Bab 8

Family Series 2580

Pejam celik pejam celik, sudah sebulan Manisa dan Iqwan bertunang. Esok merupakan hari paling bersejarah buat kedua-duanya. Mereka akan disatukan dengan satu ikatan suci. Semestinya yang paling gembira itu Mak Temah dan Puan Marlia. Anak mereka akan mengakhiri zaman bujang mereka. Cuma Pak Derus yang agak keberatan. Lebih-lebih lagi apabila dia mengetahui yang Iqwan akan membawa anak daranya ke negara orang. Bukan suatu tempoh yang sekejap baginya, tapi dia pasrah. Kalau dihalang, mungkin Manisa tak mahu berkahwin lagi selepas ini. Siapa yang akan susah kalau bukan dia?

“Nak berbesan dah kita. Tak sangka. Pusing-pusing Pontian tak jumpa. Rupanya nak bermenantu orang Johor Bahru.” Seloroh Mak Temah. Puan Marlia ketawa senang. Rupanya, dari sini datang perangai kuat seloroh Manisa. Mudah dibawah borak mak Manisa ni.

“Itulah. Duduk tunggu hari-hari, tak ada menyebut. Tiba-tiba dia minta kita pinangkan. Pucuk dicita ulam mendatang kak. Dapat pun menanti perempuan.” Tambah Puan Marlia tak mahu kalah. Dia bila jumpa regunya, memang kecoh majlis dibuatnya. Niat dihati nak buat majlis besar-besaran. Namun atas permintaan keluarga dari pihak perempuan yang mahukan kesederhanaan, nampak gayanya kenalah ikut. Tak mengapa, nanti mereka balik dari UK, tahulah dia majlis macam mana yang dia mahu buat. Kalau boleh mahu tempah sepuluh kanopi.

“Saya dah tempah homestay untuk inap sepanjang tiga hari ni. Nanti saya suruh Manisa tunjukkan jalan. Lagipun, pemilik homestay tu, kawan si Manisa. Jadi senang nak berurusan.” Ujar Mak Temah.

“Rumah bersanggah pula, saya dah minta izin rumah dekat hujung tu. Nak minta tumpang bersanggah masa hari majlis. Jadi merasalah kita dengar paluan kompang lama sikit.” Tambah Mak Temah lagi. Dalam banyak-banyak perkara dalam hal majlis perkahwinan, acara perarakan pengantin paling dia suka. Budak-budak memalu kompang, kemudian ada yang bersilat. Nampak meriah sangat.

“Bagusnya akak. Saya jadi segan. Iyalah, patutnya majlis besar lagi kita boleh buat. Tapi terpaksa tahan sebab Iqwan nak sambung belajar. Saya minta maaf ya kak.” Puan Marlia menyatakan isi hatinya. Layanan yang dia terima, memang membuat dia berasa terharu. Terasa seperti berjumpa semula saudara-mara yang selama ini menghilang. Layanan Mak Temah, buat dia terasa seperti memiliki sebuah keluarga yang besar.

“Tak apa. Ini pilihan budak-budak. Kita ikutkan aja. Yang penting, selamat diijab kabul.” Pujuk Mak Temah. Sebenarnya, dia juga mahu membuat majlis yang besar-besaran. Namun, atas desakan Manisa, terpaksa dia batalkan hasratnya. Di dalam hatinya, dia sudah nekad mahu membuat kenduri yang lebih besar sesudah anaknya pulang dari UK bersama menantunya. Itu azamnya!

*****

Manisa yang dari tadi mendengar bebelan dari mak andam jadi terkejut apabila telefon bimbitnya bergetar. Mak andam yang sedang menyoleknya turut sama terkejut.

“Dik, kau jangan melatah. Aku yang terkejut nanti. Boleh bercamtum kening kau, aku buat.” Bebel mak andam Manisa. Biarpun mulutnya riuh, namun Manisa tetap sudi mendengar omelan darinya. Sebab mak andam itu suka bercerita pengalamannya menyolek pengantin sejak lima tahun yang lalu. Betul apa orang kata, pengalaman mendewasakan kita. Kau tengok mak andam ni, lama betul dia cerita sampai kening aku pun tak siap lagi dari tadi.

Manisa membuka telefon bimbitnya. Mesej dari Iqwan.
Saya rasa gementarlah. Dah berapa kali saya tersasul nama ni. -Iqwan.

Manisa menghela nafas. Sejak bila aku jadi pakar motivasi ni?

Tenang. Nama saya ringkas. Manisa Adira binti Idrus. Jangan buat pening. -Manisa

Kalau tersebut Mastura macam mana? -Iqwan.

Gila. Itu kakak saya. Dia isteri orang. -Manisa.

Iqwan mengeluh. Saja dia berniat mengusik Manisa. Mana tahu gadis itu akan cemburu. Namun sebaliknya, usikan Iqwan dibuat endah tak endah. Betul ke aku nak kahwin dah ni? Segera Iqwan membetulkan niat di hati. Ingat Iqwan. Master in Architecture! Itu misi kau yang lebih utama. Selain dari itu, kau serahkan pada Allah. Dia yang Maha Mengetahui. Lepas empat tahun, barulah kau fikir macam mana hubungan kau dan dia.

Iqwan memikirkan lebih dalam. Bila dia dah sah jadi isteri aku, maka dia adalah tanggungjawab aku. Jadinya, sepanjang di sana, aku kena beri nafkah juga lah kan? Walaupun sekadar kahwin sementara. Tanggungjawab itu hal yang berbeza. Jaga integriti kau, Iqwan.

*****

Manisa merapikan rambutnya sebelum baring di atas katil. Penat. Itu sahaja perkataan yang tepat untuk dirinya ketika ini. Mana tidaknya, tiga hari berturut-turut sebelum majlisnya berlangsung, Manisa menahan mata menyiapkan segala gubahan untuk hantarannya. Bukan tidak mahu serahkan kepada orang lain. Cuma, dia tidak mahu mereka tahu isi hantarannya. Kalau boleh, biar hari pertukaran hantaran, baru semua tahu. Nak surprise gitu! Namun sudahnya, dia sendiri yang tidak cukup tidur. Majlisya memang sederhana. Tapi kehadiran saudara-mara yang lain, sungguh memeriahkan suasana. Tak cukup tangan jadinya.

Baru sahaja mata Manisa terlelap. Dia terasa ada tangan yang melingkar ke pinggangnya. Iqwan! Segera Manisa berpaling. Mamat ni memang tidur mati. Aku bukan bantal peluk kau.

Manisa turun dari katil. Mengambil bantal peluk yang sudah tergolek separuh di bawah katil. Diangkat tangan Iqwan, lalu diletak bantal dibawah lengan lelaki itu. Haa, kau peluk bantal ni puas-puas. Aku nak tidur. Jangan cari pasal. Ada yang makan penendang maut malam ni. Tak sempat kau sambung belajar, tulang dah patah sekerat. Getus Manisa.

Dia geram. Paling tidak suka apabila tidurnya diganggu. Semua memang tahu dia kuat tidur. Boleh dapat gelaran The Most Sleeping Sweety. Lagi bila keadaannya yang terlalu penat, dia kalau boleh mahu tidur yang nyaman. Cukup sahajalah malam ini dia perlu berkongsi tempat tidur. Bantal peluknya dipinjam Iqwan. Apa lagi yang dia perlu berkorban malam ini? Dia rasa sudah cukup terseksa baginya. Namun dek kerana UK, dia terpaksa relakan hati. Sabar Manisa, lagi tiga hari!

Manisa mencapai bantal yang lainnya untuk dijadikan bantal peluk. Sungguh dia mengantuk. Kalau diberi dia tidur di lantai pun, dia tak peduli. Dia boleh tidur dengan lena. Cumanya, esok pagi akan menjadi hari yang paling teruk baginya kerana dia akan sakit-sakit belakang kerana kesejukan tidur di lantai. Maklumlah, tinggal di kawasan pergunungan, kawasan lantai memang sejuk. Tambah lagi bila hari menuju fajar pagi. Semakin bertambah dingin. Manisa tidak dapat menahan matanya lagi. Perlahan-lahan dia hanyut dibuai mimpi.

*****

“Iqwan, awak nak tinggalkan saya ke?” soal Manisa. Dia melihat Iqwan sudah lengkap membawa sebuah bagasi besar. Jangan tinggalkan aku sendiri. Kau dah janji nak bawa aku bersama.

“Siapa kata kita nak pergi bersama. Awak akan terus tinggal di sini Manisa. Bersama keluarga awak. Saya akan mengejar cita-cita saya. Nanti bila saya dah balik, kita akan berpisah seperti yang dirancang.”

“Penipu! Kalau aku tahu semua ni akan terjadi, aku tak akan setuju akan perkahwinan ini. Mak, abah, ampunkan Manisa. Manisa berdosa!” raung Manisa. Sungguh dia rasa sungguh menyesal dengan perkahwinan ini. Kini Iqwan akan meninggalkannya. Tidak seperti yang mereka rancang dulu. Bagaimana caranya dia mahu melihat dunia luar? Adakah memang tidak ada lagi peluang untuk dirinya.

“Mak!” jerit Manisa sekuat hati. Mak Temah yang keberangan menyimbah air ke muka Manisa. Sedar Manisa!

“Ampunkan Manisa mak. Manisa janji akan berubah. Manisa tak mahu jadi begini. Ampunkan Manisa.” Manisa merangkul erat kaki Mak Temah memohon keampunan.

“Hei. Hei. Hei. Apa buat kecoh ni?” Iqwan kaget. Hampir terlerah kain pelikatnya ditarik Manisa. Mengigau jenis apa ni?

Tokk! Tokk! Tokk!

Pintu bilik diketuk kuat.

Iqwan berusaha membuka pintu bilik menggunakan daya yang ada. Manisa betul-betul tak mahu lepaskan kakinya.

Wajah Pak Derus terjengul di depan pintu.Manisa buat hal lagi!

Mak Temah yang datang membawa sebekas air paip, merenjis wajah Manisa dengan cepat. Bangun Manisa. Dah kenapa mengigau macam ni. Meraung macam kucing hilang anak. Sepatutnya Mak Temah tidak hairan. Sudah acapkali Manisa sebegitu. Baginya, ini bukan hal yang teruk. Manisa pernah sendiri buka pintu dan tidur di dalam kereta Pak Derus sepanjang malam. Begitu molek, siap kunci kereta orang tua itu dari dalam. Mujur tiada apa yang berlaku. Sejak dari itu, Pak Derus memang simpan kunci keretanya sebelum tidur. Risau kalau Manisa mengingau sehingga memandu kereta pada hari malam.

Sebaik sahaja air direnjis, Manisa mula kembali reda. Elok terjelepuk berbaring di kaki Iqwan. Dia kembali tidur tanpa sedarkan diri. Hampir tergelak seisi rumah melihat reaksinya. Dia sudah buat satu rumah terbangun, dan dia masih boleh lena di kaki suaminya. Manisa memang aneh. Namun Mak Temah memang sudah arif dengan perangai Manisa. Dia perasaan, Manisa akan mula buat perangai mengigaunya apabila terlalu penat ataupun menerima tekanan yang melampau. Sebab itu Mak Temah tidak terlalu mendesak Manisa. Bukan apa, buatnya dia mengigau berlari keliling kampung, mana larat Mak Temah dan Pak Derus nak mengejar tengah malam buat.

Iqwan hanya geleng kepala melihat telatah Manisa. Manisa oh Manisa. Begini rupanya cara kau tidur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience