Bab 2

Family Series 2580

Dua bulan sebelum…

Manisa termenung di pangkin luar rumah. Bahang tengahari itu sungguh menggugah keimanannya. Panas benar. Nak hujan ke? Lantas dia mendongak ke langit. Terang tiada awan. Mana datangnya hujan Cik Manisa oi. Manisa termangu. Perhatiannya teralih pada bunyi anak burung yang menjerit memanggil ibunya. Lapar ke anak burung? Mak kau tak ada nak baliknya kalau tak menjelang senja. Kau puasa aje. Bagus apa. Memahami perasaan burung lain yang tak berkemampuan.

Dalam dia termenung sendiri, sempat dia mengenang nasibnya. Aku ni, manusia tau. Bukan burung dalam sangkar. Tak bebas ke sana ke sini. Aku nak keluar dari kampung ni! Bukan lama. setahun dua lepas tu aku baliklah semula. Aku teringin nak kerja di bandar-bandar besar sana. Abah ni, sampai hati buat aku macam anak burung.

Manisa tiba-tiba mengeluh. Mengingatkan setiap kali dia bersuara untuk ke kota besar, pasti ditentang habis-habisan oleh Pak Derus. “Bukan abah tak mampu beri kau makan.” Ya, itulah dialog Pak Derus. Berkeras sungguh tidak mahu Manisa jauh darinya. Yang untungnya, Mastura, kakak Manisa. Usai tamat pelajaran, dia bekerja di sebuah klinik kesihatan sebagai ahli farmasi. Alih-alih tak sampai setahun bekerja, dia dah dilamar anak Pak Majid yang kerja di bandar. Jadi dapatlah dia keluar dari kampung ini.

“Susah sangat, kau kahwin sahaja. Senang cerita.” Cadang Kak Mastura. Ya, cakap memang senang. Ingat senang macam sauk ikan di paya? Tapi, cadangan itu jugalah yang paling relevan setakat ini. Masalahnya, siapa? Manisa tak mahu pilih sembarangan orang. Gila ke main pilih macam petik bunga tepi jalan. Aku kalau boleh, nak la yang boleh aku harapkan.

Harapkan macam mana lagi Cik Manisa oi? Harapan aku? Aku nak kahwin sementara sahaja. Cukup masa, berpisah. Masalahnya, ada ke? Ini bukan eksperimen. Ini hidup kau Manisa. Bukan nak puji melambung, tapi muka aku manis apa. Semanis namanya. Dek kerana cadangan tanpa sengaja Kak Mastura, Manisa akhirnya nekad mendaftarkan dirinya sendiri di laman cari jodoh. Semalam baru dia mula mendaftar. Tapi dia belum sempat mengemaskini maklumat lainnya. Dia belum ada niat nak berkahwin. Niatnya hanya mahu bekerja. Titik.

*****

“Wau, famous benar aku ni.” Manisa senyum senget melihat ramai permohonan ingin berkenalan. Tapi dia tidak mahu pilih asal-asalan. Kena pilih yang tak berapa percaya pada perkahwinan. Tapi, yang mendaftar ni semua benar-benar nak berkahwin. Manisa pusing kepala. Matanya ralit membaca profil jejaka yang ingin menyunting dirinya.

Calon pertama
Manisa tak berapa yakin dengan profil lelaki ini. “Saya ingin mencari pasangan yang tulus menerima saya seadanya.” Baca Manisa perlahan. Fuh, ayat macam mat bunga. Tapi muka acah kental. Manisa kenal wajah ini. Dia selalu jumpa wajah lelaki ini di ruang seleksi Hero Remaja. Ini mesti main pilih gambar dari laman sesawang, terus tepek jadi profil dia. Tapi tak mengapa. Kita tengok dulu.

Calon kedua
Ini lebih meyakinkan bagi Manisa. Warak. Manisa termangu. Mamat ni boleh ke berpisah denga aku selepas beberapa tahun? Bukan main alim aku tengok profil dia. “Cinta manusia itu akan mati, cinta Allah lebih hakiki.” Mendalam. Manisa berfikir panjang. Boleh la agaknya. Sementara.

Calon ketiga
“Hidup ini bagaikan roda. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Saya akan setia pada awak.” Amboi. Ini macam budak WeChat yang mula menginjak dewasa. Manisa ketawa sendiri. Dia dulu pun main WeChat. Jadi tahu benar dengan ayat- ayat begini.

Manisa melihat lagi profil-profil yang lain. Mungkin ini dulu la ya. Kita ikhtiar. Mana tahu jumpa. Bercakap mengenai jumpa. Manisa mahu berjumpa dengan ketiga-tiga jejaka ini terlebih dahulu. Kalau ada keserasian, maka rancangan terhitamnya akan berjalan seperti yang difikirkan.

Sekarang ini, kita kena pilih ayat paling betul untuk beritahu isi hati kita yang paling dalam mengenai hasrat kahwin sementara ini. Manisa berguling-guling di atas katilnya mencapai sebatang pensil dan secoret kertas. Dia mula melakar perancangannya seperti infografik yang selalu dipaparkan setiap kali membuat pembentangan. Ideanya seperti mencurah-curah saat itu. Segala perancangan sudah diatur secara baik. Manisa tersenyum manis. Tidak lama lagi aku akan bekerja jauh!

*****

“Saya belum nak berkahwin.” Laju sahaja mulut Manisa berkata sebaik sahaja lelaki itu duduk di hadapannya. Ini adalah pertemuan mereka yang kedua dan ini adalah calon pilihannya yang kedua. Apa jadi pada calon yang pertama?

Seperti yang Manisa jangka, lelaki itu menipu. Wajahnya indah lagi surat khabar lama. Bukan Manisa hendak marah bila tahu lelaki itu menipu. Tapi kan lebih baik jujur. Gunakan profil wajah sendiri lebih baik. Patutlah profil dia bermadah pujangga kata mencari yang setia, yang tidak pandang rupa. Yang paling menyakitkan hati, rupanya lelaki itu sudah berumahtangga. Ya, sudah berkahwin dan ada hati untuk curang. Isterinya sarat membawa anak ketiga dalam kandungan. Itupun ketahuan ketika Manisa terserempak di mallI ketika menemani Kak Mastura membeli-belah.

Serba salah lelaki itu dibuatnya. Lebih teruk lagi, dia tidak mengaku. Katanya tidak cintakan isterinya. Kalau ikutkan hati Manisa, dah lama kena backhand mamat bunga itu. Kalau tak cinta, anak yang berderet tu, anak siapa kambing? Marah Manisa belum tentu dapat tandingi kesakitan si isteri apabila dia tahu suaminya curang. Cukup bagi Manisa.

Sekarang dia berdepan dengan calon kedua. Alim, memang menepati ciri yang dia cari. Tetapi…

“Saudari, hubungan ini perlu kita segara halalkan. Saya tak mahu berdua-duaan sebegini. Saya takut.” Manisa memandang ke tempat duduk sebelah. Sebelahnya adalah kakak lelaki itu. Mahram dia sendiri. Berdua-duaan apakah?

“Macam inilah Encik Mustaqim. Saya perlukan lebih masa untuk mengenali Encik Mustaqim. Saya rasa ini mungkin yang terbaik. Kita tak perlu jumpa lagi selepas ini. Okey?” Manisa cuba senyum senipis mungkin. Lelaki di hadapannya setaraf ustaz di masjid. Mana boleh senyum lebar.

Mustaqim menghela nafasnya. Mungkin ini yang terbaik. Dia tidak mahu bermain cinta. Takut jatuh ke jurang maksiat. Cukup sahaja dia melihat Manisa tersenyum di hadapannya. Betapa dia cuba untuk tidak tertarik kepada gadis manis di hadapannya. Nampak gayanya, perlulah dia menerima pilihan dari orang tuanya sendiri.

Manisa bangun sambil menunduk manis. Jaga pandangan bukan? Mungkin setakat ini sahaja perjumpaan dia. Manisa perlu cepat mencari calon dia bukan lagi muda. Di usia 25 tahun ini, sudah banyak terhabis dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah baginya. Mana kau nak cari laki ni Manisa?

*****

Manisa masuk ke perkarangan rumah. Motosikalnya diparkir bawah rumah. Elok sahaja skuternya terletak di situ. Penat dia rasa hari ini. Hari bekerja, waktu pulang jumpa calon suami. Tapi bakal suami tak jadi. Tak kahwin sampai ke tua la agaknya aku ni. Jadi anak dara tua!

Tapi, lebih baik kahwin lambat dari salah pilih suami. Aku nak cari yang memahami aku. Bukan asal tangkap muat. Kasut yang nak letak di kaki pun kau pilih berpuluh kedai, inikan pilihan hati. Aku Manisa, si manis jelita yang masih belum berputus asa. Aku masih ada beberapa calon yang belum aku jumpa. Jangan cepat mengalah Manisa!

“Mak, Manisa pulang ni. Manisa ada bawa kek pandan yang mak kirim semalam.” Jerit Manisa dari bawah tangga. Tak lama kemudian, Mak Temah terjengul di depan pintu. Dia dan senduk gulainya elok berdiri depan pintu.

“Cuba manis sikit Nisa. Tak elok terjerit-jerit. Aku godok tekak kau dengan senduk ni karang.” Mak Temah dah mula acu senduk gulainya ke arah Manisa. Bukan dia tak biasa dengan perangai anaknya yang satu itu. Kalau bertempik, boleh kalahkan bilal masjid. Rezeki aku dapat anak macam ini seorang.

“Nisa gurau aje. Salam mak sikit.” Hulur tangan Manisa. Dia memang begitu. Setiap kali bersua dengan emaknya, akan disalami. Biarpun dari bilik mahu ke dapur. Itu cara dia bergurau dengan emaknya. Mak Temah mula buat gaya mahu mengetuk Manisa dengan senduk.

“Mak, kalau Nisa jadi beruk macam mana?” mukanya cemberut. Protes bila Mak Temah menggunakan kekerasan kali ini.

“Biar. Senang nak suruh panjat kelapa.” Seloroh Mak Temah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience