Bab 10

Family Series 2580

“Dah siap kemas baju?” soal Puan Marlia. Semalam dia menerima kepulangan anaknya dan menantu. Siapa tak bahagia? Biarpun baru sebulan mengenali Manisa, hatinya sudah cukup berkenan dengan peribadi menantunya itu. Dia tahu Manisa belum begitu mahir dalam urusan rumah tangga, namun Manisa tetap berusaha untuk menjadi yang terbaik untuk Iqwan. Itu yang membuatnya senang hati. Kalau sudah tiba masanya untuk dia dijemput Ilahi, Puan Marlia sudah tidak ada kesal lagi di hati.

“Sudah ma. Abang Iqwan banyak betul barang dia. Manisa dah bilang bawa sedikit saja. Bawa yang penting. Eh, sudahnya semua penting. Agaknya kalau suruh pilih antara Manisa dan bagasi, tentu dia pilih bagasi dia yang besar tu.” Omel Manisa. Layanan Puan Marlia yang tiada tandingnya membuatkan Manisa cepat serasi di rumah itu. Tambahan lagi Indan dan anak kembarnya ada di rumah itu hari ini. Semakin akrab jadinya hubungan mereka sekeluarga.

“Memang saya pilih bagasi besar daripada awak. Dalam bagasi tu, boleh masukkan awak sekali.” Jawab Iqwan sambil memeluk Manisa tanpa segan silu di hadapan mamanya. Manisa menampar-nampar lengan Iqwan yang mula melingkar di pinggangnya. Adegan sebegini sememangnya tiada dalam perancangan mereka. Namun, demi meyakinkan betapa hangatnya percintaan mereka kepada kedua-dua keluarga, mereka perlu berlakon.

“Kalau macam tu, kenapa tak bawa bagasi tu naik pelamin sekali masa kita bersanding?” Manisa rasa geram. Dia pilih beg daripada aku? Dah lama tak makan penumbuk ke?

“Sudah. Jangan gurau-gurau manja depan mama. Ada budak-budak bawah umur ni.” Puan Marlia memberi amaran ringkas. Memang benar. Riana dan Raisa tiba-tiba berlari ke ruangan bilik Iqwan. Entah apa yang seronok benar, hanya mereka berdua yang tahu.

Indah yang mengejar anak-anaknya tiba-tiba muncul di muka pintu bilik Iqwan. Wajahnya yang ceria tiba-tiba berubah sugul. Selepas ini, tiada lagi bebelan dari abangnya. Belum sempat abangnya menjejakkan kaki di UK, Indah mula berasa rindu.

“Abang, tak rasa ke empat tahun tu macam lama?” Indah tiba-tiba bersuara. Dia membuka beg galas abangnya perlahan-lahan untuk melihat isi beg itu. Penuh.

“Itu pun dah cepat. Abang tak nak terburu-buru.” Iqwan memandang wajah Manisa. Dia tahu, dia sudah berjanji untuk empat tahun di sana. Mana mungkin dia awalkan perancangan mereka. Ini perjanjian antara dua pihak. Dia tidak boleh buat keputusan sendiri.

“Habisa nanti, tak sempatlah Indah nak lihat Iqwan junior lahir.” Manisa yang baru sahaja menghirup minuman tersedak mendengar pernyataan Indah. Junior? Tak mungkin!

Lama Manisa terbatuk-batuk. Tekaknya terasa sakit. Peritnya cuma Allah yang tahu. Tapi lagi perit pernyataan Indah.

“Itu kena tanya kakak ipar awak. Abang hanya menjalankan tugas.” Secara rendah hati Iqwan menyerahkan asakan Indah kepada Manisa. Keji! Hanya itu yang terkeluar dari hati Manisa. Dia biar aku jawab sendiri? Indah menanti jawapan dari Manisa. Dalam hatinya sedaya-upaya menahan gelak melihat Manisa terkulat-kulat mencari jawapan. Dasar abang aku ni, dia biar isteri dia terkontang-kanting.

“Jangan usik kakak ipar awak tu. Dah merah muka dia.” Puan Marlia memberi amaran. Padahal di dalam hati, dia juga mahu melihat cucu dari anak sulungnya. Bagaimana Manisa mahu berpantang di sana nanti? Siapa yang akan menguruskan Manisa?

“Soal tu, Manisa tak berani beri jawapan. Tunggu je kalau-kalau si junior balik sekali nanti.” Manisa cuba beri jawapan selamat. Sempat dia menjeling ke arah Iqwan. Lelaki itu sedang memberikan pandangan mengejek. Jadi geram Manisa dibuatnya. Kalau tak kerana ada mama dan Indah, dah lama mamat ni kena terkam dengan Manisa. Sengaja cari pasal. Mentang-mentang di rumah keluarganya sendiri.

“Yang penting, mama dengan Indah cakap je nak berapa orang? Nanti abang usahakan.” Giat Iqwan lagi. Makin merah padam muka Manisa dia buat. Dia tahu Manisa geram. Tapi disebabkan mama dan Indah tidak tahu, mereka fikir Manisa sedang menahan malu. Mama, ini Manisa. Gadis yang tidak punya perasaan padanya.

“Indah nak sepuluh. Biar Riana dan Raisa ada ramai adik.” Mata Manisa terbeliak. Hoi, hoi, hoi. Aku masih di sini. Cara kau orang berbincang macam aku kilang buat biskut. Acu sekali, keluar tiga cetak.

“Abang setuju! Abang nak anak ramai. Abang mampu.” Seraya tangan Manisa segera mencubit pinggan Iqwan. Cari pasal!

“Aduh. Aduh, sayang. Abang gurau. Abang tahu sayang nak anak ramai lagi. Tapi cukup la sepuluh dulu.” Manisa ketap bibir. Mamat ni makin menjadi-jadi. Patutnya aku sedar hal ini pasti akan jadi topik perbincangan. Cumanya dia tidak mengjangka secepat ini.

“Sudah Indah, Iqwan. Jangan usik Manisa. Indah, bawa budak-budak tidur. Dah lewat malam ni.” Arah Puan Marlia. Dua beradik ini, kalau tidak disuruh berhenti, entah bila akan habis topik mereka berdua.

“Okey ma. Bye kakak long.” Indah melambai ke arah Manisa sambil keluar bilik.

“Cakap bye mak long. Cepat.” Pinta Indah kepada anak-anaknya. Kanak-kanak itu berlari ke arah Manisa lalu mencium pipinya.

“Selamat malam.” Manisa hanya tersenyum sambil menghantar mereka ke pintu. Sebaik sahaja pintu bilik ditutup rapat, wajahnya yang manis terus berubah. Ya, wajah ini yang menggerunkan Iqwan. Sempat Iqwan menelan air liurnya. Memang tidak dia menyangka, Manisa boleh berubah wajah dalam sekelip mata. Mana dia belajar semua ini?

“Awak dengar dulu penjelasan saya.” Iqwan memulakan taktik merayunya biarpun dia tahu, Manisa belum tentu cair. Ini Manisa!

“Awak duduk. Berlutut.” Arah Manisa dalam nada tegas. Oh, ada hati nak kenakan aku. Ingat aku takut? Manisa menghampiri Iqwan yang sedang berlutut di atas katil. Wajahnya didekatkan dengan wajah Iqwan. Sengaja mahu memberi lelaki itu gerun dengan auranya. Dia, si kecil yang bertubuh imut, apabila membuat muka garang menjadikan Iqwan hampir meledakkan tawa. Namun Iqwan masih cuba mengikut rentak Manisa. Manisa mengepal tangannya lalu ditunjuk kepada Iqwan.

“Tangan ni, dah lama tak tumbuk orang. Awak jangan sampai tangannya ni singgah dengan pipi awak ni.” Manisa cuba mengugut. Sedangkan cukup dia sedar, saiz Iqwan nyata lebih besar darinya. Dalam sekelip mata, tubuhnya berada dalam dakapan Iqwan.

“Cuba awak tumbuk. Dekat sini.” Iqwan menunjuk pipinya kepada Manisa menggunakan sebelah tangan. Sebelah tangannya lagi kemas memeluk tubuh Manisa. Ini kalau terlepas, memang lebam biji mata aku.

Manisa cuba melawan. Namun pelukan Iqwan yang kuat membuatnya tidak mampu bergerak. Sudahnya Manisa pasrah. Didekatkan mukanya dengan wajah Iqwan. Digigit dagu Iqwan sekuat hati.

“Aduh!” Iqwan terjerit kecil. Namun dia masih tidak mahu melepaskan Manisa. Kedua-dua tangannya memegang bahu Manisa. Segera dia tarik ke perbaringan. Tubuh Manisa yang kecil begitu mudah terdorong ke atas tubuh Iqwan. Gigitannya terlepas. Main tipu!

Lama Iqwan memeluk tubuh Manisa. Rontaan Manisa yang kuat semakin lama semakin lemah. Sudahnya dia sendiri mengalah. Dia, si kecil, mana mungkin dapat mengalahkan tenaga Iqwan. Sia-sia sahaja pertempurannya kali ini.

“Okey, saya dah tenang. Lepaskan saya.” Manisa akhirnya mengeluarkan bendera putih. Buat penat kalau kau melawan Manisa. Tak mungkin kau nak menjerit. Nanti mama fikir apa? Indah? Lagilah.

Lama Manisa menanti. Iqwan masih tidak melepaskannya. Manisa menepek-nepuk badan Iqwan. Awak? Dah tidur ke dia ni? Manisa tambah putus asa. Macam mana mahu lepas kalau dia dah tidur? Manisa menyembamkan wajahnya ke dada Iqwan. Sengaja cari pasal mamat ni malam ni. Dalam cubaan melepaskan diri, Manisa semakin penat dan akhirnya tertidur dalam pelukan Iqwan.

Iqwan yang dari tadi menahan rontaan, merasakan tiada lagi cubaan untuk melepaskan diri dari Manisa. Sempat dia membuka matanya sedikit melihat Manisa. Sudah tidur ke? Dia mengangkat kepalanya sedikit untuk kepastian. Kemudian mengeluarkan nafas lega. Manisa sudah tidur. Pelukan yang erat tadi dilonggarkan sedikit. Ditarik badan Manisa ke atas sedikit agar tidak terjulur kakinya keluar dari hujung katil.

Iqwan mencapai selimut lalu menyelimuti badan Manisa. Risau juga dia kalau-kalau Manisa kesejukan pada malam ini. Biliknya dipasang pendingin hawa. Mustahil Manisa tidak berasa sejuk. Bilik Manisa yang hanya dipasang kipas pun, Manisa sudah berbungkus selimut. Inikan pula bilik Iqwan. Dipeluk erat anak gadis itu agar tidak berasa terlalu sejuk. Kemudian Iqwan meraba-raba dagunya. Berasa bekas gigitan Manisa. Biarpun tidak kuat, dia pasti akan meninggalkan kesan. Apa mahu dijawab pada mama esok? Dia terhantuk pintu? Tapi mengapa di dagu?

Manisa oh Manisa. Macam mana boleh terfikir mahu gigit dagu suami kau sendiri? Iqwan hanya tersenyum sendiri. Nasib badan dapat isteri gangster, Iqwan.

*****

“Manisa mana ma?” soal Iqwan sewaktu mahu duduk di meja makan. Puan Marlia hanya menunjuk ke arah luar menggunakan bibirnya. Dilihat Manisa sedang asyik melayan anak buahnya sambil menyidai baju di ampaian. Sekejap-sekejap dia berlari mengejar Riana dan Raisa. Serupa anak kecil lagaknya.

“Itu dagu tu kenapa?” soal Puan Marlia. Dari tadi dia sudah perasan. Bertumbuk dengan Manisa ke malam tadi? Soal hatinya.

“Ini? Abang tersembam pada birai katil malam tadi. Sakit ma.” Jawab Iqwan sambil menggosok dagunya. Mujur bekas gigitan Manisa sudah tiada. Yang tinggal hanya kesan lebam.

“Oh. Jatuh. Mama ingat kena gigit dengan Manisa.” Seloroh Puan Marlia sambil tertawa. Iqwan juga turut ketawa. Betullah tu ma.

Puan Marlia sebenarnya mahu bertanya dari malam tadi. Sebaik sahaja dia hendak tidur, dia mendengar Iqwan menjerit. Dia fikirkan ada lipas di bilik Iqwan. Kiranya mahu menolong anaknya. Namun apabila tidak lagi mendengar jeritan dari Iqwan, dia menyangka masalah sudah selesai. Jadi dia sambung kembali untuk tidur. Pagi ini, apabila terlihat kesan lebam di dagu anaknya itu, dia mula berfikir yang bukan-bukan. Mujur dia bertanya, kalau tidak, entah apa lagi yang dia fikirkan.

“Amboi bang. Ganasnya sampai jatuh katil.” Usik Indah. Indah yang baru masuk ke dapur tertarik mendengar perbualan mama dan abangnya. Pagi-pagi begini, kalau tidak digunakan untuk mengusik abangnya, Indah rasa seperti tidak lengkap. Seperti ada yang kurang. Bagaimanalah nanti bila abang di sana? Pastinya dia akan rindu akan semua ini.

“Ini adat orang berkahwin. Manisa punya pasal, jatuh katil pun abang sanggup.” Senada sahaja Iqwan berkata. Kau tak tahu betapa sakitnya dagu abang semalaman. Iqwan mencapai senduk lalu menceduk nasi goreng yang sudah terhidang. Siapa masak ni?

“Hari ini mama ada pembantu baru. Kalau rasa sedap sila puji, kalau kurang, sila simpan dalam hati.” Terang Indah. Melihat abangnya makan tanpa bicara, maksudnya sedaplah tu. Abang Iqwan jarang mengkritik masakan. Jadi tidak susah sebenarnya mahu menyediakan juadah buat abangnya. Sejenis tidak cerewet. Kemudian Iqwan mencubit isi ayam di dalam pinggannya. Masin. Dia memandang ke arah Indah. Masin dik oi.

“Masin ke? Indah yang goreng tu.” Indah hanya sengih tayang gigi. Sehingga kini, dia masih belum begitu arif mengenai pertambahan garam dalam masakan. Biasanya mama yang akan bubuh garam terlebih dahulu sebelum membiarkan dia memasak.

“Sedap tak nasi goreng yang kak long buat?” Indah cuba mengusik lagi. Iqwan hanya mengangguk. Apa lagi yang dia nak usik ni?

“Lepas ni kenyanglah abang. Ada orang jaga makanan abang dekat sana.” Iqwan tersenyum mendengar usikan Indah. Dekat sini sahaja. Di sana nanti kami akan berpisah. Tak ada masa untuk bermesra-mesra. Masing-masing akan bawa haluan masing-masing.

Iqwan menelan air liurnya yang terasa pahit. Bagaimana setelah empat tahun nanti?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience