"Oit! Kau nampak tak tu? Bukan ke si Iqbal tu? Kenapa dia buat macam tak kenal kita?"
Zaara mencuit lengan Iman yang sedang ralit menyuap nasi ke dalam mulutnya.
"Eh biarlah dia. Kau ni tak habis-habis lagi dengan Iqbal tu. Aman hidup aku kalau dia buat-buat tak kenal. Dah-dah. Makan cepat. Cepat kita makan, cepat siap makan, cepat basuh tangan, cepat naik kereta, cepat jalan, cepat sampai."
"Amboi banyak cepat kau. Tak nak tambah dah?"
Banyak songeh pula si Zaara ni. Iman menjeling tajam. Zaara menyeringai ketawa kecil.
Sambil makan, mata Iman sempat mengerling ke arah pasangan yang tampak mesra di hadapan mereka. Macam sengaja pula duduk depan dia dan Zaara. Ingat aku nak cemburu ke apa mamat ni? Eh tak ada masa. Baik aku makan nasi ni lagi bagus. Sekurang-kurangnya aku kenyang.
Sementara itu, Iqbal buat-buat tidak peduli dengan kehadiran Iman dan Zaara. What a small world! Boleh pula dia terserempak dengan dua gadis itu hari ini. Padahal, dia sebenarnya ingin ke Kelantan untuk menguruskan pembukaan cawangan baru perusahaan jualan kereta terpakai ayahnya. Haifa, sepupu paling rapatnya pula beria ingin mengikut dia ke Kelantan memandangkan nenek mereka berasal dari negeri itu. Alang-alang menyeluk pekasam, boleh mereka balik kampung sekali.
"Dah alang-alang terserempak, apa kata aku buat-buat mesra dengan si Haifa ni? Manalah tahu kot-kot Iman cemburu."
Ketawa kecil Iqbal di dalam hati. Alang-alang dah ada peluang menyakat, apa kata mencuba. Cuba tak salah. Kalau Iman tak bagi respon pun, tak ada lah dia malu sendiri.
"Eh! Kenapa dengan kau ni Angah? Tiba-tiba nak suap-suap aku makan pulak. Kau dah buang tebiat ke apa Angah?"
Haifa menepis sudu yang disuakan Iqbal secara tiba-tiba. Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba sahaja Iqbal menyua sudu yang berisi nasi goreng.
"Haishhhh si Haifa ni. Tolonglah aku! Tak bekerjasama langsung. Nasib kau duduk membelakangi si Iman. Kalau si Iman nampak kau tepis tadi, mahu malu sendiri aku dekat sini."
Iqbal mendongkol geram di dalam hati. Tapi salahnya juga, tiba-tiba sahaja suakan sudu, mana tak menolak si Haifa.
"Makan lah Angah. Cepat. Kang ada aku tinggal kau dekat sini. Kau janji dengan Tok nak sampai sana sebelum maghrib kan? Ini dah pukul tiga lebih. Jauh lagi Kota Bharu tu. Aku cepuk jugak kau dekat sini Angah."
Ugut Haifa. Kedua-duanya memang rapat sebenarnya. Ada kalanya sampai ada antara saudara-mara mereka yang mendoakan mereka bersatu, tetapi ditolak mentah-mentah oleh mereka. Mana mahu kalau dari kecil sudah bagai adik beradik, tiba-tiba bersatu menjadi suami isteri.
"Ye lah, ye lah. Kau bukan main kalau aku yang lambat. Lambat kau, kau tak nak kira? Pagi tadi, siapa yang lambat? Aku dah cakap nak gerak pukul lapan pagi. Kau boleh janji dengan Mak Selamah kau tu temankan dia pergi pasar apa hal?"
"Eh eh kau sedap kau mengata Mak Selamah aku. Mak Selamah, Mak Selamah jugak. Tu mak saudara kau tau. Jangan derhaka. Kau nak kena kejar dengan batang penyapu?"
Iqbal ketawa besar. Iman yang sedang mencuri pandang, curi-curi tersenyum. Kang si Zaara nampak, jenuh!
Share this novel