Bab 27

Family Series 2580

Mak Temah membalik-balikkan keropok lekor yang baru sahaja dimasukkan ke dalam kuali berisi minyak panas. Petang itu, dia mahu menjamu keluarganya dengan makanan ringan yang dibelikan jirannya ketika berjalan ke Terengganu bersama keluarganya. Bertuah sungguh dia rasa apabila menerima bungkusan cenderahati dari jirannya itu. Maklumlah, bukan senang hendak punya jiran yang baik hati pada zaman sekarang ini. Mak Temah dan Mak Leha memang baik sejak dulu lagi. Anaknya cuma seorang, jadi itulah yang menjadi pengarang jantungnya. Ke mana-mana akan dibawa Mak Leha bersama. Risau katanya jika ditinggal sendirian walaupun anaknya itu sudah berumahtangga.

Pak Derus yang baru masuk ke dalam rumah mula terhidu bauan keropok lekor yang sudah dimasak. Bau ikan yang menusuk hidung memang betul-betul menggugat kesabaran Pak Derus untuk menunggu keropok yang sudah dimasak itu sejuk sedikit. Terkumat-kamit mulut Pak Derus mengeluarkan bahang panas dari keropok lekor yang sudah masuk ke dalam mulutnya.

“Cuba bersabar sikit. Panas lagi tu. Kalau melecur, siapa yang susah?” bebel Mak Temah melihat gelagat suaminya yang seperti keanak-anakan.

“Tak apa. Kalau tunggu sejuk, dah tak sedap.” Balas Pak Derus sambil membawa beberapa keping sebelum keluar rumah semula. Melihat suaminya yang seakan sibuk itu, Mak Temah tidak jadi fokus dengan gorengannya. Matanya yang menghantar Pak Derus ke muka pintu tidak berhenti hanya sekadar di situ. Perlahan-lahan dia mengekori gerak Pak Derus hingga ke depan pintu. Tahulah dia apa yang dilakukan oleh suaminya ketika itu.

Pak Derus gigih benar membetulkan reban ayam yang sudah senget. Kayunya yang sudah mereput diganti dengan kayu yang baru. Kadangkalanya Mak Temah hairan dengan suaminya. Bukan duit tak ada, tapi masih lagi mahu membetulkan reban yang sepatutnya dibuang itu. Buat baharu kan lebih senang. Tidak bazir tenaga untuk membaiki, fikirnya.

“Mak, masak apa ni sampai berasap satu rumah?” tegur Manisa ketika dia menuruni anak tangga dari rumah atas. Mendengar kata-kata Manisa membawa Mak Temah ke dunia nyata. Keropok aku!

Berlari anak Mak Temah mengejar keropoknya yang sudah bertukar warna coklat kegelapan. Mujur Manisa menegurnya. Manisa yang cepat-cepat membalikkan keropok, segera mengangkatnya dari dalam kuali.

“Hitam dah keropok mak.” Ucap Mak Temah syahdu. Sayangnya keropok ni. Dari Terengganu pula tu, susah nak dapat.

“Tak hangus mana pun. Tak apa. Manisa suka. Yang ini confirm masak.” Ujar Manisa separa mengusik. Mana mungkin dia lupa, kenangan dia menggoreng ikan yang baru keluar dari peti beku. Biarpun luarnya nampak garing dan rangup, di dalamnya masih mentah. Sejak dari itu, Manisa jadi kurang gemar memakan sebarang jenis ikan kecuali sardin.

“Kau mengata mak ya?”

“Mana ada. Mak ni kenapa goreng keropok dekat sini, tapi emak duduk depan pintu? Mengurat abah ke?” soal Manisa dalam nada mengusik. Anak bongsunya itu memang suka mengusiknya sejak dari dulu lagi. Mujur Mastura tidak begitu. Kalau tidak, mahu pening dilayan perangai Manisa dan ayahnya yang satu kepala.

“Kalau ya pun kenapa? Itu laki mak.” Mak Temah tajam memandang Manisa. Geramlah tu, bisik hati Manisa. Dek kerana ditenung sebegitu, Manisa jadi mati kutu hendak mengusik emaknya. Biasanya, ideanya benar-benar mencurah. Tapi kali ini, otaknya terasa beku.

“Sunyi je mak rumah ni. Mana yang lain?”

Mak Temah buat-buat tak dengar. Sengaja mahu memulang paku buah keras.

“Mak, mana semua orang?” soal Manisa sekali lagi. Mak ni, dia suka biarkan soalan aku tergantung.

“Kau nak siapa yang ada? Mak dengan abah, ada depan mata ni. Yang tak ada juga ditanya.”

Manisa tayang wajah kebingungan. Siapa yang tak ada?

“Bukan main elok je si Iqwan tu tumpang rumah kita. Kau suruh dia balik. Ini mula bergaduh sunyi. Haa, rindulah tu.” Papp! Terasa seperti ditampar dengan kata-kata Mak Temah. Kenapa babitkan Iqwan pula ni?

“Tak ada. Tak tanya dia pun. Manisa tanya, mana budak-budak. Iman, Tasya? Sunyi je tak ada bunyi suara.”

“Ada tu dekat belakang rumah. Main ikan dalam kolam dengan Abang Syamil kau. Pergilah kejap lagi. Bawakan keropok ni sekali. Akak kau kalau dah masuk kolam, mana mahunya jejak kaki ke rumah.” Panjang celoteh Mak Temah kali ini. Manisa cukup faham dengan perangai emaknya itu. Pasti ada yang bermain di fikirannya. Itu punca dia sering mengomel.

“Boleh. Nanti Nisa bawa ke sana.” Manisa berjeda. Dia teringat kembali kata-kata Mak Temah mengenai Iqwan.

“Bila Iqwan balik mak?” Manisa kembali mengajukan soalan. Pelik juga. Seingatnya tadi, lepas pulang dari kenduri kahwin Azie, dia tidak pula mendengar bunyi kereta Iqwan keluar dari kawasan rumah.

“Kalau kau tidur, letak bom pun belum tentu bangun Manisa.” Mak Temah cukup arif dengan perangai Manisa. Baru sekejap sahaja meletakkan kepala di bantal, terus hilang ke alam lain dibuatnya. Memang anaknya itu kuat tidur.

“Dah la. Manisa nak bawa keropok ni ke bawah sana. Nanti sejuk dah tak sedap.” Mak Temah hanya mengiyakan sahaja setiap kata-kata Manisa dengan anggukan. Betul tu. Keropok ni kena makan sementara masih hangat. Kemudian dia tersenyum rapi. Dibawa sepinggan keropok lagi keluar untuk dimakan bersama suaminya. Biarlah anak-anaknya bermain ikan di kolam. Dia mahu menemani Pak Derus.

*****

“Kak Mas, Abang Syamil, ni keropok.” Ujar Manisa kemudian meletakkannya di atas meja berhampiran. Seronok benar dia melihat anaknya dan Tasya bermain air. Mahu putus nyawa ikan-ikan di dalam kolam itu melarikan diri dari ditangkap mereka berdua. Biarpun kecil, namun ligat.

“Matilah ikan abah kalau macam ni.” Manisa mengeleng. Abang Syamil hanya membiarkan gelagat isterinya berendam di dalam kolam. Biarpun air kolam itu sudah keruh dibuat mereka, namun Abang Syamil masih sabar menyauk ikan menggunakan jaring. Mahu dikatakan usahanya itu sia-sia, sudah ada beberapa ekor juga yang dapat ditangkap.

“Kau lambatlah dik. Bawa sini.” Kata Kak Mastura sambil memberi isyarat supaya membawanya keropok ikan itu. Manisa segera mengambil sekeping untuk santapan kakaknya. Dihulurkan kepada Mastura yang sudah kuyup di dalam kolam. Mastura perlahan-lahan mendekati. Kemudian muncul idea nakalnya. Sebaik sahaja Manisa menghulurkan tangannya, segera dicapai lalu menarik Manisa masuk ke dalam kolam sama.

“Akak!” Manisa menjerit semahunya. Kejadian yang terlalu cepat menjadikan Manisa tidak dapat mengimbangi badannya lalu terjatuh ke dalam kolam yang sama. Habis basah dia dibuatnya.

“Kau ni, sejak dah besar, tak nak masuk kolam dengan aku lagi.” Rungut Kak Mastura. Betapa dia rindukan zaman kanak-kanak mereka. Zaman kecil mereka dipenuhi dengan bermacam gelagat nakal.
Melihat Manisa yang cemberut, Kak Mastura mahu mengusiknya lagi. Bukan selalu dia dapat menyakat Manisa. Biasanya dia yang selalu diusik Manisa.

“Kau ke sini kenapa? Cari laki kau ke? Dia tak ada.” Laju sahaja Kak Mastura bertutur seakan mampu menebak persoalan yang bermain di fikiran Manisa.

“Akak!” Manisa menjeling tajam. Pantang benar apabila Iqwan digelar suaminya sedangkan mereka berdua sudah tidak mempunyai sebarang hubungan.

“Saja je usik. Kau ni kuat sensitif la sekarang.” Giliran Kak Mastura pula memasang wajah mencuka. Sengaja dia tayang muka sebegitu supaya Manisa tidak jadi memarahinya sekali lagi. Sejak bergelar janda ni, hormon Manisa menjadi semakin tidak stabil. Asyik berangin saja kerjanya, fikir Mastura.

“Ni, Nisa nak hantar keropok ni. Nisa dah mandi tahu. Kena mandi sekali lagi la lepas ni.” Sempat Manisa menjeling ke arah Abang Syamil. Risau juga jika iparnya itu terpandang dia dalam keadaan sebegitu. Kalau berbaju gelap, tidak apalah. Ini dia berbaju cerah, putih pula. Sudah warnanya bertukar jadi warna teh ais. Jenuhlah nak cuci nanti.

“Iqwan tak ada. Dia dah balik. Tadi masa kau duduk lama dalam bilik, dia balik. Itulah kau, tetamu ada, tak mahu keluar bilik. Sekarang dah balik, baru nak cari.” Mastura mula membuka jurus bebelannya. Abang Syamil masih khusyuk dengan tangkapan ikannya. Sengaja dia memakai earphone supaya tidak terganggu dengan suasana hingar bingar anak dan isterinya.

“Tak cari dia pun. Biarlah dia nak balik. Dia ada rumah. Tadi Nisa tertidur. Mana tahu dia nak balik hari ni. Bukan nak beritahu.” Sepatah-sepatah Manisa membela diri.

“Tak cari di mulut. Dalam hati siapa tahu?” Mastura lambat-lambat menuju ke tebing kolam. Memanjat tebing lalu meletakkan kakinya ke dalam air. Seperti mandi kolam renang gayanya tapi versi kampung. Manisa ikut sama gerakan kakaknya. Kolam yang cetek memudahkan dia bergerak. Sempat dia memandang ke arah Iman dan Tasya yang masih leka bermain air. Suka benar mengalahkan mandi air di taman tema.

“Akak kan, bila tengok anak kita ni, rasa seronok. Teringin nak tambah lagi. Biar meriah lagi. Tapi takutlah.” Manisa memandang wajah kakaknya. Apa yang mahu disampaikan Mastura ketika ini?

“Kalau kita beranak saing, okey juga dik. Tak adalah aku takut.” Terkebil-kebil Manisa mendengar ucapan Mastura. Kenapa pula?

“Nanti masa aku tengah push, kau ada sokong aku. Lepas tu kau pula bersalin dekat katil sebelah. Fuh, sama-sama kita berjuang. Akak teringin nak macam tu.” Manisa tergelak. Sempat dia membayangkan situasi yang diceritakan Mastura padanya. Mana mungkin itu boleh terjadi. Kalau Mastura sudah bersalin, bagaimana kakaknya itu mahu membantunya bersalin pula. Sudah tentu Mastura akan disuruh berehat selepas penat bertarung melahirkan anaknya yang kedua. Lebih mustahil, macam mana dia mahu bersalin? Dia kahwin pun tidak lagi.

“Kau tengah berangan ke dik?” soalan Mastura membawa Manisa ke dunia nyata. Kemudian dia tersengih. Sempat lagi dia berangan.

“Tapi itulah, kau dah tak boleh bersalin.” Manisa memancarkan raut tidak puas hati. Mana kau tahu aku tak boleh bersalin? Belum cuba lagi kan.

Melihat wajah Manisa yang tidak puas hati, laju Mastura meluku kepala adiknya.

“Kau jangan berangan boleh tak? Kau nak beranak macam mana? Suami kau tak ada. Itulah, dulu dah kahwin. Gatal pula nak bercerai. Kan sekarang galak nak ada anak lagi.”

“Nisa tak kata apa pun. Pandainya dia buat spekulasi. Nanti Nisa kahwinlah lagi. Kalau nak sangat beranak saing.” Mastura menayangkan giginya.

“Itu kenapa basah tu?” suara Abang Syamil tiba-tiba mencelah. Terkejut dia ketika menoleh, melihat isteri dan adiknya kebasahan. Manisa yang mendengar hanya tersengih. Apa boleh buat, isteri Abang Syamil yang buat.

Manisa menarik-narik bajunya dari melekap di badan. Risau juga jika ada yang terlihat lekuk tubuhnya. Tiba-tiba Manisa merasakan ada kain membalut tubuhnya. Segera Manisa menoleh. Dek kerana terkejut, hampir dia terjatuh ke dalam kolam sekali lagi. Namun sempat tubuhnya dipaut supaya tidak terus terjunam ke dalam kolam.

“Awak buat apa dekat sini?” soal Manisa separuh terjerit. Mana tak terjeritnya kalau Iqwan memeluknya dengan kuat ketika itu. Dia tahu Iqwan cuba menyelamatkan dirinya, tapi tidak perlu sebegitu kuat memegangnya. Dengan tangannya masih di dalam baju, Manisa bagai bayi kecil dibuatnya.

“Cuba duduk diam. Kalau jatuh lagi, basah lagi. Kalau demam macam mana?” nada Iqwan sedikit keras. Mastura yang tadinya duduk sebelah Manisa berlari anak ke arah suaminya. Tidak mahu terlibat dengan adengan bekas suami isteri itu.

Setelah membetulkan kedudukan Manisa, Iqwan mengambil tempat di sebelah Manisa sambil memasukkan kakinya ke dalam air juga. Dia dengan hanya berbaju t-shirt tipis masih kelihatan segak walaupun bajunya sudah separa basah dibuat Manisa. Manisa yang dari tadi memerhati, tersedar ketika dia perasan betapa jarangnya baju yang Iqwan pakai ketika itu apabila basah. Manisa memandang ke arah lain, menahan malu.

Iqwan yang sedar diperhati Manisa, perlahan dia berdehem.

“Malu ke? Bukan tak pernah tengok.” Bisik Iqwan perlahan. Risau juga jika perbualannya didengari Abang Syamil dan Kak Mastura. Mendengar ucapan Iqwan membuatkan pipi Manisa menjadi semakin kemerahan.

“Mak kata awak dah balik. Kak Mastura pun cakap benda sama. Kenapa datang balik?” soal Manisa sambil memandang ke arah lain. Sebolehnya dia tidak mahu memandang Iqwan ketika ini.

“Macam tak sudi nak bercakap dengan saya je. Pandanglah sini.” Usik Iqwan. Melihat Manisa yang tidak memberi respon, dia berdehem sekali lagi. Sengaja mahu menarik perhatian Manisa.

“Memang dah balik. Tapi ada barang tertinggal. Itu yang datang semula. Kenapa? Dah mula rasa rindu ke?” Iqwan kembali mengusik. Orang kata, kalau rajin mengusik, boleh jadi sangkut akhirnya.

“Dah ambil ke barangnya?”soalan Manisa hanya berbalas anggukan.

“Baliklah.” Sambung Manisa lagi. Kelat wajah Iqwan mendengar ucapan Manisa.

“Nak baliklah ni. Awak tolong saya kejap.” Iqwan memberi isyarat mengajak Manisa mengikutnya. Tanpa banyak bicara, Manisa mengikuti Iqwan menuju ke kereta. Entah mengapa, kali ini Manisa malas hendak melawan kata Iqwan. Penat barangkali, fikirnya.

Sebaik sahaja tiba di kereta milik Iqwan, Manisa berhenti. Baru dia tersedar akan tindakannya yang cuai itu. Buatnya kalau Iqwan tarik aku, bawa masuk dalam kereta. Culik bawa pergi nikah dekat Siam, naya. Kenapa mudah sangat percaya dekat orang ni, Manisa?

“Apa fikir tu sampai berkerut muka? Saya tak ada niat nak culik awak. Ini, saya nak pulang barang awak.” Iqwan mengeluarkan kasut Manisa yang tertinggal di dalam keretanya sewaktu dia membawa Manisa ke klinik tempoh hari. Bukan dia tidak mahu simpan, namun risau juga jika Manisa mencari. Sekurang-kurangnya, dia punya sebab untuk berjumpa dengan Manisa sekali lagi.

“Dah tak ada apa kan? Haa, baliklah.” Halus sahaja cara Manisa menyuruh Iqwan pulang. Mulanya Iqwan mahu masuk ke dalam kereta. Namun dia batalkan niatnya semula.

“Memanglah saya dah ambil barang yang tertinggal tu. Tapi ada barang lain pula yang kena tinggal.” Iqwan membuat isyarat ke arah Manisa. Apa lagi yang tertinggal? Aku ke?

“Saya?” Dengan yakin Manisa bertanya.

“Awak nak buat apa? Awak bukan barang. Awak bakal isteri saya. Baju saya tu.” Hampir tergelak Iqwan melihat Manisa yang terpinga-pinga apabila tekaannya salah.

Manisa memandang baju Iqwan yang dipakainya ketika ini. Dia nak baju ni ke? Cakaplah dari tadi. Manisa berura-ura mahu membuka baju Iqwan yang dipakainya. Hanya terangkat separuh, segera ditahan Iqwan.

“Saya bukan nak sekarang. Nanti saya datang ambil. Pakai je. Jangan sesekali tanggal sampai masuk bilik.” Arah Iqwan. Manisa berkerut mendengar arahan Iqwan yang berbunyi mandatori.

Melihat wajah Manisa yang seakan tidak puas hati, Iqwan kembali merapati Manisa.

“Saya nampak benda yang sepatutnya saya lihat masa kita kahwin dulu. Kalau awak rasa nak kena kahwin segera dengan saya, bukalah baju depan saya sekarang. Saya taknak orang lain nampak selain saya. Jadi, jangan buat macam-macam.”

Merah padam wajah Manisa jadinya.

“Saya balik dulu, bakal isteri.” Ujar Iqwan sebelum memasuki keretanya. Menyedari kereta Iqwan sudah mula keluar dari perkarangan rumah, Manisa segera berlari menuju ke dalam rumah. Bergegar rumah kayu Pak Derus dibuatnya. Namun bukan itu yang dia peduli melainkan air mukanya ketika ini.

“Manisa, jangan lari. Roboh rumah abah!” jerit Pak Derus dari belakang rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience