BAB 7

Romance Series 32341

Sedar tak sedar, Iman dan Zaara telah pun selesai menduduki kertas terakhir untuk semester ini. Segala urusan untuk Latihan Mengajar juga telah selesai. Mereka berdua melewati hari-hari terakhir berada di kampus UPM dengan girang. Pelbagai aktiviti dikelolakan oleh rakan sekelas mereka memandangkan semester selepas ini mereka tidak akan berada di kampus. Sudah tentu ramai yang memilih sekolah berdekatan dengan kampung mereka. Begitu juga dengan Iman dan Zaara. Mereka berdua sudah sepakat untuk menjalani Latihan Mengajar di Kuantan.

Barang-barang juga sudah siap dikemaskan. Mujur abang kepada Zaara yang bekerja di Putrajaya bersetuju untuk mengambil barangan milik mereka berdua untuk dibawa pulang ke kampung. Iman tumpang sekaki. Hubungan kekeluargaan mereka memang akrab. Jika tidak, Iman pun tidak tahu mahu membawa pulang segala barangnya ke Sungai Lembing. Keluarganya bukanlah orang senang. Ayahnya cuma menjual goreng pisang di warung tepi jalan. Ibunya pula hanya mengambil upah menjahit baju. Segan rasa Iman untuk meminta ayahnya memandu ke Serdang dengan kereta Iswara merah yang sudah banyak berbakti kepada mereka sekeluarga.

Sebab itulah Iman ingin berjaya dalam pelajarannya dengan cemerlang dan mencapai impiannya untuk bergelar seorang pendidik. Memang sejak dari kecil lagi dia sememangnya bercita-cita ingin menjadi seorang guru. Berkat usaha ibu bapanya yang tidak pernah lelah dalam menyediakan segalanya, Iman kini sudah berada di pintu masuk dunia pendidikan. Terlalu banyak jasa dua figura tua itu dalam hidup Iman. Nasibnya juga agak baik kerana mendapat biasiswa daripada Kementerian Pendidikan Malaysia sepanjang menuntut di UPM.

Sedang mereka berdua asyik bersembang di salah sebuah gazebo di dalam kolej kediaman itu sambil menunggu ketibaan abang Zaara, tiba-tiba sebuah kereta Honda City berwarna putih berhenti di tapak parkir berhadapan dengan mereka. Muka Iman berubah. Masakan dia boleh lupa dengan kereta dan pemiliknya. Iman bangun.

"Oit! Nak ke mana? Tiba-tiba je bangun."

"Jom, kita tunggu abang kau dekat kafe nak tak? Aku belanja kau teh ais abang Khairi. Kau mesti suka. Hari ni hari last dah kita dekat sini. Kang balik sana dah tak jumpa teh ais abang Khairi. Jom lah cepat."
Ajak Iman tergesa-gesa. "Mesti si Zaara ni tak perasan tu kereta Iqbal. Itulah, mengadap phone 24 jam". Desis Iman. Zaara pula mengeluh, tanda protes.

"Apa yang kau melalut ni. Kita baru lepas beli teh ais bungkus ikat tepi dekat abang Khairi. Ni, kau punya ni, setengah pun belum habis."

"Alamak! Adoi aku nak bagi alasan apa lagi ni. Si Zaara ni pun, aku ajak tu, jom jelah. Banyak pulak songeh dia. Aku nak bagi alasan apa lagi ni. Si Iqbal dah makin dekat tu. Aduh, macam mana ni." Iman semakin resah. Zaara tidak memberi kerjasama, Iqbal pula semakin mendekat.

"Assalamualaikum."
Ha sudah! Sah! Suara Iqbal. Iman cuba berlagak tenang. Ditarik nafas dalam-dalam, dan dengan sepantas kilat tangan Zaara ditarik. Terkocoh-kocoh Zaara mengikutnya.

"Iman!"
Jerit Iqbal.

Iman masih meneruskan langkahnya. Zaara yang tidak sempat memakai kasut terpaksa mengikut.

"Iman, Zaara. Tunggu."

"Jap, jap. Berhenti Iman. Weh, aku dengan berkaki ayam ni, beg semua tinggal dekat gazebo tu. Kang hilang macam mana?"
Iman tidak jadi melangkah. Aduh! Betul juga.

"Iman, bagi saya peluang untuk kali terakhir jumpa awak. Saya betul-betul ada perkara nak bagitahu awak. Saya janji, ini kali terakhir saya ambil masa awak."
Iqbal merayu. Zaara pula bersetuju.

"Ya Iman. Bagilah peluang pada Iqbal. Mana tahu dia kotakan janji dia lepas ni. Aman hidup kau lepas ni."
Sebenarnya Zaara serba salah kerana dia yang memberitahu Iqbal yang mereka akan pulang ke kampung pada hari ini. Itupun selepas dia terserempak dengan Iqbal sewaktu di fakulti. Puas dia mengelak tetapi Iqbal pandai menyusun kata menyebabkan dia terlepas cakap.

Iman akhirnya bersetuju. Dilabuhkan semula duduknya di atas gazebo.

"Nah,"
Huluran beg kertas oleh Iqbal tidak diendahkan.

"Ambillah,"
Hulur Iqbal sekali lagi. Zaara mencuit Iman yang masih tidak memberi respon.

"Apa!" getus Iman, lembut tetapi keras.

"Tu, orang dah bagi, ambil jelah. Orang kata, rezeki jangan ditolak. Ambik. Ambiklah cepat."

"Kau nak? Ambil lah kalau kau nak."

"Isk kau ni. Apahal pulak. Iqbal bagi dekat kau bukan dekat aku,"
Iman mengeluh. Dengan rasa tidak ikhlas, dia menyambut huluran beg kertas itu.

"Terima kasih."
Ucap Iman. Pertama kali dalam kamus hidupnya ucapan itu terluah untuk lelaki yang bernama Iqbal.

Tersenyum Iqbal. Fuh! Lega! Nasib baik Iman ambil. Kalau tiba-tiba beg kertas itu dilempar, haru juga. Tiba-tiba mereka semua terdiam.

Jeda seketika. Iqbal yang tadinya ingin berkata sesuatu, tiba-tiba lidahnya menjadi kelu. Rasa berdebar pula apabila Iman sudi menerima pemberiannya dan mengucapkan terima kasih. Rasa melayang sebentar.

"Hurm, kalau awak dah tak ada apa-apa nak cakap, saya rasa awak dah boleh beredar. Abang Zaara pun dah nak sampai kejap lagi. Terima kasih lagi sekali sebab bagi hadiah ni."
Kata Iman memecah kesunyian. Dilihat Iqbal sedang terkebil-kebil memandangnya. Kena pukau ke sawan dia ni? Getus Iman dalam hati.

" Er... Er... "
Iqbal tergagap-gagap ingin berkata-kata. Lidahnya kelu. Segala yang ingin diluahkan serasa terlekat di kerongkong. Padahal sebelum datang ke kolej kediaman itu, dia sudah merangka apa yang hendak disampaikan. Tup-tup apabila Iman menerima hadiah pemberiannya, segalanya berubah daripada apa yang dirancang. Nasiblah Iqbal!

"Dah tak ada apa-apa lagi kan. Assalamualaikum."

"Er... Ya, ya. Er... Selamat berpraktikal. Saya balik dulu."
Iman mengangguk. Rasa ingin ketawa apabila jejaka buaya darat itu tiba-tiba sahaja kelu di hadapannya. Zaara di sebelah turut merasa pelik. Hebat betul Iman sampai Iqbal jadi sampai macam tu sekali! Pakai kuasa apa ni?

"Kau pukau dia ke weh? Menonong je balik. Aku ingat banyak lah dia nak bagitahu. Alih-alih, lepas bagi kau hadiah, terus jadi pak pacak tak bersuara. Seperti seorang kasanova terpukau dek primadona."
Iman tergelak. Perumpaan yang diberikan Zaara memang tak masuk dek akal. Nasib baik mereka berdua mengambil jurusan Pendidikan Matematik. Kalau jadi cikgu Bahasa Melayu, memang haru-biru jadinya karangan murid-murid.

Sementara itu, Iqbal hanya tersenyum melihat gelagat dua orang teman baik itu dari dalam kereta. Walaupun lidahnya tiba-tiba menjadi kelu tadi, tapi dia puas kerana sekurang-kurangnya Iman sudi menerima hadiahnya.

Enjin kereta dihidupkan dan dia memandu keluar dari kawasan kolej kediaman itu.

"Hope to see you again Iman. Aku harap masa tu, bukan aku yang cari kau, tapi kau yang cari aku. Take care..."

"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience