Bab 11

Family Series 2580

Manisa menarik kerusi di laman lalu duduk untuk menikmati angin petang itu. Indah dan anak-anaknya sudah pulang sejak tengahari tadi. Manisa jadi sunyi tanpa dua orang kanak-kanak yang sudah menghiasi hidupnya sejak dia hadir dalam keluarga ini. Yang tinggal hanya mama dan Iqwan.

Memandangkan esok hari dia dan Iqwan akan berangkat pergi, Puan Marlia sudahpun ke pasaraya untuk membeli barangan bagi membuat sambal ikan bilis buat bekalan mereka di sana. Pembetulan, mungkin hanya Iqwan yang dapat merasa sebab mulai esok, mereka akan terpisah dan tidak lagi berjumpa untuk suatu tempoh yang agak lama.

“Termenung jauhnya. Semput saya nak kejar.” Manisa yang sedang menghirup minuman petang jadi tersedak. Iqwan?

“Awak buat apa dekat sini? Bukan awak teman mama pergi belanja ke?” Manisa penasaran. Seingatnya, mama mengajak Iqwan untuk berbelanja. Memandangkan Manisa tidak mahu mengganggu masa mama dan Iqwan, dia sengaja memilih untuk tinggal di rumah sendiri. Lagi pula, dia masih belum siap mengemas barangnya untuk dibawah pada esok hari. Jadi, bagaimana Iqwan boleh berada di sini? Mama mana? Sudah pulangkah mereka dari pasaraya?

“Indah yang teman mama pergi belanja. Mama kata, dah lama tak berjalan dengan cucu-cucunya. Jadi, Indah yang teman mama.” Manisa masih tidak berpuas hati. Habis tadi, seharian dia sendiri. Ke mana perginya Iqwan?

“Saya ada ke kedai sekejap. Beli barang yang tak cukup.” Iqwan angkat kening. Masih tak puas hati dengan jawapan aku ke?

Iqwan menarik kerusi, merapatkan kedudukannya dekat dengan Manisa sehingga tersentuh bahu mereka. Manisa memandang wajah Iqwan dengan riak tidak puas hati. Ini dah mula dekat-dekat, pasti ada benda yang dia nak. Apa pula kali ini ulahnya?

“Awak dekat sikit.” Pinta Iqwan. Manisa bingung. Tidak cukup dekat lagikah? Dia merapatkan kepalanya ke arah Iqwan. Masih tak cukup dekat ke? Nak bisik apa?

“Esok hari terakhir kita. Tak nak beri saya hadiah?” Manisa kembali menjauh dari Iqwan. Hadiah apa? Jangan dia minta yang bukan-bukan. Iqwan tersengih. Seperti dapat mengagak apa yang bermain di fikiran Manisa. Bukan itu yang saya nak. Iqwan memberi isyarat supaya Manisa kembali mendekat.

“Buatkan saya koktail berkuah macam majlis sanding kita tempoh hari. Hari tu saya tak sempat tanya Kak Mastura, siapa yang buat desert tu. Saya teringin nak makan. Kalau orang mengandung boleh la kata mengidam. Habis saya ni, mengidam apanya?” Wajah Manisa mencemberut. Mamat ni tahu, tapi pura-pura tidak tahu atau dia memang tidak tahu? Sah-sah desert yang dia kata tu, Manisa sendiri yang buat.

Itu merupakan salah satu kesukaan Manisa. Jadinya, dia sendiri menyediakan juadah itu awal pagi pada hari persandingan mereka. Sempat dia beri amaran kepada Kak Mastura agar tidak lupa menghidangkannya semasa makan beradab. Maklum, juadah itu sudah siap-siap Manisa sorok di dalam peti sejuk tanpa pengetahuan sesiapa kecuali Kak Mastura. Kalau dapat makan pada waktu tengahari atau minum petang, memang nikmat bagi Manisa. Segera dia memandang tepat ke arah Iqwan.

“Upah?” ujar Manisa sambil menghulur tangannya. Cupp! Satu ciuman singgah di pipi Manisa. Selamba Iqwan bangun dari kerusi seperti orang tidak bersalah.

“Iqwan Hakim!” jerit Manisa sambil berlari ke arah Iqwan. Badannya yang kecil menangkap Iqwan. Terpusing-pusing Iqwan cuba meloloskan diri. Kali ini Manisa lebih pantas. Kakinya mengunci gerakan Iqwan. Terpancar sinar kepuasan di wajah Manisa apabila Iqwan berjaya dihentikan. Segera dia berpaut pada leher Iqwan. Baru sahaja badan Iqwan mahu dibanting seperti gaya pelatih taekwando, badan Manisa terlebih dahulu melayang diangkat Iqwan.

Dipikul badan Manisa ke atas bahunya lalu dibawa semula ke meja mereka tadi. Didudukkan Manisa di atas meja itu kemudian kedua tangannya menahan meja bagi mengepung Manisa. Manisa mati kutu. Sekali lagi serangannya dipatahkan Iqwan. Bukan calang-calang orang mamat ni.
Iqwan mendekatkan wajahnya ke telinga Manisa.

“Kalau awak cuba serang saya lagi. Saya gigit awak macam ni.” Iqwan menggigit lembut telinga Manisa. Fikirnya, ugutannya akan ditakuti Manisa. Nyata dia silap. Ini dah dikira gangguan seksual, fikir Manisa. Segera dia menumbuk perut Iqwan. Biarpun kepalan kecil, namun tetap terasa pedihnya. Iqwan tertunduk mengerang kesakitan. Dia menongkat dagunya di bahu Manisa. Baru sahaja Manisa hendak memberi serangan kedua, dia ternampak kelibat kereta memasuki parkir rumah mertuanya. Segera dia memeluk erat tubuh Iqwan. Nampak mesra adalah lebih baik dari kelihatan mereka bertumbuk.

Iqwan terkejut dengan tindakan drastik Manisa. Namun refleks badannya turut membalas pelukan Manisa menjadi semakin erat. Manisa tidak dapat menghalang. Mahu tak mahu, dia terpaksa menahan kerana mama sudah pulang bersama Indah.

“Mama, Indah tak singgah ya. Abang Raden balik nanti malam. Indah nak masak sedap-sedap.” Jerit Indah dari dalam kereta. Sempat dia berpaling ke arah Iqwan dan Manisa.

“Pengantin baru tu, kalau nak mesra-mesra, masuk bilik. Jangan tunjuk umum sangat.” Mendengar ucapan itu, baru Iqwan mengerti tindakan drastik Manisa. Pandai berlakon ya isteri aku sekarang.

“Abang, kenapa peluk-peluk Manisa depan rumah macam ni. Nanti orang tangkap gambar macam mana?” soal Puan Marlia. Sungguh dia tidak menyangka anaknya akan sebegini rupa apabila sudah berumahtangga. Kalau dia tahu, dari dulu lagi dia kahwinkan anak terunanya itu.

“Siapa suruh dia orang tak kahwin.” Balas Iqwan sambil beralih tangan dari pelukan menjadi rangkulan di pinggang Manisa. Seraya itu, dia mengucup ubun-ubun Manisa. Betul-betul menghayati watak Iqwan ini. Manisa hanya mampu menahan rasa berbuku di dada. Puan Marlia mengeleng melihat telatah anaknya itu lalu berlalu pergi.

“Sudah-sudahlah nak berlakon tu. Tak payah over sangat.” Ujar Manisa separa berbisik. Esok dah nak berangkat. Kenapa perlu beria-ia mahu berlakon lagi? Iqwan mendekatkan wajahnya dengan wajah Manisa.

“Stick to the acting my dear. Indah ada syak pada hubungan kita.” Segera Manisa menarik rapat tubuh Iqwan sebaik sahaja kata-kata itu didengarinya.

*****

Sebaik sahaja memasuki balai berlepas, genggaman tangan yang tadinya hanyalah untuk wayangan semakin mengerat. Manisa benar-benar memegang tangan Iqwan dengan utuh. Tangan yang sebelah lagi memegang dadanya. Jantungnya berdebar dengan sangat kencang. Seakan baru selesai larian maraton. Ditarik nafas sedalam-dalamnya. Tidak dipedulikan pandangan orang yang lalu-lalang di situ.

“Kenapa?” soal Iqwan keanehan. Kebiasaannya, bukan Manisa yang akan memegang tangannya terlebih dahulu. Manisa tidak akan berinisiatif tanpa sebab.

“Rasa macam mimpi. Betul ke ni saya dah nak keluar negara?” Manisa meminta kepastian. Iqwan tersenyum. Segera pipi Manisa ditarik lembut. Kalau kuat-kuat nanti, bengkak sebelah pula.

“Ouch.” Manisa menggosok-gosok pipinya yang kesakitan. Namun dia malah mengukir senyuman. Bukan mimpi! Dia memandang wajah Iqwan dengan pandangan terharu. Terima kasih, awak. Bertuahnya siapa yang kahwin dengan mamat ni. Bukan setakat berbulan madu, dia bawa terus aku duduk di UK sampai empat tahun. Terlalu banyak yang aku boleh capai dalam masa empat tahun ini. Pencapaian dalam mengenali dunia luar.

“Sama-sama.” Ucapan Iqwan yang tidak semena-mena membuatkan Manisa membeliakkan matanya. Dia boleh agak aku cakap terima kasih ke? Iqwan membuat bulatan angin di wajah Manisa.

“Ini semua saya boleh baca. Anggap sahaja ini cara saya ucap terima kasih sebab sudi jadi isteri saya. Kalau bukan atas kesudian awak, saya pun tak akan jejak ke sana. Awak dah buat impian saya tercapai. Terima kasih, sayang abang.”

Manisa mencerlung apabila perkataan sayang disebut. Bukan Iqwan tidak tahu, cukup dia jaki dengan perkataan itu. Mamat itu sengaja mahu menyekatnya. Dan setakat ini, dia berjaya. Mengenai status hubungan mereka setelah empat tahun nanti, Manisa masih memikirkan caranya. Dia tahu, pasti tak mudah untuk mereka berdua berpisah dengan cara baik. Jadi, cara yang terbaik adalah dengan membuat perbalahan besar antara mereka. Perbalahan yang tidak mungkin terungkaikan.

Manisa masuk ke ruangan tempat duduk lalu memilih tempat di sebelah tingkap. Inilah tempat yang banyak menjadi pililhan anak muda zaman ini. Merakam fenomena alam saat kapal terbang mula melawan angin. Melihat awan yang bergulung-gulung seperti gula kapas menjadikan Manisa tidak habis-habis menguntum senyuman. Tiada apa yang mampu menggambarkan perasaannya ketika ini. Begini rasanya apabila kita ingin mengembara. Terbang seperti burung di langit sambil melihat indahnya bumi yang terbentang luas.

“Bukan pertama kali kan awak naik pesawat?” soal Iqwan berhati-hati. Khuatir sekiranya soalannya menyinggung perasaan Manisa. Manisa hanya mengiyakan. Benar ini bukan pertama kali. Lalu Iqwan membuat tanda tanya dengan keterujaan Manisa. Jadi mengapa begitu teruja?

“Ini pertama kali, ayah lepaskan saya terbang bersama burung-burung di awan. Kemudian berhenti sejenak di negeri orang. Awak mungkin tak akan faham. Ini kebebasan yang saya cari. Bebas menempuh cabaran hidup sendiri.”

Iqwan hanya mengangguk mendengar jawapan Manisa. Yakinkah dia?

“Yakin tak akan pulang selama empat tahun?” Iqwan menyoal sekali lagi. Sebelum mereka membuat keputusan berkahwin, Iqwan sudah menyatakan bahawa dia tidak akan pulang selama tempoh pengajiannya. Selain tidak mahu disoal hal—hal berkaitan zuriat, ini juga cara terbaik agar rahsia mereka tidak terbongkar. Sekiranya mereka kerap pulang, peluang perceraian mereka juga akan semakin tipis. Ini akan menggagalkan rancangan mereka. Bahkan, sekiranya panggilan video dibuat, mereka berjanji tidak akan mengangkat sekerap mungkin, dan cuba mengangkatnya ketika di luar rumah.

“Saya tak pasti sama ada mampu bertahan atau tidak. Tapi ini melibatkan kehidupan kita berdua. Saya kena cuba pertahankan sebaliknya.” Sungguh-sungguh Manisa cuba meyakinkan Iqwan. Dia tidak mahu lelaki itu terganggu akan kebarangkaliannya untuk mengundur diri.

“Jadi…” Iqwan angkat kening.

“Kita jumpa lagi empat tahun.” Ucap Manisa sebelum memalingkan tubuh dari Iqwan sambil membetulkan posisi tubuh untuk tidur. Iqwan hanya tersenyum melihat telatah Manisa. Dia yang begitu spontan, tidak ada sifat-sifat mahu memikat hati kelakiannya, malah itu yang membuatnya tertarik. Betul-betul kalis, hati wanita itu.

*****

Iqwan menolak bagasinya membuntuti Manisa yang semakin jauh ke hadapan. Begitu laju Manisa berjalan tanpa menoleh kiri dan kanan. Betul-betul nekad gadis itu mahu menempah dunia luar. Setegas apakah Pak Derus sehingga membuat Manisa begitu berani membuat keputusan sebegini. Mempertaruhkan kehidupannya kepada seorang lelaki yang baru dikenalinya tidak sampai empat bulan.

“Awak!” Jerit Manisa perlahan. Namun cukup jelas di telinga Iqwan. Maklum, di situ hanya Manisa yang berbahasa Melayu. Iqwan memandang tepat ke wajah Manisa yang jarak hanya tiga meter darinya.

“Hati-hati. Good luck dengan study. Jangan lupa makan. Kalau ada masalah, cari saya.” Manisa ketawa kecil lalu meneruskan perjalanannya. Iqwan sedar, di situlah titik akhir mereka bersama. Selepas ini, mereka akan berpisah untuk suatu tempoh yang agak lama. Iqwan memerhati gerak langkah Manisa yang semakin menjauh. Kelibat kereta mula berhenti di ruang drop-off penumpang, lalu Manisa memasuki kereta itu tanpa ada sebarang masalah. Mungkin itulah kawan Manisa yang selalu disebut-sebut. Dan itulah kali terakhir Iqwan memandang sosok Manisa. Isteri yang hanya tertulis di atas kertas.

Jumpa lagi empat tahun, Manisa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience