Bab 19

Family Series 2580

Manisa menelan dua biji Panadol yang diberikan Syahira. Air segelas yang dihidang bersama turut dihabiskan tanpa sisa setitik pun. Sudah dua hari dia demam. Semuanya gara-gara Iman. Dek kerana rindu yang melampau, naik demam dia jadinya. Iman , si anak bertuah itu pun satu. Bukan tahu nak telefon dia. Manisa mencebik. Aku pun boleh tahan degil juga. Bukan tak boleh telefon Iqwan sendiri. Zaman sekarang, mudah. Boleh buat panggilan bergambar. Tapi kerana ego, mati hidup semula dia tak mahu telefon Iqwan. Lagipula, kalau dia mahu nombor telefon Iqwan, dengan mudah Puan Marlia akan berikan. Tapi itulah, ego. Perempuan mana pernah salah!

“Telefon saja kalau rindu.” Manisa menjuihkan bibir. Menolak segala idea Syahira untuk berhubung dengan dudanya itu.

Naik berbuih mulut Syahira memujuk. Mana pernah Manisa dan Iman berpisah. Inilah pertama kali. Yang lebih menyakitkan hati Manisa, seronok benar Iman sampai lupakan dirinya yang sedang berduka di sini. Macam mana kalau lepas ni, Iman nak tinggal dengan Iqwan? Aku ibu dia, yang besarkan dia dari tapak kaki sebesar dua jari. Ayahnya yang baru dia jumpa juga yang buat dia betah.

Macam mana dia tahu? Setiap masa dia menunggu bekas mertuanya menghantar status gambarnya di media sosial. Betapa lebarnya senyuman Iman. Gembira yang teramat. Bukan dia tak suka Iman gembira, tapi dengan Iqwan, buat dia rasa tergugat. Aku dekat sini, sampai demam-demam, dia dekat sana, seronok main air dengan ayahnya.

Ting! Tong!

Laju Manisa menoleh. Iman ke tu? Laju sahaja dia meninggalkan Kool Fever dia dahinya. Disorok di ceruk paling dalam di bawah sofa yang dia duduki. Plastik ubat yang telan tadi turut disumbat bersama dalam sofa. Esoklah kemas. Perlakuannya sempat ditangkap oleh mata kasar Syahira. Laju dia memberi isyarat dua batang jari mahu mencungkil anak mata Manisa. Manisa hanya tersengih dalam kegerunan.

Sebaik sahaja pintu dibuka, terjengul wajah abang posmen menghantar barangan yang dipesan Syahira secara talian. Manisa jadi hampa. Dia kembali berbaring di atas sofa yang didudukinya. Sebelah tangannya mencapai semula Kool Fever yang dia sorok tadi. Hampir bergumpal ketika barang itu dikeluarkan dari dalam sofa.

Syahira mengeluh. Diletakkan tangannya di atas dahi Manisa. Masih panas. Bahangnya lain macam. Namun, Manisa terlalu degil. Tidak mahu ke klinik. Katanya, “Macam mana kalau Iman balik nanti?”

Sudahnya Syahira malas hendak bertekak. Nanti hilang suara Manisa, lagi susah dia nak faham bahasa isyarat Manisa yang tak ada panduan. Syahira membetulkan bantal yang berada di bawah badan Manisa. Risau juga kalau bila bangun nanti, Manisa sakit-sakit badan. Mata Manisa yang tadinya segar menanti Iman, semakin layu sebagaimana hilangnya mentari di kala senja.

*****

Manisa membuka matanya perlahan-lahan. Fikirannya seakan bercelaru. Dia memandang sekeliling. Kenapa semua ada dekat sini? Dalam pandangannya yang kelabu, dia nampak begitu ramai orang yang sedang melihatnya. Kemudian dia tersenyum. Wajah Iman yang semakin dekat dengannya dipegang kedua-dua belah pipi. Iman dah balik. Pandangan Manisa kembali kabur. Manisa kembali tertidur dengan tangannya memegang lemah wajah Iqwan. Ya, wajah yang Manisa sangkakan Iman itu sebenarnya Iqwan.

Biarpun pada awalnya Iqwan senang apabila Manisa tersenyum memandang wajahnya, namun bunga-bunga di hatinya menjadi layu ketika mendengar nama Iman yang terpancul dari mulut Manisa. Tak apalah. Biar Iman sepuluh kali dari lelaki lain. Tak mungkin dengan anak sendiri pun nak cemburu. Iqwan mengelus lembut pipi Manisa. Rindunya dia pada wajah manis itu. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia kucup setiap ruang wajah Manisa melepaskan segala rindu yang ada.

Syahira berdehem sambil menghampiri katil Manisa bersama Iman. Sengaja dia mahu memberi amaran kepada Iqwan agar tidak bertindak di luar kawalan. Biarpun dia rindu, Iqwan perlu ingat status mereka berdua. Duda dan janda. Tidak lebih dari itu.

“Dah berapa hari dia demam?” soal Dr. Khairi sambil membetulkan dripping Manisa. Sejujurnya, bukan itu niat sebenar dia di situ. Soalan yang dia tanyakan pun hanya sekadar wayang sahaja. Dia sebenarnya mahu mengetahui hubungan Manisa dengan lelaki di samping wanita itu. Kekasih hati Manisa ke?

Selama ini tidak pernah Manisa berkongsi kisah hidupnya dengannya sepanjang tempoh perkenalan mereka. Ya, sejak tempoh Manisa hantar sahabatnya ke klinik itu, dia berusaha menjejaki Manisa, dan dengan sengaja mendekati wanita. Bukan dia mahu mengapa-apakan Manisa, cuma dia mahu pastikan Manisa adalah orang yang tepat. Jadi, tidak salah bukan jika dia ingin tahu status diri Manisa. Jika sudah berpunya, tidaklah nanti dia tersilap langkah. Semua ini merupakan langkah berjaga-jaga.

“Dua hari. Makan tak lalu. Kerjanya tidur sahaja.” Jelas Syahira. Berharap benar demam Manisa tidak melarat. Sudah puas dia nasihat sahabatnya itu, namun penyakit degil keturunan memang sukar dibuang.

“Lepas habis air ni, boleh ambil ubat dekat luar. Tapi tunggu dia sedar dulu la. Dia letih sangat ni. Ada meracau-racau ke?” soal Dr. Khairi lagi.

“Meracau tu tak adalah. Cuma dia mula tidur berjalan semula. Kalau perasan, sempatlah tahan. Kalau tidak, depan pintu tempat dia tersidai.” Syahira memegang tangan Manisa lembut. Kawannya ini, benar-benar seperti anak kecil jika di jatuh sakit. Sangat memerlukan perhatian. Anak bongsu bukan?

“Jangan bagi dia stres. Itu salah satu punca demam dia melarat.” Jelas Dr. Khairi sambil matanya melirik ke arah Iqwan. Hatinya kuat menyatakan lelaki itu ada kaitan dengan demam Manisa. Bukan main risau lagi lelaki itu duduk di samping Manisa, mana mungkin teman biasa. Jadi tak senang duduk Dr. Khairi melihat situasi di hadapannya.

Iqwan yang dari tadi mendengar seakan mengerti. Dia tiba-tiba teringat peristiwa Manisa meracau selepas majlis kenduri kahwin mereka. Mana mungkin dia lupa, kainnya hampir tertanggal ditarik Manisa. Malunya satu hal, naik sakit badan pun satu hal. Manisa, memang penuh dengan kejutan. Mungkinkah ketika itu Manisa stres dengan perkahwinan mereka sehingga dibawa ke alam mimpi? Jadi kali ini sebab apa? Imankah atau dia? Namun yang pasti, dia tahu satu perkara. Iman insan terpenting dalam hidup Manisa. Kalau tidak, mana mungkin sampai demam.

Jadinya, kalau dia mahukan Manisa kembali, dia perlu dapatkan tempat di hati Iman. Itu semestinya. Iqwan menguntumkan senyuman. Membayangkan dia dapat bersama semula dengan Manisa selepas ini. Pastinya Manisa tidak dapat menolak sekiranya Iman meminta Iqwan menjadi ayahnya semula.
“Hoi, jangan seronok sangat. Manisa tengah sakit sekarang ni.” Sergah Syahira. Bukan dia tidak suka Iqwan, cuma dia dapat rasakan akan ada hal lain yang dirancang lelaki itu buat Manisa. Nasib kawan aku dapat bekas suami macam ni.

*****

Tuan Saif Haziq bergegas masuk ke klinik sahabatnya apabila dimaklumkan khabar mengenai Manisa. Sedaya upaya dia cuba menghabiskan mesyuaratnya petang itu. Untuk meninggalkannya begitu sahaja, itu bukan cara dia bekerja. Dia cuba bertindak secara profesional. Mendapat berita Manisa jatuh sakit, buat fikirannya tidak fokus dengan topik perbincangan sewaktu mesyuarat tadi. Namun, sedikit sebanyak dia cuba untuk menangkap isu-isu penting yang berbangkit. Itulah yang menjadikan dia lambat tiba di klinik Dr. Khairi.

“Kau lambat. Dia baru balik. Dengan kawan dia.” Ujar Dr. Khairi sambil mengemas mejanya yang dipenuhi dengan fail pesakit. Sengaja dia letak banyak fail di atas meja untuk menyusun semula ke dalam laci mengikut perincian yang dia mahukan. Mujur petang ini, tidak ramai yang mengunjungi kliniknya. Setakat seorang dua, dia boleh minta rakan kongsinya untuk merawat pesakit yang hadir.

Tuan Saif Haziq berdecit. Rasa hampa kerana tidak dapat dia menemui Manisa. Sudah seminggu dia tidak melihat bayang gadis itu. Boleh gila bayang dibuatnya bila diberitahu keberadaan Manisa tadi, betapa girangnya hati dia. Tapi, bila sudah sampai, Manisa pula sudah pulang. Tuan Saif Haziq menongkat pipinya dengan sebelah tangan. Tangan sebelah lagi mengetuk meja Dr. Khairi yang bersepah. Otaknya ligat memikirkan cara untuk menemui Manisa. Kalau boleh, dia mahu pertemuan mereka tidak ketara seperti disengajakan.

“Sekejap.” Dr. Khairi tiba-tiba bertempik. Hampir terjatuh Tuan Saif Haziq dibuatnya. Kenapa dia ni?

“Kau kenapa?” jerit Tuan Saif Haziq kembali. Dia masih terkejut dengan tempikan sahabatnya itu.

“Kau buat muka macam tadi tu.” Dr. Khairi membetulkan kedudukan Tuan Saif Haziq seperti sebelumnya. Saif Haziq yang masih kebingungan hanya menurut tanpa melawan.

“Sama.” Muka Dr. Khairi kagum. Dia kemudian mengubah kedudukan Tuan Saif Haziq mengikut keinginan hatinya.

“Pun sama.” Dia mengubah lagi. Seperti patung figura lagaknya Tuan Saif Haziq ketika ini mengikut rentak Dr. Khairi. Entah apa yang bermain di fikiran lelaki itu.

“Kau pernah terfikir tak sebenarnya kau ada anak tapi kau tak tahu pun kewujudan dia?” soal Dr. Khairi dengan nada serius. Wajah Tuan Saif Haziq yang awalnya sedikit penat berubah apabila mendengar soalan sahabatnya itu.

Dr. Khairi tersengih.

“Aku gurau je. Jangan serius sangat.” Ucap Dr. Khairi apabila melihat wajah Tuan Saif Haziq menjadi pucat lesi. Niatnya yang mahu menyakat kawannya itu jadi terbantut.

“Kau cakap sekali lagi.” Arah Tuan Saif Haziq.

“Aku gurau?”

“Tak. Sebelum tu.” Dr. Khairi berkerut. Dia memikirkan kata-katanya sebelum ini. Banyak yang aku cakap. Yang mana satu?

“Kau datang lambat?”

“Bukan. Yang muka sama.”

“Oh itu? Tadi, masa Manisa datang, ada budak kecil ikut sekali. Muka dia sama macam kau bila buat muka bosan. Macam tadi tu la.” Dr. Khairi meletakkan kedua tapak tangannya mengikut bentuk wajah Tuan Saif Haziq. Lalu dikecilkan sedikit, sebelum diletakkan ke atas udara.

“Muka kau. Versi kecik.” Sambungnya lagi. Kemudian dia tergelak kecil. Ada juga yang seiras wajah Tuan Saif Haziq.

“Tak. Masalahnya sekarang ni, kau kenapa?” soal Dr. Khairi apabila menyedari sahabatnya mendiamkan diri untuk waktu yang agak lama.

“Kau pernah terfikir tak, dalam banyak-banyak dosa aku yang dulu, mungkin sebenarnya membuahkan hasil.” Dr. Khairi keanehan. Otaknya seakan gagal berfungsi secara tiba-tiba. Maksudnya apa tu?

“Aku pernah terlanjur, Khai. Bukan sekali. Berkali-kali aku buat dosa tu. Tak mustahil kan?” Kini giliran Dr. Khairi pula untuk mendiamkan diri. Dia masih tertanya-tanya. Teka-teki apa pula Haziq bagi petang-petang begini? Sungguh otak aku jammed macam situasi lebuhraya ketika ini.

“Entah-entah aku dah ada anak?” Tawa Dr. Khairi meletus. Apa dia mengarut ni?

“Kau cuba rasional sikit. Macam mana kau boleh terfikir macam tu? Okey, kita tak menolak kemungkinan kau ada anak. Tapi dalam banyak-banyak, kenapa pula budak yang aku baru sebut tadi, kau kata anak kau.”

“Aku tak kata budak yang kau sebutkan tu anak aku.”

“Kau tak ada kata? Eh, jadi kenapa aku cakap macam tu? Sekejap. Eh, aku peninglah.” Dr. Khairi memegang kepalanya. Seakan mahu pecah rasanya.

“Semua ni kebetulan ke?”

Tuan Saif Haziq dan Dr. Khairi saling berpandangan. Kedua-dua bingkas bangun. Laju sahaja mereka mengemas meja Dr. Khairi yang tadinya bersepah. Dalam sekelip mata, semuanya sudah kemas. Mereka kemudiannya bergegas keluar dari ruangan bilik rawatan menuju ke kereta untuk meneruskan perbincangan mereka yang tadinya tersangkut.

Dalam fikirannya mereka penuh dengan persoalan. Benarkah kanak-kanak yang disebut Dr. Khairi itu anak Tuan Saif Haziq? Jadi apa hubungannya dengan Manisa?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience