Bab 28

Family Series 2580

Mastura sibuk melayani suaminya sementara Manisa melayani anak-anak kecil yang duduk di sampingnya. Malam itu, rumah Pak Derus begitu meriah biarpun dengan hanya kehadiran dua anak kecil. Sesekali Manisa membantu seisi rumah menambah lauk-pauk yang ada. Hanya lima orang dewasa, namun makanan yang terhidang begitu banyak sehingga Manisa rasakan seperti ada tetamu yang ingin hadir pada malam itu. Makan besar nampaknya keluarga Pak Derus malam ini.

Dalam kelekaan Manisa melayan keletah Tasya dan Iman, sempat dia mencelah perbualan ahli keluarganya yang lain. Sedang asyik Manisa menuangkan air untuk Kak Mastura, tiba-tiba Pak Derus berdehem kuat, menarik perhatian seisi keluarga yang ada di situ.

“Esok Nisa pulang ke sana?” soal Pak Derus meminta kepastian. Manalah tahu Manisa ambil cuti lagi untuk duduk di kampung. Manisa mengangguk mengiyakan pertanyaan abahnya. Mulutnya tidak mampu bersuara kerana penuh dengan makanan. Manisa memang begitu, kalau lauk kegemarannya, memang tidak ada ruang untuk mulutnya berhenti mengunyah. Sedaya upaya Manisa menelan segala isi di mulutnya.

“Nisa balik tengahari esok. Kenapa abah?”

“Tak ada apa. Makan. Makan lebih-lebih sikit. Muka tu dah cengkung dah abah tengok.” Pak Derus menghulurkan mangkuk berisi ayam sambal merah kepada Manisa. Manisa menyambut huluran beserta senyuman lebar. Suruh habiskan ke ni? Aku okey je.

“Kamu tidur sini ke malam ni Mas?” soalan kali ini tertuju kepada Kak Mastura pula. Sempat Kak Mastura memandang wajah Abang Syamil mendapatkan kepastian sebelum memberikan jawapan.

“Balik kot. Sebab malam ni, Abang Syamil nak siapkan kerja dia. Tasya nak ikut balik ke nak tinggal rumah atok?” soalan Mastura berpindah kepada Tasya pula. Tasya yang masih kecil, bingung apabila diberi pilihan sebegitu. Mahu pulang, bimbang tidak dapat bermain dengan Iman pula. Sudahlah Iman mahu pulang esok. Mahu tinggal, tapi dia rindukan rumahnya.

“Kakak Tasya tinggal sinilah. Esok mama dengan papa datang ambil. Okey?” usul Abang Syamil sebaik melihat anak kecilnya itu gagal membuat keputusan. Sengaja Syamil meminta Tasya tinggal. Jadi dia ada masa lebih untuk berduaan dengan isterinya. Lagi pula, dia bukan tinggalkan anaknya dengan mertuanya. Tasya tinggal dengan Manisa. Biar Manisa rasa menjaga anak ramai. Mana tahu lepas ni, ada tambah lagi.

“Tadi petang, Iqwan datang semula ke?” soal Pak Derus sambil memandang wajah Abang Syamil. Sengaja dia tidak mahu tujukan soalan kepada Manisa. Bimbang anaknya itu berasa kurang selesa.

“Haah. Dia ambil barang dia yang tertinggal. Katanya untuk kerja.” Jawab Abang Syamil ringkas. Manisa hanya mengangguk perlahan dalam diam. Dah tahu penting, gatal nak tinggalkan buat apa. Getus hatinya.

“Patut ada ‘anak gajah’ berlari petang tadi.” Tiba-tiba Mak Temah bersuara. Dengan wajah keanehan, semua memandang Mak Temah meminta jawapan termasuk Manisa. Ada anak gajah lalu depan rumah ke?

“Anak gajah, lepas jumpa kekasih hati. Malu bukan main. Lari masuk bilik. Bergegar rumah dia buat.” Tanpa perlu meneka, semua sudah dapat mengagak maksud di sebalik kata-kata Mak Temah. Perli aku ke tu? Mata Manisa tajam merenung nasi di pinggan. Kalau nasi ni Iqwan, memang dah lama kena tikam dengan aku. Emak ni pun satu, ada je cara nak kenakan aku.

“Patutlah beria lari. Baru lepas jumpa pujaan hati. Orang kata apa? Lelaki kiriman Tuhan.” Tambah Abang Syamil. Sengaja menambah perisa dalam cerita Mak Temah. Bukan selalu dapat menyakat adik iparnya yang seorang ini.

“Abang Syamil!” Manisa memberi isyarat amaran melalui mata. Sengaja cari pasal dia ni.

Ancaman Manisa hanya berbalas senyuman mengejek dari Abang Syamil dan Kak Mastura. Itulah, orang lain sibuk nak berpasangan, kau sibuk nak hidup seorang. Tadah saja telinga bila kena perli.

“Tadi tu, Nisa nak pergi tandas. Sebab tu berlari. Bukan sebab apa. Ni bukan sengaja reka ya.” Awal-awal Manisa memberi amaran. Ini bukan sengaja reka? Memang kau reka pun. Kalau betul nak ke tandas, tak adanya kau lari masuk bilik. Ini semua gara-gara ayat Iqwan. Sebaik sahaja Manisa masuk ke dalam bilik, dia segera meninggalkan baju Iqwan lalu dilihat ke dalam cermin. Memang benar kata Iqwan, bajunya ketika itu memang boleh nampak bahagian dalam. Semua salah Kak Mastura menariknya ke dalam air. Kalau tidak, masakan dia jadi sebegitu malu.

“Itu kenapa muka merah-merah tu? Teringat bekas suami dia lagilah tu.” Usik Kak Mastura lagi. Manisa ketap gigi sekuatnya. Naik malas melayan usikan keluarganya malam ini. Semua dah mula pakat mengenakannya dengan Iqwan. Sebenarnya, ahli keluarga ni aku ke Iqwan?

“Dah lah. Jangan cakap lagi. Nisa nak makan. Nanti tak ada selera macam mana? Siapa nak habiskan semua ni?” Ugut Manisa.

“Kita panggil abang duda kita datang.” Mastura menambah sebelum menambahkan air ke dalam cawannya dan Manisa. Senyum meleret dia malam itu tatkala dapat mengusik Manisa.

*****

Manisa duduk santai di luar rumah malam itu mengambil angin sepoi-sepoi bahasa. Sedang asyik dia menikmati angin malam, Kak Mastura datang mengambil tempat di sebelahnya. Abang Syamil masih lagi berborak panjang dengan Pak Derus. Entah apa yang dibicarakan, Manisa tidak mahu ambil pusing. Sesekali ada perkataan yang tertangkap di telinganya seperti pancing, joran dan hujung minggu. Mungkin abah mahu bepergian memancing lagi bersama Abang Syamil. Fikir Manisa.

“Termenung sampai nak tembus bulan tu kau buat, dik.” Kak Mastura menolak Manisa sedikit untuk mengambil tempat di buaian sebelah Manisa. Manisa menjeling penuh maksud. Hatinya masih bengkak dengan usikan Mastura sewaktu makan malam tadi. Kali ini, apa pula agenda kakaknya yang seorang ini? Sudahlah kakak cuma seorang, perangai tak boleh bawa bincang.

Melihat Manisa diam seribu bahasa, Mastura berdehem. “Kau merajuk ke dik?”

Sempat Mastura membuat gaya muka di depan Manisa. Ini kalau bukan fikir kakak, memang makan penampar minah ni. Manisa tahan geram. Mastura sengaja mahu menyakitkan hatinya.

“Tak merajuk. Marah.” Jawapan Manisa membuatkan Mastura tersengih kelat. Serba salah pula jadinya.

“Saja je usik. Lepas ni tak buat dah.” Mastura seakan mahumembuat ikrar. Manisa angkat kening. Boleh percaya ke?

“Apa jaminannya?”

“Kalau kau dah kahwin, aku tak usik lagi.” Manisa mencebik. Atas persyaratan sebegitu, Manisa jadi lemah. Kenapa semua tak boleh terima dia seadanya? Kenapa perlu paksa dia berkahwin? Aku bahagia sendiri.

“Akak bukan nak atur hidup kau. Cuma akak tak mahu, satu hari nanti kau menyesal. Sementara sempat ni, kau carilah pasangan hidup. Akak tak kata kau kena kahwin dengan Iqwan. Dengan sesiapa pun boleh. Asalkan kau bukan sendiri.”

Mastura jeda. Mengambil nafas.

“Kami tak ada niat nak paksa kau. Kau berhak ke atas kehidupan kau. Tapi, kau kena faham. Ibubapa mana yang nak tengok anak mereka hidup sendiri. Akak faham sangat apa yang abah dengan mak fikir. Lebih-lebih lagi abah. Dia kalau boleh, dia nak kau ada tempat untuk berpaut. Tempat untuk kau kembali bila kau rasa penat dengan dunia ni. Tempat yang paling tenang untuk kau, keluarga. Kami semua memang keluarga kau, tapi tak akan selamanya kami ada. Andaikan satu hari nanti, bila mak dengan abah dah tak ada, kalau hubungan kita renggang, pada siapa kau kembali dik?”

Manisa menghela nafas sedalamnya. Masih ligat berfikir jawapan yang tepat untuk dia berikan pada ketika ini.

“Ada sebab kenapa Nisa tak mahu terima sesiapa. Nisa dah pilih jalan ni, Nisa tak mahu libatkan sesiapa. Kalau boleh, biar Nisa yang tanggung sendiri.”

“Kalau itu pilihan kau, akak tak halang. Cuma, kalau betul, pasti dengan pilihan ni. Nasihat Iqwan untuk tinggalkan keluarga kita. Dia dah banyak berkorban untuk keluarga kita. Sampai sekarang dia masih kirim duit untuk mak dengan abah. Puas dah abah tolak, tapi dia tetap kirim setiap bulan. Abah tak mahu terhutang budi. Tapi pada masa yang sama, dia dah anggap Iqwan macam anak dia sendiri. Kau faham kan? Dari dulu abah nak anak lelaki. Anak lelaki yang dia ada sekarang, cuma Abang Syamil. Kalau betul kau dah tekad dengan pilihan kau, beritahu abah.”

Kak Mastura bangkit dari tempat duduknya kemudian menghampiri Abang Syamil. Tidak lama kemudian, dia meminta izin untuk pulang ke rumahnya. Tasya hanya melambai ke arah mama dan papanya sebelum mengajak Iman kembali bermain bersama. Senang sungguh dia dengan kehadiran Iman. Agaknya, bagaimana gelagat Rania dan Riana sewaktu Iman ikut Iqwan pulang ke rumah mereka tempoh hari? Apakah sebegini akrab hubungan mereka?

*****

“Ada lagi ke barang yang belum masuk dalam kereta?” soal Pak Derus sambil tangannya sibuk mengangkat bagasi Manisa ke hulur hilir. Mak Temah yang melihat gelagat suaminya naik pening. Diletakkan bungkusan lauk pauk ke dalam kereta Manisa di tempat duduk belakang. Lauk kegemaran Iman juga tidak lupa dimasak sekali pagi tadi. Awal pagi sudah dia bangun untuk memasak bekalan buat Manisa. Katanya, nanti singgah RnR, tidak perlu berbelanja lebih buat beli makanan. Semua sudah dia bungkuskan.

“Awak kalau tak ada kerja, duduk diam dekat sini. Saya nak letak barang dalam kereta ni pun susah dengan awak halang jalan.” Mak Temah mula melancarkan perang dengan Pak Derus. Mendengar itu, Pak Derus tayang muka tidak puas hati. Dia mula berdiri di depan Mak Temah, menghalangi perjalanan Mak Temah. Mak Temah ke kiri, dia ikut ke kiri, bila Mak Temah ke kanan, dia turut ikut ke kanan. Seperti kanak-kanak gayanya. Benar-benar menguji kesabaran Mak Temah.

“Awak kalau saya tolak, jangan mengadu sakit badan malam nanti. Saya tak mahu urut.” Ugut Mak Temah. Baru sekali ugutan, Pak Derus tidak meneruskan usikannya lagi.

Manisa hanya mengeleng melihat gelagat kedua orang tuanya. Di dalam hatinya berasa cukup senang. Dikurniakan sebuah keluarga yang bahagia, penuh dengan senda tawa. Dia amat berharap segala nikmat ini tidak ditarik sebaliknya dikuatkan lagi hubungan sesama mereka.

Manisa mengangkat segala barangan yang perlu dibawa pulang ke rumahnya. Masih tinggal beberapa barang yang belum dimasukkan. Beg kecil Iman paling terakhir dimasukkan kerana perlu diletakkan berhampiran dengan Iman bagi memudahkan pencarian sekiranya Iman meragam ketika di dalam perjalanan pulang. Biarpun Iman jarang meragam, namun Manisa masih mahu mengambil langkah berjaga-jaga. Sediakan payung sebelum hujan, fikirnya.

Selesai meletak semua barang ke dalam kereta, Manisa menyalami kedua orang tuanya. Iman juga turut mengikut langkah ibunya itu. Setakat ini, Iman mudah mengikut ajarannya. Sebab itu Manisa paling pantang jika ada yang mengajarnya perkara yang bukan-bukan. Iman ibarat kanvas putih, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik Iman menjadi seorang insan yang baik. Itu janjinya dulu.

Manisa memandu kereta keluar dari perkarangan rumah. Iman yang duduk di kerusi sebelah tidak henti-henti melambai ke arah datuk dan neneknya. Seronok benar percutiannya kali ini. Mungkin selama ini Iman berasa sunyi keseorangan di rumah. Tanpa kawan bermain, sudah tentu Iman berasa terkongkong. Manisa mengeluh berat. Maafkan mommy, Iman. Mommy tak mahu sesiapa rampas Iman dari mommy. Kalaupun perlu kita jadi pelarian, mommy sanggup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience