Bab 30

Family Series 2580

Manisa menyusun fail-fail yang penuh di mejanya. Sudah siap beberapa fail untuk dia semak termasuklah Projek Nilam. Fail-fail yang belum terusik diletakkan di satu tempat. Manakala yang sudah siap, dia susun rapi di sudut meja. Jadi memudahkan kerjanya nanti selepas masuk waktu rehat untuk menyambung kerja seterusnya. Melihat Qila yang tidak sabar-sabar berdiri di depan pintu pejabat melajukan gerak kerja Manisa.

Kak Azila berkali-kali menyuruh Qila bersabar sebentar dengan harapan Manisa dapat menyelesaikan kerjanya dengan baik. Dia tidak mahu kerana perbuatan Qila, Manisa terkocoh-kocoh buat kerja lalu tersilap menyusun fail-failnya. Bukan tidak pernah sebelum ini Manisa tersilap susun fail. Sudahnya satu pejabat dia pusing mencari fail yang belum selesai sebelum sampai ke tangan Encik Malek. Biarpun Encik Malek baik hati, namun dalam soal kerja, lelaki itu sangat tegas. Dia tidak mahu pekerja bawahannya melakukan kerja secara sambil lewa. Itu prinsipnya.

“Siap dah?” soal Kak Azila ketika melihat Manisa menghampiri mereka. Manisa hanya mengangguk laju lalu menarik kedua-dua sahabatnya itu keluar pejabat untuk rehat.

“Janganlah tolak-tolak, jatuh nanti cekak Korea aku ni.” ucap Qila separuh terjerit. Dorongan Manisa tidaklah begitu kuat, namun dek kerana kasut tumit tingginya itu, Qila jadi hilang imbangan. Mujur pegangan Manisa kuat, jadi dia masih mampu stabilkan dirinya.

Mereka bertiga berjalan laju meninggalkan perkarangan pejabat menuju ke kedai makan berhampiran. Pilihan mereka hari ini adalah kafe yang baru dibuka berdekatan dengan jalan masuk ke pejabat. Ramai rakan pejabat yang lain menyarankan kedai tersebut kerana menunya yang pelbagai serta sedap mengikut citarasa mereka.

Waktu rehat sebegini, sudah dapat diagak, pasti ramai yang datang ke kedai itu. Namun, disebabkan pejabat mereka hampir, jadi mudahlah mereka sampai sebelum pengunjung lain tiba. Sebaik sahaja mereka duduk, pelayan kedai makan itu segera menghulurkan menu lalu berpamitan sebelum mengambil pesanan dari meja lainnya.

Manisa meneliti menu yang tersedia. Selain bufet, kedai ini juga menyediakan khidmat masakan sesuai kehendak pelanggan berdasarkan menu yang tertera. Manisa memesan sepinggan makanan beserta air mineral. Begitu juga dengan Qila dan Kak Azila. Masing-masing memesan makanan berdasarkan menu yang ada.

Sementara menunggu pesanan mereka, Manisa perasan Qila sesekali menyinggul lengan Kak Azila seperti ada sesuatu yang mahu diucapkan. Seakan mengerti, Manisa membuka ruang untuk Qila memulakan bicara.

“Ada apa?” soal Manisa ramah.

“Tak ada apa.” Qila masih cuba berdalih. Matanya menghantar isyarat supaya Kak Azila yang membuka kata. Kak Azila berpura-pura tidak faham dengan isyarat Qila. Hampir tergelak Manisa melihat muka Qila yang sedang menahan rasa geramnya.

“Aku sebenarnya..”

“Aku…”

“Apa?” gertak Manisa separuh terjerit.

“Aku nak kahwin dengan kau! Eh. Aku nak tanya lain. Kau dah kahwin ke?” Soal Qila dalam nada melatah. Terkejut dia ketika digertak Manisa tadi.

“Hah? Kahwin?” Terkebil-kebil Manisa memandang wajah Qila, kemudian beralih ke wajah Kak Azila meminta penjelasan.

Kak Azila menghela nafasnya perlahan. “Macam ni. Masa Nisa tak ada minggu lepas, ada seorang lelaki datang. Dia tanya Manisa tak naik kerja lagi ke?” Kak Azila berjeda. Meminta Qila menyambung kata-katanya.

“Aku tanya la dia siapa. Dia cakap..” Qila kembali diam. Memandang wajah Manisa dengan riak serba salah.

Baru sahaja Qila hendak menyambung kata-katanya, makanan yang dipesan sampai ke meja mereka. Menjadikan perbualan tadi terhenti serta merta. Semua diam menikmati juadah selain mengejar waktu takut masa rehat berlalu dengan cepat.

Dalam perjalanan pulang ke pejabat, Qila cuba untuk bertanya sekali lagi. Namun segera dihalang Kak Azila. Katanya, mahu beri ruang kepada Manisa untuk buka mulut sendiri. Manisa hanya tergelak kecil. Aku nak buka mulut? Memang tidaklah.

Suasana kerja hari itu berjalan dengan sangat lancar. Manisa bebas berjalan ke sana ke sini tanpa perlu risau akan kehadiran Tuan Saif. Sudah dimaklumkan awal-awal lagi, Tuan Saif ke luar kota minggu ini. Mendengar sahaja perkhabaran itu, Manisa hampir sujud syukur di hadapan Encik Malek. Rasa beruntung sangat.

Melihat jam yang sudah menunjukkan sudah habis waktu bekerja, Manisa segera mengemas fail-fail yang bertaburan di atas mejanya dengan lebih rapi. Dokumen yang telah selesai diletakkan di atas meja Encik Malek bagi memudahkan kerjanya pada esok hari. Ketika melalui pantri pejabat, sempat Manisa mengerling jambangan bunga pemberian Tuan Saif kepadanya. Betapa banyaknya bunga yang dia terima, di pantri ada satu, di meja Qila ada. Di dalam tong sampah pun ada juga. Bunga yang sudah kering diletak elok di dalam bungkusan sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah. Manisa tidak fikir lama, dia terus keluar pejabat menuruni lif yang tersedia menantinya.

Sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat bawah, senyuman Manisa jadi melebar. Pertama kali dia melihat anak kecil itu di sini. Iman, buah hati pengarang jantung. Tidak tunggu lama, Manisa segera menuju ke arah Iman yang asyik melambai ke arahnya. Tidak dihiraukan pandangan orang sekelilingnya yang memandang Manisa dengan wajah aneh. Iyalah, mana ada yang tahu dia punya anak selain Encik Malek seorang. Kalau tidak, mana mungkin Encik Malek lantik Qila mengurus Projek Nilam bagi membantu Manisa. Prihatin benar Encik Malek kepada pekerjanya.

“Mommy!” jerit Iman sambil berlari ke arah Manisa. Dari jauh Manisa sudah nampak Syahira berdiri di samping kereta menanti kepulangannya.

Jeritan Iman nyata tidak hanya memecah sunyi, malah menarik perhatian Qila dan Kak Azila yang baru sahaja keluar dari perut lif.

“Dia panggil kau mommy?” soal Qila dengan nada sangat terkejut. Melihat Iman yang memeluk kaki Manisa, kemudian diangkat sambil digendong. Qila jadi makin terpana.

Manisa hanya menguntum senyuman.

“Ada benda yang aku nak cerita. Ikut aku nak?”pelawa Manisa kepada Qila dan Kak Azila.

*****

“Anak kau?” soal Qila dengan nada tidak percaya. Tangannya mencapai pipi Iman, lalu dicubit mesra sebelum menguntum senyuman manis. Manis di bibir, namun galau di hati. Satu realiti yang perit untuk dia telan.

Kak Azila memandang wajah Manisa dengan riak sedikit terkejut. Namun segera dia sembuyikan. Takut mengundang rasa tidak selesa kepada Manisa. dengan berhati-hati, Kak Azila membuka kata.

“Ayahnya?” perlahan sahaja dia bertanya. Khuatir juga sekiranya anak kecil itu tidak berayah. Bimbang akan mengguris perasaan Manisa pula.

Pandangan Manisa berubah sayu saat menatap wajah Iman. Benar, semua orang bertanyakan ayahmu. Macam mana Iman boleh membesar tanpa kasih sayang seorang ayah? Tidak adakah yang boleh terima hakikat bahawa dia sendiri sudah cukup untuk Iman. Masa depannya, kehidupannya, semua dia pertaruhkan demi Iman. Kenapa tidak ada yang melihat itu?

Manisa mengelus rambut Iman. Anak kecilnya itu terlalu muda untuk semua ini. Terlalu muda untuk menghadapi pandangan masyarakat. Dia tidak salahkan mereka, namun tidak bolehkah mereka beri dia sedikit kepercayaan? Lebih tiga tahun, dia sendiri bersama Iman. Tanpa suami di sisi, tiada siapa nampak? Memanglah tiada yang nampak. Abah, emak, Kak Mas, semua fikir selama ini dia duduk bersama Iqwan bukan. Tiada yang tahu kebenarannya. Tapi dia pasti, dia boleh.

“Dah nak dekat setahun, kami berpisah.” Ini kebenarannya. Manisa tidak pasti, seberapa lama dia mampu simpan sejarah hidup Iman dari semua orang. Sejarah yang mungkin tidak semua orang dapat terima.

Kak Azila menepuk tangan Manisa. Cuba memujuk hati Manisa yang sedang galau. Entah apa lagi ujian yang Manisa dah hadap sebelum ini.

“Tak ada apalah kak. Nisa okey je. Bekas suami Nisa pun okey.”

“Siapa kata saya okey?” Manisa menoleh. Begitu juga Qila dan Kak Azila.

“Awak buat apa dekat sini?” Manisa bangkit berdiri menghadap bekas suaminya, Iqwan. Dari celah mana pula dia muncul.

“Haa, mamat ni la yang cari kau hari tu. Dia kata, dia bekas suami kau.” Lancar Qila berkata tatkala menatap wajah Iqwan. Sempat dia membalas senyuman pemberian Iqwan kepadanya. Segak weh! Boleh cair. Bisik Qila dalam hati.

“Pembetulan. Saya calon suami Manisa.” Tingkah Iqwan sambil merangkul bahu Manisa. Namun tidak lama pendaratannya. Tangannya ditepuk kuat oleh Manisa.

“Kita dah tak ada pertalian. Jaga batas awak.” Mata Manisa mencerlung. Memberi amaran sekiranya Iqwan bertindak luar batasan sekali lagi.

“Jaga batas tu betul. Tak ada pertalian tu kurang tepat. Iman anak saya. Jangan lupa tu.” Manisa berdecit mendengar jawapan Iqwan. Sebab inilah dia mahu rahsiakan Iman dari Iqwan. Suka hati sahaja mahu mengaku ayah sedangkan kewujudan Iman pun dia baru tahu setelah perceraian mereka. Mudahnya dia berbicara.

“Ehem..” Kak Azila berdehem. Memberi isyarat bahawa dia masih ada di situ. Nampak segala apa yang berlaku.

“Akak, kenalkan. Ini bekas suami Manisa.” Sengaja ditekankan perkataan bekas. Dengan harapan Iqwan sedar diri. Tak faham bahasa agaknya mamat ni.

“Tapi bakal jadi suami awak semula.” Iqwan memberi penekanan. Dia tekad mahu mendapatkan Manisa semula. Kalau sebelum ini, dia tidak berani mengatakan suara hatinya, kini dia lebih yakin. Semua kerana Iman. Kerana Iman, dia lebih yakin untuk miliki Manisa semula.

“Tak. Awak tak faham. Antara kita dah tak ada apa.” Manisa cuba sekali lagi. Sekali lagi untuk beri Iqwan sebuah kesedaran. Kenapa lelaki ni susah nak faham? Nak aku cakap bahasa Tamil ke? Jangan cabar. Aku belajar nanti untuk kasi dia faham.

Manisa menarik Iqwan menjauhi tempatnya dan rakan yang lain. Memberi ruang privasi kepada mereka berdua. Kalau boleh, dia tidak mahu orang lain tahu betapa kusutnya hubungan mereka.

Tiba di satu kawasan lengang, Manisa berhenti. Mahu bertanyakan apa masalah Iqwan sebenarnya. Dalam hatinya, dia benar-benar berharap Iqwan terima hakikat bahawa hubungan mereka tidak akan ke mana.

“30 hari.” Iqwan berjeda. Memandang tepat ke anak mata Manisa.

“Beri saya 30 hari untuk dapatkan hati awak. Selepas dari itu, kalau awak masih tak boleh terima saya, saya akan pergi sendiri. Tanpa awak minta.” Iqwan mengetap bibir. 30 hari, sempat ke?

“Okey. Baik. Saya terima. Tapi jangan pernah letak harapan tinggi.” Cabar Manisa.

“Okey. Hari ni, hari pertama.” Manisa termangu. Eh, mudahnya dia diperangkap. Tak apa, lagi cepat, lagi bagus. Tak adalah aku hadap muka dia lama-lama.

Iqwan pergi meninggalkan Manisa. Kembali ke meja tempat rakan-rakan Manisa yang lain, memperkenalkan diri lalu mengambil Iman yang sedari tadi menanti kehadiran Iqwan semula.

“Mommy, Iman ikut abah. Bye.” Iman menyalami Manisa yang rakan yang lainnya sebelum berlari mendapatkan Iqwan. Sekelip mata, Iman sudah ada di tangan Iqwan. Dengan mudah Iqwan mendapatkan Iman darinya.

“Manisa, akak bukan nak kata apa. Pergilah dengan mereka. Mesti Nisa risaukan, anak ikut bekas suami. Akak faham. Tak apa. Pergi je.” Usul Kak Azila sebaik menangkap ekor mata Manisa yang tidak lepas mengekori anaknya dan Iqwan.

Dengan lemah, Manisa mengangguk. Lalu mengambil beg tangannya, meninggalkan rakan yang lain. Berat, kakinya sangat berat untuk melangkah, namun demi Iman, dia gagahkan juga.

Melihat bayangan Manisa yang semakin hilang dari pandangan, Qila memandang wajah Kak Azila dengan nada tidak percaya.

“Akak..” Qila menghela nafas sekuatnya.

“Drama apa kita tengok ni? Mula-mula dapat tahu Manisa dah pernah berkahwin, lepas tu ada anak. Sekarang ni, bekas suami dia ambil anak dia macam tu je. Akak, kesian Manisa.” Jelas riak wajah Qila sedikit kecewa.

“Lepas tu, akak biar je dia ikut bekas suami dia. Akak tak nampak ke? Itu taktik penculikan secara halus. Tak boleh biar ni, tak boleh biar. Kita kena tolong dia.”

“Kita dah tolong.” Jawab Kak Azila ringkas. Qila tayang muka kosong. Tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Kak Azila.

“Tolong apa kak? Tak nampak tadi Manisa macam terpaksa ikut lelaki tu?”

“Qila, perasan tak? Selama mana Tuan Saif kirim bunga, pernah tak Manisa terima?” Qila mengeleng. Tak pernah.

“Tapi ada sekali, Manisa letak jambangan bunga atas meja dia.” Mata Qila terbeliak mendengar pernyataan Kak Azila. Dia ingat peristiwa itu. Mana pernah Manisa terima sebarang bunga yang orang berikan. Tidak minat katanya.

“Akak rasa, lelaki tu, mamat misteri yang kita berdua pernah bincangkan. Akak rasa, sebenarnya Manisa dah terpaut hati semula pada bekas suami dia. Ataupun sebenarnya, rasa kasih dan sayang dia tu tak pernah hilang. Sebab tu, dia tak pernah sambut cinta Tuan Saif.” Qila memegang kepalanya tanda tidak percaya. Siapa nak percaya? Dalam satu hari, banyak sangat dia tahu. Qila menggosok-gosok belakang tengkuknya. Terasa hari ini begitu memenatkan baginya.

“Mungkin sebenarnya, ego Manisa lebih tinggi sampai dia tak sedar yang dia masih sayangkan bekas suami dia.” Tambah Kak Azila lagi. Dalam diam, dia dapat meneka begitu banyak. Tidak dinafikan, dengan pengalaman yang ada, Kak Azila begitu mahir dalam membaca riak wajah orang sekelilingnya. Sehinggakan ada yang menyangka bahawa dia seorang dukun.

“Betullah kak. Kenapa Qila tak nampak eh?”

“Sebab kau budak-budak lagi.” Balas Kak Azila sambil ketawa mengekek.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience