Bab 20

Family Series 2580

Iqwan menyuakan sudu bubur ke mulut Manisa. Dengan pandangan sinis, Manisa menolak. Aku ada tangan, aku boleh suap sendiri. Ini kenapa nak bersiap-suap, aku bukan budak kecil. Manisa merampas sudu dari Iqwan. Diambil mangkuk bubur di sisinya. Laju sahaja dia menyuap bubur ke mulut. Sekejap sahaja, sudah habis semangkuk dia telan. Puas?

“Kenapa dekat sini lagi?” soal Manisa dingin.

Iqwan senyum hambar. Entah apa salahnya, tiba-tiba disambar petir amarah Manisa. Dia sendiri bingung. Baru kali ini dia dilayan dingin oleh Manisa. Wanita yang selama ini dia kenal dengan perwatakan manis, tiba-tiba berubah menjadi bongkah ais yang seakan susah dicairkan.

Iqwan menghulurkan ubat beserta air kepada Manisa. Manisa telan liur. Dia tidak suka makan ubat. Namun dek kerana ego, di depan Iqwan juga dia kunyah ubat itu seakan tiada rasa pahit. Sejujurnya, dia rasa sesak dengan kehadiran Iqwan. Kehadiran lelaki itu sungguh menggugat perasaannya ketika ini. Dia dapat rasakan, bila-bila masa sahaja Iqwan boleh ambil Iman darinya. Persaingan yang diwujudkan Iqwan tanpa sedar sungguh buat Manisa rasa gerun. Tidak dapat dia bayangkan hidup tanpa Iman.

“Kalau awak tak sihat, biar saya bawa Iman balik semula ke Johor?” usul Iqwan tanpa menyedari situasi yang dia alami ketika ini. Hakikatnya, dia punca Manisa demam. Dan kini dia mahu ambil Iman sekali lagi? Boleh sakit jiwa Manisa dibuatnya.

“No.” Tegas Manisa. Dia tidak akan benarkan Iman terpisah dengannya lagi.

“Kenapa?”

“Iman anak saya.”

“Iman anak saya juga.” Iqwan cuba menegakkan fakta.

“Saya yang jaga dia dari kecil. Saya yang besarkan dia. Saya tak izinkan awak ambil dia dari saya.” Manisa bertegas. Kalau mahu bertegang urat sekalipun, dia sanggup. Dari berjauhan dari Iman, separuh jiwanya seakan hilang.

“Tapi saya ada hak. Iman anak saya.” Iqwan masih tidak putus asa untuk meminta haknya sebagai ayah kepada Iman Haziq.

“Dia bukan anak awak. Dia anak orang lain.” Iqwan terpempam. Sampai sebegitunya Manisa cuba menidakkan status dirinya dalam hidup Iman. Sungguh, dia berasa sangat kecewa. Apa yang membuat Manisa berubah sehingga sebegini.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, tolong keluar dari rumah saya.” Manisa membetulkan bantal di perbaringannya. Memberi tanda dia mahu beristirehat. Kalau boleh, dia tak mahu melihat wajah Iqwan ketika ini.

Iqwan perlahan-lahan keluar dari bilik Manisa. Wajahnya yang kecewa sebolehnya cuba disembunyikan.

*****

Tuan Saif Haziq memerhati dari jauh kawasan perumahan Manisa. Tidak perlu Dr. Khairi tunjukkan arah, sebenarnya dia sudah lama tahu rumah gadis itu. Cuma dia belum berpeluang untuk menjemput Manisa dari rumah. Kalau tidak, sudah tentu dia tidak perlu bersusah payah memerhati dari jauh rumah Manisa di sebalik pokok-pokok yang ada di kawasan perumahan itu.

Dr. Khairi yang setia menemannya dari tadi sedaya upaya memujuknya untuk pulang. Risau juga jika sahabatnya itu ditemui penduduk sekitar sedang mengintip anak dara orang. Mahu dikejar dengan kayu cota.

“Kau tahu tak, ini semua kerja tak beretika. Bercanggah dengan tugas aku sebagai seorang petugas perubatan.”

“Siapa kata kau tak beretika? Ada kau beri alamat dia pada aku? Tak ada. Aku sendiri yang berinisiatif curi data dia dari klinik kau.” Jujur sahaja pengakuan Tuan Saif Haziq. Ya, dari mana dia dapat maklumat Manisa, semuanya dari klinik Dr. Khairi. Kalau tidak, mana mungkin dia boleh bertindak sejauh ini.

Dr. Khairi menepek dahi. Penat dia beri nasihat. Tidak mahu didengar. Bukan setakat itu, dia buat andaian tak berasas pula selepas itu. Siapa tidak sakit hati?

“Kau duduk diam. Aku tak akan puas hati selagi tak tengok dengan mata kepala aku sendiri muka budak tu.” Saif Haziq beri amaran. Tangannya kemas memegang teropong, menuju ke arah rumah Manisa. Namun pemerhatiannya terhenti apabila melihat sosok tubuh yang lainnya. Iqwan? Apa dia buat di sini? Di rumah Manisa?

“Itu ke budaknya?” soal Tuan Saif Haziq apabila dia melihat ada anak kecil berlari-lari memeluk kaki Iqwan. Dari jauh, raut wajah kanak-kanak itu tidak begitu jelas kelihatan. Jadi dia sendiri tidak pasti dengan apa yang dia lihat.

Dr. Khairi yang dari tadi hanya berbaring, bingkas bangun apabila disoal mengenai anak kecil yang menjadi punca dia situasi begini. Dia mengecilkan matanya. Cuba untuk fokus terhadap wajah anak kecil itu. Kemudian dia mengangguk memberi isyarat bahawa itulah kanak-kanak yang dia sebutkan tadi.

Melihat dari reaksi Dr. Khairi, Tuan Saif Haziq segera ke tempat duduk belakang. Mengarahkan Dr. Khairi mengambil tempat memandu.

“Kau bawa kereta. Lalu depan rumah tu. Aku nak tengok dengan lebih dekat. Jangan bawa laju-laju.” Arahnya sebelum mengemaskan kedudukannya di tempat belakang. Kaca kereta yang berwarna hitam memudahkan kerjanya memerhati dari dalam.

Dr. Khairi hanya menurut arahan dari sahabatnya itu. Perlahan sahaja dia memandu melalui kawasan depan rumah Manisa. Sedaya upaya dia cuba membantu Tuan Saif Haziq untuk mencari tahu identiti anak kecil itu.

Melalui kawasan depan rumah Manisa membuatkan jantung Tuan Saif Haziq berdegup kencang. Bukan kerana dia melalui kawasan rumah pujaan hatinya, namun kerana dia melihat wajah anak kecil itu. Sama sepertinya. Adakah benar tekaannya? Dia punya anak? Tapi anaknya dengan siapa?

Wajah Tuan Saif Haziq berubah pucat lesi. Menyedari riak wajah Saif Haziq, Dr. Khairi segera membawa kereta keluar dari kawasan itu. Bimbang sekiranya berlaku sesuatu yang tak diingini terhadap sahabatnya itu.

“Dia anak aku, Khai.” Lembut sahaja tutur bicara Tuan Saif Haziq. Air matanya mula gugur setitis demi setitis. Mengenang kembali dosa-dosa lamanya. Ternyata, dosa yang dia lakukan selama ini, membawa insan lain lahir ke dunia ini.

“Mana kau tahu? Kau baru jumpa dia.” Dr. Khairi mengarahkan pemanduannya ke pinggir jalan. Dia mahu mendengar penjelasan dari mulut tuan saif haiq sendiri. Mendengar ucapan lelaki itu sambil memandu, sudah pasti akan mengganggu konsenstrasinya terhadap pemanduan.

“Firasat aku kuat mengatakan itu anak aku.” Tuan Saif Haziq mengurut dadanya. Terasa sakit menerima kenyataan yang satu ini.

“Tolong aku, Khai. Cari tahu siapa ibu kepada budak tu.”

Dr. Khairi mengangguk faham. Permintaan Saif Haziq mungkin besar, namun dia tidak mampu berkata tidak. Betapa selama ini, dia sangat menghargai persahabatan mereka. Di saat dia dulu tidak punya apa, hanya Tuan Saif Haziq yang ingin berteman dengannya. Maka dengan itu, dia sanggup menolong sahabatnya itu dalam apa jua cara.

*****

Syahira meletakkan belakang tangannya di dahi Manisa. Lalu dia memasukkan termometer ke dalam mulut Manisa. Dia benar-benar mahu memastikan demam Manisa kebah secepatnya. Dia tidak mahu demam sahabatnya itu berjangkit pada Iman pula. Dah jadi satu kerja nak kena rawat dua pesakit dalam satu masa. Sudahlah di hospital perlu jaga pesakit, di rumah pun dia buat kerja yang sama juga.

“Tak patut kau buat Iqwan macam tu.” Syahira tiba-tiba bersuara. Tangannya laju mengemas susun atur bantal di atas katil Manisa. Sudah seperti emak-emak lagaknya dia mengemas.

“Aku buat apa?” Manisa pura-pura tidak tahu. Padahal dia cukup arif dengan apa yang telah dia lakukan tadi siang.

Syahira angkat kening. Masih tak mahu mengaku?

Pandangan sinis dari Syahira buat Manisa mengalah.

“Ya, aku tahu aku salah. Tapi aku tak tahu kenapa, tengok muka dia pun boleh buat aku naik angin. Entah dari mana, tiba-tiba muncul. Lepas tu, nak ambil Iman dari aku. Aku tak mahu Iman pergi dari hidup aku.” Manisa menahan rasa. Dadanya rasa sesak. Terasa mahu menangis sepuas-puasnya.

“Walaupun dari ayah kandung Iman?” Syahira inginkan kepastian.

Soalan Syahira buat Manisa canggung. Tak mungkin dia mampu pisahkan Iman dari ayah kandungnya. Tapi, dia kalau boleh, mahu Iman sentiasa dengannya.

“Kalau kau tak sanggup berpisah dengan Iman, kau kahwin dengan ayah dia. Dia perlukan ayah, Manisa.” Pujuk Syahira. Sudah puas dia menasihati Manisa. Ibarat mencurah air ke daun keladi, langsung tidak diendahkan Manisa. Mungkin pada masa itu, Manisa tidak terfikir akan perkara sebegini boleh berlaku.

“Nantilah aku fikir. Aku nak rehat.” Manisa membetulkan perbaringannya. Menutup mata sebagai isyarat dia mahu berehat. Syahira hanya mengeluh perlahan. Manisa dan kedegilannya, memang sukar dipisahkan.

Mendengar Syahira menutup pintu biliknya ketika keluar, mata Manisa kembali membulat. Dia membuka lampu tidur di sisinya. Perlahan-lahan di membuka laci di sisinya, mengeluarkan album gambar. Dibelek satu persatu gambar yang ada. Selakannya terhenti ketika dia terpandang gambar bersanding dia dan Iqwan.

Andai sahaja ketika itu dia tidak nekad mahu berpisah dengan Iqwan, pasti sahaja semua masalah ini tidak akan serumit ini. Sesekali dia ada menyesali dengan tindakannya, namun dek kerana sakit hati. Dia kuatkan juga diri untuk menuntut cerai. Perkahwinan mereka tanpa rasa cinta. Mana mungkin dapat bertahan. Lagi pula, sekarang ini, Iqwan mencarinya kerana mahukan Iman. Bukan dirinya.

Manisa cuba untuk pasrah, namun dia masih ada rasa terkilan. Mengapa ujiannya sebegini? Dielus wajah Iqwan. Masih seperti dulu, lembut dalam tutur katanya. Dia tahu apa yang dia mahu. Sedangkan aku? Masih lagi terhenti di masa lalu. Aku masih tidak boleh lupa peristiwa malam tu.

“Mommy?” terkejut Manisa apabila ditegur Iman secara tiba-tiba.

“Iman bila masuk?” Seingatnya, dia tidak ada dengar bunyi pintu bilik dibuka. Macam mana Iman boleh masuk ke biliknya?

“Tadi.” Balas Iman sambil memeluk tubuh Manisa. Seerat yang boleh. Manisa yang terkejut dengan tindakan Iman turut membalas pelukan kecil itu.

“What’s wrong, dear?” Manisa mengelus-elus rambut Iman yang lebat itu.

“Missing you..” Manisa tersenyum mendengar ucapan Iman.

“.. and daddy.” Senyuman Manisa mati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience