Bab 17

Family Series 2580

Tuan Saif Haziq merenung tikar solatnya dengan tekun. Hatinya diruntun pilu. Betapa selama ini dia terlalu jauh dari Sang Pencipta. Alpa dengan hal duniawi sehingga akhirat dia tinggalkan. Ayahnya, Tuan Saif Helmi, ahli korporat ternama. Begitu ramai yang menyanjunginya. Namun dia, sebaliknya. Yang dia tahu hanyalah berfoya-foya dengan mana-mana gadis yang dia jumpa di kelab malam. Halal haram semua dia tidak ambil pusing, asalkan dia nikmati kepuasan.

Namun, hari demi hari, kepuasan yang dicari dirasakan semakin hilang. Jiwanya terasa kosong. Jikalau bukan kerana pertemuan singkatnya dengan Manisa dulu, mungkin dia masih lagi hanyut dengan dunia cipataannya sendiri. Manisa yang manis, lembut dalam tutur kata, malah sabar dalam memberi nasihat. Itu yang membuatkan dia tertarik kepada gadis itu. Perlahan-lahan Manisa membawa dia melangkah ke arah yang lebih baik. Bukan hanya dia rasakan itu, malah seisi rumah.

Jadi sebab itu, mereka satu keluarga sangat berbesar hati sekiranya mereka dapat berkenalan dengan Manisa sendiri. Jika Manisa mampu membuka hati Haziq untuk berubah, segala kekurangan yang lainnya akan mereka tolak tepi. Orang yang paling ketara menyokong usaha Saif Haziq untuk memperisterikan Manisa, tidak lain tidak bukan adalah ibunya sendiri. Puan Harlina seorang yang sangat alim. Melihat perubahan anaknya sendiri, membuatkan dia yakin dengan pilihan anaknya itu. Setiap hari dia berdua agar anaknya kembali ke jalan yang benar. Tidak disangka, doanya dimakbulkan.

Biarpun perubahan Haziq tidak terlalu drastik, asalkan dia berusaha, Puan Harlina cukup berasa syukur. Entah keajaiban apa lagi yang akan dibawa oleh Manisa sekiranya gadis itu menjadi ahli keluarganya sendiri.

“Haziq, kenapa ni sayang?” soal Puan Harlina sambil menggosok belakang anaknya. Kerapkali dia perasan, Haziq akan menangis setiap kali bangun untuk solat tahajud. Semoga anaknya terus istiqamah dalam mendapatkan keredaan Ilahi.

Tuan Saif Haziq hanya mengeleng sambil menguntum senyuman. “Tak ada apa ma. Haziq terkenang dosa-dosa Haziq yang dulu. Terlalu banyak.”

“Allah tak pandang sisi lampau hamba-Nya. Dia nak hamba-Nya bertaqwa kepada-Nya. Ikhlaskan semua. Insya-Allah, setiap apa yang kita kerjakan pada jalan-Nya, akan mendapat tempat yang istimewa.”

Haziq hanya mengangguk mengerti. Dia tahu semua itu. Cuma hakikatnya dia takut. Takut seandainya dia leka, gagal dalam mencari jalan untuk kembali. Dia perlukan kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. Baginya, Manisa adalah salah satu sumber yang membuatkan dia terus bertahan. Dia yang dulu, lelaki yang tidak terurus. Hari-hari dipenuhi dengan maksiat, terasa kerdil sekiranya ingin menagih kasih dari seorang insan yang berhati mulia seperti Manisa.

*****

Manisa keanehan melihat lelaki yang sedang tersandar lesu di tengah perjalanan kaki. Di tengah malam sebegini, dia bingung mahu berbuat apa. Dia yang baru pulang bersama Syahira tidak sampai hati melihat lelaki yang tidak terurus itu sendiri.

“Nisa, kau nak buat apa? Biar je. Jangan peduli.” Ujar Syahira separuh memujuk. Dia takut melihat lelaki itu. Dari gayanya, lelaki itu seperti sedang mabuk berat. Dengan wajah yang dipenuhi bulu jambang, Syahira jadi bertambah takut. Mana tahu lelaki itu antara yang terlibat dalam sindiket-sindiket penculikan. Di tengah malam begini lagi, mana mahu dapatkan pertolongan dari orang lain?

“Kasihan dia. Paling tidak pun, kita bawa dia ke klinik sana. Dekat je. Macam dah teruk sangat ni.” Manisa cuba menarik tangan lelaki itu. Dia berusaha untuk membawanya ke klinik di hujung lot. Syahira yang tadinya menolak, akhirnya turut sama membantu. Dalam keengganan, dia tetap tidak mahu tinggal sendiri di situ. Biarlah dia bantu Manisa seketika.

Setibanya di klinik, Manisa menguruskan segala hal pendaftaran. Mujur doktor di situ kenal dengan lelaki yang dibawanya. Tanpa berlengah, Manisa terus menitipkan lelaki itu kepada doktor yang sedang bertugas. Bukan dia mahu lepas tangan, namun di tengah malam sebegini, dia tidak mahu membahayakan keselamatan dirinya dan Syahira juga. Biarlah esok dia jenguk lelaki itu.

“Doktor, ini nombor saya. Kalau orang ni ada apa-apa masalh, telefon saya ya. Saya bukan tak mahu tunggu. Tapi ni dah lewat malam sangat. Saya minta diri dulu ya.” Ujar Manisa sambil tangannya ditarik Syahira ke luar klinik. Takut benar lagaknya.

Doktor yang sedang bertugas itu hanya tersenyum melihat gelagat dua orang gadis yang membawa sahabatnya ke situ. Mujur jumpa orang yang baik hati. Doktor itu mengeluh. Ini bukan sekali dua, kawannya itu mabuk berat. Sudah banyak kali, dan setiap kali itu dia bernasib malang. Dirompak, disamun, dipukul tidak seperti layaknya manusia. Cuma kali ini nasibnya agak baik walaupun ditinggal pergi akhirnya.

“Arghhh..” Doktor muda itu menoleh apabila mendengar suara sahabatnya mengerang.

“Dah sedar?” Dia ketawa sinis.

“Aku dekat mana ni Khai?” soal lelaki itu sambil memegang kepalanya yang masih pusing.

“Klinik aku macam biasa. Cuma kali ini, ada orang yang hantar. Kau boleh tak, ubah gaya hidup kau. Makin teruk sejak kau balik dari luar negara. Aku sayang kau. Aku tak nak kau hanyut, Ziq.” Tuan Saif Haziq menoleh apabila namanya disebut.

“Siapa yang hantar?”

“Tak tahu. Tapi dia ada tinggalkan nombor.” Doktor Khairi menghulurkan telefonnya kepada Tuan Saif Haziq. Senyuman tipis terukir di wajah lelaki yang penuh dengan jambang itu.

“One more thing. Jambang tu, tolong trimmed. Aku hampir tak kenal kau. Penuh satu muka. Mana tak takut awek yang hantarkan kau tu.”

Awek? Tuan Saif Haziq merengus. Pastinya gadis yang dia temui di kelab malam tadi. Gadis-gadis yang tamakkan harta keluarganya. Sudah pasti semua barang berharganya sudah diambil siap-siap sebelum dia dihantar ke sini.

Tuan Saif Haziq menyeluk sakunya sambil mencari barangan berharganya yang lain. Tiada!

“Kalau takut kena rompak, jangan mabuk. Barang kau ada aku simpan.” Doktor Khairi menunjukkan barangan Tuan Saif Haziq yang diletak ke dalam mangkuk tempat dia letakkan alatan perubatan. Semunya sudah dia sanitasi agar kuman mati. Sebagai seorang pengamal perubatan, dia juga tidak terlepas dari penyakit menjaga kebersihan. Tidak semua begitu, namun Doktor Khairi tidak terkecuali.

“Kau duduk dekat sini malam ni. Aku akan jadi doktor yang rawat kau. Sambil tunggu awek tadi tu datang ambil kau esok pagi. Jangan bagi alasan sebab aku tak nak dengar satu pun.” Doktor Khairi dengan lembut membaringkan Tuan Saif Haziq di atas katil pesakit. Tangannya satu lagi menghulurkan ubat kepada kawannya supaya sakit kepala yang dialami berkurangan.

Mata Tuan Saif Haziq yang tadinya segar semakin melayu. Dia tertidur dengan lena malam itu.

*****

Sebaik sahaja masuk ke klinik, Manisa terus menuju ke kaunter pertanyaan. “Doktor, semalam saya ada hantar pesakit. Dia macam mana?”

“Cik, klinik kami tak beroperasi pada waktu malam.” Jawab gadis petugas kaunter.

Air muka Manisa terus berubah. Tak buka? Habis semalam bukan main terang lagi klinik ni?

“Betul ke ni?” soal Manisa. Dia cuba untuk memastikan bahawa dia tidak salah dengar ketika itu. Setahu aku, aku belum lagi ada masalah pendengaran.

Gadis kaunter itu mengangguk. Wajahnya tenang melayani soalan Manisa. Seperti sudah biasa menerima soalan sebegini. Manisa telan air liur. Habis semalam aku hantar lelaki tu? Ke alam mana pula perginya lelaki tu? Itu pun kalau dia manusia, kalau dia pun makhluk ghaib? Manisa memegang dadanya. Jantungnya berdegup kencang. Aku masuk alam lain ke malam tadi?

“Awak ni comel lah.” Doktor Khairi menyapa Manisa. Manisa tayang muka seakan tidak percaya. Sekarang ni, hijab mata aku terbuka ke? Aku ada dekat dalam alam bunian ke sekarang ni?

“Saya tipu je. Saya yang minta adik ni cakap macam tu pada awak.” Manisa masih termangu-mangu. Ini tipu betul-betul ke atau aku masih..

“Cik, dekat depan pintu tu tulis 24 jam. Jangan risau.” Manisa menghembus nafas lega. Hampir dia terlupa. Semalam semasa dia masuk ke klinik ini pun, dia nampak tulisan 24 jam itu. Namun dek kerana kata-kata gadis kaunter itu sangat meyakinkan, dia sampai lupa dengan apa yang dia lihat.

Manisa tergelak kecil sehingga menampakkan lesung pipitnya menjadikan wajahnya semakin manis. Siang-siang hari dah kena tipu. Hai dunia tipu-tipu, kenapa aku hari ni yang kau pilih untuk ditipu? Doktor Khairi memegang dadanya. Menunjukkan riak wajah kesakitan.

“Jangan senyum macam tu. Saya boleh kena serangan jantung sebab berdegup kencang.” Seloroh Doktor Khairi membuatkan Manisa tersipu malu.

“Orang yang semalam tu?”

“Oh dia dah sedar. Boleh bawa dia pulang.” Sebaik sahaja Doktor Khairi menghabiskan kata-katanya, lelaki itu keluar dari ruangan bilik kesihatan. Manisa hanya menguntumkan senyuman kepada lelaki itu. Dia kemudian menguruskan bil bayaran rawatan kesihatan lelaki itu di kaunter. Sebaik sahaja selesai, dia membawa lelaki itu makan di kedai berhampiran. Lelaki itu makan tanpa mempedulikan kehadiran Manisa di situ. Manisa telan liur. Cuba untuk memecahkan kesunyian.

“Awak, duduk mana?” soal Manisa takut-takut. Iya lah, baru kenal terus tanya rumah di mana. Mana mungkin lelaki itu nak beritahu.

“Jangan salah anggap. Saya tak ada niat apa-apa. Saya nak hantar awak balik.” Sebolehnya Manisa tidak mahu lelaki itu salah anggap.

“Hantar dekat..” ayat lelaki itu terhenti apabila dia terdengar bunyi azan dari masjid berdekatan.

“… haa situ.” Lelaki itu mengisyaratkan supaya menghantarnya ke masjid depan situ sahaja. Manisa mengangguk faham. Perlahan-lahan dia menyedut minumannya sambil membuang pandangan jauh ke luar. Dalam takut-takutnya, sempat dia menjeling ke arah lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu sedang memandang tepat ke arahnya. Hampir tersedak Manisa dibuatnya. Manisa jadi tak keruan apabila ditenung sebegitu.

“Awak dah siap makan? Jom kita ke sana.” Perlahan sahaja Manisa bersuara. Kalau boleh, Manisa mahu singkatkan tempoh masa dia bersama lelaki itu. Dia segera mahu menghantar lelaki itu jauh darinya. Buatnya dia tengking aku masa ni, memang berjurai air mata mengalir. Takut.

Sebaik sahaja sampai di perkarangan masjid, Manisa menghentikan kereta. Dia keluar, begitu juga lelaki itu.

“Nak pergi mana?” soal lelaki itu ketika melihat Manisa juga turut keluar sama. Dia nak ikut aku balik ke?

“Alang-alang dah ke sini, solat teruslah. Nanti saya tak terkejar-kejar.” Jawab Manisa ringkas. Selain dia mahu solat, dia memang niat mahu larikan diri dari lelaki itu. Lagi cepat, lebih baik.

“Awak, tolong saya?” pinta lelaki itu. Manisa angkat kening. Tolong apa pula kali ni?

“Bantu saya cari jalan kembali.” Pinta lelaki itu. Manisa tersenyum manis mendengar ucapan lelaki itu.
*****

Tuan Saif Haziq meraup wajahnya. Begitu lama dia terkenang peristiwa pengenalan dia dan Manisa. Biarpun Manisa sampai ke akhirnya tidak mengenali dirinya yang sebenar, dia yakin suatu hari nanti Manisa akan jumpa jalan kepadanya. Di hari dia mahu menunjukkan wajah sebenarnya kepada Manisa, gadis itu hilang tanpa khabar berita. Jangan wajahnya, namanya pun Manisa tidak tahu. Manisa tidak banyak tanya. Gadis itu lebih banyak tersenyum. Memberikan kata-kata semangat agar dia tidak mudah mengalah.

Betapa selama ini dia cuba mencari masa untuk memberitahu hal sebenar kepada Manisa. Namun gadis itu bagai sengaja menjauhkan diri darinya. Kalau sahaja Manisa tahu siapa dia sebenarnya, adakah layanan Manisa kepadanya akan berubah seperti dulu. Gadis yang manis, lembut dalam tutur kata, malah pemurah dengan senyuman.

Melihat jam di dinding yang hampir menjelang subuh, Tuan Saif Haziq bangun untuk memperbaharui wudhunya. Dia ingin berubah. Dia mahu menjadi lelaki yang terbaik buat Manisa. Dia tidak mahu kekurangannya menjadi alasan Manisa menolaknya suatu hari nanti. Manisa adalah anugerah terindah buatnya. Mana mungkin dia lepaskan insan yang telah membawanya kepada jalan kebenaran.

Tuan Saif Haziq membetulkan kedudukan tikar solatnya yang teralih sedikit ketika dia bangun. Dia tekad untuk kembali kepada Pencipta. Solat-solat sunat tidak lekang di hari malamnya. Dia takut amalannya tidak diterima kerana kegagalannya sebelum ini memenuhi tuntutan agama. Dia tidak mahu jika suatu hari nanti dia disoal mengenai ke mana perginya waktu dia di kala muda.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience