Bab 3

Family Series 2580

“Mama tak peduli. Iqwan tak boleh sambung di luar negara. Kalau dalam Malaysia je kenapa? Ada masalah ke dengan sistem pendidikan di negara kita ni?” Kemarahan Puan Marlia mula meledak. Dia tahu hasrat anak terunanya mahu sambung belajar. Dia tak halang. Dia tak pernah halang keinginan anak sulungnya itu. Tapi permintaan kali ini dia tidak boleh terima.

“Iq bukan buat apa pun dekat sana. Lima tahun je ma. Tak lama. Nanti cukup masa Iq balik. Buat apa menetap di negara orang?” Iqwan masih cuba memujuk. Di usia yang hampir mencecah 30an itu, dia masih takut akan kemarah Puan Marlia. Bukan dia tak tahu angin mamanya. Kalau hitam tak mungkin bertukar warna tahi cicak. Dia sudah lama menyatakan hasratnya. Bekerja lama di sebuah firma membuatnya ingin belajar lebih mendalam lagi. Dia mahu menjadi pakar dalam bidang ini. Ini impiannya sejak dulu.

“Mama cakap je mama nak apa. Iq akan tunaikan. Tapi bukan ini mama. Ini impian Iq. Mama tahu kan Iq memang dah lama nak sambung Master?” Iqwan masih merayu. Mengharap Puan Marlia memberi ihsan.

Puan Marlia memandang wajah anak terunanya. Hidupnya beruntung memiliki sepasang anak lelaki dan perempuan. Sungguh dia sokong minat anak sulungnya ini untuk terus menimba ilmu. Tapi, dia sudah terpengaruh. Ramai kenalannya mengkhabarkan pemergian anak mereka, akan mengambil masa yang terlalu lama. Ada setengahnya menceritakan anak mereka langsung tidak pulang, malah berkahwin dengan wanita asing di luar negara.

Puan Marlia tak mahu. Bukan tidak suka akan perkahwinan campur, tapi sekiranya Iqwan berkahwin dengan wanita asing. Semakin tipis peluang untuk anaknya menetap di Malaysia. Sungguh dia tak mahu. Untung sahaja anak keduanya, Indah sempat dia kahwinkan sebelum melanjutkan pelajaran di luar negara. Kini anaknya sudah pulang ke pangkuannya bersama dua anak kembar. Jadi, Iqwan mesti berkahwin terlebih dahulu!

“Mama nak abang kahwin.” Indah tiba-tiba mencelah. Iqwan mencerlung. Entah datang dari ceruk mana. Idea Indah sangat tidak membantu baginya kini.

“Mama setuju. Abang kena kahwin dulu. Baru mama izinkan.” Puan Marlia bersuara. Seperti hukuman mandatory. Iqwan terkesima dibuatnya. Tapi boleh kan lima tahun?

“Empat tahun sahaja. Mama beri peluang empat tahun sahaja. Selepas empat tahun, mama tahu abang kena ada dekat Malaysia.” Ujar Puan Marlia seraya berlalu meninggalkan anak terunanya. Sempat dia mencapai tangan kedua-dua cucu perempuannya untuk di bawa ke dapur. Hati Iqwan yang remuk langsung tak diendahkan.

“Nenek ada buat puding. Mari kita makan.” Cucunya yang baru belajar berjalan tersengih mendengar tona suara neneknya.

Iqwan buntu.

*****

Iqwan melihat corak abstrak yang terpampang di dada majalah. Sambil dia menghirup secangkir kopi, sempat dia tangkap perbualan orang sekelilingnya. Dia perlukan inspirasi. Inspirasi untuk projek bangunan yang akan dia serahkan kepada rakan kerjanya. Sekurang-kurangnya, sebelum dia serahkan projek ini, dia sudah siapkan desain yang menepati keinginan pelanggan mereka. Bekerja sebagai seorang arkitek, seringkali dia ketandusan idea untuk memenangi hati pelanggan. Namun, seringkali itu juga dia akan menghabiskan masa di luar pejabat untuk mencari inspirasi.

Kali ini matanya tertancap ke arah gadis yang sedang berada di sudut penjuru kedai. Sudah beberapa kali sebenarnya dia ternampak gadis itu. Manis orangnya. Namun bukan itu yang menarik perhatiannya. Gadis itu sudah banyak kali membawa jejaka yang berbeza ke kedai ini. Hampir setiap kali, pasangannya bertukar. Yang lebih menarik lagi, pelbagai latar belakang lelaki yang dibawanya.

Biasanya Iqwan tidak ambil peduli dengan keadaan sekeliling. Namun kali ini, dia cuba untuk mendekati gadis itu. Dia membawa secangkir kopinya bersama, lalu memilih untuk duduk di hadapan gadis itu.

Gadis di hadapannya seperti tidak kekok dengan kehadiran orang yang tidak dikenali. Sudah biasakah?

“Muqseed?” soal gadis di hadapannya sambil tersenyum manis. Ya memang manis. Semakin manis apabila berada berhadapan dengan gadis itu. Iqwan seakan tertarik. Lalu dia membalas senyuman gadis tersebut.

“Saya tahu niat awak daftar laman cari jodoh tu, tujuannya untuk mendirikan rumah tangga. Tapi saya taknak kahwin.” Iqwan terkejut. Suatu kenyataan yang agak berani bagi dirinya.

“Saya terkejut. Sebab saya pun rasa benda yang sama,” balas Iqwan. Gadis di hadapannya senyum kekok. Betul ke mamat ni?

“Saya tak ada masalah pun kalau awak tak mahu berkahwin. Tapi kenapa?” soal Iqwan.

“Manisa?” gadis itu menoleh. Ada lelaki lain yang memanggil namanya. Berdiri berdekatan dengan meja mereka.

“Ya? Siapa?” gadis itu termangu. Aku terkenal ke? Kenapa dia tegur aku?

“Sepatutnya saya yang tanya. Ini siapa? Sepatutnya awak tepati janji awak. Saya minta maaf sebab lambat sikit. Tapi itu bukan alasan untuk awak duduk dengan lelaki lain. Saya tak minta lebih. Saya cuma nak awak setia pada saya.” Manisa termangu. Ya, dia adalah calon ketiga dari kesemua calon. Sengaja Manisa letak dia di senarai temujanji yang terakhir dengan harapan dia tidak perlu berjumpa dengan lelaki tersebut sekiranya dia sudah menjumpai calon yang lebih sesuai. Nampak gayanya, tidak sama sekali.

“Saya kenalkan, ini tunang saya. Dia nak balik semula dengan saya. Saya harap awak faham. Jom sayang.” Manisa menarik lengan lelaki yang duduk berhadapan dengannya. Mamat jiwang mana aku jumpa dalam portal tu. Kenapa teruk sangat? Laju sahaja kakinya melangkah keluar. Kalau boleh mahu menjauh dari semua orang yang melihat kekacauan antara dia dan bekas bakal suami sementaranya. Muqseed? Eh kalau dia Muqseed, habis yang duduk dekat meja aku tu?

“Kita dah jauh sangat ni.” Suara lelaki yang Manisa tarik lengannya tadi kedengaran jelas. Ya, memang jauh Manisa heret jejaka itu. Jauh meninggalkan kedai, dan kini mereka berada betul-betul di lintasan pejalan kaki. Fikiran Manisa jadi kosong tiba-tiba. Apa aku buat ni?

“Awak ikut saya sekejap.” Kali ini tangan Manisa pula diheret jejaka itu.

*****

Manisa menatap wajah jejaka di hadapannya itu. Begitu juga Iqwan. Fikiran mereka berdua benar-benar penuh dengan bermacam fikiran.

“Saya Manisa.”

“Manis. Saya panggil Manis boleh? Saya Iqwan. Panggil Iq.” Tenang tatapan wajah Iqwan. Dia tahu gadis di hadapannya itu bercampur perasaan menghadapinya. Baru lepas kena tipu. Siapa yang suka?

Iqwan menghirup kopi di hadapannya. Ini kopi yang baru, di kedai yang baru. Kopinya tadi tak sempat dia habiskan, sudahpun diheret keluar oleh gadis di hadapannya. Sengaja dia memilih untuk duduk di bahagian luar kafe. Supaya perbualan mereka tidak diganggu. Manisa yang sedari dari tadi diperhati, menghirup jus buah di hadapannya. Cuba untuk membasahkan tekaknya yang seakan kering.

Aku yakin dah telek habis gambar Muqseed. Macam mana boleh tersalah orang. Siapa mamat depan aku ni? Ada calon lain yang aku terlepas pandang ke?

“Saya tak pernah nampak awak sebelum ni.” Manisa cuba memecahkan sunyi.

“Saya bukan orang sini.” Balas Iqwan.

“Awak kerja apa?” soal Manisa sambil memandang beg galas lelaki itu.

“Rahsia.” Mati. Manisa mati kutu. Mamat ni mematikan semua hasratnya untuk berbasa-basi. Dia terlalu canggung di sini. Rasanya mahu ditepek bedak sejuk biar semua orang tidak mengenalinya ketika ini.

Iqwan tergelak kecil di dalam hati. Dia cuba menguji gadis di hadapannya. Sengaja tidak mahu memberi peluang kepada gadis itu untuk berbasa-basi dengannya. Dia mahu lihat usaha gadis itu memecahkan kesunyian antara mereka.

“Saya nak minta maaf sebab tarik awak keluar dari kedai tadi. Memandangkan awak bukan orang sini, jadi saya rasa mungkin untuk berjumpa lagi itu agak mustahil. Jadi sebagai permohonan maaf, biar saya bayar minuman awak. Jadi, anggap kita kosong-kosong ya.” Manisa bangun menuju ke kaunter bayaran dan membayar minuman mereka. Selesai membuat pembayaran, dia mencapai begnya dia kerusi sambil mengukir senyum kepada Iqwan dan berlalu pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience