Bab 12

Family Series 2580

Empat tahun kemudian..

Iqwan menghirup perlahan secangkir kopi yang masih hangat di cawannya. Masih setia menunggu Manisa. Di sini, di kafe ini akan menjadi saksi pertemuan terakhir mereka sebagai sepasang suami isteri. Segala apa yang ingin dia capai selama ini, sudah pun dia kecapi. Ilmu, pengelaman, dan kini dia semakin yakin dengan jalan yang dia pilih. Untuk membuka sebuah perusahaan kecil miliknya di bawah naungan syarikat lama tempat dia bekerja dulu.

Haji Hisham, majikan tempat dia bekerja dulu, merupakan insan yang giat menyokong niat Iqwan untuk sambung belajar dan membuka cawangan baru. Dengan sokongan beliau, Iqwan tekad memberanikan diri untuk belajar di negeri orang, mempelajari ilmu pembinaan ke arah yang lebih baik. Tunjuk ajar yang yang Haji Hisham berikan sungguh bermakna, dan kini setelah dia pulang, lelaki itu dengan yakin menawarkan diri menjadi pelabur terbesar dalam syarikat. Katanya, dia mahu lebih ramai lagi anak muda berjaya, dan ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan baru. Dan apabila keadaan syarikat mula stabil, Haji Hisham akan menyerahkan semula segala saham-saham yang dia pegang. Pernah lelaki itu berseloroh, sekiranya dia mempunyai anak perempuan, sudah lama dijadikan Iqwan sebagai menantunya.

Keadaan di lapangan KLIA masih sibuk seperti biasa. Dalam kesesakan manusia berlari-lari mengejar penerbangan mereka, mata Iqwan tertangkap pada susuk tubuh yang cukup dia kenali. Manisa.

Dari jauh Manisa sudah menguntumkan senyuman sambil melambai tangannya kepada Iqwan. Manisa masih sama. Senyumnya, manisnya, lenggok dia berjalan, masih serupa. Cuma, pemakaiannya sudah sedikit berubah. Semakin ke arah kematangan. Di usianya yang sudah mencecah 29 tahun, agak pelik sekiranya dia masih berjalan memakai baju warna-warni seperti lampu isyarat.

Manisa menarik bagasinya lalu diletakkan di sebelah kerusi sebelum duduk berhadapan dengan Iqwan. Dia menghela nafas lega. Hari ini dia benar-benar kesuntukan masa. Menguruskan segala hal. Hampir sahaja tertinggal penerbangannya. Pulang ke Malaysia setelah empat tahun, terlalu banyak yang dia perlu uruskan agar dia tidak perlu pulang kembali.

“Minum?” Iqwan angkat kening. Cuba menenangkan Manisa yang masih kelam-kabut.

“Haus. Nak air mineral sahaja.” Ujar Manisa sambil memberi isyarat memanggil pelayan kafe. Pesanannya segera dihantar ke meja.

Iqwan memandang wajah Manisa. Dia diam. Begitu juga Manisa. Tiada apa yang boleh dibicarakan pun. Iqwan berdehem. Cuba memecah kesunyian antara mereka. Sejujurnya, dia tidak tahu harus berbicara sebagaimana. Perlukah dia teruskan perkahwinan ini? Atau ikut seperti yang dirancang.

Manisa membuka botol air mineral lalu diteguk beberapa kali. Cuba menghilangkan rasa canggung yang ada. Wajah Iqwan ditenung lama. Dia cuba untuk membaca apa yang tersirat di hati lelaki itu. Kosong. Dia tidak dapat menangkap apa pun.

“Awak pasti dengan perancangan kita pada empat tahun lepas?” soal Iqwan cuba mendapatkan kepastian. Mana tahu hati Manisa berubah. Berpisah atau tidak, bukan suatu masalah bagi Iqwan. Kerana status duda tidak begitu dipandang rendah dalam masyarakat kini. Namun, status Manisa yang akan menjadi janda, akan menerima banyak kritikan pastinya. Jauh di sudut hati, Iqwan terasa berat untuk melepaskan Manisa.

“Kita dah bincang perkara ni. Tugas kita sama-sama sudah selesai. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya nak balik. Kita jumpa di mahkamah nanti.” Manisa menggalas beg tangannya ke sisi. Tangannya sebelah lagi mencapai bagasinya.

“Manisa.” Panggil Iqwan perlahan. Gerakan Manisa terhenti.

“Saya lepaskan awak dengan talak satu.”

*****

Mak Temah sedang sibuk memasukkan telur ayam ke dalam sarung bunga telur. Seperti impiannya dahulu. Sebaik sahaja Manisa pulang, dia akan buat majlis besar-besaran untuk anaknya. Biarpun majlis sanding Manisa dulu sangat sederhana, namun majlis untuk menyambut kepulangannya dibuat lebih meriah. Sebenarnya, majlis ini lebih kepada seperti kenduri kahwin sekali lagi. Cuba sengaja dia khabarkan kepada orang kampung bahawa ini merupakan majlis menyambut kepulangan Manisa. Mujur tak pengsan Pak Derus melayan karenah isterinya itu.

Sebuah kereta menyusur memasuki perkarangan rumah Mak Temah. Tidak perlu diteka, dia tahu itu Manisa. Anaknya sudah pulang dari luar negara. Sebaik sahaja pintu kereta dibuka, suara Mak Temah dari jauh sudah memanggil suaminya untuk menjemput Manisa.

Manisa keluar dari perut kereta dengan laju. Segera dia menyapa Mak Temah dan Pak Derus rindu yang teramat sangat rasa di hati kerana sudah empat tahun tidak bersua hingga dia tidak terperasankan keadaan sekeliling yang meriahnya seperti majlis kenduri kahwin. Dari belakang, berlari-lari anak kecil berusia tiga tahun menangkap kaki Manisa. Terkejut Manisa dibuatnya, hampir sahaja dia melatah. Iman.

“Cucu nenek. Iman.” Mak Temah mendukung Iman yang sudah bahu merengek kerana tidak begitu mengecam wajah orang sekeliling. Manisa mengambil Iman dari dukungan Mak Temah.

Pak Derus meninjau-ninjau di belakang Manisa. Mencari-cari kelibat menantunya. Di mana Iqwan?

“Iqwan mana?” soalan Pak Derus membuatkan air muka Manisa berubah. Dia sebolehnya tidak mahu membuka cerita ini terlalu awal.

“Dia balik rumah mama dulu.” Mak Temah hanya mengangguk. Beberapa orang budak lelaki dipanggil untuk menolong Manisa membawa barang-barangnya ke dalam rumah.

“Kenapa ramai orang ni mak?” Manisa baru sedar kehadiran orang ramai di kawasan rumahnya. Kenduri apa ni? Tak mungkin sambutan kepulangannya semeriah ini.

“Majlis sanding kamu.” Bisik Mak Temah perlahan sebelum masuk ke dalam rumah.

*****

“Apa?” Mata Pak Derus membuntang. Hampir gugur jantungnya mendengar ucapan dari Manisa. Cerai? Siapa yang tidak terkejut. Ibu bapa mana yang senang melihat perkahwinan anak mereka tidak sampai ke penghujungnya. Mak Temah dari tadi mengurut-ngurut dada. Cuba menelan segala kepahitan dalam ucapan Manisa. Anaknya itu masih muda. Sudah menjadi janda anak satu. Bagaimana masa depannya nanti?

“Cuba kau cakap, kenapa boleh jadi macam itu?” Pak Derus berang. Dia marah. Tapi tidak tahu mahu dilempiaskan kepada siapa. Cukup dia tahu, jodoh itu di tangan Allah. Namun, ini terlalu singkat baginya. Dia terasa Manisa seperti dipersia-siakan oleh menantunya. Dia ingin berjumpa dengan Iqwan. Dia tekad.

“Manisa anggap, jodoh kami dah tak ada.” Manisa memeluk erat anak lelakinya itu. Kuatkan mommy sayang. Mommy tak tahu ujian akan datang macam mana pula nanti.

“Habis, majlis ni macam mana?” soal Mak Temah.

“Kita ganti majlis akikah Iman.” Tegas Pak Derus. Dia sungguh berasa kecewa ketika itu.

Keesokan harinya, majlis diteruskan seperti biasa. Ramai orang tertanya-tanya di mana suami Manisa, namun Manisa masih diam membisu. Dia hanya bercakap bila perlu. Dia tahu, betapa kecewanya hati Pak Derus, namun, hatinya lebih terluka lagi apabila tidak dilayan Pak Derus. Hati orang tua, begitu mudah berkecil hati. Tidak seharusnya dia memilih untuk berpisah. Dia tahu, ayahnya begitu sayang pada Iqwan. Biarpun singkat waktu perkenalan mereka, namun kesan yang dibawa Iqwan begitu mendalam pada keluarganya.

Petang itu, Pak Derus duduk sendirian di bawah kanopi yang belum dibuka. Dia termenung. Memikirkan masa depan anaknya. Dia kira, seandainya dia pergi suatu hari nanti, betapa dia senang kerana Manisa sudah ada yang jaga. Namun, kini dia menjadi semakin runsing. Siapalah yang mahu menjadi suami kepada anaknya itu. Janda anak satu. Pastinya akan menjadi buah mulut orang ramai.

“Abah.” Panggil Manisa lemah. Dia mengambil tempat di sebelah Pak Derus. Dia memandang wajah tua ayahnya itu. Masih bersedihkah lelaki itu?

“Manisa minta maaf.” Tangan Pak Derus dicapai lalu dicium seikhlas hati. Dia tidak mahu bermusuhan dengan Pak Derus.

“Pulangkan menanti abah.” Pinta Pak Derus. Air mata Manisa mula gugur. Tidak pernah ayahnya sebegini sebelum ini. Mengapa?

“Manisa tak mahu ulang lagi sejarah kami.” Manisa masih cuba berteka-teki. Dia tahu keluarganya pasti akan kecewa dengan keputusan mereka berdua, namun, dia tidak menjangka sebegini dahsyat penerimaan yang akan diberikan.

“Tapi kenapa Manisa?”

“Biarlah Manisa sendiri yang simpan.” Ya, simpan dengan sebaiknya. Menyimpan rahsia kewujudan Iman Haziq dari Iqwan. Itu yang terbaik.

“Habis, perancangan Manisa selepas ini?” soal Pak Derus. Dia tahu, masyarakat di sini tidak akan menerima kehadiran Manisa. Sudah tentu Manisa akan dicerca dan dikeji. Mulut orang, siapa boleh tutup. Dia sendiri tidak sanggup membayangkan dugaan yang akan Manisa tempuh dia masa akan datang.

“Manisa akan minta kerja dekat Kuala Lumpur.” Lambat-lambat Manisa menuturkan ayatnya.

“Sendiri?” Berat hati Pak Derus.

“Abah lupa? Iman kan ada.” Ya, dia ada Iman. Disebabkan itulah juga dia perlu tinggalkan kampungnya. Dia takut sekiranya keberadaan Iman dapat dihidu oleh Iqwan. Sebaiknya dia perlu pergi dari sini.

“Dah dapat kerja?”

“Sudah. Naik hari Isnin minggu depan. Jadi hari Khamis, Manisa dah kena pergi sana untuk urus hal rumah. Abah jangan risau, kawan Manisa ada di sana.” Manisa cuba memujuk Pak Derus. Ayahnya menghembus nafas berat. Dia terlalu faham perasaana ayahnya itu. Namun, sekiranya dia masih di sini, dia khuatir akan ada hal lain lagi yang menyebabkan dia dibelenggu masalah. Ini adalah jalan terbaik untuknya.

*****

“Abang dah cerai?” soal Puan Marlia. Sebolehnya dia cuba berlagak tenang. Anak lelakinya itu pasti sudah membuat keputusan terburu-buru. Bercerai bukan suatu bahan jenaka.

“Abang, dengar cakap mama. Abang pujuk semula Manisa. Mama tak mahu kamu berdua berpisah. Yang mama nak tahu, esok abang bawa Manisa ke sini. Kita bincang. Abang rujuk semula dengan Manisa. Mama tak peduli.” Puan Marlia sudah mula terbawa-bawa emosi.

“Mama, abang minta maaf. Benda ni berlaku di luar jangkauan abang sendiri.” Iqwan menggaru keningnya yang tidak gatal. Macam mana dia mahu terangkan pada mama bahawa perkahwinan mereka berdua hanyalah suatu sandiwara. Mama pasti akan mengamuk lebih hebat lagi. Iqwan memandang Indah, meminta bantuan dari adiknya.

“Abang jangan libatkan adik.” Arah Puan Marlia. Dalam fikirannya, ligat memikirkan cara mendapatkan menantunya kembali. Dia perlu berjumpa dengan keluarga Manisa. Masih ada masa untuk mereka selamatkan perkahwinan anak mereka. Apa punca yang menyebabkan mereka berdua memilih jalan untuk berpisah?

“Mama nak tahu. Kenapa kamu berdua nekad berpisah tanpa pengetahuan mama?” Iqwan memandang wajah mamanya dengan pandangan kosong. Bagaimana dia mahu menjawab? Kalau mama tahu, tak akan mungkin mereka dapat berpisah.

“Mak long mana?” soal Rania. Dia yang hadir dari ruangan dapur membawa secawan air untuk kembarnya, Riana. Seingatnya, wanita itulah yang pernah bermain dengan mereka sewaktu kecil dahulu. Teringin dia berjumpa sekali lagi. Ingin mengenali lebih dekat wanita yang menjadi penyeri hidup bapa saudaranya.

“Kata tok ma, mak long dah cerai.” Bisik Riana perlahan. Walaupun dia tidak tahu maksud cerai itu apa, namun dia pasti itu bukanlah suatu khabar yang baik kerana dari tadi tok ma tidak habis-habis mengomeli bapa saudaranya.

“Mak long balik rumah dia ke?”

“Riana, Rania. Ikut mama ke dapur, jom. Tok ma ada benda nak bincang dengan pak long.” Indah menarik tangan kedua-dua anaknya. Tidak mahu anak-anaknya mencelah perbualan yang genting baginya walaupun di dalam hati, Indah ingin benar tahu punca perpisahan abangnya itu.

Kedua anak kembar Indah hanya menurut tanpa banyak soal. Indah yang lambat-lambat berjalan, cuba memasang telinga mendengar sambungan perbualan Iqwan dan Puan Marlia. Penting baginya untuk mengetahui perkara ini supaya dapat disampaikan kepada suaminya, Raden.

“Kalaulah abang boleh bersabar sikit, mesti semua ni tak jadi. Mesti mama dah timang cucu dari anak abang.” Puan Marlia mengeluh. Dia sungguh berharap Iqwan membawa pulang seorang cucu untuknya dari UK. Namun, yangn dibawa Iqwan hanyalah berita buruk.

“Abang ada orang lain ke? Atau Manisa?” desak Puan Marlia. Terdetik di hatinya. Manalah tahu, dek kerana paksaannya dahulu supaya anaknya berkahwin, maka mereka tidak sempat mengenali hati budi dengan lebih mendalam. Siapa tahu?

“Ma, abang tak macam tu.”

“Nak mama carikan pengganti?” tiba-tiba soalan itu muncul di bibir Puan Marlia.

“Ma, buat masa ni, tolong abang. Jangan sebut soal kahwin, pinang, atau apa-apa sahajalah. Beri abang masa.” Puan Marlia mengangguk faham. Anaknya pasti masih belum dapat melupakan Manisa. Dia sengaja mahu menguji sebenarnya. Mana tahu anaknya sudah beralih arah.

Puan Marlia kembali diam. Dia mahu bertemu keluarga Manisa. Mahu mendengar penjelasan dari pihak yang satu lagi. Dalam hal ini, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak. Dia perlu tenang dalam mendapatkan jalan penyelesaian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience