Bab 9

Family Series 2580

Mastura memandang adiknya yang laju menelan makanan. Laju seperti tiada hari esok untuk makan lagi. Dia tahu nasi lemak memang kegemaran adiknya. Tapi entah kenapa perangai Manisa dirasakan lain macam. Bukan dia tak perasaan. Sejak adiknya berkata mahu berkahwin, Mastura mula perasaan yang Manisa mula berubah dari hari ke hari. Adiknya semakin kuat berahsia. Tidak banyak bercakap seperti selalu. Dan yang paling penting, adiknya akan selalu menghadapi telefon bimbit di waktu malam. Bukan dia tak tahu adat orang bercinta, cumanya yang dilihat dari Manisa, sangatlah lain. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan.

“Lapar benar. Kau baru habis bersukan ke dik?” tegur Mastura.

Manisa mengangguk laju. Ya, dia memang berasa terlalu lapar. Seperti orang yang baru habis bersukan. Padahal kerjanya hari ini cumalah mengelap pinggan mangkuk yang digunakan semasa majlisnya semalam. Tapi penatnya terasa seperti mengangkat seekor anak gajah. Okey, mungkin sedikit hiperbola. Tapi itulah yang Manisa rasa.

“Semalam malam pertama kau lain macam ya dik.” Ujar Mastura separa berbisik. Suapan Manisa jadi terhenti. Kenapa ya?

“Kenapa? Ada orang menghendap ke semalam?” Manisa berasa gugup. Takut ada ahli keluarga yang curi-curi mendengar perbualannya dengan Iqwan malam tadi. Perbincangan yang sangat penting mengenai cara mereka melepaskan diri dari ikatan perkahwinan ini. Inikah yang dimaksudkan Mastura? Malam pertama yang dimulakan dengan perbincangan mengenai perceraian mereka berdua?

“Tak perlu kot sampai nak menghendap. Laki kau sendiri yang buka pintu.” Manisa tarik muka keanehan. Aku buat apa? Baru sahaja dia mahu buka mulut, tiba-tiba Iqwan menyenggol bahunya. Manisa segera menoleh. Eh, mamat ni bila masa sampai?

“Tak ada apalah. Kita anggap apa yang terjadi malam tadi, tak pernah berlaku.” Bisik Iqwan. Manisa jadi terpinga-pinga. Tak pernah berlaku? Segala apa yang kita rancang sebelum ni? Jadi betullah apa yang aku mimpi semalam. Mamat ni ada rancangan nak tinggalkan aku. Ini tak boleh jadi! Jerit hati Manisa.

“Eh, tak boleh. Setiap apa yang terjadi itu sangat bermakna. Awak tak boleh buat lupa. Awak kena ingat. Sebab awak dah janji nak simpan semua memori kita bersama.” Sengaja Manisa tekankan perkataan janji. Jangan buat lupa ya, Encik Iqwan.

Mastura tergelak melihat telatah adiknya. Punya bagus suami kau nak lupakan perangai kau malam tadi, kau boleh suruh dia ingat. Memang sengaja nak malukan diri.

“Bahagian mana yang saya lupa? Part awak tarik kain saya malam tadi ke?” usik Iqwan. Dia tahu Manisa tak makan usik-usikan tahap budak tadika. Jadi sengaja dia bangkitkan isu malam tadi. Kita dah suruh lupakan, dia yang suruh ingat balik.

“Wow, ganas kakak Manisa kita malam tadi. Aumm!” usik Mastura pula sebelum dia bangkit mengambil pinggannya untuk dicuci. Manisa kosong. Dia memang tak faham. Dia memandang Iqwan meminta penjelasan.

“Tak payahlah awak tahu. Ini hal orang dewasa,” pujuk Iqwan sambil menyuakan nasi lemak ke mulutnya. Melayan Manisa? Mahu tak makan dia hari ini. Kerja mengemas masih belum selesai. Dalam pada itu, tangannya sempat menggosok kepala Manisa seperti menggosok kepala anak kecil perlakuannya. Manisa menepis marah. Dah berahsia, lepas tu cari pasal. Ada makan penumbuk mamat ni.

“Kalau awak nak rasa aman, jangan cari pasal dengan saya,” ujar Manisa dengan nada serius. Dia tak main-main. Dek kerana tidak cukup tidur, Manisa memang cukup emosi kebelakangan ini. Jangan pandang rendah pada kuasa tidur. Ia amat penting bagi Manisa.

Iqwan tergelak kecil. Saiz mini macam ni, ada hati nak ugut orang.

*****

“Ya, dia buat hal lagi malam tadi. Meraung bagai nak gila peluk kaki laki dia.” Riuh Mak Temah bercerita. Sambil-sambil itu, tangannya laju menyusun atur periuk belanga yang sudah pun dibersihkan semalam. Niatnya, mahu memulangkan semua periuk itu kepada ketua blok mereka. Hidup berjiran ini mudah. Di kampung mereka, sudah ada pakatan yang mengumpul dana untuk membeli peralatan memasak untuk majlis perkahwinan. Jadinya, ibu bapa pengantin tidak perlu lagi mengeluarkan dana untuk membeli peralatan memasak. Hanya tinggal sahaja pinjam kepada pakatan yang dikelola oleh ketua blok. Jadi, setelah peralatan memasak dibersihkan, Mak Temah akan memeriksa barangan yang dipinjam cukup sebelum dipulangkan.

“Yang pelik tu, lepas mak dia renjis air, bukan bangun pun. Dia tidur semula.” Tambah Pak Derus. Manisa yang terasa ada berita sensasi mula mencuri dengar. Tak mungkin dia terjah sebegitu sahaja. Malu bila dilihat ahli keluarga terdekat yang lainnya. Dia kalau boleh tak mahu digelar minah kaki gossip. Tapi hal macam ini, mana mungkin dia lepaskan peluang.

“Tak menahan, kain pelikat laki dia, nak tercabut kena tarik. Punya kuat dia tarik. Sampai terpaksa diheret sebab nak buka pintu bilik.” Mereka yang mendengarnya hanya tergelak. Manisa yakin. Ada hal yang tak beres semalam. Tidur mati benar aku ni sampai tak tahu apa jadi semalam. Ada yang gaduh ke?

“Tak penat ke senget badan macam ni.” bisik Iqwan dari belakang. Dari tadi dia perasaan Manisa terjengket-jengket di sebalik pintu. Hendak keluar tidak, tapi gaya macam nak berperang. Tak padan dengan badan kecik, cari pasal aje kerjanya.

Manisa menoleh memandang Iqwan. Segera memberi isyarat menyuruhnya memperlahankan suara. Ini saat penting. Aku nak tahu mereka cerita mengenai siapa.

“Kalau nak tahu sangat, awak pergi la sana. Saya dah tahu cerita ni.”ujar Iqwan seraya mengangkat badan Manisa seperti patung mannequin di kedai, lalu diletak diluar rumah. Lagi Manisa naik angin. Cari pasal dia ni. Manisa tunjuk penumbuk kepada Iqwan. Iqwan tergelak. Dia kemudiannya mengeluarkan penumbuknya lalu ditunjuk depan Manisa. Manisa gelak secara paksa. Besarnya penumbuk dia. Segera dia bandingkan kepalan tangannya dengan tangan Iqwan. Serupa saiz tangan budak tadika.

Manisa memegang tangan Iqwan. Dibuka kepalan yang dibuat lalu diletak tangan lelaki itu di sisi. Simpan ya tangan tu. Besar sangat.

“Allahu, sakitnya mata tengok pengantin baru ni mesra depan pintu.” Seloroh Syamil sedikit menjerit. Suaranya yang kuat menarik perhatian orang lain yang sibuk mendengar cerita. Semua mata memandang ke arah Manisa dan Iqwan. Manisa jadi malu. Segera dia tunduk tanda hormat lalu berlalu masuk ke dalam rumah semula.

‘Ish, Abang Syamil ni. Sikit lagi aku nak tahu dia orang tengah cerita pasal siapa.’ Monolog Manisa sendiri. Tangannya secara sambil lalu mencapai kuih lopes dan terhidang di atas meja makan, lalu disuap ke dalam mulut. Sakitnya hati kita!

Kemudian dia duduk di tempat pinggan mangkuk dan cawan-cawan yang digunakan semalam untuk majlisnya. Masih banyak yang belum berlap. Belum apa-apa Manisa jadi putus asa. Banyaknya. Bila boleh siap ni?

“Jangan mengeluh. Kita buat sama-sama. Lama-lama habis la. Kalau awak mengeluh tapi tak buat apa, kerja memang tak akan siap.” Iqwan mencuit hidung Manisa. Layanannya terhadap Manisa tak ubah seperti cara dia melayan anak-anak saudaranya. Mana mungkin dia kan jatuh hati pada gadis seperti Manisa. Mustahil.

“Dah jangan merungut. Kita mula sekarang.” Ajak Iqwan. Manisa hanya menurut. Kalau di melawan pun, apa dia mampu buat. Ini semua hasil dari majlis kahwinnya sendiri. Pandai kahwin, pandai kemas! Itulah kenapa Manisa berkeras mahu majlisnya dibuat sesederhana mungkin. Bayangkan kalau majlis segemilang anak-anak orang ternama, bagaimana mahu mengemas rumah?

Manisa tergelak sendiri. Kau persoalkan kemampuan orang berada Manisa. Mereka buat majlis menggunakan khidmat katering. Kau bukan dalam lingkungan itu. Namun Manisa tetap bersyukur. Biarpun penat mengemas, namun majlis yang diadakan secara rewang ini sebetulnya dapat mengeratkan lagi hubungan sesama jiran dan sanak saudara. Bila lagi mahu berkumpul kalau bukan waktu sebegini. Sambil-sambil menyediakan juadah, kita dapat berkenalan dengan saudara mara yang baru memasuki keluarga kita. Contohnya suami aku, kalau pergi kenduri saudara, mesti orang tanya anak siapa. Masa inilah mak aku akan kata, inilah suami Si Manisa. Manisa jadi senyum simpul. Kau barangan apa ni Manisa? Tak sempat pun dia ikut pergi kenduri saudara mara, dah kena jadi duda kau.

“Semalam tu, masa atas pelamin, ada perasan tak?” Manisa tiba-tiba berbisik. Iqwan membuat wajah aneh. Kenapa dengan semalam?

“Semalam saya perasan. Ada ramai mata-mata yang asyik telek muka awak macam nak telan. Saya syak mereka berkenan dekat awak.” Jelas Manisa. Iqwan tergelak. Namun dia cuba menahan dari kedengaran orang lain. Cemburu ke Manisa?

“Kalau awak berkenan, beritahu saya. Nanti balik Malaysia saya boleh pinangkan.” Eh, ke situ pula dia. Hai cik adik manisa, saya masih suami awak yang sah. Berhenti ingatkan saya mengenai perkahwinan kita yang tarikh luputnya belum habis lagi. Tak sabar sungguh nak jadi janda aku. Janda siapa? Janda Si Iqwan.

“Jangan main-main. Saya tinggalkan awak nanti.” Ugut Iqwan. Air muka Manisa berubah. Eh, mamat ni. Dah tak boleh diajak bergurau. Cuba bawa bertenang. Aku cuma mengusik. Sampai hati nak tinggalkan aku. Patutlah semalam aku mimpi dia dah pack baju sendiri.

“Habis tu, awak pergi seorang diri? Tinggalkan saya dekat sini? Awak dah janji nak bawa saya keluar.” Pujuk Manisa separa merengek seperti anak kecil. Musnah harapan aku. Habis kita kahwin ni untuk apa? Kau sedaplah lepas kahwin boleh sambung belajar. Aku? Masih di sini terperap.

“Eh, awak cakap pasal apa ni? Saya cakap pasal balik rumah saya. Rumah mama. Jangan macam tu sayang, kalau awak tak ikut saya ke UK, siapa nak suapkan saya makan?” Iqwan cuba mengusik. Manisa ni, mudah benar salah sangka.

“Oh, cakaplah. Tapi balik rumah mama pun tak boleh tinggalkan saya. Saya nak kacau si kembar tu. Riana dengan Raisa kan? Comel.” Manisa cuba mengingat gelagat mereka. Hanya rumah Iqwan yang punya anak kecil. Nak harapkan Kak Mastura? Katanya dia tengah buat perancangan keluarga. Entah bila zaman mak abah nak dapat cucu.

“Comel macam pak long dia.” Manisa terkedu mendengar respon dari Iqwan. Lambat dia menoleh ke arah Iqwan. Tak salah dengar kan? Segera Iqwan mengerdipkan matanya ke Maninsa. Manisa jadi kegelian.

Sabar. Seminggu sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience