Bab 18

Family Series 2580

“Mommy, can I have this?” soal Iman polos sambil menunjukkan sekotak snek coklat. Sedangkan di dalam troli sudah ada banyak snek yang diambil Iman sebelumnya. Manisa memandang wajah Iman. Bukan dia mahu berkira, cuma dia tidak mahu Iman terlebih makan snek tanpa makanan yang lebih berkhasiat. Manisa menunduk separas ketinggian Iman. Bahu anak kecil itu dipegang.

“Iman boleh ambil. Tapi kena pilih antara snek ni atau yang ada dalam troli ni.” Manisa menunjukkan snek-snek yang telah diambil sebelumnya. Dia mahu Iman sendiri memilih kerana dia mahu Iman belajar berdikari dalam menentukan pilihan hidupnya. Dia berusaha sebaiknya agar menjadi ibu yang terbaik buat Iman. Itu janjinya kepada diri sendiri.

“Can I have all of it?” pinta Iman.

“Nope. You cannot.” Manisa beri amaran melalui isyarat jari. Bukan dia tidak tahu, rengekan Iman mampu membuat hatinya luluh, namun dia tetap berusaha untuk tidak memanjakan Iman. Menjadi anak tunggal bukan alasan untuk Iman mendapatkan segalanya dengan mudah.

“Mommy,” perlahan sahaja suara Iman.

“Apa?” aju Manisa sebelum menoleh ke arah Iman. Dilihatnya Iman sudah berlari membawa hati yang rajuk. Manisa tepuk dahi. Mula dah drama Iman. Kali ini di pasaraya pula.

Manisa meninggalkan trolinya yang dipenuhi barangan. Nak bawa troli sambil kejar Iman? Silap besar sebab Iman kalau berlari, berdesup terus hilang. Macam ninja gayanya. Mana dapat genetik seperti itu, Manisa sendiri tak tahu. Dia sendiri paling malas berlari dari zaman sekolah lagi.

Manisa mencari setiap sudut ruangan makanan ringan. Kelibat Iman masih tiada. Dia mula cemas. Biasanya Iman tidak hilang lebih dari 10 minit. Silapnya hari ini tidak ajak Syahira ikut sekali berbelanja. Kali ini, rasakan mencari Iman seorang diri. Manisa bolak-balik dari setiap ruang kemudian ke arah troli. Mana tahu Iman sudah kembali ke troli mereka. Namun kali ini tidak. Bayangan Iman sudah tidak ada.

Manisa meraup wajahnya. Dia duduk di tengah-tengah ruangan peti sejuk tempat aiskrim dipamerkan. Mengharap Iman akan ke sini akhirnya. Iman, jangan buat mommy risau.

Mommy. Ya, itulah perkataan yang paling dia tunggu pada saat itu. Panggilan suara dari Iman. Mommy.

“Mommy!” Iman. Itu suara Iman. Manisa segera menoleh. Senyuman yang terukir seakan mati apabila melihat susuk tubuh yang ada bersama Iman.

“Iman jumpa Daddy.” Laju Iman menarik tangan lelaki di hadapannya menuju ke arah Manisa. Manisa jadi kelu.

“Mommy, don’t cry.” Iman seakan-akan mengelap air mata Manisa yang belum kunjung tiba. Mana tidaknya, mahu gugur jantungnya setiap kali memikirkan Iman sepanjang dia membawa rajuk di hati.

“Iman pergi mana, sayang?” Manisa mengusap-usap kepala Iman kemudian dikucup berkali-kali. Jiwa keibuannya sangat meronta ketakutan. Takut kehilangan Iman.

“Mommy, Iman tak hilang. Iman pulangkan snek tadi. Sebab nak snek coklat yang baru tu.” Maklum Iman. Iman memeluk erat tubuh Manisa. Cuba menenangkan ibunya yang selalu cemas. Dia yang baru berusia tiga tahun, sudah kerap kali melihat Manisa berada dalam ketakutan menghadapi kehilangannya. Namun, jiwa kanak-kanaknya tetap tidak ambil peduli akan semua itu.

“Malu tahu, duduk tengah-tengah jalan orang nak pilih aiskrim.” Manisa tayang muka tidak puas hati apabila disindir begitu. Namun seketika ketakutanya kembali semula. Iqwan. ya, Iqwan yang menegurnya tadi. Iman sudah menemui Iqwan, sudah pastinya kewujudan Iman akan menjadi persoalan.

“Daddy, Iman nak aiskrim.” Iman yang tidak mengerti kerunsingan hati Manisa berlagak biasa apabila bertemu Iqwan. Memang selama ini, dia mengimpikan untuk bertemu Iqwan. Saban hari, dia menatap gambar wajah Iqwan yang disimpan di laci tempat tidurnya.

“Boleh. Iman nak apa lagi sayang?” soal Iqwan sambil menggendong Iman. Sebelah tangannya dihulur kepada Manisa sebagai tanda meminta wanita itu berdiri semula.

“Iman, cukup. Dah banyak snek tadi.” Manisa beri amaran. Namun Iman hanya tersengih. Dia tahu Iqwan ada di sisinya. Sudah tentu semua permintaannya akan dipenuhi hari ini.

“Itu awak yang belanja, ini saya yang belanja.” Manisa gigit bibir mendengar jawapan Iqwan. Makin bertambah sakit hati apabila Iqwan mengenyitkan mata kepadanya. Ingat aku budak belasan tahun ke? Pakai kenyit-kenyit mata semua?

*****

Manisa merengus. Iqwan yang tadinya mahu membayar aiskrim Iman, jadi terus bayar semua barangan dapur yang ada di dalam trolinya. Bukan dia tidak suka. Namun dia tidak mahu terhutang budi kepada sesiapa pun sekarang ini. Lebih-lebih lagi Iqwan. Dah jadi begini, makin kuat la menempel mamat ni dengan Iman. Buktinya sekarang, dia dengan terpaksa mengikut arah tujuan Iqwan membawa Iman ke taman permainan. Betapa selama ini, dia cuma melarikan Iman dari pengetahuan sesiapa. Namun dalam sekelip mata, semuanya seakan terlerai sebentar lagi.

“Iman?” Iqwan memandang wajah Manisa dengan riak serius. Dia tidak mahu basa-basi. Sebolehnya dia cuba menahan perasaannya ketika ini. Rindu, marah, geram, malah ada sedikit cemburu mengenangkan keakraban Tuan Saif Haziq dengan Manisa tempoh hari.

“Seronok main sembunyi-sembunyi dengan saya? Apa yang awak dapat dari semua ni?” Manisa diam. Dia cuba menyusun ayat. Namun belum sempat dia bersuara, Iqwan kembali mengasaknya.

“Yang ada dalam fikiran awak cuma diri awak seorang. Awak memang pentingkan diri sendiri Manisa. Saya tak sangka. Iman perlukan saya. Tapi awak buang saya dari kehidupan Iman. Sanggup awak korbankan Iman. Demi apa Manisa?” Manisa kelu. Bukan dia tidak mahu beritahu mengenai Iman, namun semuanya seakan tidak berada di tempat yang sepatutnya. Dia mahu semuanya kembali seperti sedia kala. Seperti detik pertama dia bertemu Iqwan. Iqwan dengan kehidupannya, dan dia meneruskan kehidupannya bersama Iman. dia tidak mahu kewujudan Iman dan dirinya membuatkan Iqwan tidak dapat mencapai impian yang selama ini dia kejar.

“Percayalah. Apa yang saya buat, semua ini demi kebaikan awak, Iman, dan semua orang di sekeliling kita. Kalau awak tak boleh percaya kata-kata saya, sekurang-kurangnya, percaya pada Manisa yang awak kenal dulu. Manisa yang berpegang pada janjinya untuk impian awak. Jadi tolong, tinggalkan kami.” Pinta Manisa. Dia ketap bibir sekuatnya. Iqwan tidak perlu tahu sebab dia buat semua ini. Dia tidak perlu tahu dan tak patut terlibat dalam kemelut ini. Andai suatu saat dia tau juga, biarlah ketika itu, semua kemelut ini sudah selesai. Biar Iman sendiri tentukan dengan siapa dia mahu bersama. Walaupun dia tahu, pada ketika itu, dia antara yang akan menerima kesan terburuk.

“Tak. Saya tak akan tinggalkan Iman. Kalau awak nak pergi dari hidup saya, silakan. Tapi Iman akan ikut saya.” Iqwan nekad. Dia mahu menuntut hak penjagaan Iman. Masa itu, dia mahu lihat sama ada Manisa boleh menjauh darinya atau tidak.

“Boleh. Saya izinkan awak ambil Iman. Tapi saya nak dengar dari mulut Iman sendiri. Awak boleh buat?” Cabar Manisa. Dia sudah penat ditentang. Kali ini dia mahu berjuang demi Iman. Biarpun nanti Iman bukan memilih dia, dia tetap akan gembira untuk Iman. Baginya, kebahagiaan Iman adalah segalanya baginya.

“Iman anak daddy.” Panggil Iqwan sambil melambaikan tangan ke arah Iman. mengisyaratkan supaya Iman datang menghampiri mereka. Laju sahaja Iman melangkah ke arah mereka. Lincah seperti kanak-kanak seusianya.

“Iman sayang daddy tak?” soal Iqwan. Iman hanya mengangguk laju. Dia masih malu-malu untuk bersuara.

“Iman nak ikut daddy tak? Daddy nak pergi taman tema air. Seronok tau. Ada gelongsor, ada air pancuran, ada roller coaster. Nak tak?” Iqwan cuba memancing Iman. Sebaiknya dia menggunakan intonasi ceria bagi menjerat Iman.

“Mommy?” soal Iman. Dia mahu Manisa ikut sama. Manisa hanya tersenyum kemenangan. Selama ini Iman tidak pernah berenggang dengannya. Mana mungkin Iman akan memilih Iqwan dalam sekelip mata.

“Mommy kerja. Tapi daddy boleh bawa kawan untuk Iman. Ada kakak Riana dengan Rania sekali.” Air muka Manisa terus berubah. Selama ini, dia selalu bercerita mengenai kedua anak kembar itu kepada Iman. Sudah tentu Iman tidak akan berasa asing lagi apabila nama mereka disebut.

Seperti yang diduga. Iman bersetuju untuk mengikut Iqwan. Alasan Manisa bekerja amat ampuh buat Iman. Dia tahu, akan kesibukkannya bekerja, Manisa jadi kurang masa bersama Iman. Masa mereka bersama hanyalah dari petang hingga malam sahaja. Mana mungkin Iman tidak kesunyian?

“Boleh?” soal Iman sambil memegang tangan Manisa. Iqwan hanya mempamer senyum sinis. 1-0. Dia akan buat Iman selesa dengannya. Dia ingin menebus masa yang terlepas untuk dia dan Iman bersama.

*****

“Apa? Kau lepaskan Iman pada bekas suami kau? Kau gila ke apa?” marah Syahira. Dalam hatinya ada sedikit rasa terkilan. Kalaulah dia ikut Manisa pergi berbelanja siang hari tadi, pastinya semua ini dapat dielakkan. Namun, semuanya sudah terjadi. Manisa sudahpun berjanji memberi peluang buat Iqwan untuk menjaga Iman.

“Aku geram sangat. Aku nak dia rasa, macam mana jaga anak seorang diri. Nanti mesti dia mengalah. Iman mesti rindu aku punya.” Manisa cuba memujuk Syahira atau lebih tepat lagi, cuba memujuk hatinya yang sedang galau. Bagaimana kalau Iman tak mahu balik ke pangkuannya? Bagaimana jika Iman lebih memilih untuk bersama Iqwan?

“Aku takut kau yang rindu Iman. Selama ni, pernah kau tinggalkan dia pada sesiapa lebih sehari? Tak pernah, Nisa. Kau kenapalah nak seksa diri macam ni? Bekas suami kau nak apa sebenarnya?” Manisa hanya diam. Mana aku tahu dia nak apa. Kalau aku tahu, dah lama aku bagi. Apa-apa yang dia minta pun, aku akan bagi. Asalkan dia tak ambil anak aku. Janganlah marah aku, Ira.

Air mata Manisa mula bergenang. Hatinya yang sedang galau, dimarah pula oleh Syahira. Siapa yang tak sedih?

“Kau jangan nangis, Nisa. Aku ada.” Syahira memeluk Manisa ke dalam pangkuannya. Cuba menenangkan sahabatnya yang selalu menceburkan diri dalam masalah. Lepas satu, satu lagi timbul. Betul kata Lenka, Trouble is a Friend.

“Aku nangis sebab kau. Kau marah aku.” Makin lebat tangisan Manisa. Syahira yang tadinya risau, hampir tergelak mendengar kata-kata Manisa. Minah ni, dalam situasi macam ni pun masih buat lawak. Syahira menggosok bahu Manisa. Dah, jangan menangis.

“Bila dia ambil Iman?” soal Syahira. Dia masih berhati-hati dalam menuturkan kata-kata. Risau juga malam ni, tidak hujan di luar, namun di dalam rumah mereka sudah banjir dengan tangisan Manisa.

“Dia balik Johor, lusa. Esok petang dia ambil.”

“Tak apa. Tak lama. Seminggu sahaja kan?”

“Seminggu kau kata tak lama?” Air mata Manisa makin bercucuran. Anak aku tu, bukan anak kucing. Kalau anak kucing aku pun, bila orang pinjam, aku menangis. Inikan pula anak aku.

“Ya, sekejap je. Kau sibukkan diri dengan kerja. Kau siapkan cepat projek kau. Yang Projek Tengku Nilam tu, kau pergi je Korea. Bawa Iman. Jauh sikit dari bekas suami kau.” Ujar Syahira berbaur hasutan. Walaupun itu tidak bagus, namun ini sahaja caranya untuk melarikan Iman dari Iqwan. Fikirnya.

Manisa berfikir sejenak. Mungkin ini jalannya untuk dia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience