Bab 13

Family Series 2580

Puan Marlia memberhentikan kereta di perkarangan rumah Pak Derus. Sebenarnya sudah hampir sebulan berlalu sejak Iqwan pulang. Namun dek kerana kesibukan mengurus kedua-dua cucu kembarnya yang terkenal penyakit chicken pox, terpaksa dia membatalkan hasrat mahu berjumpa dengan keluarga Manisa dalam masa terdekat. Mana tidaknya, sebaik mungkin dia mengasingkan Riana dari bersama-sama dengan Rania. Dia tidak mahu cucunya berjangkit dari seorang ke seorang lagi. Baru sahaja Riana mahu pulih, Rania pula terkena. Sudahnya, dia juga yang bertungkus-lumus menjaga cucu-cucunya berpantang. Anak kecil pastinya tidak tahu apa itu pantang, yang mereka tahu, merengek dan mengaduh kesakitan.

Melihat kelibat Puan Marlia yang baru keluar dari kereta, Pak Derus terus menyapa. Biarpun mereka sudah tidak berbesan, tidak ada sebab mereka perlu bermusuh. Mana tahu, sebenarnya jodoh anak mereka masih panjang. Harap Pak Derus.

“Mak dia, ini besan awak, Marlia datang.” Laung Pak Derus sambil menguntum senyuman buat Puan Marlia dan cucu-cucunya.

“Bertiga saja?” soal Pak Derus dengan harapan Iqwan turut sama datang.

“Bertiga sahaja. Ini Indah ikut suami outstation. Anak-anak, saya suruh tinggal. Iqwan biasa lah. Sejak balik dari UK, susah nak jumpa. Keluar pagi, balik malam. Saja sibukkan diri.” Puan Marlia cuba memberi petanda. Petanda bahawa anaknya masih sendiri, belum punya pengganti.

“Eh, ini apa borak dekat luar. Mari masuk ke dalam.” Ajak Mak Temah mempelawa tetamu.

Sebaik sahaja Puan Marlia duduk di kerusi, dihidangkan wanita itu dengan air teh kosong buatannya beserta sedikit kuih-muih. Puan Marlia memerhati keadaan sekeliling. Rumah itu, masih sama seperti empat tahun yang lalu. Cuma yang kurang hanya satu, Manisa. Di mana menantunya itu?

“Berdua saja? Yang lain mana?” Puan Marlia cuba berbasa-basi. Sebenarnya, mulutnya terasa begitu ringan mahu bertanya di mana Manisa. Namun, dia cuba menahan sebaiknya.

“Tok ma, ini ke rumah mak long?” soal Riana. Dari awal pagi lagi dia diumpan untuk dibawa ke rumah Manisa sekiranya dia dan Rania berbaik-baik sepanjang ketiadaan mamanya.

“Iya lah. Ini rumah mak long. Tengok gambar di dinding tu, muka siapa?” usik Pak Derus sambil menuding jari ke arah gambar Manisa. Cucu kembar milik besannya itu sungguh mencuit hati. Hampir seumuran anak Mastura pada perkiraan Pak Derus.

Riana hanya senyum simpul. Dia mahu berjumpa Manisa, mak longnya yang selalu menjadi topik bualan mama dan tok manya. Melihat dari gambar, cantik orangnya. Mana dia?

“Manisa tak duduk di sini dah. Dia dah pindah di Kuala Lumpur. Kerja di sana. Kalau nak jumpa dia, ada alamat dia bagi hari tu. Nanti saya beri.” Mak Temah bercerita sedikit. Dia tidak mahu bekas besannya itu ternanti-nanti kehadiran Manisa. Memang benar, seperti tekaan Pak Derus dulu. Status Manisa memang menjadi buah mulut orang ramai. Namun peliknya, makin ramai pula yang merisik Manisa untuk dijadikan isteri, dan Manisa teguh menolak.

“Ini siapa?” soal Rania sambil memegang sebuah bingkai gambar. Entah bila dia sampai di ruang penjuru menuju ke dapur, tidak pula Puan Marlia perasan. tahu-tahu sudah kembali dengan sebingkai gambar Manisa bersama anak kecil.

“Ini sepupu awaklah, Iman.” Jawab Mak Temah.

“Ini Iman. Ini mak long awak, Mak Long Manisa.” Pak Derus menunjukkan gambar Iman. Puan Marlia sambil tersenyum mencapai bingkai gambar yang dihulur Pak Derus. Iman? Sepupu Rania?

“Lain dah muka dia.” Puan Marlia cuba menyembunyikan rasa terkejut yang dia alami ketika ini. Iqwan ada anak dengan Manisa? Kenapa dia boleh tak tahu?

“Kan. Tak ada muka Iqwan, tak ada muka Manisa. Terkenan dekat muka mat saleh dengan UK sana tak.” Mak Temah cuba berseloroh. Melihat gambar Iman sahaja sudah cukup untuk buat dia tersenyum. Anak kecil itu, memang anugerah dari Allah buat keluarganya.

“Nanti dah besar, adalah ikut sesiapa sikit dalam keluarga kita. Tak Iqwan, Manisa. Dah itu mak ayah dia.” Lembut sahaja tutur kata Puan Marlia meski di dalam hatinya masih pedih kerana kewujudan Iman dirahsiakan darinya. Abang ni, memang dah melampau. Perkara macam ni tak sepatutnya dirahsiakan.

Siaplah Iqwan! Mama balik nanti, tahulah kamu.

*****

“Tadi siang mama ke rumah Manisa.” Ujar Puan Marlia sewaktu makan malam bersama Iqwan. Anak-anak Indah sudah pulang ke rumah mereka petang tadi. Jadi, malam ini akan digunakan sebaiknya oleh Puan Marlia untuk menebak segala isi hati Iqwan. Benarkah anaknya sudah tidak ada apa-apa dengan Manisa?

Kata-kata dari Puan Marlia sungguh membuat Iqwan tidak jadi menyiapkan nasi ke mulutnya. Dia terkuis-kuis isi ayam yang tinggal separuh di pinggannya, menanti sambungan ayat dari mamanya.

“Manisa dah tak ada.” Air muka Iqwan berubah serta-merta. Tak ada? Macam mana boleh tak ada? Itu ke sebab dia betul-betul nak berpisah? Dia sakit ke?

“Bukan ‘tak ada’ yang itu. Manisa dah tak duduk rumah mak ayah dia. Dia dah pindah.” Kata-kata Puan Marlia sedikit menarik perhatian Iqwan. Namun segera dia sembunyikan riak wajahnya agar tidak terlalu ketara. Mahu mencari? Mengapa? Aku dan dia sebatas suami dan isteri kontrak. Tidak lebih dari itu Iqwan. Nak kata jatuh cinta, apatah jauh sekali. Perkahwinan yang hanya bertopengkan sehelai kertas, lebih-lebih lagi apabila mereka duduk terpisah semasa di UK. Mana mungkin rasa cinta terjalin.

“Abang dah malas nak fikir soal jodoh, ma. Abang nak fokus pada keluarga kita.” Tekad Iqwan.

“Manisa bukan keluarga kita?” Puan Marlia rasa bengang. Adakah selama ini Iqwan menganggap menantunya sekadar orang luar? Adakah itu punca perpisahan mereka?

“Dia sejarah abang. Tak akan berulang dan tak mungkin kembali.” Tegas Iqwan. Entah kenapa, dia seakan pilu bila mengatakan itu. Manisa, gadis yang manis, hampir mencuri hatinya. Namun, sekelip mata, mereka berubah menjadi orang asing. Sejak dari hari perceraian mereka, tidak sekali Manisa cuba menghubunginya. Tahulah dia, sejak dari itu, hubungan mereka tidak lebih dari sekadar teman atau lebih tepat, kenalan kontrak. Mengapa perlu menaruh harapan pada yang tak sudi? Mungkin saja ketika di sana, Manisa sudah bertemu dengan pilihan hati yang menjadi punca mengapa dia bertekad untuk berpisah. Siapa tahu?

Puan Marlia memegang tangan Iqwan. Cuba menenangkan hati anaknya. Fikirnya, mungkin Iqwan sudah cukup menderita dengan perkahwinan yang dia jalani selama ini. Sedikit sebanyak, Puan Marlia turut terpalit rasa bersalah kerana dia yang dulunya memaksa perkahwinan itu terjadi. Mungkin, sebenarnya Iqwan dan Manisa perlu lebih masa untuk mengenali. Namun, atas desakannya, mereka tidak dapat mengenali hati budi masing-masing dengan lebih dekat sehingga berlaku kesalahfahaman yang menyebabkan perceraian itu terjadi. Mungkin.

“Mama minta maaf.” Puan Marlia cuba menahan genangan air mata. Sungguh dia sudah menghancurkan kehidupan anaknya sendiri. Tangannya erat menggenggam tangan Iqwan.

“Mama tak salah. Mama tak pernah buat salah. Cuma, kali ini, Iqwan dah silap langkah.”

“Semua orang buat silap. Namun, kesilapan yang terbaik adalah dengan memperbaikinya. Mama tak mahu Iqwan menyesal dengan segala apa yang berlaku. Kita buka buku baru ya?” pujuk Puan Marlia. Biarpun dia tidak tahu punca perceraian mereka, namun kesan daripadanya membuat Iqwan sedikit berubah. Tidak seperti yang dulu.

“Mama?”

“Ya, sayang.”

“Abang nak tambah nasi boleh?” Puan Marlia tersenyum mendengar kata-kata Iqwan. Sekurang-kurangnya, Iqwan masih boleh berbicara dengannya.

“Anak mama ni kan, semua orang kata, bukan setakat mama sahaja. Semua orang kata kacak.” Iqwan pura-pura tidak mendengar pujian dari mamanya. Dia cuba melayan masakan mamanya malam itu dengan sebaiknya. Sudah lama dia cuba menghindari Puan Marlia agar soalan mengenai Manisa tidak diutarakan.

“Tapi itulah, sayangnya kalau muka kacak macam ini. Tak ada orang yang nak warisi.” Ayat terakhir Puan Marlia membuat Iqwan tak senang duduk. Dia seakan merasa déjà vu sekarang ini.

“Anak Pak Mad, taman depan tu. Mama dengar, dia dah jadi janda anak dua. Masih lawa lagi. Kalau abang nak,” belum sempat Puan Marlia menghabiskan kata-katanya, Iqwan bingkas bangun lalu membawa pinggannya ke dapur. Menandakan dia sudah selesai makan, maka perbualan mereka seharusnya berhenti setakat di situ. Sebelum di ke dapur, sempat Iqwan mencium pipi mamanya bagi menghentikan kata-kata Puan Marlia yang seterusnya.

“Abang,” jerit Puan Marlia.

“Iqwan Hakim Huzairi, mama belum habis cakap lagi.” Panggilan nama penuh membuatkan langkah Iqwan terhenti. Lantas dia menoleh, memberikan senyuman cukup manis kiranya.

“Abang esok hari, ada meeting dengan klien. Ada projek khas. Jadinya, malam ini kena tidur awal. Selamat malam mama.”

Mendengar jawapan Iqwan membuatkan Puan Marlia mengeluh berat. Nampaknya, sampai ketua anak aku menduda. Kalau dengan pilihan lain dia tak mahu, tak ada cara lain. Kita cari semula pilihan lama dia. Manisa. Puan Marlia tersenyum sinis memikirkan rancangannya. Apa Iqwan fikir dia tidak tahu akan kewujudan Iman, cucu lelakinya? Sengaja tadi dia menyebut mengenai zuriat dengan Iqwan. Mahu melihat anaknya itu masih mahu berahsia dengannya atau tidak. Nampaknya, Iqwan masih selamba tidak mahu memberitahunya mengenai Iman. Satu-satunya cucu lelaki yang dia ada ketika ini.

*****

Indah sedang sibuk menyusun atur pakaian yang ada di butik milik mamanya. Pekerja yang sedia ada diarahkan untuk melayan pelanggan yang hadir pada ketika itu. Sesekali, sempat Indah mengerling ke arah mamanya yang nyata mengelamun ketika rekaan pakaian terbaru sedang diterangkan kepadanya. Tentu saja ada hal yang bermain di fikirannya ketika itu yang menyebabkan Puan Marlia tidak fokus. Jarang dia melihat mamanya sebegitu, atau memang tidak pernah. Mama merupakan wanita yang sangat profesional. Tidak pernah dia campur adukkan masalah peribadi dengan hal kerja. Itu bukan cara Puan Marlia.

“Mama ada masalah ke?” sapa Indah di kala dia punya kesempatan. Dihulur cawan berisi air kepada Puan Marlia. Dia seakan dapat menebak masalah yang dialami Puan Marlia. Namun, dia mahu mamanya sendiri membuka mulut. Dia tidak mahu mendesak.

“Mama ke yang bersalah dalam hal ni?”

Indah menghirup airnya perlahan-lahan. Menanti ayat seterusnya dari Puan Marlia.

“Abang dah tak macam dulu. Dia lebih diam. Bercakap bila perlu. Mama rasa, mama punca abang jadi begitu.” Indah mengelengkan kepalanya. Tanda tidak setuju.

“Apa yang dah jadi pada abang, tak ada urusan dengan mama. Memang betul, mama yang paksa abang kahwin. Tapi, mama tak suruh pun abang cerai. Indah rasa kan, sebenarnya abang tak boleh lupakan Kak Long Manisa. Sebab tu dia jadi macam tu.” Puan Marlia memandang wajah indah dengan riak setuju.

“Mama pun rasa macam tu. Abang tu, bukannya pernah bercinta, mesti dia susah nak lupakan Manisa. Isteri pertama, cinta pertama. Orang kata, cinta pertama tu, memang tak dapat dilupakan. Nasib baik cinta pertama mama tu, bapak kau.” Puan Marlia tergelak. Dalam kerunsingan hatinya, sempat lagi dia mengenang kisah cinta dia dahulu. Manis, semanis nama menantunya. Tidak ada istilah bekas menantu, kerana Manisa satu-satunya menantu perempuan yang dia ada dan semoga itulah sehingga ke akhirya.

“Mama nak ke Kuala Lumpur.” Indah memandang wajah Puan Marlia. Nak buat apa? Mahu buka cawangan baru ke? Tidak terlalu awal?

“Mama nak bawa balik kakak ipar kau. Sekali, mama nak tengok lokasi cawangan baru yang kita bincang tempoh hari. Mama rasa, dah tiba masanya kita kembangkan perniagaan kita. Nanti kita hantar, si Bida uruskan cawangan di sana.” Indah mengangguk setuju. Dalam tidak fokus tadi, masih sempat mamanya membuat perancangan masa depan butik mereka. Kak Abida, pekerja mama yang paling lama. Bermula dengan menjadi pembantu semasa mama meniaga kuih raya, beralih menjahit baju, dan sekarang, mula menjadi pengurus cawangan butik mama. Dan aku? Masih lagi terkial-kial membantu mama atas tunjuk ajar Kak Abida. Betapa mama begitu percayakan Kak Abida kerana mereka sudah lama kenal. Malah, sudah Indah anggap Kak Abida seperti ibu saudaranya sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience