Sedar tak sedar, latihan mengajar mereka sudah sampai ke penghujung. Minggu-minggu terakhir di sekolah diisi dengan pelbagai aktiviti menarik bagi mencipta seribu kenangan terutamanya dengan murid-murid. Tidak ketinggalan juga bagi Iman. Sudah rezekinya, hujung minggu itu sekolahnya menganjurkan Hari Keusahawanan sempena Minggu Kokurikulum. Peluang yang datang tidak disia-siakan apabila dia diberi tugasan sebagai Ahli Jawatankuasa Pengelola Hari Keusahawanan itu. Tidak menang tangan, tidak cukup tidur dan segala penat lelahnya terasa berbaloi apabila melihat kemeriahan program itu.
Siapa sangka, sejak dari peristiwa dia dipantau oleh pensyarahnya dulu, baru dia tahu bahawa murid-murid kelas belakang sebenarnya serba boleh! Ingin ketawa besar apabila mengingatkan momen itu. Pandai murid-murid 4 Al Biruni itu berlakon di hadapan pensyarahnya. Memang A! Tiba-tiba sahaja kelas yang pada kebiasaannya lebih banyak bermain daripada belajar, berubah 360 darjah. Senyap, fokus dan memberi kerjasama yang sangat baik. Lega Iman. Kalau tidak, mahu menangis dia dengan perangai mereka. Dan hari ini, terbukti murid-murid itu bukanlah nakal jahat tetapi nakal-nakal manja! Mereka bahagia dengan cara mereka.
Iman cukup berbangga dan berterima kasih dengan kesemua 21 orang murid 4 Al Biruni itu. Dari awal merekalah yang membantu Iman dalam menguruskan Hari Keusahawanan. Benarlah kata orang, walaupun tidak dikurniakan otak yang pintar tetapi mereka dikurniakan kelebihan daripada sudut yang lain.
Hari yang memenatkan bagi Iman, tetapi rasa seronok membuatkan dia lebih bersemangat. Program Hari Keusahawanan itu berakhir pada jam 05:00 petang. Usai solat Asar di surau sekolah, mereka mula mengemas. Murid-murid 4 Al Biruni tetap setia menemani dan menolong Iman menyelesaikan tugasannya.
Penat mengemas, Iman melepaskan lelah di atas bangku berhampiran padang. Dibuka penutup air mineral yang diberi oleh AJK Makanan cermat. Baru hendak meneguk air itu, satu suara menegurnya dari belakang.
"Seorang je Iman?"
Cikgu Khairul menegur. Iman hanya mengangguk. Penat di badan belum hilang, sekarang bertambah pula penat nak melayan orang. Namun, Iman cuba memaniskan senyumannya. Dia sudahlah hanya nenumpang berpraktikal di sekolah itu.
"Errr, ya..."
Jawab Iman, cuba berlagak biasa walaupun dia sebenarnya sangat tidak selesa. Mati niatnya untuk melepaskan lelah. Kakinya terasa ingin melangkah pergi saat itu.
"Nah. Untuk Iman."
Cikgu Khairul menghulurkan satu bungkusan untuk Iman. Iman yang tercengang, teragak-agak untuk menerima bungkusan itu.
"Untuk apa ni cikgu?"
Tanya Iman pelik. Bungkusan berbalut yang berwarna ungu itu sudah bertukar tangan. Cikgu Khairul dilihat melemparkan satu senyuman manis kepada Iman.
"Sempena meraikan Iman tamat latihan mengajar. Tak salah kan kalau saya bagi hadiah dekat Iman?"
Iman menggeleng. "Memanglah tak salah tapi kalau cikgu tak bagi, lagi tak salah!" kata Iman di dalam hati.
"Buat susah-susah je cikgu. Sepatutnya saya yang bagi hadiah dekat guru-guru dekat sini sebab dah banyak bantu saya. Ini terbalik pulak. Cikgu-cikgu dekat sini pulak yang bagi saya hadiah."
"Iman nak tahu sebab apa kami bagi hadiah?"
Iman mengerutkan dahinya. Nak main teka-teki pula guru subjek Biologi ini.
"Sebab Iman istimewa, terutamanya di mata saya."
"Haaaaa!!!"
Iman terlopong mendengar jawapan daripada Cikgu Khairul.
"Tutup mulut awak tu Iman. Nanti lalat hinggap, susah pula saya."
"Eh, er..."
Iman menutup mulutnya. Haish! Makin menyeramkan pula Cikgu Khairul ni.
"Awak dah nak habis praktikal kan minggu depan?"
"Ha... Err... Ya, ya."
Tergagap-gagap Iman menjawab. Penutup botol air mineral dimain-mainkan.
"Awak free esok? Jom, keluar makan dengan saya."
"Eh tak boleh cikgu. Bakal tunang saya nak datang esok. Kami dah janji nak keluar beli barang untuk majlis pertunangan kami. Saya minta maaf ye cikgu."
Ha! Gasaklah, asal jawab.
"Oh, awak dah berpunya rupanya. Boleh saya tahu siapa dia? Kalau awak tak keberatan nak berkongsi cerita."
"Iqbal, kawan satu universiti saya".
Spontan Iman menjawab. Itu sahaja nama yang terlintas di fikirannya. Maaflah ya Iqbal. Harap-harap Iqbal tak tersedak lah. Mana tahu kalau sedang makan.
Dan, wajah gembira Cikgu Khairul bertukar menjadi sayu...
Share this novel