Bulan Ramadan tahun ini sudah ke penghujung. Sayu dan sebak bercampur baur. Masihkah ada peluang untuk berjumpa Ramadan akan datang? Lama Iman sujud pada rakaat terakhir solat Tarawikhnya. Esok, hari terakhir umat Islam akan menjalani ibadah puasa pada tahun ini. Lusa, Syawal sudah kunjung tiba.
Persiapan raya tahun ini, sederhana sahaja. Seperti tahun-tahun sebelumnya, baju raya untuk dipakai pada hari raya pertama mereka sekeluarga akan dijahit oleh ibunya. Rona ungu muda warna pilihan. Sedondon sekeluarga. Manakala, untuk raya kedua, Iman berbesar hati berbelanja untuk mereka. Langsir? Sudah tentulah baru pada tahun ini memandangkan sudah tiga tahun langsir di rumah mereka tidak bertukar.
Raya tahun ini, Iman berazam bahawa itulah kali terakhir ayahnya bersusah-payah membaiki kereta berwarna merah yang sangat berjasa itu. Bukan dia tidak bersyukur dan lupa daratan, tetapi dia kasihan pada ayahnya. Kereta Iswara merah itu sudah tampak uzur dan sering mengalami kerosakan. Kos untuk membaiki kereta, bukannya murah. Sebab itu jugalah Iman sebenarnya tidak mahu membeli kereta untuk dirinya sendiri terlebih dahulu. Dia ingin membelikan ayahnya kereta dahulu.
*********************
"Zaara, kau jadi kan datang raya rumah aku esok?"
"Jadiiii!!!!! Mana boleh tak datang raya rumah kau. Aku nak duit raya tau. Kau dah kerja jadi boleh bagi aku duit raya."
Panjang pula jawapan Zaara. Iman mencebik.
"Kau tu budak-budak umur lapan tahun ke nak duit raya lagi? Kau pun dah kerja, sibuk nak duit raya dari aku."
"Isk, kedekut! Haa, kau call aku semata-mata nak tanya tu je ke? Spoil je. Aku tengah sedap makan nasi dagang rumah Cik Su aku ni."
"Kenalah call, tanya. Kalau kau tak jadi datang, aku nak tutup pintu rumah aku ni. Aku nak tampal signboard besar-besar. Oleh kerana Zaara tak jadi datang, maka hari ni, rumah ni, ditutup."
Seloroh Iman pula, mengusik.
"Balaaaaaa."
Jawab Zaara pendek, sambil mengunyah nasinya lahap.
"Zaara, kau rasa ada tak kedai kereta buka musim-musim raya ni?"
"Erk? Kau kenapa? Nak beli kereta?"
Iman mengangguk. Eh, macamlah Zaara nampak dalam telefon, kalau panggilan video, lainlah.
"Ermmm, aku ingat nak ushar kereta untuk ayah aku. Iswara tu, banyak sangat dah rosaknya. Hajat hati memanglah nak beli baru, tapi aku tak cukup duit. Jadi, aku rasa aku nak cari kereta terpakai yang okey. Kau rasa okey tak?"
"Aku pun tak pastilah kedai kereta buka ke masih tutup esok. Esok baru raya keempat. Esok pon hari Sabtu. Atau, kau boleh ushar-ushar dulu dekat iklan, dekat google, dekat fb ke. Kalau buka, aku temankan kau esok. Okey?"
Cadang Zaara.
"Cantik! Deal! Aku ushar dulu ya. Thank you sahabat. Jumpa esok. Love you!
Share this novel