Bab 4

Family Series 2580

Iqwan ralit memerhati kesesakan lebuhraya. Kesesakan yang sama. Sudah hampir dua minggu dia menghadapi kesesakan itu. Semuanya gara-gara pelanggannya yang sibuk menguruskan projeknya di daerah Pontian. Jadi Iqwan terpaksa mengejarnya kerana tak mahu kerjanya tergendala. Dan disebabkan itu juga, Iqwan perlu menyewa homestay untuk suatu tempoh sementara menyelesaikan tugasannya. Bukan tak mahu berulang-alik, cuma memikirkan kesesakan yang akan dia tempuhi seperti hari ini menjadikan dia tegar menetap sementara di Pontian. Selang tiga empat hari, wajahnya pasti muncul di halaman rumah ibunya. Rindu katanya.

Ingatannya kembali kepada Manisa. Gadis yang tadinya begitu berani menarik tangannya ke hulur-hilir. Tak takutkah dia? Dengan saiznya yang mini, begitu senang kalau Iqwan mahu menculiknya. Kira-kira berapa umurnya? 18 tahun? Baru lepasan diploma? Boleh jadi sebab Iqwan tidak sempat menilik lama, sudahpun si Manisa berlalu pergi.

Teringat dia akan kata-kata Manisa. Tidak mahu berkahwin. Itu yang menarik perhatiannya. Kalau tak mahu kahwin, kenapa perlu berkenalan dengan ramai lelaki? Tak semena-mena Iqwan bingung memikirkan masalah Manisa. Bukan hal aku, kenapa perlu ambil tahu?

Fikirkan hal mama lebih penting Iqwan. Kau perlu pujuk dia. Hanya tiga bulan tempoh yang kau ada sementara kursus itu dibuka. Kalau tidak, selamat datang ke semester hadapan saja. Sia-sia kau siapkan semuanya dengan cepat, rupanya pembelajaran kau akan ditangguh. Buang masa!

Bukankah ini impian kau. Hanya ini peluang yang kau ada untuk buktikan yang kau juga mampu. Mampu buka syarikat perusahaan sendiri. Bermula dari bawah, belajar dari ramai arkitek senior. Tak mungkin selamanya kau mahu duduk di takuk lama. Biarpun syarikat kecil, kau pasti mampu bina kalau kau usaha Iqwan.

Semangat Iqwan mula berkobar. Dia akan pujuk mama!

*****

“Kalau mama pinangkan seseorang untuk abang boleh?” Iqwan bersuara mendaftar. Suasana makan malam tiba-tiba menjadi hening. Indah yang mendengar juga jadi tercengang. Betul ke apa yang aku dengar ni? Tangannya laju menyuap makanan ke mulut anaknya seorang demi seorang. Kemudian, diakhiri dengan mulutnya sendiri.

Puan Marlia mula tertarik dengan ayat anak terunanya. Betul ke dia nak kahwin? Sekian lama aku nyatakan hasrat mahu menanti perempuan, tak mungkin baru kali ini dia dengar. Tak mungkin sebab dia mahu sambung belajar, terus cari gadis pilihan?

“Abang dah janji dengan dia, bila balik nanti, baru bincang soal kahwin. Sebab abang nak fokus pada pelajaran.” Iqwan seakan dapat meneka fikiran mamanya. Tapi sekurang-kurangya, mama memberi reaksi positif jika dilihat dari riak wajahnya.

“Abang tak pernah cerita pada Indah pun?” Indah protes. Biasa abangnya akan mendapatkan pandangannya. Setidak-tidaknya, akan bercerita mengenai gadis yang dia suka seperti zaman sekolah dulu.

“Abang tengok adik sibuk. Anak lagi, suami lagi. Shopping lagi. Membawang dengan mama lagi. Ini malam ni kenapa makan dekat sini?” bidas Iqwan. Sengaja mahu mengubah topik. Tahu benar perangai adiknya itu. Setiap kali suaminya outstation, rumah mama mereka akan menjadi tempat dia bertandang. Bukan Iqwan menghalang kedatangan adiknya. Cuma kali ini, dia mahu berbincang hal ini dengan mama sahaja. Kalau ada Indah, mungkin peluang dia sambung belajar musnah sama sekali. Yang adanya, dia berkahwin dan terus menetap di bumi Malaysia tanpa sempat menimba ilmu di negara orang. Mana boleh samakan dia dengan Indah. Tamat sahaja pengajian diploma, terus mahu berkahwin. Tak pernah dia halang sekali pun kehendak Indah. Biarpun sijil yang ada hanya tergantung rapi di dinding rumah mereka, Iqwan tetap bangga kerana dia telah berjaya menjadikan adiknya seorang insan.

Membesarkan adiknya bersama ibunya, sekali pun membuat Iqwan tidak merasa sesal. Dia bangga kerana pencapaian adiknya. Menjadi pelajar yang berdedikasi semasa zaman sekolah. Biarpun seusai habis pengajian, Indah menyatakan hasrat tidak mahu sambung belajar, Iqwan tetap menyokong. Dia tahu adiknya ada perancangan yang lebih baik. Kini, adiknya hanya bekerja dari rumah menjadi pengurus produk keluaran mama mereka.

Puan Marlia, zaman mudanya tidak seindah sekarang. Menjadi ibu tunggal pada usia muda tidak membuat dia patah semangat. Melihat kesungguhan Iqwan menemani dirinya, dia jadi semakin tabah. Dia mula berniaga kecil-kecilan menjual kuih-muih tradisional. Sewaktu hari raya semakin menjelang, semakin tinggi permintaan yang dia dapat. Dari menerima tempahan kuih raya, dia mula beralih menerima tempahan jahitan baju. Alhamdulillah, rezeki memang Allah yang pegang. Dia semakin maju dalam perniagaan. Tambahan lagi apabila Indah menawarkan khidmat mahu membantu dirinya, perniagaan mereka semakin berjalan lancar. Puan Marlia masih dalam perancangan mahu membuka butik jenama keluarannya. Manakala perniagaan kuih-muihnya diserahkan kepada pembantunya untuk diurus. Kadangkala dia akan datang melihat keadaan kedai bakerinya.

Namun yang membuatnya buntu, Iqwan tidak pernah sekali menyuarakan isi hatinya. Sebagai seorang ibu, tentunya dia kesal. Kerana kesusahan yang dia alami dulu, Iqwan menjadi dewasa sebelum usia. Tidak pernah membawa mana-mana gadis untuk bertemu dengannya. Di penghujung usia 20an, Iqwan masih belum berumahtangga. Sedangkan Indah, anaknya sudah dua orang.

“Ayah kamu, orangnya sangat baik. Mama tak pernah menyesal berkahwin dengan dia. Walaupun dia pergi dulu, dia tinggalkan mama dengan dua bidadari kecil. Sekalipun mama tak pernah menyesali perkahwinan kami. Perkahwinan itu suatu yang suci. Mama tak mahu sebab mama, Iqwan terburu-buru membuat keputusan.” Iqwan hanya diam membisu. Mama dah mula melankolik. Mengenang kisah lama akan buat mama bersedih. Berdosakah aku?

“Jadi, bila mama boleh masuk meminang?” soal Puan Marlia. Iqwan terkelu. Indah terkedu. Mama sejak bila ada personaliti berbeza? Puan Marlia tersenyum. Dalam hatinya, biarpun dia tidak mahu memaksa anaknya untuk berkahwin. Tetapi jika sudah ada yang berkenaan, apa salahnya? Anaknya akan tetap berkahwin bukan? Cepat atau lambat, semua itu akan terjadi. Jadi tidak salah jika dia sendiri yang meminta untuk dicepatkan. Licik kau Marlia!

*****

“Abang cuti berapa hari?” soal Indah. Cuba berbasa-basi. Padahal niat di dalam hati ingin mencungkil rahsia dari abangnya itu. Hatinya tidak sabar untuk bertanya kepada Iqwan mengenai hal itu. Cepat-cepat dia bawa anaknya ke kamar tidur untuk ditidurkan segera. Kalau anaknya seorang, mungkin mudah sedikit kerjanya. Tapi ini dua orang. Kembar! Semestinya sehati dan sejiwa. Seorang merengek, seorang lagi akan menyokong padu untuk menangis bersama. Sebab itu dia sering menghabiskan masa di rumah mamanya. Dia perlukan bantuan sekiranya suaminya tiada di rumah. Siapa lagi kalau bukan mama!

“Dua hari. Esok dan ahad. Kenapa?” Iqwan dapat merasakan niat hati Indah. Hanya menanti untuk disoal.

“Kebetulan. Esok Abang Raden balik. Jom kita keluar bersama.” Indah tersenyum sambil meninggalkan abangnya begitu sahaja. Itu sahaja caranya. Dia tidak mungkin akan dapat mencungkil rahsia abangnya. Hanya suaminya boleh. Sebab, mereka rakan karib. Kawan mana boleh rahsia-rahsia. Suami isteri pun tak boleh berahsia.

Iqwan cuba menahan tawanya. Lucu melihat karenah Indah. Siapa ajar dia perangai mengarut ni? Ini mesti kerja Raden. Dasar kawan durjana, benda bukan-bukan kau ajar adik aku. Dalam tawa terselit juga kerisauan. Bukan main pukul canang mahu berkahwin. Tapi siapa calonnya? Iqwan tak mahu tenggelam dalam kerisauan. Wajah Manisa tiba-tiba lalu di benak fikirannya. Pantas dia mengeleng. Tak mungkin. Terang-terang tadi kau dengar dia kata tak mahu berkahwin. Kau tak boleh pilih macam pilih udang di pasar. Ini anak dara orang.

Iqwan merenung wajahnya di cermin. Muka aku ni, pas-pas je kalau nak masuk Hero Remaja. Terlalu tampan tidak, terlalu buruk pun tidak. Orang kata, kualiti standard. Tapi masih belum berpunya. Tak laku ke aku? Bukan tak laku. Cuma kau yang memilih Iqwan. Kau lebih memilih kerjaya dari rumahtangga. Kini kau yang ketinggalan. Akibat selalu mengabaikan wanita sekeliling, semua cukup maklum menghindari darinya dan memilih orang lain untuk dijadikan pasangan hidup. Memang nyata itu salah kau Iqwan.

*****

“Aku dengar cerita kau nak kahwin.” Raden melemparkan tali jorannya ke tengah tasik. Berita sensasi yang membuat dia tak berlengah lagi sejak pulang dari outstation. Bergegar satu rumah apabila dia dikejar isterinya, Indah bagi menyampaikan khabar mengenai rakannya itu. Boleh dikatakan berita tergempar kerana seumur hidupnya, belum pernah mendengar perkataan azimat itu keluar dari rakannya.

“Betullah tu.” Iqwan cuba untuk tidak bercerita lanjut.

“Siapa?”

“Kau tak pernah jumpa.” Iqwan mengikat umpan di hujung tali pancing.

“…dan kau tak pernah dengar nama dia.” Tali joran dilempar jauh sedikit dari kawasan Raden.

Raden aneh. Jarang Iqwan bersembunyi. Calonnya tak ada atau dia cuba bermain silang kata? Semasa dia cuba memberitahu Iqwan dulu mengenai hubungan dia dan Indah juga penuh dengan tanda tanya dibuatnya. Iqwan memang tak kisah dengan siapa Indah berkawan. Tetapi apabila mengetahui adiknya memilih Raden, dia jadi terkesima. Seminggu dia mendiamkan diri. Dia tahu kawannya setia. Berita rakan karibnya itu akan berkahwin, sungguh buat dia rasa terharu. Bergegas dia pulang dari kampus di negeri Perak sana untuk mendengar kisah lebih lanjut. Tanpa disangka, adiknya sendiri yang disunting.

Raden jadi hilang punca. Terus terang dia menyatakan cinta pada Indah. Namun Iqwan seakan menolak sehingga akhirnya Raden hampir putus asa. Ketika Raden mahu memutuskan hubungan dia dan Indah, barulah Iqwan setuju. Ya, dia memang penuh teka-teki. Tiada siapa yang mampu membaca fikirannya. Iqwan, si penolak cinta.

“Aku cuma harap dia terima dan tak terkejut dengan lamaran aku.” Raden memandang Iqwan dengan penuh tanda tanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience