Di hari terakhir Cikgu Khairul berkhidmat di SMK Taman Desa Indah, pihak sekolah telah mengadakan satu majlis perpisahan untuk Cikgu Khairul. Usai ucapan wakil murid, wakil guru dan Tuan Pengetua, tibalah giliran Cikgu Khairul.
"Cikgu doakan anak-anak didik sekalian berjaya dalam pelajaran dan juga dalam bidang kokurikulum. Cikgu juga berharap agar kamu semua berjaya mencapai cita-cita yang telah kamu tanam dalam diri kamu. Ingatlah kata-kata cikgu, tiada istilah kelas hadapan atau belakang. Yang ada hanyalah aliran yang berbeza. Jangan ingat, duduk kelas Al Farabi ambil Sains Tulen hanya boleh jadi doktor sahaja dan murid kelas Al Biruni hanya boleh masuk politeknik. Salah tu. Dunia di luar sana luas, amat luas. Kejarlah cita-cita kamu, kejarlah impian kamu. Intailah peluang. Cikgu sayang kamu semua."
Sebak kedengaran lunak suara Cikgu Khairul. Ayatnya disambut oleh seluruh murid yang berada di dalam dewan. Ada yang sudah mengalirkan air mata. Tidak dinafikan, Cikgu Khairul antara guru yang rapat dengan murid-muridnya.
"Kami sayang cikgu!"
Dari tempat duduknya, Iman nampak Cikgu Khairul menghela nafas panjang sebelum menyambung ucapannya.
"Dan buat rakan-rakan guru, terima kasih atas segalanya. Buat AKP, juga terima kasih atas segalanya kerana tak pernah lelah layan kerenah saya, dan buat barisan pentadbir, thank you bosses kerana memberi kepercayaan kepada saya selama ini. Saya mohon maaf andai ada salah dan silap sepanjang saya berkhidmat di sini. Jasa, budi dan tunjuk ajar kalian semua akan saya bawa ke mana-mana saya pergi. Saya akhiri ucapan saya hari ini dengan serangkap pantun,
Dari Selangor ke Negeri Pahang,
Menimba ilmu, menabur bakti,
Sudah masanya kembali ke Kelang,
Mekar jasa dan budi di dalam hati.
Sekian, terima kasih.
Bergemuruh tepukan di dalam dewan besar sekolah apabila Cikgu Khairul menamatkan ucapan perpisahannya. Usai acara penyampaian hadiah dan sesi bergambar, majlis diteruskan dengan acara bersalaman dengan Cikgu Khairul. Apabila tiba di depan Iman,
"Terima kasih Cikgu kerana menjadi pakar rujuk terbaik buat saya. Selamat maju jaya, dan jangan lupakan kami."
"You too Iman. Jangan jual mahal sangat, nanti ada yang lari."
"Erkkk, tak faham."
Iman mengerutkan dahinya, tanda tidak faham.
"See you this evening. Saya ada sesuatu nak berikan pada Iman."
Dan kali ini, Iman mengangguk.
Petang Jumaat itu, usai solat Jumaat, Cikgu Khairul memasukkan saki-baki barangnya ke dalam kereta tatkala Iman sampai ke Aspura. Iman tersenyum manis. Dihulurkan sebuah beg kertas. Cikgu Khairul mengerutkan dahinya.
"Apa ni Iman. Buat susah-susah je bagi saya hadiah."
Cikgu Khairul menarik keluar barang yang ada di dalam beg kertas tersebut. Sepasang baju Melayu berwarna hijau muda. Cantik, lembut kainnya.
"Tak susah pun Cikgu. Kain tu, saya beli tapi yang jahit tu, ma saya. Dia teringin sangat nak bagi cikgu hadiah. Banyak jasa cikgu pada family saya. Tak mampu kami nak balas dengan kata-kata. Saya harap cikgu dapat terima hadiah yang tak seberapa ni.
Jelas Iman panjang lebar.
"Ini dah cukup beerti buat saya Iman."
"Alhamdulillah."
"Ermmm, Iman. Izinkan saya?"
Giliran Iman pula mengerutkan dahinya.
"Izinkan apa cikgu?"
"Saya tak nak lepaskan peluang ni sebab saya takut lain kali saya dah tak ada peluang sebaik ini untuk meluahkan apa yang terbuku di hati saya. Andai Iman tolak, saya faham."
Cikgu Khairul terdiam seketika. Iman sabar menanti, dan mengangguk perlahan.
"Saya sebenarnya dah lama sukakan Iman."
"Errrrr."
Dan kali ini Iman terpanar mendengarkan pengakuan Cikgu Khairul.
"Dan, saya tahu siapa tunang olok-olok Iman yang pernah Iman sebutkan tiga tahun dulu."
Alamak! Cikgu Khairul ingat lagi kes tu!
"Iman main sebut je kan nama Iqbal masa tu sebab nak lepaskan diri dari saya? Sebenarnya saya dah lama tahu. Dan sekarang, saya nak ambik peluang ni untuk meluahkan apa yang terbuku di hati saya. Saya harap Iman tak akan hampakan saya kali ini."
Lirih suara Cikgu Khairul, begitu berharap agar Iman dapat menerimanya. Dia bukannya tidak laku. Sudah banyak calon isteri yang diperkenal oleh ibunya namun, hatinya masih tertutup untuk menerima mana-mana calon ibunya. Dia masih berharap Iman sudi menerimanya, walaupun umur mereka jauh berbeza.
Saat ini, Iman sudah kelu untuk membalas. Dia tahu dan dia sedar, Cikgu Khairul memang masih menaruh hati padanya namun mereka tetap bersikap profesional di sekolah. Dia tidak berniat untuk terus-terusan menolak Cikgu Khairul, namun Iman juga tidak mahu terus memberi harapan palsu. Dia hanya menganggap Cikgu Khairul sebagai guru dan abang, tidak lebih dari itu.
"Cikgu, bukan niat saya nak menghancurkan harapan cikgu, tetapi saya memang tak boleh terima cikgu lebih daripada seorang rakan, rakan sekerja dan abang."
"Kenapa Iman? Sebab saya dah terlalu tua untuk awak?"
"Bukan, bukan sebab faktor usia cikgu. Tapi hati saya memang tak boleh terima cikgu lebih dari itu. Maaf cikgu. Saya minta maaf sangat-sangat."
"Cuba Iman. Apa kata awak cuba buka hati awak untuk terima saya."
Cikgu Khairul masih tidak putus asa. Wajah polos Iman dipandangnya. Sungguh, dia sukakan Iman lebih daripada seorang adik.
Iman menggeleng, dan menundukkan wajah. Ingin mengumpulkan kekuatan.
"Hati dan perasaan, tidak boleh dipaksa, cikgu. Saya harap cikgu faham. Saya balik dulu. Saya doakan urusan cikgu dipermudahkan. Selamat dalam perjalanan pulang ke Selangor. Dan, saya doakan juga supaya cikgu cepat bertemu jodoh."
"Iman!"
Belum sempat Iman melangkah pergi, Cikgu Khairul memanggil namanya.
"Saya masih abang Iman kan?"
Iman mengangguk.
"Ya, always be my brother!"
Share this novel