Bab 16

Family Series 2580

Manisa duduk diam di pantry sendirian. Dari tadi dia membancuh air teh buat dirinya. Bukan setakat untuk dirinya. Sesiapa sahaja yang ingin buat air, dia sendiri yang mempelawa diri untuk buatkan. Sesekali sempat dia mengintai ke ruang bilik atasannya. Dilihat dari jauh, klien yang dilayan pengurus atasannya masih setia di dalam bilik itu. Manisa nekad, kali ini, kalau kena marah sekali pun kerana duduk di pantry lama-lama, dia sanggup. Daripada dipertanggungjawabkan untuk menguruskan projek klien yang satu itu, memang Manisa tak sanggup.

Klien yang satu itu, banyak benar projek yang dia buat. Sekejap ubahsuai pejabat lama, sekejap ubahsuai rumah, tak lama lepas itu, ubahsuai studio. Kali ini, Manisa dengar dia mahu buat projek binaan rumah kebajikan. Bagus tu memang bagus, tapi dia pasti projek kali ini akan ambil masa yang lama. Cukup lama untuk buat Manisa muntah melihat wajah kliennya setiap masa. Bukan Manisa tak tahu, dekat pejabat kontraktor tu, punya banyak kerja yang perlu diuruskan, namun tetap banyak juga masa lapang kliennya untuk melawat tapak projek? Boleh je hantar wakil untuk tengok-tengok perjalanan projek. Eh, tidak. Sanggup dia berpeluh rintik bawah matahari, semata-mata untuk tengok perkembangan.

Kak Azila yang dari tadi perasan gelagat Manisa tiba-tiba mendapat idea. “Manisa, Encik Malek cari.”

Mata Manisa terjegil. Macam mana Encik Malek tahu aku ada dekat sini.

Belum sempat Manisa melepaskan peluru mulutnya, Kak Azila sudah dulu ketawa mengekek. Tahu benar dia, Manisa ketika ini cuba mengelak dari menjadi pengurus projek klien yang satu itu. Sebelum ini pun, Manisa pernah mengelak. Sanggup duduk bawah meja. Tapi masih juga disuruh uruskan projek dari syarikat itu. Kalau orang lain seronok bila dapat projek, tapi Manisa sebaliknya. Kalau klien lain, sanggup dia jumpa walaupun di hujung Hulu Langat. Tapi klien yang satu ini, betul-betul buat Manisa rasa jelak.

“Akak main-main. Kau beria duduk sini, kau ingat Encik Malek tu tak tahu?” kata-kata Kak Azila betul-betul membuatkan Manisa tersentak. Dia tahu ke?

“Kau mengalah je. Tak ada orang lain pun yang nak urus projek tu, kalau bukan kau. Akak dah kata, klien ni lain macam. Dia kalau nampak orang dahi licin, mana boleh lepas.”

Manisa menggosok dahinya sebaik dikata begitu. Dah adalah licin mana. Ada juga liku-liku dek kerana jerawat lama.

“Tak ada lah kak.”

“Tak ada apa?”

“Ada seketul jerawat ni. Tak licin. Tapi manis tu ada lah.” Manisa cuba berseloroh. Namun senyumnya yang tadi mekar tiba-tiba bertukar kelat apabila ternampak kelibat Encik Malek. Dari jauh dia sudah nampak Encik Malek sudah senyum-senyum sambil memegang fail projek.

Tak sampai beberapa saat, muka Encik Malek sudah terjengul di depan muka pantry. Seperti yang dapat Manisa agak, namanya akan naik sebentar lagi.

“Manisa, dekat sini rupanya awak. Puas saya cari. Jom ikut saya ke bilik.” Panggil Encik Malek. Mendengar ucapan Encik Malek membuatkan Manisa membuat mimik muka. Pura-pura cari aku. Padahal memang tahu pun, aku ada dekat sini. Ni mesti Si Kitol tu yang bagitahu. Manisa tayang muka tak puas hati. Namun kakinya tetap melangkah menuruh langkah Encik Malek. Sebaik sahaja dia melalui meja Qila, diketuk-ketuk meja itu tanda melepaskan geram. Tak jumpa orangnya, mejanya pun jadi. Si Kitol atau si Qila, sama-sama belot. Kenapa minah ni sanggup jual aku sebab klien tu? Apa dia bagi komisen ke?

“Manisa, jangan tercegat belakang kerusi. Duduk. Saya ada hal nak bincang sikit.” Arah Encik Malek. Manisa hanya menurut. Padahal tadi, bukan main berbakul dia mengata Encik Malek di dalam hatinya. Ini, orang yang dikata depan mata, kenapa tak luah terus?

“Projek ubahsuai rumah Tengku Nilam macam mana? Ada perkembangan?” Manisa angkat kening. Kenapa pula tanya? Bukan ke aku dah maklumkan perkembangannya macam mana masa mesyuarat semalam?

“Tengku Nilam kata, dia nak rekaan dari Korea sebab rekaan sebelum ni, kawan dia dah buat. Jadi, lepas dah bincang, ada beberapa barangan yang kita kena dapatkan dari Korea. Cumanya, saya tak dapat nak ke sana. Encik Malek tahu kan sebab apa.” Encik Malek hanya mengangguk faham. Sebenarnya, itulah tujuannya dia memanggil Manisa. Dia tahu Manisa akan keberatan untuk menjalankan tugas ke luar negara. Jadinya, dia berhasrat untuk menugaskan orang lain untuk menjalankan tugas itu.

“Sebab itulah. Saya nak rasa, saya nak tugaskan awak untuk projek lain. Projek Tengku Nilam, saya akan minta Qila uruskan.” Itu dia. Patut bukan main Si Kitol tu cadangkan nama aku untuk klien tadi. Dia nak ke Korea rupanya.

“Tapi, sebelum ni, saya yang uruskan projek dari Tengku Nilam. Saya rasa tak sepatutnya tukar orang untuk uruskan.”

“Betul. Cuma saya tak mahu bebankan awak. Ataupun macam ni, awak partner dengan Qila untuk uruskan projek Tengku Nilam. Jadi awak tak terbeban sangat. Sementara tu, saya nak awak tengok permintaan dari Mutiara Holdings berkenaan dengan pembinaan rumah kebajikan. Syarikat mereka minta kita campur tangan dalam rekaan dalaman rumah tersebut. Tak ada masalah kan? Sebab sebelum ini pun, awak yang uruskan projek dari syarikat ni.” Pinta Encik Malek. Dengan berat hati, Manisa menyambut fail yang dihulur Encik Malek.

Manisa menghela nafas. Mahu tak mahu, dia kena juga uruskan projek kali ini.

“Encik Malek, tahu kan saya kalau boleh, tak nak terlibat dengan Mutiara Holdings ni. Saya harap, inilah yang terakhir kalinya. Kalau tidak, saya berhenti.” Ugut Manisa. Encik Malek tergelak kecil. Masuk kali ini, sudah beberapa kali Manisa mengugut mahu berhenti. Jaki benar dia dengan Muatiara Holdings. Kalau boleh, dengar nama syarikat itu pun dia tak mahu. Bukan dia tak tahu, Manisa memang anti benar dengan wakil dari syarikat itu. Namun, disebabkan nama Manisa dipilih secara khusus oleh wakil Mutiara Holdings, apalah yang dapat dia buat. Dia pun hanya mengikut kehendak pelanggan.

*****

Manisa menahan terik matahari yang semakin rancak meninggi. Peluh dahinya laju merintik seperti gerimis lagu Zamani Slam. Dalam hatinya, sudah berbakul makian yang dia lontarkan kepadanya kliennya itu. Nak cakap tu, cakap sajalah. Tak payah tenung aku makan buaya darat. Ya aku tahu, aku lawa sangat hari ni. Mana aku tahu yang hari ni kau nak jumpa dekat tapak binaan. Bukan main aku pakai cantik-cantik sebab nak jumpa Tengku Nilam. Dalam perancangannya semalam, sebaik selesai urusan dengan Tengku Nilam, dia mahu bawa Iman jalan-jalan. Tak sangka, si klien kepala batu ni datang dulu. Punya laju dia tahan aku sebelum keluar pejabat tadi. Sudahnya, Si Qila yang dapat jumpa Tengku Nilam. Sempat dia hantar pesanan ringkas kepada Tengku Nilam memohon maaf atas ketiadaannya hari ini

“Tuan Saif, lama lagi ke kita nak tunggu dekat sini? Kalau tak ada apa, saya rasa patut kita tetapkan hari lain untuk jumpa. Orang yang ditunggu pun tak kunjung tiba. Saya ni, ada banyak kerja dekat pejabat.” Sengaja Manisa tekankan perkataan ‘banyak’ supaya lelaki itu sedar bahawa dia hanya makan gaji. Syarikat itu bukan milik abang dia pun. Ini boleh goyang kaki ke? Banyak lagi projek dia nak uruskan.

“Saya dah janji dengan orangnya nak jumpa di sini. Awak ada urusan lain ke Cik Manisa?”

“Tak ada. Saya sangat lapang. Tapi masa saya dibayar untuk bekerja. Bukan menunggu benda yang tak pasti.” Bicara Manisa tegas. Lantaklah kalau dia nak terasa pun. Siapa suruh dia main terjah kacau jadual aku hari ini. Aku baru je ada idea baru nak tunjuk pada Tengku Nilam. Ilham dari drama Korea yang dia tonton dua hari lepas.

Manisa sempat mengerling ke arah Tuan Saif Haziq. Lelaki itu mengeluarkan telefon bimbitnya, kemudian mendail beberapa nombor sebelum menyambungkan ke talian. Sempat dia beranjak sedikit, jauh dari kedudukan Manisa.

Manisa mencebik. Takut aku curi dengarlah tu. Hei, pinggan tak retak, nasi tak dingin. Bukan tak hendak, tapi aku memang tak hingin. Manisa melihat jam tangannya sekilas. Hampir jam tiga petang. Dia buat kira-kira, sempat ke dia pulang ke pejabat untuk update dengan Encik Malek status terkini projek yang dia uruskan? Atau esok sahaja? Manisa membuat kira-kira. Kalau dia sampai di pejabat sebelum jam empat, mungkin sempat untuk dia maklumkan pada Encik Malek. Masalahnya, dia masih lagi di sini. Terperuk di ceruk luar kota dengan Tuan Saif yang tak punya kata putus.

“Manisa, nampaknya kita kena jumpa hari lain. Orang yang saya janji nak jumpa tu, dia ada urusan lain. Dia tak jangka kita nak jumpa dia secepat ni.” Ujar Tuan Saif Haziq sebaik dia mematikan talian telefon. Tak jangka kita nak jumpa? Hampir sahaja Manisa mendengus sinis. Dalam hal ni, bukan kita. Kau je yang beria nak jumpa hari ni. Aku ni, nasib baik ada masa sikit. Sikit je tahu. Tapi itu pun kau dah habiskan dengan menunggu.

Dalam fikiran Manisa, mahu sahaja dia goncang lelaki itu dengan sekuat tenaganya. Masa aku yang begitu berharga, habis macam tu je. Mamat ni, kalau aku debik, memang wad kecemasan pergi dia. Geram aku.

“Manisa?”

Seakan terjaga dari lamunan. “Okey, kita jumpa hari lain. Kalau ada apa-apa yang Tuan Saif nak suarakan, boleh terus kepada saya atau Tuan Malek. Kami sentiasa mengalu-alukan idea dari pelanggan kami.” Ujar Manisa sambil memberikan senyuman sebelum membuka langkah menuju ke arah keretanya.

“Manisa?” Manisa menoleh. Apa lagi Tuan Saif? Sedaya upaya Manisa cuba untuk tidak membentak kliennya yang satu itu. Riak wajahnya sebaiknya ditahan agar tidak mempamerkan reaksi yang tidak sepatutnya.

“Ya, Tuan Saif?” Manisa tayang wajah manis.

“Awak lapang ke? Teman saya minum?” pelawa Tuan Saif dengan penuh pengharapan. Kali ini, dia benar-benar berharap.

“Saya puasa.” Tolak Manisa secara halus.

“Saya teman awak berbuka?”

“Saya dah ada janji untuk berbuka nanti.” Sekali lagi Manisa menolak. Tolong cepat gerak Manisa. Sebelum dia tanya untuk sarapan besok pagi.

“Saya gerak dulu ya.” Laju Manisa meminta diri sebelum dirinya terjebak dengan penipuan yang lainnya pula.

Terkocoh-kocoh Manisa membuka pintu keretanya. Dicampak segala barangannya di tempat duduk sebelah. Segera enjin kereta dihidupkan. Manisa termenung seketika. Puasa? Yang kau melantak dua bungkus nasi lemak pagi tadi tu apa Manisa? Agak-agaklah kalau nak menipu pun. Belum lagi air cencol yang kau tapau sebelum ke sini. Nasib baik tak sendawa tadi. Kalau tidak, mahu keluar bau cendol durian yang kau telan tadi. Tuan Saif ni pun satu, tak faham-faham lagi ke? Bukan main banyak lagi, aku bagi tanda yang aku tak sudi. Bukan hari ni je, sebelum ni pun. Tolong la sedar.

Manisa mencapai air mineral di ruang poket kereta lalu meneguk dengan rakusnya. Geramnya pada Tuan Saif buat dia rasa mendidih. Sedang elok dia meneguk, tiba-tiba dia ternampak Tuan Saif sedang memerhatinya dari tempat dia berjumpa tadi. Agak jauh dari kereta Manisa, namun cukup baik untuk melihat tindak tanduk Manisa. Air yang memenuhi ruang mulut Manisa tersembur keluar mengenai cermin kereta. Kau kan puasa Manisa!

*****

Iqwan menggenggam stereng keretanya dengan erat. Seakan dia tidak percaya dengan apa yang dia lihat ketika ini. Hendak marah? Rasanya dia tiada hak untuk berbuat sebegitu. Mahu sahaja dia berlari keluar kereta menyapa susuk tubuh yang dia rindukan saat itu. Semenjak hari terakhir dia menatap wajah Manisa, hidupnya menjadi tidak tentu. Bagai mayat yang tidak bernyawa. Hari-harinya disibukkan dengan hal-hal pekerjaan. Dia cuba sibukkan diri dengan bertemu klien dan melawat tapak-tapak binaan. Seboleh-bolehnya dia cuba untuk melupakan Manisa sepanjang tempoh perpisahan mereka. Sepertinya usahanya selama ini gagal. Dia tidak dapat melupakan Manisa. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui Manisa mempunyai anak bersamanya. Jiwa Iqwan meronta mahukan Manisa kembali.

Melihat kereta Manisa berjalan keluar dari kawasan parker, Iqwan turut sama membuntuti kereta itu. Dengan berhati-hati Iqwan menjaga jarak agar Manisa tidak perasan akan kehadirannya. Sepanjang perjalanan, dia cuba untuk bertenang. Sabar Iqwan, kau tak tahu sebab mengapa dia rahsiakan kehadiran Iman. Dalam kerunsingan, sempat Iqwan menguntumkan senyuman. Iman. Satu-satunya anak yang dia punya. Apa betul ke cuma Iman seorang? Tak ada yang lain? Mana tahu Manisa cuba sembunyikan anak mereka yang lain. Cuma yang pelik, mengapa Manisa sembunyikan keberadaan Iman darinya. Iman anaknya juga, jadi dia ada hak untuk mengetahui di mana Iman. Iman juga tanggungjawabnya.

Iqwan menghentikan keretanya di hujung jalan ketika melihat Manisa memasukkan kereta ke dalam garaj rumahnya. Besar rumah Manisa. Sekurang-kurangnya cukup luas untuk Manisa dan Iman tinggal bersama. Fikir Iqwan. Dia merasakan, cukup dahulu untuk hari ini mengekori Manisa. Dia perlukan perancangan lain bagi mendekati bekas isterinya itu. Kali ini, dia akan pastikan Manisa menerimanya tanpa syarat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience