Bab 14

Family Series 2580

Iqwan mengorak langkah menuju ke meja tempat yang diduduki oleh kliennya. Hari ini, dia ada temu janji dengan klien itu. Berkat perkenalan dari Haji Hisham, rezekinya semakin terbuka luas. Sewaktu dia masih di UK lagi, Haji Hisham sudah mula memberikan beberapa projek kecil untuk syarikatnya memulakan operasi. Salah satunya, projek pembinaan rumah agam milik keluarga Tuan Saif. Anaknya sendiri, Saif Haziq yang meminta jasa baik Haji Hisham untuk mencarikan seorang arkitek yang memiliki citarasa yang lain dari biasa. Nyata, cadangan rekaan dari Iqwan berjaya menawan hati keluarga Tuan Saif. Dan kerana itu, khidmatnya diperlukan sekali lagi untuk membina sebuah rumah khas untuk kanak-kanak yang kurang berkemampuan.

“Tuan Saif Haziq bin Saif Helmi, bertemu kita sekali lagi.” Iqwan menghulur salam kepada lelaki muda itu.

“Jangan macam tu. Kita dah setuju untuk panggil aku Haziq sahaja.” Ramah Haziq menutur kata.

“Macam mana dengan perancangan yang kita bincang tempoh hari? Aku kalau boleh, mahu rekaannya unik. Lebih kepada tema kemelayuan sikit. Soal rekaan dalaman, jangan risau, aku dah dapatkan orang yang memenuhi kehendak seperti yang aku inginkan.” Iqwan mengangguk tanda mengerti. Dia membuka lembaran kertas yang menunjukkan sedikit rekaan yang telah dia siapkan. Rekaan secara 3D ditunjukkan melalui laptop miliknya kepada Haziq.

“Macam yang Encik Haziq minta, kita ada masukkan unsur kemelayuan dalam rekaan ini. Kita gunakan konsep kayu serta ukiran, yang lebih kepada flora dan fauna. Sedikit cadangan saya, untuk bahagian laman, kita tambah pondok untuk kesan santai. Kalau ada kolam ikan, kita tambahkan dengan bunyi pancuran air, jadi bila waktu petang, atau riadah, kanak-kanak boleh relaks dekat situ.” Iqwan menunjukkan kawasan yang sesuai untuk cadangannya itu.

“Aku rasa menarik. Nanti aku akan bincang dengan pereka dalaman aku. Aku rasa kau tahu kot. De’ Qoir Group. Aku suka khidmat rekaan yang disediakan syarikat itu.” Iqwan angkat kening. Sebelum ini pun, sewaktu projek membina rumah agam milik keluarga Tuan Saif, syarikat itu juga menjadi pilihan untuk rekaan dalaman. Tidak dinafikan, hasil sentuhan syarikat itu, memang membuatkan rumah Tuan Saif menjadi lebih megah. Namun, Iqwan merasakan, ada hal lain di sebalik pembinaan kali ini.

“Encik Haziq, kalau saya tanya sikit boleh? Agak peribadi.”

“Kita dah lama kenal. Mungkin kita akan bekerjasama lagi pada masa akan datang. Apa kata, kita tukar panggilan antara kita. Kau, aku, nampak macam lebih akrab. Jadi, kalau nak kongsi hal peribadi pun, tak menjadi masalah.” Haziq menghirup minuman kopinya yang semakin menyejuk.

“Macam mana saya nak mulakan ayat..”

“Iqwan, kau dengan aku, walaupun kita baru kenal. Tapi aku dapat rasakan, macam kita dah lama kenal. Kau cakap je.” Haziq masih cuba memecahkan rasa canggung Iqwan. Sejujurnya, dia suka dengan perwatakan Iqwan. Dari gayanya, nampak Iqwan begitu baik dan mampu membawa perubahan yang lebih baik ke dalam kehidupannya yang sebelum ini agak gelap. Dia mahukan sebuah persahabatan dengan lelaki itu.

“Tak. Aku cuma tertanya-tanya. Aku faham De’ Qoir memang mampu memberikan sentuhan yang kau nak. Tapi, rasanya macam setiap kali ada projek pembinaan, di bawah pimpinan kau, pasti akan ambil De’ Qoir. Sedangkan kalau projek lain di bawah pimpinan ahli keluarga Saif yang lain, masih banyak syarikat ID yang diambil.” Haziq tergelak. Tidak menyangka sebegitu teliti Iqwan memerhati cara kerjanya. Kalau sebelum ini, Haziq paling tidak suka hal peribadinya diselidiki, tetapi kali ini lain. Dia berasa seronok untuk berkongsi dengan Iqwan.

“Patut Haji Hisham sayangkan kau. Teliti bila buat kerja. Betullah apa yang kau kata tu. Aku memang sengaja pilih De’ Qoir.” Kali ini Iqwan pula menghirup minumannya. Menanti Haziq menghabiskan ayatnya.

“Aku dalam misi. Misi untuk pikat ID dalam De' Qoir. Tak kira dah berapa kali aku jumpa, setiap kali aku ajak dia keluar, mesti dia akan mengelak. Jadi aku tak ada cara lain, aku kena libatkan dia dalam hal kerja. Itu saja caranya.” Iqwan tergelak kecil. Jadi, semua projek yang dia terlibat sekarang ni, adalah plot dalam memikat gadis pujaan hati Haziq? Pereka dalaman De' Qoir.

“Jadi kau masih nak terlibat dalam projek Rumah Klasik ini tak?” Haziq meminta kepastian. Risau juga Iqwan menarik diri dek kerana rancangan gilanya itu. Ya, dia memang gila. Sanggup menerima bermacam projek pembinaan dalam syarikat ayahnya demi bertemu gadis pujaannya. Mungkinkah kali ini, dia benar-benar jatuh cinta buat sekali lagi?

*****

Manisa memandu perlahan memasuki lorong jalan rumahnya. Pemanduannya terhenti apabila terpandang sesusuk tubuh yang sedang berdiri di depan pagar rumahnya. Dari belakang, dia cukup kenal susuk tubuh itu. Mama, bekas mertuanya. Entah apa yang membawa wanita tua itu ke mari. Manisa memarkir keretanya di sebarang bahu jalan kerana kereta Puan Marlia sudah menghalang laluannya untuk masuk ke garaj rumahnya.

Perlahan-lahan Manisa menghampiri Puan Marlia. Entah apa yang dia takutkan, namun yang pasti dia tiada keberanian untuk berhadapan dengan wanita itu.

“Mama?” Puan Marlia berpaling. Segera tubuh Manisa didakap seeratnya. Rindu. Ya, dia benar-benar rindukan Manisa. Satu-satunya menantu perempuan yang dia ada.

“Sampai hati Manisa tinggalkan mama. Nisa tak sayangkan mama ke?” Manisa mengeleng. Bukan. Manisa minta maaf, mama.

“Kenapa Manisa jauhkan diri dari mama? Manisa dah tak nak jumpa mama ke?” Manisa mengeleng lagi. Air matanya hampir tumpah. Serba salah, sedih, ketakutan, semuanya bercampur-baur. Sejujurnya, tiada niat di dalam hatinya untuk menjauhkan diri dari bekas ibu mertuanya itu. Dia senangn dengan perwatakan wanita itu. Seorang ibu yang baik, mesra, serta begitu memahami kehendak hati anak-anak. Namun, dia terpaksa memilih untuk pergi kerana itu sahaja pilihan yang dia punya.

“Nisa rindukan mama. Sejak pulang dari UK, memang NIsa ada niat nak ziarah mama. Tapi,” Nisa tak mahu mama jumpa dengan Iman. Hanya mampu diucapkan di dalam hati. Kewujudan Iman masih lagi rahsia di antara dia dan Iqwan. Dia tidak mahu Iqwan rasa bersalah dan tidak dapat menjalani kehidupan yang dia inginkan kerana Iman.

“Tapi apa? Nisa nak tinggalkan mama ke?” rintih hati Puan Marlia. Dia tahu Manisa bukan sebegitu. Namun dia tetap sengapa mahu membuat Manisa rasa serba salah sehingga menceritakan apa sebenarnya yang terjadi antara mereka. Mengharapkan Iqwan berkongsi masalah ini, memang tidak akan jumpa jawapannya.

“Bukan. Ma, Nisa..”

“Mommy!” Iman dari jauh memanggil Manisa. Tangan Iman yang dalam pegangannya tangan Syahira terlepas. Laju anak lelaki itu berlari ke arah Manisa. Belum sempat Iman memeluk kaki Manisa, tubuhnya sudahpun ditangkap Puan Marlia. Dikucup berkali-kali anak lelaki itu. Seakan melepas rindu yang terlalu dalam.

“Iman, cucu nenek.” Manisa terpana mendengar ucapan Puan Marlia.

*****

Manisa duduk di sebelah Puan Marlia di atas bangku taman permainan sambil memerhatikan Iman yang leka bermain papan gelongsor bersama-sama kanak-kanak yang lain. Syahira, rakan serumah Manisa sudah lama masuk ke dalam rumah. Penat barangkali kerana setelah pulang dari tempat kerja, dia meminta izin untuk membawa Iman berjalan-jalan di pusat beli-belah berdekatan dengan rumah mereka. Melayan karenah Iman yang semakin ligat, agak mustahil jika dia tidak kelelahan. Jadi, dibiarkan sahaja rakan serumahnya itu pulang selain memberi ruang kepadanya untuk berbual hal peribadi dengan Puan Marlia.

“Dah besar Iman. Mama tak sangka yang Manisa pulang bawa balik hadiah terbesar buat keluarga kita.” Manisa menelan air liurnya yang terasa pahit. Adakah ini suatu sindiran halus?

“Tiga tahun, Nisa besarkan Iman. Sendiri.” Sengaja Manisa menekankan perkataan sendiri. Apabila mengenangkan detik menjaga Iman sendirian di negara orang, Manisa jadi sedih. Keputusan apa yang dia dah pilih selama ini?

“Sendiri? Iqwan tak tahu?” Puan Marlia sedikit keanehan. Mustahil Iqwan tak tahu. Iqwan suami Manisa. Ada benda yang tak beres ni. Puan Marlia cuba untuk tidak menunjukkan perubahan wajah yang ketara.

“Iman Haziq kan? Iman Haziq bin Iqwan Hakim. Panjangnya nama.” Puan Marlia cuba untuk mengalih tumpuannya. Soal Iqwan, pandailah dia uruskan nanti. Iqwan anak dia bukan?

Manisa hanya mengeleng tanda tidak menyetujui pertanyaan Puan Marlia. Dia mengambil nafas yang sedalamnya. Cuba mengumpul kekuatan.

“Nama Iman bukan berbinkan Iqwan Hakim ma. Nama dia, Iman Haziq bin Abdul Quddus. Sedapkan?” Manisa tersenyum pahit. Cuba menyembunyikan kepedihan yang dia rasa. Entah mengapa, setiap kali memikirkan hal Iman, dadanya terasa sesak.

Puan Marlia tercengang. Bukan bin anak lelakinya. Jadi Iman?

“Ya ma. Iman bukan anak Iqwan.” Puan Marlia menghela nafas panjang. Banyak benda yang Manisa perlu jelaskan.

*****

“Sejak Iman ada, Manisa cuba untuk bertahan. Iman satu-satunya kekuatan yang dia ada. Selalu juga Manisa cerita yang dia takut kalau Iman tanya siapa ayah dia. Tapi lepas tu, dia cepat-cepat buat lawak supaya lupa sekejap masalah mengenai Iman. Saya dah puas nasihat dia. Jangan terlalu fikir masalah yang belum jadi.” Syahira menghidangkan air kepada Puan Marlia yang sedari asyik memerhati Manisa melayan keletah Iman. Semakin membesar anak itu, semakin banyak ulahnya yang Manisa perlu betulkan. Imanlah dunianya ketika ini. Mana mungkin dia mengabaikan Iman. Namun, sekiranya Iman bertanya siapa ayahnya, Manisa belum siap untuk memberikan jawapan. Siapa ayah Iman? Kenapa dia bin Abdul Quddus? Syahira sendiri bingung mengapa nama Iman ada Abdul Quddus. Kata Manisa, Quddus bermaksud suci. Iman adalah hamba Allah yang suci.

“Manisa tak pernah beritahu siapa ayah Iman?” Syahira memberi isyarat tidak tahu. Puan Marlia jadi serba salah. Di satu sisi, dia gembira bertemu dengan Iman. Namun, di satu sisi, dia khuatir sekiranya Manisa tidak akan kembali dalam keluarganya. Dia perlu buat sesuatu. Biarpun Iman bukan darah dagingnya, dia sedikit sebanyak sudah mula belajar untuk menerima kehadiran anak lelaki itu. Iman Haziq, pandai Manisa pilih nama. Sekurang-kurangnya, nama itu dekat dengan nama anaknya, Iqwan Hakim. Nampaklah ada iras-iras di situ.

“Iman, sini dekat nenek.” Puan Marlia memanggil Iman yang sedang berkejaran dengan Manisa. Anak menantunya itu, biarpun sudah mempunyai anak seorang, namun perangainya seakan masih belum berubah. Di luar, mungkin ramai menyangka Manisa sudah semakin matang, namun baginya, Manisa masih yang dulu. Ceria, dan selalu tersenyum.

Iman berlari terkedek-kedek ke arah Puan Marlia. Biarpun wajah Iman tiada iras Iqwan mahupun Manisa, namun kemanisan wajah Manisa tetap tumpah ke rupa paras Iman. Manis sahaja bila ketawa, lebih-lebih lagi dengan kehadiran lesung pipitnya di pipi kiri. Semakin bertambah manis.

Iman memanjat kaki Puan Marlia sebelum duduk di atas ribaan wanita tua itu. Padahal baru sahaja berjumpa, Iman sudah pandai menyesuaikan diri dengan orang yang baru dia temui. Malah dia sudah fasih memanggil Puan Marlia dengan panggilan nenek. Telatahnya memang membuatkan sesiapa sahaja mudah jatuh hati. Beruntung Manisa. Beruntung juga buat dirinya kerana Iman menjadi sebahagian dari keluarganya.

Manisa mahu mengambil Iman dari ribaan Puan Marlia. Risau sekiranya bekas mertuanya itu berasa rimas dengan aksi anaknya yang ligat itu. Namun tindakannya segera ditegah. Puan Marlia memberi isyarat bahawa dia senang meriba Iman. Sudahnya, terpaksa Manisa membatalkan hasratnya untuk mengambil Iman. Lalu dia menarik kerusi dan duduk di sebelah Puan Marlia.

“Mama, terima kasih.” Manisa memandang wajah bekas mertuanya dengan penuh keikhlasan.

“Sebab?”

“Sebab sudi terima Iman. Manisa terharu.” Sungguh, dia tidak menyangka semudah itu Puan Marlia menerima Iman. Namun, bagaimana dengan reaksi Iqwan sekiranya dia mendapat tahu kewujudan Iman?

“Manisa nak minta tolong sesuatu boleh?” Puan Marlia mengangguk sahaja. Dia tidak mahu menghampakan hasrat menantunya itu. Apa permintaan Manisa?

“Rahsiakan hal ini dari Iqwan?” pinta Manisa. Puan Marlia berat. Dia tidak tahu harus bagaimana. Perkara ini seharusnya Iqwan tahu sejak dari mula. Mengapa perlu dirahsiakan dari Iqwan? Dengan berat Puan Marlia menguntumkan senyuman nipis. Mama tak janji sayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience