Bab 22

Family Series 2580

Manisa menguis kekacang yang ada di dalam mangkuk aiskrimnya. Mati kutu sebenarnya dia ketika ini. Melihat Iman dengan tenang menghabiskan beberapa mangkuk aiskrim yang dipesannya, tidak mampu menghilangkan rasa gugup di hati Manisa. Apa yang dia mahu katakan? Lelaki di depannya juga masih tidak menyentuh soal Iman. Tidak mungkin dia sendiri yang akan buka cerita.

“What’s your name son?” soal lelaki itu.

“Iman Haziq.” Jawab Iman ringkas. Tangannya masih lincah menyuap aiskrim ke mulut. Seperti tidak mengerti situasi yang sedang Manisa hadapi ketika ini.

“Manisa, selama mana awak nak rahsiakan semua ini?” soal lelaki itu kepada Manisa pula. Sesak rasa nafas tika itu.

“Rahsia apa?” Manisa pura-pura tidak mengerti.

“Iman anak kita.”

Manisa memberi isyarat tidak dengan menggunakan jari telunjuknya.

“Tidak Tuan Saif. Iman bukan anak kita. Iman anak saya seorang.” Manisa cuba menghela nafasnya yang tersekat-sekat. Lepas satu masalah, satu lagi timbul. Hari itu Iqwan, kali ini Tuan Saif. Kenapa semua sibuk mengaku Iman anak mereka. Sedangkan aku ibu Iman, aku yang besarkan dia sendirian. Akulah ayah, akulah ibu Iman. Bukan mereka.

Sempat Manisa menoleh ke meja sebelah tempat duduk Iman. Khuatir juga jika Iman terdengar percakapan mereka. Sebolehnya dia tidak mahu Iman terluka dalam hal ini. Ini bukan soal Iman sahaja, hati dan perasaannya juga turut menjadi taruhan.

“Tuan Saif, tak ada sebab saya nak beritahu semua orang mengenai Iman. Terutamanya, Tuan Saif sendiri. Iman ada ayah dia sendiri.” Manisa tergigit lidah. Kenapa perlu sebut dia ada ayah, Manisa? Sukalah kalau si Iqwan tu dengar.

“Then, explain this.” Tuan Saif Haziq menunjukkan wajahnya, kemudian menuding ke arah wajah Iman. Mengisyaratkan bahawa wajah mereka seiras.

“Seriously? Have you ever heard doppelganger?” Manisa cuba bermain dengan ilmu pengetahuan sains. Padahal cukup dia tahu bahawa semua itu tidak cukup menidakkan fakta di depan mata.

“Tapi tak mungkin seiras ini. Okey, habis tu kenapa Iman panggil saya ‘daddy’?” soal Tuan Saif Haziq lagi. Jujur, dia yakin Iman anaknya setelah melihat secara berdepan.

“Tuan Saif, saya tak tahu apa masalah yang Tuan Saif. Iman tak pernah panggil sesiapa dengan panggilan tu kecuali ayah dia sendiri.” Manisa masih cuba berdalih. Maafkan mommy, Iman.

“Tak percaya? Okey.” Manisa menoleh ke arah Iman.

“Iman, kenal ke siapa ni?” soal Manisa. Iman yang terpinga-pinga apabila ditanya mengelengkan kepala. Tidak mahu terlibat dalam konspirasi Manisa, dia kembali menyuap aiskrim ke mulutnya.

Tuan Saif Haziq mengeluh hampa. Dia yakin dia tidak salah dengar tadi.

*****

“Mommy, pak cik tadi tu siapa?” soal Iman ketika berduaan dengan Manisa di dalam kereta. Manisa yang tadinya fokus memandu terganggu dengan soalan Iman. Cukup dia tahu, Iman bukan kanak-kanak yang pendiam. Namun sejak pulang tadi, Iman membisukan diri, pasti ada yang bermain dalam fikirannya. Dan apabila Iman bersuara, Manisa sendiri tak mampu menahan soalan dari anak itu.

“Iman tak kenal ke?” Manisa cuba memancing.

Iman menggelengkan kepalanya. “Iman ingat daddy, rupanya bukan.”

“Daddy? Siapa?” soal Manisa sambil tersenyum. Mujur juga sebenarnya Iman tidak perasan tadi. Mungkin wajah Tuan Saif yang sudah sedikit berubah. Dari berjambang, kepada wajah yang bersih tanpa sehelai bulu roma.

“Macam Daddy Haziq.” Manisa tersentak. Jadi tekaan Iman pada mulanya memang benar. Dia dapat mengecam wajah Tuan Saif Haziq rupanya. Barangkali wajah itu yang sering dia tatap sebelum tidur.

Manisa mengusap kepala Iman. “Betullah tu. Daddy Haziq. Tapi Iman tak boleh panggil Daddy Haziq dengan panggilan daddy dekat luar rumah. Nanti kalau kawan Iman tahu, Iman ada ramai ayah macam mana?”

Iman mengangguk seakan mengerti. Apalah yang fahamkan. Hanya setakat umur tiga tahun, apalah yang mampu dia hadam.

“Mommy?” panggil Iman lagi.

“Iya sayang.” Sempat Manisa menoleh ke arah Iman sebelum fokus ke pemanduannya.

“Daddy Iqwan pun ke?”

Manisa kerut dahi. Kenapa dengan mamat tu?

“Kenapa?” Manisa paling malas bila mendengar nama Iqwan disebut. Rasa cemburu tu macam membuak-buak di hati. Cemburu berebutkan kasih sayang Iman.

“Tak boleh panggil daddy?” soal Iman.

“Betul.” Iman mengangguk laju mendengar jawapan Manisa. Manisa jadi pelik. Kenapa laju semacam ni?

“Daddy Iqwan memang suruh panggil lain pun.” Maklum Iman sambil bermain permainan kecil di sisinya. Kata-kata Iman membuatkan Manisa jadi tak sedap hati. Apa lagi dia racun anak aku ni? Baru seminggu tahu dia pinjam Iman.

“Kata Daddy Iqwan, panggil dia abah je.” Hati kecil Manisa seakan dijentik. Abah? Manisa sedikit terasa hati. Betapa selama ini dia jolokkan nama panggilan daddy kepada anak itu sejak kecil, sedangkan dia boleh sahaja beri panggilan nama melayu kepada ayah Iman. Dan Iqwan, dalam tempoh pengenalannya yang singkat itu mampu mengubah nama panggilannya sendiri tanpa memaksa. Terlalu ikut pengaruh barat ke aku ni?

“Lepas tu, Daddy Iqwan, eh, abah. Abah suruh Iman panggil mommy lain.” Manisa buat muka apabila mendengar kata-kata Iman. Namun telinganya masih dipasang. Dalam geram, mahu juga dia dengar cadangan Iqwan, mana tahu bernas.

“Abah suruh panggil, bonda.” Manisa hampir tergelak, namun sengaja ditahan. Klasik benar nama yang Iqwan beri. Mentang-mentang nama Manisa sendiri sudah klasik, mahu lagi dia tambah elemen klasik. Memang sengaja.

“Habis tu, Iman nak dengar kata siapa?”

“Abahlah.” Jawab Iman sambil tersenyum. Manisa berdecit mendengar jawapan Iman. Iqwan ni kan, memang sengaja cari pasal dengan aku.

*****

“Aku dah jumpa budak tu.” Tuan Saif Haziq tiba-tiba bersuara ketika minum petang bersama Dr. Khairi. Jarinya bermain-main di bucu meja menunggu reaksi dari sahabatnya itu. Namun, hanya sepi yang menyapa. Dr. Khairi masih menunggu ulasan darinya.

“Aku yakin kali ini. Dia memang anak aku. Firasat aku kuat mengatakan, ya. Iman anak aku.” Dr. Khairi masih tenang. Diletak cawan teh yang diminumnya ke piring semula. Bahunya disendeng sedikit ke kerusi mengambil posisi selesa. Petang-petang begini, sepatutnya dia sedang santai sambil menikmati minum petang. Namun tak disangka, dia terjebak dalam kes misteri sahabatnya.

“Kau tak boleh guna firasat semata-mata. Kalau dia bukan anak kau macam mana? Habis, kalau dia memang betul anak kau, apa kau nak buat?” Soalan Dr. Khairi membuat riak wajah Tuan Saif Haziq semakin runsing. Sekiranya Iman bukan anaknya, dia akan cuba terima hakikat itu. Namun sekiranya ya, bagaimana caranya untuk dia menebus kesilapan lampaunya?

“Aku akan dapatkan Manisa. Walaupun terpaksa tuntut di pengadilan.” Tuan Saif Haziq nekad. Mendengar jawapannya itu membuatkan Dr. Khairi terhenti sejenak. Niatnya mahu mencicipi kek yang dipesannya tadi terbantut.

“Kau nak tuntut hak penjagaan Iman? Kau sedar tak? Kau dengan Manisa tak ada ikatan perkahwinan yang sah. Kau bukan suami dia. Ini bermaksud, hak penjagaan Iman adalah hak milik mutlak Manisa, ibu kandung Iman.” Dr. Khairi meraup wajahnya. Entah apa yang bermain di fikiran sahabatnya ketika ini sehingga hendak merebut kebahagiaan insan lain pula.

“Kalau tak boleh, aku akan kahwin dengan Manisa. itu sahaja caranya.”

“Bawa istigfar Saif. Kau sedar tak apa kau cakap ni. Soal kahwin bukan boleh buat main. Kenapa sampai nak kahwin dengan Manisa? Aku faham. Kau memang dah lama ada hati dengan dia. Tapi, tak mungkin secara tiba-tiba nak kahwin pula.” Dr. Khairi menepek-nepuk bahu Tuan Saif Haziq. Berharap sahabatnya itu kembali ke dunia nyata.

“Aku berdosa Khai. Aku tak bertanggungjawab. Aku biarkan Manisa besarkan Iman seorang diri. Aku bersalah.” Tuan Saif Haziq memegang belakang tengkuknya. Terasa berat beban yang dia baru ketahui ketika ini.

“Saif, kau cuba bawa bertenang. Kau belum tahu lagi, Iman tu anak kau ke bukan. Entah-entah Manisa tu dah kahwin. Anak dia dengan suami dia. Kau je yang perasan.” Dr. Khairi cuba menenangkan fikiran Tuan Saif. Memang tiada yang mustahil, namun untuk semua ini terjadi, peratusannya sangatlah tipis.

Tuan Saif Haziq diam membatukan diri. Di satu sisi, dia memang merasa agak mustahil. Namun di satu sisi, dia berasa dekat dengan Iman. Nalurinya percaya Iman adalah masa silamnya. Sekiranya ya, dia tidak akan menganggap Iman sebagai satu kesilapan. Sebaliknya, Iman adalah anugerah. Anugerah terindah yang Allah kirim untuk dia terus bertaubat. Betapa jahilnya dia dulu.

“Khai, aku tak minta lebih. Aku cuma nak Iman dapat hak dia. Hak sebagai anak aku. Harta warisan aku, kalau aku dah tak ada, sekurang-kurangnya, Iman dapat warisi semua tu bila aku kahwin dengan Manisa.” Dr. Khairi mendengar dengan tekun. Ini bukan caranya Saif.

Dr. Khairi membetulkan kedudukannya. Cuba menghadam kata-kata Tuan Saif Haziq. Lama dia berfikir, kemudian barulah dia melontarkan akal fikirannya kepada sahabatnya itu.

“Saif, aku tak begitu arif dalam hukum faraid ni, cuma setahu aku, untuk perwarisan untuk anak tak sah taraf, kau perlu buat wasiat. Bukan kahwin dengan Manisa. Dan sekiranya itu alasan kau untuk kahwin dengan Manisa, aku tak setuju. Kau nak seksa dia ke? Kahwin tanpa perasaan cinta dan kasih sayang. Kau bukan macam tu, Saif Haziq.”

“Nasihat aku buat kau, rujuk orang yang lebih pakar dalam hal ni. Cuma pada aku, kahwini Manisa bila kau betul sayangkan dia, kasihkan dia. Bukan jadikan dia batu loncatan untuk lebih dekat dengan Iman.” Sambung Dr. Khairi. Dia begitu bersyukur apabila Tuan Saif Haziq ingin kembali ke jalan yang benar dahulu. Sungguh dia tak mahu sahabatnya itu jatuh ke jurang hitam yang dulu sekali lagi. Dia tidak mahu Tuan Saif Haziq terlalu alpa untuk memiliki sehingga sanggup melanggar segala hukum. Ini bukan sahabat yang dia kenal.

“Kau kembali pada-Nya, Saif. Minta petunjuk. Kalau betul Iman anak kau, dia ikut jalan yang betul. Tak semestinya kau kena kahwin dengan Manisa untuk dapatkan Iman. Ingat, tidak ada satu pun kebetulan dalam hidup ini. Allah dah tentukan semuanya. Mesti ada hikmah untuk semua ni.”

Tuan Saif Haziq menghela nafas yang panjang mendengar ucapan Dr. Khairi. Dia perlu kembali pada Penciptanya. Minta petunjuk, jalan yang terbaik untuk semua ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience