BAB 1

Romance Series 32341

"Apa ni Iqbal! Main halang-halang jalan saya dah kenapa?"
Iman mengeluh keras. Buku-bukunya yang jatuh akibat terkejut kerana disergah oleh Iqbal tadi, dikutip satu persatu.

"Bukan main sombong kau dengan aku ya. Kau tak dengar ke aku panggil kau banyak kali tadi? Atau...... Kau dah pekak? Kesian, muda-muda lagi dah pekak. Eh, cop! Jangan pekak dulu. Aku belum puas lagi nak menatap wajah indah bak bulan purnama kau ni."
Iqbal bermain-main dengan kunci kereta Honda Citynya. Dipusing-pusingkan di hadapan wajah Iman yang jelas tampak tidak selesa.

Iman pula, hanya mengambil langkah untuk mendiamkan dirinya. Malas mahu membalas kata-kata Iqbal. Sudah acap kali Iqbal mengganggunya. Tidak cukup di dalam kawasan kampus, perhentian bas, kafe dan ada kalanya di tengah jalan. Pernah sekali Iqbal memberhentikan keretanya di hadapan Iman yang sedang berbasikal di taman pada waktu petang.

"Oit! Kau dengar tak apa aku cakap ni?"
Mati lamunan Iman. Bosan sungguh dia akan jejaka di hadapannya ini. Entah apa yang si Iqbal mahukan daripada dirinya. Tidak pernah serik untuk menganggunya jika berjumpa. Iman pula, sudah sedaya upaya melarikan diri apabila tiba-tiba terserempak dengan Iqbal.

"Awak nak apa lagi Iqbal? Saya dah cakap saya tak nak diganggu. Banyak kali saya cakap dekat awak."
Keluh Iman lagi. Dia mahu cepat-cepat pulang ke hostel. Waktu Asar sudah pun masuk sewaktu dia masih di perpustakaan sebentar tadi. Dia berpuasa sunat Isnin hari ini. Cadangnya, selepas solat Asar dia mahu ke kafe membeli juadah untuk berbuka puasa. Dilirik jam di tangan. Sudah hampir jam 04:45 petang.

"Cepatlah pergi wahai Iqbal". Desis Iman di dalam hati. Cuaca yang terik walaupun sudah melewati waktu Asar benar-benar membuat dirinya kepenatan. Sejak pagi tadi harinya penuh dengan kuliah dan amali di makmal. Petang tadi, dia sempat ke perpustakaan mencari bahan untuk tugasan yang perlu dihantar pada minggu hadapan. Sudah elok diatur jalan ceritanya untuk hari ini, tiba-tiba datang pula watak Iqbal memporak-perandakan harinya.

"Kenapa kau ni jual mahal sangat dengan aku? Perempuan lain beratur nak kenal dengan aku, nak call-call dengan aku, whatsapp aku. Tapi kau ni memang jual mahal sangat. Dah lama aku minta nombor phone kau. Kenapa kau tak nak bagi? Kau ingat kau tu laku sangat ke? Aku nak berkawan dengan kau ni, dah kira baik tau!"
Sinis Iqbal berkata, sambil bersandar di samping keretanya.

"Saya tak selesa. Maaf Iqbal. Lagi pun tadi awak sendiri yang cakap perempuan lain ramai yang beratur nak kenal awak. Jadi, saya rasa baik awak teruskan sesi perkenalan dengan mereka. Saya balik dulu. Boleh ke tepi?"
Panjang Iman membalas. Dia sudah betul-betul penat. Dia cuba mengatur langkah, namun langkah Iqbal lebih pantas. Sekali lagi buku-bukunya jatuh kerana Iqbal terlebih dahulu menghalang langkahnya.

Iman tunduk mengutip buku-bukunya. Air mata ingin menitis, tetapi ditahan sedaya upaya. Kenapalah agaknya Iqbal suka benar mengganggunya sedangkan dia sedikit pun tidak membuat onar dalam hidup Iqbal. Perlahan dia bangun setelah mengutip bukunya buat kali kedua.

"Jom, pergi makan. Aku belanja."

Iman menggeleng pantas. Mana mungkin dia mahu mengikut Iqbal jika dia tidak puasa sunat sekalipun.

"Jual mahal kau ni. Apa yang susah sangat? Nombor phone tak nak bagi, ajak makan kau tolak. Kau nak aku melutut ke macam mana baru kau nak terima? Kau ni dah kira beruntung sebab aku yang cari kau. Bukan kau yang cari aku."

"Hurm..."
Iman hanya mendengus perlahan. Sempat dikerling jam di tangan. Sudah jam 05:00 petang. Rosak jadualnya hari ini.

"Dah, jom!"

"Saya puasa. Boleh tak bagi saya balik? Saya nak solat Asar, nak ke kafe beli makanan berbuka. Harap awak jelas."
Iman sudah tidak menunggu lama kali ini. Apabila dilihat Iqbal sudah terdiam, cepat-cepat dia melangkah meninggalkan Iqbal yang masih berdiri di samping keretanya. Tidak dipedulikan juga suara Iqbal yang masih memanggilnya. Yang dia tahu, dia mahu cepat-cepat sampai ke hostel yang terletak tiga blok daripada tempat mereka terserempak tadi. Laju hatinya berdoa agar Iqbal tidak mengikutnya.

Sementara itu, Iqbal sudah menyerah kalah buat kali ini. Sementelah Iman tidak mempedulikan panggilannya dan melangkah laju menuju ke hostel, dia kembali ke keretanya dan memandu keluar dari kawasan kampus dan pulang ke rumah.

"Tak apa Iman. One day, you will be mine!"

********************************************

"Lambat kau sampai Iman? Tadi kau cakap dengan aku, 04:45 petang confirmed sampai. Pukul 05:00 kita nak turun beli makanan dekat kafe. Berlari aku balik tau tadi lepas kelas pukul 04:30. Ni dah pukul lima lebih, baru kau sampai. Aku call kau banyak kali, semua masuk voice mail."
Panjang bebelan Zaara, rakan sebilik merangkap kawan baiknya itu. Iman hanya mampu tersenyum sambil duduk di katil bujang miliknya. Beg, buku diletakkan rapi di atas meja belajar. Dikeluarkan juga telefon bimbitnya. Patutlah, bateri habis. Telefonnya memang cepat kehabisan bateri sejak akhir-akhir ini. Sudah lebih empat tahun telefon jenama Samsung itu bersamanya. Sejak dari zaman dia belajar di Kolej Matrikulasi Pahang. Sayang betul dia dengan telefon bimbit itu, manakan tidak dia bersusah-payah mengumpul duit hasil bekerja di kedsi makan sementara menunggu keputusan SPM.

"Ada roadblock dekat tengah jalan tadi. Sorry tau cik Zaara yang cantik manis. Aku bukan sengaja. Tak comel lotey dah kau marah-marah macam ni tau."
Iman tersenyum. Dia tahu Zaara, gadis kelahiran Kuala Terengganu itu bukan seorang yang cepat marah sebenarnya.

"Hebat betul dalam kampus ni. Boleh ada roadblock pulak. Dekat jalan mana roadblock tu? Setahu aku, jalan dari bilik kuliah dengan library satu jalan kan? Tak ada pulak aku nampak roadblock on the way balik tadi."

"Kau dah solat belum?"
Cepat Iman mematikan bebelan rakannya. Lagi melayan, lagi lambat mereka boleh ke kafe.

"Dah. Dah siap ni haaa. Kau tak nampak aku dah bertudung bagai? Tak ada maknanya nak bersiap macam ni kalau tak nak keluar."

"Okey, bagi aku 10 minit."

"Cepat! Lebih 10 minit kau belanja aku seminggu!"

"Amboiii! Kau ingat solat boleh cepat-cepat?"

Dan akhirnya, kedua-dua rakan baik itu ketawa besar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience