ada apa. Teringat dekat bakal kakak ipar muda.” Usik Indah. Manisa nampak muda. Seperti jauh benar beza umur mereka. Sedangkan jarak antara mereka hanya dua tahun sahaja.

“Indah suka dekat dia. Pandai dia layan budak-budak. Lepas ni, senanglah kerja abang.” Usik Indah lagi. Tiba-tiba Iqwan rasa berdebar bila diusik sebegitu. Dia tahu niat Indah hanya bergurau. Tetapi dia rasa lain. Betul ke Manisa bagus? Buta ke aku sampai tak perasaan semua tu?

“Jangan angau sangat. Sebulan je lagi.” Jantung Iqwan berdegup laju. Lagi sebulan dia bakal menjadi suami orang. Dia mula merasakan tanggungjawab yang bakal dia pikul kali ini agak berat. Macam mana kalau Manisa buat hal tak elok dekat sana? Dia bukan ada.

“Adik rasa, Manisa setia tak orangnya?” Iqwan memandang Indah dengan penuh tanda tanya.

“Kenapa? Takut ke? Itulah. Dah kata. Jangan angau sangat. Manisa tu boleh tahan lawa jugak. Adik yang perempuan ni pun rasa tergugat, lagi pula lelaki dekat luar sana.”

Iqwan tayang muka tak puas hati. Patutlah bukan main ramai lagi lelaki yang ajak dia keluar makan. Jadi tak senang duduk dia dibuatnya apabila mendengar kata-kata Indah. Cemburu ke? Mustahil.

“Itu abang jangan fikir sangat. Adik rasa dia okey. Tak pun, abang cuba istikharah. Minta petunjuk. Mungkin dia sebenarnya yang terbaik.” Pujuk Indah. Tahu rupanya nak cemburu. Aku ingat hati batu. Selama ni ramai nak berkenalan, dia boleh tolak macam tu je. Kali ini, biar dia rasa! Indah mula ketawa dalam hati. Nasiblah bang, dah tua baru nak bercinta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience