Bab 5

Family Series 2580

“Bertemu lagi kita Cik Manisa.” Iqwan menarik kerusi lalu duduk di hadapan Manisa. Masih di kafe yang sama, menunggu jejaka yang lain barangkali. Manisa memandang wajah Iqwan kemudian perlahan-lahan menghela nafas. Mamat ini lagi.

“Ya. Saya Manisa. Encik ada janji nak jumpa saya ke?” Sesungguhnya hari ini Manisa tiada mood. Kalau bukan sebab hal kerjanya, sudah lama dia memecut balik ke rumah. Tetapi kali ini lain. Usikan rakan kerjanya membuatkan dia tidak mahu pulang ke rumah awal. Dia stress. Masing-masing mula menghimpitnya dengan soalan peribadi. Sudah ada pasangankah? Sudah berpunyakah? Bila mahu bertunang? Bila mahu berkahwin? Tak takut dapat anak lambat ke? Manisa jadi serabut. Dia memang tidak akan kembali muda, cuma dia hanya mahu ruang.

Kalau hal ini diceritakan kepada Mak Temah, sudah semestinya rakan kerja dia yang disokong emaknya. Mana mahu Mak Temah sokong pilihan Manisa mahu membujang hingga ke tua. Disebabkan itu jugalah, dia hingga kini masih lagi terperuk di dalam kampung. Tak akan boleh dia keluar dari teratak mereka tanpa ada peneman.

“Saya ada satu soalan sahaja. Ini untuk menentukan sama ada patut saya teruskan atau tidak.” Manisa angkat kening mendengar pernyataan Iqwan. Kedengaran penting. Jadi apa kaitan dengan dirinya?

“Awak ada masalah dengan perkahwinan ke?”

“Tak ada. Saya neutral,” jawab Manisa polos.

“Jadi kenapa awak tak mahu kahwin?” Manisa memandang wajah Iqwan. Ini dah jadi soalan kedua. Mana janjimu yang tadi. Iqwan membalas pandangan Manisa. Saya perlukan jawapan Cik Manisa.

“Okay. Husband is the real problem here. Saya nak kahwin, tapi saya taknak ada dalam alam ‘perkahwinan’ tu sendiri. Awak faham tak?” nada Manisa sedikit melonjak. Menarik perhatian orang yang duduk berdekatan dengannya.

Iqwan cuba menghadam maksud Manisa. Kedengaran agak rumit baginya.

“Okey. Sebenarnya macam ni. Saya hanya perlukan suami untuk bawa saya keluar dari sini. Saya nak merasa hidup di bandar. Secara tempatnya, saya nak cuba bekerja di bandar-bandar besar. Awak tak akan faham. Sepanjang hidup saya, saya tak pernah tinggalkan negeri ni.” Manisa menarik nafas dalam-dalam.

“Saya tak minta lama. Cukup dua atau tiga tahun. Lepas tu saya nak berpisah. Bawa haluan masing-masing sebab saya nak balik semula ke kampung halaman saya. Semua ini hanya sementara. Tapi calon-calon yang saya jumpa setakat ini, semuanya menngharapkan pengakhiran yang bahagia bersama. Siapa kata pilihan berpisah tu tak bahagia?” Manisa meluahkan segalanya. Selama ini dia pendam. Dia tak ada sesiapa untuk dikongsikan. Dia takut dicemuh, dibenci kerana corak pemikirannya yang sebegitu. Memandangkan Iqwan bukan sesiapa. Tidak dia kenali, mungkin itu punca dia mudah bercerita.

“Kalau empat tahun?”

“Tak kisah. Asalkan bukan selamanya.” Ujar Manisa spontan. Dia penat memikirkan calon-calon yang dia temui saban hari. Semuanya benar-benar ingin berkahwin. Sedangkan dia? Perkahwinan hanyalah sebuah batu loncatan buatnya.

“Kahwin dengan saya?” Manisa memandang Iqwan tak berkedip. Mamat ni normal ke? Ke dia separuh suku macam aku juga?

“Okey sebenarnya macam ini.” Iqwan mula membuka ceritanya. Mungkin Manisa adalah jalan keluar baginya. Dia perlukan isteri sebagai syarat untuk sambung belajar. Manisa perlukan suami untuk keluar dari kampung halamannya. Misi mereka hampir sama. Bersatu di bawah matlamat yang berbeza.

“Tapi ada satu masalah.” Perlahan sahaja Iqwan berkata.

“Saya tak akan bawa awak keluar dari negeri ni.” Manisa jadi keliru.

“Awak akan ikut saya ke UK.” Manisa tersenyum. Even better!

*****

“Mak…” Manisa melirih memanggil Mak Temah.

Mak Temah yang sedang ralit menjahit tikam mata lalat di bahagian leher baju memandangnya. Meminta segera Manisa melontarkan bicara sebelum dia menyambung kerjanya.

“Kawan Nisa nak datang hujung minggu ni.” Perlahan-lahan wajah Manisa beralih ke kaca tv. Sempat dia mengerling reaksi wajah emaknya.

“Datang aje la. Macam tak pernah bawa kawan datang rumah.” Omel Mak Temah. Manisa senyum sumbing. Macam mana nak cakap ni?

“Kawan lelaki?” Manisa mengangguk. Pandai mak teka.

“Bawa je balik. Nanti abah biar mak settle.” Amboi, lain macam ayat mak. Dah macam undertaker gaya dia bercakap.

Manisa meneruskan tontonan televisyennya. Padahal dia langsung tidak fokus. Mudah benar nak beri keizinan. Mak ni dah kena manderem dengan mana-mana bomoh ke? Senang je bawa bincang. Ke ada orang mengata aku anak dara tak laku? Eleh, kalau tak laku pun, itu aku. Bukannya anak dia orang. Kalau aku tahu, memang aku cilikan mulut dia.

“Molek ke budaknya?”

“Apa yang molek mak?” soal Manisa separa terkejut. Cukup emaknya maklum Manisa lemah semangat. Mudah terkejut.

“Kawan kau tu. Siapa nama dia?”

Manisa diam. Lama. Otaknya tiba-tiba bekerja keras. Siapa nama dia? Aku lupa. Mustaqim ke? Eh itu Muqseed. Bukan. Pak Arab tu ke? Ya Allah, kenapa tak ingat ni?

“Nanti mak tahu la.” Manisa senyum hambar sambil memandang muka Mak Temah.

“Nisa masuk tidur dulu ya mak. Mengantuk. Esok nak masuk kerja awal. Melambak fail belum susun tadi masa balik.” Manisa pura-pura menguap. Laju dia menuju ke biliknya. Segera dicapai telefon bimbitnya mencari nama lelaki yang dia jumpa kelmarin.

Calon suami 16. Ya, itu nama yang dia simpan. Dia membuka mesej antara mereka. Mencari klu yang mungkin ada. Satu persatu dia belek dan nyata masih gagal. Sudahnya dia pasrah. Nanti-nanti saja lah tanya. Aku nak tidur. Macam mana boleh lupa? Konon-konon, saja mahu menunjuk yang dia ramai calon suami. Sudahnya, dia sendiri lupa. Manisa, kau memang tak boleh diharap.

*****

“Manisa namanya?” Iqwan mengangguk. Jangan tanya lebih. Itu sahaja yang dia tahu.

“Orang mana?” soal mama. Kalau boleh, dia mahu tahu lebih lagi. Iqwan terlalu berahsia dengannya. Entah sejak bila dia mula menjalin cinta, tidak pernah Puan Marlia sedar. Tahu-tahu sudah mahu berkahwin atas desakannya. Betul ke Iqwan ada kekasih? Atau dia upah sesiapa? Tapi tak mungkin anaknya itu mahu upah orang. Mereka bukan orang kaya. Hanya senang sedikit dari orang biasa.

“Pontian ma. Kenal di Pontian.” Jawab Iqwan sambil menunjukkan gambar Manisa. Itu pun cuma sekeping sahaja yang dia ada. Gambar yang dia curi-curi ambil sewaktu Manisa leka mencicipi kek di hadapannya. Gambar itu perlu dia ambil. Sebagai bukti yang dia tak menipu.

“Bukan ke abang baru ke Pontian dua minggu lepas?” Puan Marlia mula syak wasangka.

“Abang dah lama kenal. Sebelum ni pun abang ada juga ke Pontian. Mama je yang tak tahu.”

“Kenapa abang tak cerita?” soal Puan Marlia.

“Mama tak tanya,” laju Iqwan menepis. Ya, itu dia smash dari Sidek Brothers. Tangkas dan tepat. Iqwan senyum. Dia menghirup air kopi buatan mamanya. Sedap seperti selalu.

“Bila nak masuk meminang?” Iqwan tersedak. Lama. Kerongkongnya jadi sakit.

“Dia minta masa sikit ma. Dia terkejut sebab terlalu mengejut. Kami rancang dulu, bila abang dah balik dari UK baru nak bertunang. Tapi bila mama minta cepatkan, dia minta masa.” Puan Marlia mengangguk perlahan mendengar penjelasan Iqwan. Jadi, betullah Iqwan bukan main-main bila dia minta pinangkan anak dara orang.

“Anak dara kan?” Tiba-tiba Puan Marlia bertanya.

“Kalau janda pun kenapa?” Iqwan tayang muka aneh. Perlu ke pandang status itu semua? Lagi pula mereka akan berkahwin sementara. Pernyataan itu membuatkan Iqwan terhenti seketika. Kalau Manisa berpisah nanti, dia akan dapat status janda. Tak mengapakah? Bagaimana dengan pandangan masyarakat sekeliling?

Segera Iqwan mencapai telefon bimbitnya. Dihantar mesej ringkas kepada Manisa.

Tak kisah ke dapat status janda nanti? -Iqwan.

Lama Iqwan menanti balasan. Ting!

Nanti jumpa, bincang. -Manisa.

Hanya itu. Sepatah soalan Iqwan, suku patah yang dibalas. Manisa memang tak ada hati pada lelaki ke?

“Ma, abang ni handsome tak?” Puan Marlia memandang wajah anaknya.

“Kurang sikit dari bapak kau dulu-dulu.” Iqwan hampa. Mamanya sendiri pun tidak memujinya, apatah lagi orang luar. Tapi ini bukan sembarangan orang luar. Ini bakal janda kau Iqwan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience