Bab 25

Family Series 2580

Manisa membuka matanya sebaik sahaja sinar matahari mula menerjah ruangan bilik. Pagi-pagi begini di kawasan perkampungan memang rasa dingin. Buat Manisa berat untuk meninggalkan katil. Dilihat Iman dan Syaza masih lena di sisinya. Manisa mengusap-usap rambut Iman yang menutupi matanya. Wajah Iman yang polos ditatap lama. Direnung pula wajah Syaza. Raut wajahnya ada iras-iras Abang Syamil. Hidungnya, alisnya, mengikut paras Abang Syamil. Bibir mungilnya mengikut Kak Mastura. Sedangkan Iman, sedikitpun tidak mengikut wajahnya. Namun Manisa masih bersyukur, sehingga ke hari ini dia masih diberi kesempatan untuk menjaga Iman.

Jari-jemari Manisa menari mengikut lekuk wajah Iman. Begitu dia leka, kadang-kadang terukir senyum di wajahnya. Kecil-kecil dah segak begini, kalau dah besar, macam mana agaknya.

“Senyum-senyum sambil usap muka Iman buat apa. Abah dia ada dekat sini. Nah, usaplah.” Iqwan tiba-tiba muncul di muka pintu. Dengan selamba dia menolak daun pintu dan menutupnya kembali setelah dia lolos memasuki ruangan bilik Manisa. Tanpa segan silu, Iqwan baring menghadap Manisa sementara di tengah masih dihimpit tubuh kecil Iman dan Syaza.

“Awak buat apa masuk?” soal Manisa separuh terjerit. Risau juga jika suaranya meninggi sehingga membangunkan anak-anak kecil yang sedang tidur. Lebih parah lagi kalau abah dan emak tahu Iqwan memasuk biliknya. Apa nanti mereka fikir? Buat hal tak senonoh tanpa ikatan yang sah.

“Kejut awaklah. Saya lama tunggu depan pintu. Tapi awak tak tahu nak keluar. Jadi, saya masuklah.” Iqwan menguntum senyuman sementara Manisa sudah berubah kelat. Melihat riak wajah Manisa yang berubah, makin giat Iqwan mahu menyakat. Dicuit hidung bekas isterinya itu sambil mengenyitkan mata. Manisa buat tak peduli. Dia menunjukkan gaya hendak bangkit dari perbaringan. Namun segera dihalang Iqwan. Iqwan menarik tangan Manisa agar baring semula. Manisa cuba melawan, namun apalah kudrat yang dia ada. Dengan baru bangunnya, mana mungkin dia punya banyak tenaga untuk melawan Iqwan.

“Lepas.” Arah Manisa tegas. Dia tidak mahu terlibat dengan permainan Iqwan. Pagi-pagi begini, sudah rosakkan mood.

“A moment please.” Pinta Iqwan. Manisa malas bertekak. Dituruti sahaja kehendak Iqwan. Melihat Manisa yang tidak melawan, Iqwan kembali senyum. Dia merenung wajah Manisa. Betapa pengalaman seperti ini tidak pernah dia alami sepanjang tempoh perkahwinan mereka dahulu. Jujur, dia rasa menyesal kerana tidak mengambil peluang yang ada di depan mata dulu. Sekarang sudah melepas, baru sibuk nak mengejar semula. Sudah terlambat, Iqwan.

Tangan Iqwan mula menjalar melingkari pinggang Manisa. Sungguh sudah lama dia tidak memeluk Manisa. Saya dah mula suka awak. Jangan lari dari saya, sayang. Bisik Iqwan perlahan. Namun bait-bait itu cukup jelas untuk ditangkap cuping telinga Manisa. Dalam diam, sedaya upaya Manisa cuba menahan dari tersenyum.

Manisa yang masih mengantuk mula bermain mata sendiri. Tidak dipedulikan renungan mata Iqwan yang tulus menatapnya. Sesekali Manisa terlelap. Namun sedaya upaya dia cuba menahan. Ingat Manisa, dia bekas suami kau. Tak mungkin nak biar dia tidur sekali atas katil yang sama? Manisa terlelap sekali lagi. Lama.

“Manis!” Jerit Mak Temah dari luar bilik. Manisa tersentak dari lelapnya. Dilihat Iqwan masih dihujung katil. Eh, mamat ni. Tak tahu keluar ke?

“Awak buat apa dekat sini lagi? Kenapa tak keluar?” soal Manisa panik. Mana tak panik, derapan kaki Mak Temah sudah semakin dekat menghampiri biliknya. Kalau emaknya nampak Iqwan di dalam bilik macam mana? Sekali lagi ditangkap basah. Manisa malas hendak menjawab soalan emak dan abahnya.

“Awak sini.” Manisa menarik tangan Iqwan ke bahagiannya. Iqwan hanya menurut tanpa kata. Sedaya upaya Manisa cuba menolak Iqwan menyorok ke bawah katil. Sebolehnya dia tidak mahu Mak Temah menjumpai Iqwan di dalam biliknya ketika ini. Saiz badan Iqwan yang tegap menyukarkan proses penyembunyian. Manisa mendorong Iqwan sekuat tenaga ke bawah katil. Dalam kegawatan, fikiran Manisa tidak boleh berfungsi dengan baik. Dek kerana kalut, Manisa tergelincir hingga jatuh terduduk.

Manisa cuba menahan perit. Dalam mamainya, dia menggosok punggungnya yang kesakitan. Selesai menggosok punggung, dia beralih menggosok matanya pula. Aku mimpi apa ni? Kenapa macam benar-benar berlaku? Manisa kembali menggosok punggungnya. Kemudian dia tersedar, Iqwan! Segera Manisa menyelak cadar katil. Mencari sosok tubuh Iqwan yang dia sorokkan tadi. Manisa terkebil-kebil memandang bawah katil. Kosong. Mana Iqwan?

Manisa menggaru kepalanya yang tidak gatal. Berkali-kali sehingga kusut-masai jadinya rambut Manisa. Mana pergi mamat tu?

“Mommy, kenapa tidur bawah katil?” soal Iman dengan muka baru bangun tidur. Manisa tersengih mendengar soalan Iman. Sah, aku mimpi je tadi.

*****

Manisa mengangkat nasi lemak yang sudah siap dimasak ke atas meja makan. Dibawa pinggan beserta cawan-cawan untuk hidangan sarapan pagi. Sementara menunggu air mendidih, Manisa mengupas telur rebus dan memotong timun menjadi hirisan nipis untuk dimakan bersama nasi lemak. Sebaik sahaja air mendidih, Manisa menyeduh seteko air teh untuk diminum bersama. Dituang air tersebut ke dalam beberapa cawan untuk mengurangkan rasa panas sementara menunggu ahli keluarga yang lainnya turun ke dapur.

“Wangi. Masak apa?” Iqwan tiba-tiba bersuara dari belakang Manisa.

Bagai ditarik ke dunia nyata, Manisa tersentak mendengar soalan Iqwan yang sedang berada dekat di belakang tubuhnya. Terlalu dekat sehingga Manisa boleh dengar hembusan nafas Iqwan yang perlahan itu. Manisa jadi tak keruan. Tiba-tiba dia teringat mimpinya pagi tadi. Jantungnya jadi berdegup kencang sehingga terasa mahu melompat keluar ketika itu. Manisa, kau kenapa ni?

“Awak kenapa? Demam ke? Ke mimpikan saya semalam?” soal Iqwan apabila melihat wajah Manisa yang terkedu dengan kehadirannya secara tiba-tiba.

Wajah Manisa merona kemerahan tatkala teringat mimpinya tadi. Ditambah pula dengan kejadian semalam, semakin tak keruan Manisa dibuatnya. Teko yang berisi air panas sudahnya dicurah ke atas tangannya sendiri. Setelah sekian lama baru dia terasa panas melecur.

“Aduh!” Manisa mengaduh kesakitan.

“Ya Allah. Awak kenapa ni?” Iqwan segera mencapai teko air di tangan Manisa, lalu diletakkan semula ke atas dulang. Niatnya mahu mengusik Manisa tidak diteruskan. Sebaliknya, dia sibuk membantu Manisa. Tangan Manisa yang memerah terkena air panas dilap dengan kain berhampiran sebelum dia menarik Manisa ke sinki untuk dilalukan dengan air paip. Iqwan melakukannya dengan teliti. Manisa hanya menahan sakit tanpa sebarang reaksi. Kenapa dia macam ni?

Setelah hampir lima minit dilalukan dengan air, Iqwan membawa Manisa ke meja makan. Manisa hanya menurut tanpa membantah. Dia hanya memerhati Iqwan mengambil kotak kecemasan yang tersimpan rapi di atas almari dapur. Dengan cermat Iqwan menyapu ubat ke tangan Manisa yang masih memerah. Manisa ketap bibir menahan pedih. Sejujurnya, dia tidak merasa pedih di tangannya. Sebaliknya, dia merasa pedih yang teramat di dadanya. Terasa sesak ketika itu tatkala melihat perlakuan Iqwan yang begitu khuatirkan dirinya. Kenapa Iqwan? Kenapa awak baik sangat? Air mata Manisa mula bergenang. Sedaya upaya dia cuba menahan untuk tidak tumpah di hadapan Iqwan. Kau kena kuat Manisa. Jangan biar dia nampak kau lemah.

“Sakit sangat ke?” Iqwan cuba menyapu air mata Manisa yang mula mengalir sedikit demi sedikit.

“Mommy, kenapa nangis?” soal Iman yang baru menuruni anak tangga. Dengan lagaknya, dia menepuk paha Iqwan yang sedang merawati Manisa. Memberi amaran supaya jangan menyakiti ibunya.

“Aduh. Sakit abah.” Iqwan berpura-pura mengaduh kesakitan. Iman yang melihat reaksi Iqwan seakan kesakitan, segera menggosok paha Iqwan dengan niat mahu mengubatinya pula. Manisa tersenyum kelat melihat gelagat Iqwan dan Iman yang mesra. Perlahan-lahan dia bangun meninggalkan mereka berdua di dapur. Manisa keluar rumah mengambil angin pagi. Dia menuju ke pangkin di luar rumah kemudian mengambil tempat di situ sambil menikmati kicauan unggas.

Melihat ke langit, memandang burung-burung yang terbang sekawan mencari rezeki di awal pagi. Manisa jadi senyum sendiri. Sebab tengok burung terbanglah, dulu dia nekad untuk berumahtangga. Semata-mata untuk terbang bebas seperti burung-burung di udara, mencari kesempatan meneroka dunia baru. Tak disangka, di berjodoh dengan Iqwan walaupun hanya sekejap. Manisa jadi mengeluh sendiri. Sekarang apa pula alasan Iqwan mengejar dia semula? Ada perjanjian barukah?

“Puas saya cari, dekat sini rupanya cik adik manis saya ni.” Tidak perlu menoleh, Manisa sudah tahu siapakah gerangan pemilik suara itu. Malas hendak melayan, Manisa teruskan kerjanya melihat burung-burung serta tupai yang sibuk mencari rezeki di pagi itu.

“Sombongnya.” Melihat Manisa yang tidak melayannya, Iqwan mengambil tempat di sebelah Manisa. Manisa yang agak terganggu dengan kedatangan Iqwan, mula menjarakkan kedudukan mereka. Kalau boleh mahu sebatu jaraknya.

“Amboi jauhnya.” Hampir terletus tawa Iqwan melihat Manisa menjauh sehingga ke bucu pangkin. Ini kes merajuk sebab apa?

“Jaga ikhtilat.” Jawab Manisa ringkas namun cukup membuatkan Iqwan berhenti dari mendekatinya.

Dengan nada perlahan, Iqwan mula bersuara. “Nampak gayanya, kenalah kita..”

“Kena apa?”

“Selesaikan masalah kita ni.”

“Macam mana?”

“Kita kahwin.” Usul Iqwan. Manisa tayang muka cemberut.

“Kerja gila.”

“Apa yang gila? Kita dah pernah kahwin sebelum ni. Tak gila pun. Tapi lepas berpisah je rasa gila sekejap.”

Kata-kata Iqwan menarik perhatian Manisa. Dia nak kata aku gila ke? Bila masa aku jadi gila?

“Siapa gila?” soal Manisa dengan nada marah.

“Saya. Gilakan awak.” Jawab Iqwan selamba. Sempat dia tersenyum simpul sebelum memandang ke arah lain. Mendengar jawapan Iqwan membuatkan Manisa jadi geram. Mamat ni ada bakat membuat orang rasa menyampah dengan dirinya.

“Encik Iqwan..”

“Ya sayang.” Tanpa sedar Iqwan menyahut. Namun segera ditukar dengan perkataan saya. Kemudian dia tersengih memandang Manisa.

Manisa merengus melihat gelagat Iqwan.

“Encik Iqwan Hakim. Saya ni kan, sebenarnya penat tahu tak? Saya nak jalani kehidupan yang simple je. Saya tak suka drama-drama ni. Jadi tolonglah faham. Lepaskan saya, secara ikhlas. Saya mohon sangat.” Ujar Manisa sambil merayu. Sebolehnya, dia mahu Iqwan menjauh. Dia tidak mahu berharap. Cukup dia pernah berharap suatu ketika dulu. Dia tak mahu terluka sekali lagi.

Iqwan melepas keluhan kasar. Hampa dengan sikap Manisa yang terus menerus menolaknya pergi. Entah bagaimana lagi dia perlu meyakinkan Manisa akan isi hatinya itu.

“Benci sangat ke awak pada saya?” Manisa jadi tersentak mendengar perkataan benci dari mulut Iqwan. Sebegitu terukkah yang Iqwan rasa ketika ini?

Iqwan hanya mengangguk perlahan. Dia bangkit meninggalkan Manisa sendiri di pangkin itu. Kalau itu yang awak pinta, saya cuba tunaikan.

Tidak sampai sepuluh detik, Manisa rasakan ada tubuh yang kembali duduk di sebelahnya. Manisa jadi naik angin kembali. Baru tadi kemarahannya mahu mereda, kini Iqwan kembali buat perangai.

“Awak ni kenapa Iq..” ayat Manisa mati ketika melihat Kak Mastura yang duduk di sebelahnya ketika ini.

“Aik, aku pun kau nak marah ke dik?” soal Kak Mastura seakan dapat membaca situasi ketika ini. Mana mungkin dia buta deria bila dia melihat Iqwan melangkah longlai memasuki rumah mereka. Mesti baru habis dimarahi Manisa, tekanya tadi. Sebaik sahaja dia duduk di sebelah adiknya itu, hampir saja dia disembur api kemarahan Manisa. Entah apa yang Manisa marah benar pada Iqwan sampai begini responya setiap kali terpandang wajah lelaki itu.

“Mana ada.” Jawab Manisa kasar sambil cuba menutup perasaan malunya ketika itu. Siapa tak malu kalau salah marah orang?

“Garang sangat kau ni. Patut tak ada orang nak.” Perli Mastura. Sengaja mahu dibakar hati adiknya itu. Beku sangat. Untung ada duda nak dekat dia. Bukan orang lain, duda dia sendiri juga. Manisa hanya buat-buat tak dengar. Malas mendengar celoteh kakaknya itu.

“Tak baik tau. Macam mana pun, dia pernah jadi suami kau. Dia orang yang dah jaga kau selama empat tahun masa mak dengan abah tak ada dekat sana. Kau ingat dia patung ke? Tak ada hati? Tak ada perasaan? Kalau aku jadi Iqwan, aku dah lama dah tinggalkan kau. Buat apa kejar perempuan garang macam ni? Janda pulak tu.” Sebaik sahaja mengucapkan kalimat terakhir, Mastura segera menepuk mulutnya yang celupar. Kenapa kena sebut janda? Niatnya mahu memujuk adiknya bertukar seperti menghina statusnya sebagai seorang janda. Sejujurnya, itu bukan niat Mastura. Dia hanya ingin Manisa membuka hati untuk Iqwan kembali.

“Nisa ni janda dia tau kak.” Manisa tak mahu kalah. Ada ke patut kata aku janda? Yang buat aku jadi janda bukan orang lain, si Iqwan tu juga.

“Haa, tahu pun kau. Habis tu, sampai bila kau berdua nak macam ni. Sudah la tu. Lagi pun dia dah mengaku salah dia.” Terkebil-kebil Manisa mendengar kata-kata Mastura ketika itu. Salah apa pula?

“Dia dah mengaku. Lepas kau berpisah, dia selalu datang melawat mak dengan abah. Teman abah buat kerja kampung. Mulanya, abah tak mahu jumpa dia. Abah kecewa sangat. Sampailah dia ceritakan hal yang sebenar. Sejak dari tu, abah dah mula rapat semula dengan dia. Cakap je apa yang abah dengan mak nak, dia dapatkan. Bak kata dia, benda tak mahal kak. Kasih sayang tu yang mahal. Kasih keluarga ni pada Iq, lebih bernilai. Rugi kalau kau lepaskan dia, dik. Itulah kau, mudah sangat salah sangka.” Manisa jadi termangu. Salah sangka apa ni?

“Kau ingat kita orang semua tak tahu ke? Kau nak berpisah sangat dulu sebab kau ingat Iqwan ada perempuan lain. Iqwan dah cerita habis dah. Kami semua dah tahu cerita sebenar. Iqwan pun dah mengaku, yang perempuan tu sebenarnya kawan kelas dia masa dekat UK sana. Tak lebih pun. Dah la, maafkan je dia.”

Manisa mengurut dahinya yang terasa berserabut. Curang? Salah sangka? Ini cerita versi apa pula yang Iqwan beritahu keluarga aku ni? Mamat ni, kalau tak kena ganyang dengan aku memang tak boleh agaknya. Mana dia dapat idea reka cerita macam ni? Dia ni patut jadi penulis skrip, bukan arkitek. Bukan main sedap lagi dia karang cerita macam dia tak bersalah.

Manisa ketap geraham belakang sekuatnya. Memanglah dia tak bersalah. Dalam hal ni, tak ada sesiapa yang salah. Cuma, haih. Apa dah jadi dengan dia ni? Dah kemaruk sangat nak berbini ke? Gila ke? Tiba-tiba terngiang kata-kata Iqwan di telinga Manisa. Saya, gilakan awak.

Manisa merengus kasar. Kalaulah dia naga Tasik Chini, sudah lama keluar api agaknya dari lubang hidung itu.

“Bagi Manisa ruang. Tolong.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience