Bab 21

Family Series 2580

Roses for mummy, toys for babies.

Manisa membaca kad ucapan yang diselitkan bersama jambangan bunga ros yang baru dia terima. Terukir segaris senyuman di bibirnya. Dalam keras hatinya, cair juga bila diberi bunga. Tidak perlu dia teka siapa yang beri. Dia sudah tahu pemberinya siapa. Siapa lagi yang tahu dia sudah mempunyai anak? Selain Syahira, tiada orang lain lagi. Iqwan Hakim.

Siapa je yang tak boleh teka bila ditulis nama pengirim, Duda Pujaan Hati Awak. Hampir terletus ketawa ketika Manisa membacanya. Kalau mamat itu ada di depannya, memang makan sedas penumbuk. Malulah kalau orang tahu, ada duda mahu menguratnya. Maklum, status dia sebagai janda pun tiada siapa yang tahu. Siapa suruh borang permohonan jawatan hanya beri pilihan bujang atau berkahwin? Sudahnya dia tanda bujang.

“Wah, dapat bunga.” Tegur Kak Azila ketika melalui meja Manisa. Tegurannya menarik perhatian beberapa rakan kerja yang lain. Si Kitol juga tidak mahu lepaskan peluang. Kalau bab gosip, laju benar Si Qila mahu ambil tahu.

“Dari siapa?” soal Qila. Manisa tersengih melihat gelagat Qila. Serupa anak kecil. Belum sempat Manisa bersuara, kad ucapan sudahpun diambil Qila.

“Duda pujaan hati awak? Duda mana ni? Aku tak pernah tahu pun.” Qila membuat riak wajah kebingungan. Lagaknya sungguh mencuit hati. Sejujurnya, adakala memang perangai Qila boleh buat orang sakit hati. Namun, kehadirannya kadangkala turut mengubat hati. Cuma apabila Qila tanpa sengaja terambil projek Manisa, buat Manisa rasa bengang sampaikan gadis itu menerima gelaran si Kitol dari Manisa.

“Mati-mati akak ingatkan dari Tuan Saif.” Kata-kata Kak Azila buat Manisa mencebik. Kalau bunga ni dari Tuan Saif Haziq, sudah lama tempatnya dalam tong sampah.

“Orang kata jangan benci sangat. Nanti berjodoh.” Perli Qila. Sengaja dia mahu cari pasal di pagi hari dengan Manisa. Bukan selalu dia buat perangai. Cuma hari ini, mahu cuba nasib.

“Kalau itulah jodoh, rela aku tak kahwin.” Kali kedua. Sambung Manisa dalam hati.

“Bukan main elok Tuan Saif Haziq tu, pun kau tolak. Muka taraf-taraf pan-asian. Keluarga bukan biasa-biasa. Ada gelaran Tuan. Kaya pulak tu.” Puji Qila melambung tinggi.

“Kalau dia sempurna sangat dekat mata kau, kau je ambil dia. Kenapa bagi aku?”

“Aku memang nak dia tu. Tapi itulah. Dia pula tak mahukan aku.” Ayat terakhir Qila buat seisi pejabat pecah tawa. Ada sahaja telatahnya buat orang mahu ketawa. Sebenarnya, bukan dia tak cantik. Manis, ayu lagi. Cuma dek kerana perangainya yang gila-gila, buat ramai sangsi untuk berteman dengannya.

“Dah. Cukup dengan barangan kau tu. Bak sini kad ucapan tu. Pergi sambung kerja. Encik Malek dah nak masuk pejabat kejap lagi.” Manisa menyimpan kad ucapan beserta mainan dari Iqwan ke dalam laci meja kerjanya. Bunga yang diterima dibawa ke pantri untuk diletak ke dalam pasu sebelum dibawa ke meja kerjanya. Dalam senyum-senyum yang cuba dia sembunyi, sempat Manisa puji Iqwan dalam hati. Makin romantik pula duda aku ni.

*****

“Iqwan, mana you pergi tiga hari ni? I call you, text, semua tak respon. I risau.” Damia membentak Iqwan semahunya. Dia mahu tahu semua gerakan lelaki itu. Dia tidak mahu lelaki itu terlepas dari pandangannya. Dia, Damia, tidak akan biarkan Iqwan pergi dari hidupnya begitu sahaja. Hatinya bertambah sakit apabila melihat Iqwan tidak memberi reaksi kepadanya.

Sejak pulang dari UK, sikap Iqwan jauh benar berubah. Tidak seperti Iqwan yang dia kenal dulu. Dahulu, sebelum mereka berangkat pergi ke UK, Iqwan merupakan insan yang sangat prihatin terhadapnya. Cuma kini, sikap lelaki itu mula berubah. Tidak seperti dulu yang sentiasa ada untuknya. Dia perasan, perlakuan Iqwan terhadapnya mula lain semasa mereka sambung belajar di UK. Ke mana perginya Iqwan yang dulu?

“Kenapa? Ada masalah ke?” Iqwan cuba bersikap profesional. Damia mengeluh. Masalah? Hati ni. Hati aku yang rasa macam nak pecah tak jumpa kau dekat dua minggu. Siapa nak jawab?

“I tak kata ada masalah besar. Cuma, ada beberapa klien yang cari you. Dia orang tak mahu I. Nak jumpa dengan you jugak. Jadi, masalah kan tu?” Damia cuba mengarang ayat. Benar, memang ada beberapa klien yang mencari Iqwan, cuma, tidaklah seperti yang diceritakan. Mereka hanya bertanya khabar Iqwan sahaja. Tidak lebih dari itu.

Melihat Iqwan yang tidak memberi tindak balas membuatkan Damia membuka langkah kedua. Dia berjalan menuju ke kerusi Iqwan. Tangannya menjalar ke bahu Iqwan. Memicit lembut bahu lelaki itu ala-ala di spa lagaknya. Iqwan yang tadinya fokus membaca laporan fail dari pekerja bawahannya jadi terganggu.

“Damia, boleh duduk tempat awak sana?” arah Iqwan sambil menuding ke arah kerusi di depannya. Selain fokusnya terganggu, dia berasa tidak selesa diperlakukan sebegitu. Dengan baju Damia yang sendat, memicit bahunya dengan gaya seperti menggoda, siapa pun boleh salah sangka.

Damia yang mendengar kata-kata Iqwan hanya buat tidak peduli. Makin dilembutkan jari-jemarinya untuk bermain di bahu Iqwan. Lama-kelamaan tangannya beralih ke bahagian kepala Iqwan. Gayanya seperti mahu memicit kepala Iqwan pula, namun segera ditepis.

Iqwan menekan interkom yang disambungkan ke meja setiausahanya. “Kak Mila, masuk bilik saya sekejap.”

Kak Mila yang memang sejak dari tadi perasan gelagat Damia dari luar hanya menunggu panggilan dari bosnya itu. Sebelum ini pun, Iqwan akan memanggilnya jika tindakan Damia menjadi semakin tidak terkawal.

Terkocoh-kocoh Kak Mila memasuki ruangan pejabat Iqwan. Sambil membawa beberapa dokumen yang perlu ditandatangai Iqwan, dia sengaja mengambil laluan yang bersimpang siur sehingga terlanggar tubuh Damia yang semakin menggedik. Memang niat mahu dilanggar pun perempuan patah tulang seperti Damia itu. Dari awal dia mula bekerja lagi, mata Kak Mila rasa berbulu melihat tingkahnya. Macam mana bosnya, Iqwan boleh tergerak hati mengambil Damia bekerja dengannya?

Damia mencebik apabila dirinya dilanggar Kak Mila. Cermin mata bukan main besar, tak nampak lagi ke jalan sampai aku pun dia nak langgar? Si rabun ni pun, aku sepak jugak nanti. Getus hati Damia.

“Iqwan, ini ada beberapa fail yang nak minta tandatangan. Lepas tu, ada beberapa dokumen ni, kena semak semula kiraan kasar semua, ada yang macam lari sedikit dengan kos semasa perbincangan dulu dengan proposal yang dibuat ni. Akak tak berani nak cakap, cuma nak Iqwan tengok betul ke apa yang akak fikir tu.” Iqwan menyambut fail yang dihulur Kak Mila. Walaupun makin bertambah kerja saat ini, tapi tak mengapa. Bukan tidak boleh minta staf lain buat semakan, cuma sekarang ini, dia perlu nampak sibuk. Supaya dengan sendirinya Damia akan keluar dari pejabatnya untuk membuat kerjanya sendiri.

“Kak Mila nak sekarang ke?” Iqwan masih meneruskan lakonannya.

“Sekarang. Penting ni.” Kak Mila mendesak.

“Kalau macam tu, akak tolong sorting kan fail yang ini. Lepas tu, akak beri pada Damia, untuk buat semakan terakhir. Sebab saya nak pastikan kita tak ada masalah untuk jangka masa panjang di lain hari.” Sengaja dia sebutkan nama Damia secara terang-terangan supaya gadis itu sedar akan tugasannya di syarikat itu. Dia dibayar untuk bekerja, bukan untuk mencuri hati majikannya. Hati majikannya sudah lama tiada. Dicuri oleh bekas isterinya. Apa khabar agaknya dengan Manisa hari ini? Sudah terima ke bunga yang dia pesan? Kalau sudah, kenapa dia masih belum terima mesej pesanan ringkas dari Manisa? Tidak suka ke dia?

“You? Dengar tak apa I cakap tadi?” Seperti baru ditarik ke dunia sebenar. Kata-kata Damia tiba-tiba menerjah ke gegendang telinganya.

“Apa?” Iqwan menggosok belakang tengkuknya yang terasa lenguh. Apa lagi masalah dia ni?

“I nak balik bilik I. Nanti dah siap semua ni, hantar bilik I okey, Kak Mila?” Damia mencuit bahu Kak Mila. Wanita lewat usia 30-an itu hanya tersenyum paksa. Kenapa pula aku yang kena ke sana?

“Okey.” Balas Kak Mila sambil mencuit kembali bahu Damia. Damia yang baru sahaja dicuit bahunya segera berubah wajah. Dia tidak suka disentuh. Apalagi dengan orang-orang di pejabat itu yang dirasakan tidak setaraf dengan dirinya.

Melihat gelagat Damia yang sedaya upaya menahan kelat di wajahnya membuatkan Kak Mila hampir terletus tawa. Sebaik sahaja Damia menutup pintu bilik Iqwan, tawanya pecah juga.

“Nampak muka dia?” soal Kak Mila. Iqwan hanya tergelak melihat gelagat Kak Mila. Sikapnya yang suka mengusik, membuatkan dia senang. Kak Mila membuatkan dia teringat pada Manisa. Entah mengapa, rasa rindunya kepada Manisa terasa semakin menggebu.

“Akak tengok muka Iqwan, lepas balik bercuti dua minggu tu..”

“Bukan cuti kak. Ada kerja. Uruskan projek Tuan Saif.” Sempat Iqwan membetulkan pemikiran Kak Mila sebelum staf yang lain fikir perkara yang sama.

“Okey, lepas naik tu. Senyum je muka. Manis je akak tengok. Ada apa-apa ke?” soal Kak Mila.

“Ya ke?” Iqwan meraba-raba wajahnya. Cuba menahan sebarang reaksi yang jelas terpancar. Orang kalau bahagia, sembunyi macam mana pun tetap juga nampak.

“Iya. Macam orang tua-tua dulu cakap. Muka dilamun cinta. Cepat cakap siapa?”

“Ya Allah, akak. Kita cinta pada Yang Esa.”

“Kalau kau tak mahu beritahu, akak panggil awek ramping kau tadi.” Ugut Kak Mila. Siapa lagi kalau bukan Damia. Sengaja diakal-akalkan Iqwan. Dalam banyak-banyak ugutan, ugutan ini yang paling mujarab. Perangai Damia makin hari makin melentok. Dulu tidak sebegini seingat Iqwan.

“Adalah. Kalau ada rezeki, nasi minyak. Kalau tak ada, nasi bujang lagi la.” Iqwan seperti memberi petanda. Kak Mila yang mendengar kata-kata Iqwan menekup mulutnya. Berita gembira sangat ni.

“Tapi akak jangan kecoh pula. Malu kalau tak jadi.” Kak Mila memberi isyarat okey sebelum kembali meneruskan kerjanya.

*****

Manisa berjalan berpimpingan tangan bersama Iman. Hari ini dia sudah janji mahu bawa Iman berjalan-jalan di kawasan pusat beli-belah. Sengaja dia kata mahu cuci mata hari ini. Padahal dia mahu ambil hati Iman semula supaya tidak teringat akan Iqwan. Penat dia menjawab pertanyaan Iman setiap kali anak itu bertanyakan hal ayahnya.

Jumpa pun baru seminggu, bukan main lagi sudah jadi ayah kesayangan Iman. Getus hati Manisa. Kadang-kadang dia rasa geram. Kadangkala dia rasa seronok melihat Iman bahagia bersama Iqwan. Namun perasaan geram acapkali melebihi keinginannya untuk melihat Iman tersenyum bahagia. Entah di suatu sudut hatinya, bagai digigit perasaan cemburu apabila mendengar celoteh Iman mengenai bekas suaminya. Agaknya, kalau dari dulu lagi Iman kenal Iqwan, mungkin lebih susah mereka hendak berpisah, fikirnya.

“Mommy, balloons!” jerit Iman sambil menuding ke arah sekelompok kanak-kanak yang berkerumun di sebalik maskot yang memegang belon-belon di tangannya.

Dengan memberi isyarat, Manisa mengizinkan Iman untuk turut serta mendapatkan belon tersebut. Dia hanya menghantar anaknya dengan ekor mata. Selalu juga pusat beli-belah ini memberikan belon percuma kepada pengunjung terutama kanak-kanak. Kebetulan, Iman sangat sukakan belon, memang semakin menjadi perangai ligatnya.

Iman yang berlari kecil, tiba lambat di tempat maskot yang memberi belon. Sesampainya di situ, tinggal hanya satu belon dan kanak-kanak yang ada di sebelahnya perempuan. Iman jadi segan untuk mengambil. Dia memberikan belon itu kepada anak perempuan di sebelahnya. Sempat dia menoleh ke arah Manisa memancarkan wajah hampa.

Manisa yang dari jauh memerhati hanya tersenyum kecil. Kasihan Iman. Dia melangkah perlahan menghampiri Iman yang sedang sugul.

“Tak apa. Nanti kita cari belon lain.” Pujuk Manisa.

Seakan termakan pujukan Manisa, Iman memegang tangan Manisa, memimpin untuk sambung berjalan. Tak semena-mena langkahnya terhenti apabila menerima huluran belon yang sudah diikat tali. Langkah Manisa juga turut terhenti. Tidak sempat dia menghalang, Iman sudah mengambil belon dari tangan lelaki yang menghulurkan belon buat Iman.

“Thank you, daddy.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience