Bab 24

Family Series 2580

Manisa meletakkan beg bajunya di atas lantai tangga. Berat sungguh beg yang dia bawa kali ini. Maklum, cuti kali ini dia ambil agak lama. Penangan demam sewaktu ketiadaan Iman, terus Encik Malek meluluskan cutinya yang masih berbaki banyak lagi. Kata pengurus atasannya, hati yang sakit perlu dirawat. Bercutilah kalau perlu. Bagai mengantuk disorong bantal, terus petang itu juga Manisa isi borang cuti. Tinggallah Syahira sendiri di rumah mereka. Itu pun sementara sahaja kerana wanita itu juga mahu pulang ke kampung halamannya. Jadi Syahira tidak begitu rumit, kampungnya tidak jauh. Terletak di Klang, hanya mengambil masa beberapa jam untuk sampai. Lainlah Manisa, perlu merentas beberapa negeri untuk pulang ke rumah.

Baru sahaja sekali Manisa memberi salam, kepala Pak Derus terus terjengul di depan pintu. Dia dengan berkain pelikat separas pusat, elok memegang sebilah parang dengan tangan kirinya. Cukup Manisa tahu, apa kegiatan ayahnya ketika itu. Sudah tentu dikerah emaknya untuk kupas buah kelapa bagi membuat kerisik pesanan jiran tetangga. Emak memang rajin bersedekah benda—benda sedemikian. Katanya, benda percuma Nisa, kenapa nak berkira?

“Sampai dah cucu Atok.” Pak Derus meletakkan parangnya ke tepi. Kemudian turun menyusuri anak tangga, memeluk Iman seraya mencapai beg pakaian yang Manisa bawa. Manisa segera menghulurkan salam sebelum ikut membuntuti ayahnya menaiki tangga. Walaupun sudah tua, kudratnya masih ada. Manisa merasa bersyukur atas nikmat yang diberikan ketika itu. Kesihatan kedua orang tuanya ketika ini merupakan satu anugerah yang tak ternilai baginya.

“Lama cuti kali ni?” Soal Mak Temah. Soalan yang biasa dia tanya setiap kali Manisa pulang. Dalam fikirannya sudah memikirkan menu-menu masakan yang ingin dia sajikan buat anak bongsunya itu. Terutamanya Iman, satu-satunya cucu lelaki yang dia punya. Mastura, anak sulungnya masih dengan anak tunggal perempuannya. Tidak mahu menambah katanya. Dia kata cukuplah satu. Kalau ramai nanti, takut tak terjaga. Sedangkan Mak Temah cukup tahu perangai mastura yang liat makan ubat-ubatan jika sakit. Inikan pula jika berpantang, memang cukup culas anak sulungnya itu mendengar nasihatnya sepanjang tempoh berpantang.

“Lama juga. Seminggu. Kak Mas mana mak?” soal Manisa sambil menjenjangkan lehernya seperti burung bangau lagaknya. Mencari sosok kakaknya, sekalian mencari kelibat anak saudara perempuannya itu. Sudah masuk umur lima tahun, namun masih takut untuk mendekatinya. Mungkin Manisa tidak ada di depan matanya sewaktu tempoh dia mengenali ahli keluarga. Sejujurnya Manisa agak terkilan apabila mengenangkan hal itu, namun segera dia lupakan kerana tidak mahu menjadi belenggu yang bersarang di hatinya.

“Lamanya. Macam orang nak kahwin.” Seloroh Mak Temah. Pak Derus yang mendengar ucapan Mak Temah sempat jeling-jeling memberi erti kepada isterinya itu supaya menjaga percakapannya. Bimbang sekiranya Manisa terasa hati dengan tuturnya yang tidak berlapik.

“Memang pun. Manis nak jumpa kawan-kawan lama. Azie dah nak kahwin dah mak. Hujung minggu ni. Dia ada jemput. Dekat dalam telefon.” Jelas Manisa. Azie merupakan rakan sekelasnya dahulu sewaktu di zaman persekolahan. Mereka tidaklah begitu rapat, namun cukup mengenali antara satu sama lain. Azie merupakan antara rakan kelasnya yang boleh dikategorikan sebagai cantik dari segi rupa parasnya. Azie ada menjemput mereka satu kelas pada bulan lepas. Minggu lepas, sempat dia mengingatkan majlis perkahwinannya di dalam media sosial kepada rakan-rakan yang lain.

Awalnya, Manisa niat tidak mahu hadir. Namun dek kerana desakan rakan kelas yang lain, dia akhirnya terpujuk. Dia tahu sebenarnya niat mereka beria mahu dia hadir adalah untuk mengorek rahsia status perkahwinannya ketika ini. Maklum, berita dia sudah berstatus janda sudahpun tersebar bukan setakat di perkampungannya, malah di kampung sebelah juga. Jadi tak hairan jika ramai yang ingin mengetahui khabarnya pada waktu ini. Ah, pedulikan semua itu Manisa. Kalau dia tanya apa-apa, kau tayang je muka anak kau. Yang penting anak kau kacak.

“Cakap pasal Azie, dia ada hantar kad jemputan. Lain benar muka dia sekarang. Mak hampir tak cam muka dia.” Maklum Mak Temah sambil menghulurkan kad jemputan perkahwinan Azie dan pilihan hatinya. Bersungguh-sungguh Azie tidak mahu beritahu siapa lelaki pilihan hatinya. Namun, diberi juga kad jemputan. Ingat aku tak kenal ke?

Manisa membuka balutan sampul yang diberi. Membaca nama pasangan mempelai. Azira Natasya binti Marzuki dan pasangannya, Iqwan Hakim. Terkebil-kebil mata Manisa membaca tulisan di atas kertas itu. Eh, itu nama laki aku. Manisa menggosok-gosok matanya. Betul ke yang aku baca ni?

“Siapa mak nama pengantin lelakinya?” Manisa menghulur kembali kad jemputan Azie kepada Mak Temah.

“Kan kau yang baca tu. Kenapa bagi mak?” dalam bebel Mak Temah, dia sambut juga kad dari tangan Manisa.

Dengan kuat dia membaca. “Nazri. Nama dia Iqmal Nazri. Ini anak tok penghulu kampung sebelah. Kawan kamu lah. Tak ingat ke?”

Manisa kerut dahi. Iqmal? Bukan Iqwan. Manisa mengambil semula kad jemputan dari tangan Mak Temah. Dibaca dengan berhati-hati. Iqmal Nazri. Betullah apa yang emaknya kata tadi. Mana datang nama Iqwan Hakim? Manisa jadi senyum sendiri. Penat sangat agaknya aku ni. Senyumnya yang mekar tadi tiba-tiba mati. Iqmal ni macam aku kenal. Aku macam selalu dengar nama dia. Tadi betul ke dia kawan aku masa zaman sekolah dulu?

“Dah. Tak payah dok belek kad tu. Pergi masuk bilik sana. Kemas apa yang patut. Iman tu penat berjalan jauh. Abah nak pergi kait buah kelapa ni.” Celah Pak Derus sambil berlalu pergi. Sempat dia mengambil semula parangnya yang dia letak di tepi dinding sebelum menyambut kepulangan Manisa tadi.

“Kelapa muda?” soal Manisa. Soalannya tidak berjawab. Sebaliknya Pak Derus hanya mengangguk, mengiyakan tebakan Manisa. Manisa hanya senyum ke telinga. Dia tahu, ayahnya itu tidak pernah lupa akan minuman kegemarannya setiap kali pulang ke kampung. Air kelapa sirap. Tanpa disuruh, Manisa segera menyimpan barangannya dibilik sebelum berlari anak mengejar Pak Derus. Iman yang melihat gelagat ibunya turut ikut sama berlari mengikuti Manisa.

“Manisa jangan lari. Bergegar rumah abah. Rumah kayu ni dah lama Manisa.” jerit Pak Derus memecahkan suasana. Berhambur tawa Manisa beserta Mak Temah. Sudah lama mereka tidak mendengar laungan Pak Derus yang begitu takut rumahnya roboh dek ulah Manisa. Kalau dulu Manisa sahaja, sekarang dia perlu terima bahawa bertambah satu lagi insan yang perlu dia omeli, Iman.

*****

“Dik, bila kau sampai?” soal Kak Mastura sewaktu turun di perkarangan rumah. Melihat Manisa yang sedang berlari-lari mengejar Iman di laman rumah, senyumnya sudah melerat hingga ke telinga. Benarlah kata orang kampung, keluarganya itu memang murah dengan senyuman. Lebih-lebih lagi Manisa.

“Pagi tadi kak. Awal pagi Nisa dah gerak dari rumah sana. Ni belum rehat pun lagi. Iman pun sama. Dia tunggu Kakak Syaza dia sampai. Kata nak main sama.” Sempat Manisa mengisyaratkan supaya Iman mendekatinya. Seperti yang dijangka, Iman datang dengan membawa sebiji bola untuk bermain bersama Syaza.

“Ini akak datang singgah je. Tak tidur sini pun. Abang Syamil kata dia nak balik kampung.” Ujar Mastura sebelum menguntum senyuman.

“Agaklah la kak. Kampung Abang Syamil tu sekangkang kera je kak. Lintas sempadan, dah kampung sebelah. Cara cakap macam jauh benar.” Manisa ketap bibir menahan geram. Mastura memang begitu. Mana ada yang serius dalam percakapannya.

“Alah kau ni. Akak nak ber feeling pun tak boleh. Kau tahu tak dik, sepanjang akak kahwin dengan abang Syamil, mana pernah merasa jammed. Nak pasang lagu raya balik kampung pun, baru pasang, lagu belum habis lagi dah sampai rumah mak dia.” Kak Mastura senyum kelat. Satu kenyataan yang agak lucu padanya.

Sebenarnya, Abang Syamil merupakan orang dari kampung sebelah. Rumah orang tuanya betul-betul di sempadan kampung sebelum memasuki perkampungan tempat keluarga Manisa. Kebetulan pula, Abang Syamil ada beli sebidang tanah di hujung kampung ini. Jadi dia bina rumah di atas tanah yang dia beli. Sudahnya, rumah dia dan Kak Mastura betul-betul di sempadan kampung sebelum memasuki kampung sebelah. Yang menariknya, rumah orang tua Abang Syamil juga begitu. Jadinya, sebaik sahaja melepasi kampung ini, rumah pertama yang dijumpai adalah rumah orang tua Abang Syamil. Kiranya, Abang Syamil jiran kampung sebelah dengan ayahnya. Fuh, rumit benar kalau nak diterangkan secara geografi.

“Syaza malam ni, tinggal sini. Abang Syamil kata dia nak pergi memancing. Dia ajak akak sekali. Jadi, mana boleh Syaza ikut. Kau jaga anak saudara kau ni. Malam ni aku nak berdua je dengan abang kau.” Manisa mencebik. Untunglah bersuami. Malam ada yang teman. Bisik Manisa dalam hati. Tak berani hendak diluahkan. Kalau disebut, mahu berbalik semula tohmahan padanya. Siapa yang suruh bercerai? Sudah semestinya setepek dia dimarahi kak Mastura.

“Itulah. Akak rasa, dah tiba masanya kau cari pengganti Iqwan. Yang lepas tu, biarlah lepas. Iman tu perlukan ayah. Sampai bila nak biar dia membesar tanpa kasih sayang seorang ayah? Akak nasihat je. Kau dah besar. Pandai-pandai fikir ya.” Sempat Mastura tepuk bahu Manisa sebelum menaiki anak tangga mencari sosok Mak Temah. Di tangannya digenggam kemas bungkusan untuk ibunya itu. Mungkin Mastura ada masak-masak sedikit di rumahnya sebelum ke sini, fikir Manisa.

Namun bukan itu yang menjadi perhatian Manisa. Sebaliknya kata-kata Mastura. Sudah banyak kali dia mendengar kata-kata seperti itu. Tidak pernah sekali pun dia terasa hati. Cuma kali ini, ucapan Mastura benar-benar menusuk hatinya. Sama seperti lima tahun yang lepas. Saat Mastura menyarankan dia untuk berkahwin. Ilmu apalah yang Mastura pakai sehingga percakapannya begitu mudah menyentuh hati Manisa. Ada benarnya apa yang Mastura katakan. Dia perlu bersedia untuk suatu tempoh jangka masa panjang. Bagaimana jika tindakannya sekarang mempengaruhi masa depan Iman? Dia kalau boleh tidak mahu merosakkan masa depan Iman. Tapi apa dayanya?

*****

“Mommy, malam ni Kakak Syaza boleh tidur sekali?” soal Iman dalam nada memujuk. Sudah akrab dirinya dengan sepupunya yang seorang itu. Kalau boleh tidak mahu berenggang walaupun sedetik. Iman, awak kena ingat. Awak tu anak teruna, Syaza tu anak dara. Jangan sampai kupinangkan Kakak Syaza kau dengan bismilah. Dah berbesan aku dengan Kak Mastura.

Jawapan Iman dibiar tak berjawab. Orang tua-tua kata, diam tanda setuju. Melihat reaksi Manisa seakan tidak membantah, Iman jadi mengerti bahawa ibunya itu membenarkan Syaza tidur bersama mereka malam itu. Segera dia membawa bantal kecil ke dalam bilik. Diletakkan bantalnya di tengah-tengah antara Manisa dan Syaza. Iman dengan senang hati baring menghadap Manisa sebelum memeluk ibunya seperti bantal peluk lagaknya. Manisa seakan pasrah dengan perlakuan Iman. Anak bujang cuma seorang, apalah yang dia tak mampu tunaikan.

“Syaza, sini baring dekat dengan Mak Su.” Panggil Manisa ketika melihat Syaza hanya berdiri di muka pintu. Apa yang dia takutkan dengan Manisa, dia sendiri tak tahu. Syaza hanya diam menurut. Perlahan sahaja dia berjalan menuju ke arah katil tempat perbaringan Iman dan Manisa. Dari gayanya, nampak begitu kekok ketika berhadapan dengan Manisa. Amboi, tadi petang, bermain sakan dengan anak aku, tak ada pula nak kekok. Ni dengan maknya, tiba-tiba kekok pula. Tipikal anak muda zaman sekarang ya kau, Syaza.

“Syaza kenapa? Nak ibu ke?” soal Manisa lembut. Dalam nada Manisa yang lembut, air muka Syaza sudah mula berubah. Seperti hendak menangis gayanya. Dah kenapa?

“Kenapa menangis pulak? Mak Su tak buat apa pun. Mak Su garang ke?” Syaza mengeleng laju. Dah tu?

“Ibu kata, kalau Syaza degil, ibu nak suruh Mak Su bawa Syaza duduk dengan Mak Su.” Melopong Manisa mendengar alasan Syaza. Dasar Kak Mas, kau hasut anak kau benda bukan-bukan ya. Patutlah setiap kali Syaza terpandang wajahnya, Syaza seakan mahu menangis. Rupanya ini alasan kenapa dia sebegitu rupa.

“Mana ada. Syaza degil ke? Tidak bukan? Mak Su tak akan bawa Syaza kalau Syaza tak nak ikut. Cuba tanya Iman, Mak Su garang ke?” Mendengar ucapan Manisa membuatkan Syaza agak yakin untuk betah dengan Manisa. Ingin ditanya kepada Iman, adakah Mak Sunya garang, namun Iman sudah pun lena dibuai mimpi. Sudahnya dikuburkan niatnya. Syaza turut baring di sisi Iman sebelum menutup matanya yang sudah berat.

Manisa yang melihat Syaza dan Iman lena tidur hanya tersenyum lega. Sekurang-kurangnya, Iman mendapat tempat di dalam keluarganya. Tidak terasing mahupun disisihkan. Manisa sangat bersyukur dengan penerimaan keluarganya terhadap Iman. Manisa bangkit dari perbaringan lalu berjalan ke luar bilik. Tekaknya terasa haus tiba-tiba. Dia ingin mendapatkan segelas air sebelum tidur.

Manisa perlahan-lahan berjalan menuruni anak tangga menuju ke ruangan dapur. Risau juga abah dan emaknya terbangun mendengar derapan kakinya. Maklum, rumah kayu memang selalu berkeriuk apabila ada kaki yang berjalan. Dengan berhati-hati Manisa memegang rel tangga supaya tidak tersungkur. Dengan bantuan cahaya samar dari mentol kecil, Manisa berjalan menuju ke peti ais mengambil air dingin. Malam begini, dia terasa bahang. Mungkin hendak hujan, fikir Manisa.

Sedang elok Manisa meneguk air masak, dia perasan ada kelibat yang berlalu di belakangnya. Manisa diam. Perlahan dia menelan air yang masih tersisa di cawannya. Gulp!

Dalam keberanian yang tinggal hanya sedikit, Manisa gagahkan diri untuk menoleh. Hampir tersembur Manisa dibuatnya melihat sosok tubuh di depannya ketika ini. Kerana tindakannya yang gopoh, Manisa tersedak air masak. Dalam kekalutan menahan perit tersedak, Manisa tertolak botol berisi air dingin yang penuh ke lantai. Manisa cuba menangkap botol yang terjatuh, namun akhirnya dia juga turut terjatuh sama. Sudahnya, Manisa bermandikan air dingin malam itu. Dalam hatinya penuh kekesalan ketika ini. Kalaulah aku tak turun minum air tadi.

“Manisa, apa yang bising ni?”soal Mak Temah dari tingkat atas. Kepalanya terjengul dengan rambut yang sudah disimpul rapi. Jelas Mak Temah baru bangun dari tidurnya pada malam ini.

“Betul-betul kena tangkap basah kau ni, dik.” Kak Mastura ketawa mengekek melihat Manisa yang sudah kebasahan bermandian air dingin.

“Bukan orang lain. Bekas suami dia sendiri.” Sambung Abang Syamil pula ketika masuk dari pintu belakang dengan sebatang joran di tangannya. Bibirnya tak lekang mengukir senyuman.

Iqwan yang dari tadi hanya memerhati hanya tersengih melihat wajah Manisa yang sudah masam mencuka. Pandai juga si muka manis ni tarik wajah masam.

*****

Manisa menarik kerusi untuk duduk bersama seisi keluarga. Matanya yang mengantuk tadi kembali segar apabila bermandikan air dingin dari dalam peti ais. Semua ini gara-gara Iqwan yang tiba-tiba masuk ke dalam rumah untuk meletakkan hasil tangkapannya pada malam itu. Tahulah Manisa ke mana hilangnya Pak Derus malam itu. Mati-mati dia ingatkan abahnya sudah masuk tidur awal. Rupanya dia ikut sama memancing. Pulang ke rumah jam dua pagi, dengan sembunyi-sembunyi seperti lagak pencuri. Katanya tidak mahu bangunkan isi rumah. Memang dia tak bangunkan isi rumah, tapi Manisa sendiri yang kejutkan Mak Temah dengan bunyi bising di dapur.

Semua ini gara-gara Iqwan. Pandai abahnya berjanji dengan bekas menantunya itu untuk ikut serta bersama Kak Mastura dan Abang Syamil pergi memancing. Sejak bila minat memancing? Setahu Manisa, abahnya kurang minat untuk benda-benda sebegitu. Dulu setiap kali Manisa teringin makan udang galah, Pak Derus terus ke pasar untuk beli. Tak ada istilah pancing udang, apatah lagi ikan.

Pemikiran Manisa jadi terhenti. Kenapa abah memancing sekali dengan Iqwan? Mamat ni tahu ke aku balik hari ni? Setahu aku, tak ada siapa yang tahu sehinggalah aku tiba di sini. Mamat ni stalk aku ke?

“Abah dah lama janji dengan Iqwan nak memancing. Abang Syamil kau pun, dia kan suka memancing. Itu abah ajak sekali.” Suara Pak Derus memecah sunyi pada pagi buta itu.

“Nisa tak kata apa pun.” Balas Manisa dingin. Sedingin tubuhnya ketika ini dek kerana air sejuk yang menyimbah.

“Awak jangan marah abah. Abah tu dia..”

“Saya cakap dengan awak ke?” laju sahaja Manisa memotong bicara Iqwan. Aku tengah tak ada mood ni. Jangan sampai kau aku terkam, Iqwan. Tajam pandangan Manisa menikam wajah Iqwan. Mati kutu Iqwan dibuatnya.

"Tak. Dengar ni. Saya tak tahu pun awak balik. Kalau saya tahu, saya tak datang. Saya datang lain kali je. Masa saya sampai tadi, abah tak cakap apa pun.” Iqwan cuba membela diri. Di hadapan Manisa, semua seperti menanti hukuman mandatori. Tersalah cakap, mahu dipancung rasanya.

“Kalau tak ada apa, saya balik dululah.” Iqwan menolak kerusi tempat dia duduk. Bersiap-siap untuk pulang.

“Pagi-pagi buta macam ni? Bahayalah. Tidur je sini.” Ujar Pak Derus. Dalam gerunnya, dia masih berasa kasihan kepada bekas menantunya. Memang benar kata Iqwan. Dia memang tidak tahu apa-apa. Sengaja Pak Derus menyembunyikan kepulangan Manisa. Khuatir Iqwan membatalkan rancangan mereka untuk memancing udang galah. Pak Derus tahu itu kegemaran Manisa. Mana tahu lembut hati Manisa apabila dia tahu udang itu, Iqwan yang pancing. Tidak pula dia sangka begini jadinya. Keras sungguh hati Manisa.

“Tak apalah bah. Lagipun ada Manisa. Apa pula orang lain kata.” Iqwan seakan membawa rajuk di hati. Terluka benar gayanya ketika ini.

“Kata apa? Bukan duduk bilik saya pun.” Manisa tiba-tiba bersuara. Dalam keras hatinya itu, terselit juga kerisauan. Pagi-pagi begini, dengan penat memancing lagi, mana mungkin dihalaunya tetamu yang datang. Lagi pula, itu tetamu abah. Abah tuan rumah. Jadi abah ada hak untuk mengundang Iqwan bermalam di rumahnya.

“Tapi saya selalu tidur bilik awak kalau balik sini.” Sebaik sahaja bait kata itu ditutur, Iqwan tersedar akan kesilapannya. Tak perlu terlalu jujur rasanya. Niatnya sebenarnya ingin memberitahu bahawa barangannya disimpan di dalam bilik itu. Disebabkan dia selalu melawat bekas mertuanya, barang-barangnya ada yang ditinggalkan di bilik Manisa.

Manisa yang mendengar kata-kata Iqwan memandang wajah Pak Derus dengan jelingan maut. Kenapa mamat ni tidur dalam bilik Manisa?

“Dulu kan kamu suami isteri. Jadi bila Iqwan datang, abah suruh je dia tidur bilik kamu. Takkan tidur sekali dengan abah?”

Manisa merengus. Tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan Pak Derus. Abahnya itu, memang sengaja membela menantu bongsunya itu. Tidak, bekas menantu bongsu. Noktah. Manisa bingkas bangun menandakan dia mahu masuk tidur. Iqwan ikut sama bangun mengikut Manisa menaiki anak tangga.

“Nak ke mana?” soal Manisa risau. Mana tidak risaunya, buatnya Iqwan salah masuk bilik, naya dibuatnya.

“Saya nak masuk biliklah. Tumpang bilik TETAMU.” Sengaja Iqwan tekankan perkataan tetamu supaya Manisa tidak salah sangka. Sempat dia menangkap gerakan Manisa yang seakan terhincut-hincut menaiki anak tangga.

“Awak ni kenapa?”

“Sakitlah. Tadi saya jatuh kan?” Manisa cuba mengingatkan Iqwan kembali kejadiannya sewaktu tergelincir ketika menyelamatkan botol air dari terjatuh. Iqwan seakan teringat kembali.

“Habis tu, nak dukung ke?” Iqwan buat gaya seperti hendak mencempung Manisa.

“Tak payah.” Manisa seakan mahu backhand Iqwan. Mamat ni, sekali aku tumbuk, hijau mata dia. Menggedik tak tentu pasal. Manisa cuba berjalan laju menjauhi Iqwan. Dengan menahan sakit di bahagian pinggulnya, makin pelik gaya dia berjalan.

“Sakit sangat ke?” soal Iqwan sekali lagi.

“Sakitlah.” Suara Manisa seakan ditahan menjawab soalan Iqwan. Sekali lagi kau tanya, memang mendapat hadiah malam ni.

“Nak saya urut ke?” bisik Iqwan perlahan ke telinga Manisa. Meremang bulu roma Manisa mendengar soalan Iqwan. Dari nada suaranya, Manisa yakin lelaki itu berada dengannya. Terlalu dekat sehingga dia boleh mendengar hembusan nafas Iqwan.

Belum sempat Manisa menjawab, Iqwan sudahpun berlalu pergi menuju ke bilik tetamu. Sempat Iqwan menghadiahkan sekuntum senyuman buat Manisa sebelum dia memasuki bilik. Sengaja dia mahu mengusik Manisa. Memandangkan Manisa tidak boleh berjalan laju, memang dia ingin mengambil kesempatan. Mengusik sambil mengurat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience