BAB 8

Romance Series 32341

Orang kata, murid-murid di sekolah menengah memang pantang dengar kalau ada cikgu praktikal lapor diri. Betul ke? Yang dulu tak suka belajar pun boleh jadi ulat buku. Tak kurang ada yang siap minta nombor telefon. Kononnya nak bertanya tentang isi mata pelajaran jika ada yang tidak faham. Yang lagi hebat, nak bagi pada abang yang masih bujang untuk berkenalan.

Iman hanya tergelak. Macam-macam orang kata. Nak percaya ke tidak? Kita tengok sahajalah nanti.

Hari ini merupakan hari pertama Iman dan Zaara menjalani latihan mengajar di bumi Kuantan. Mereka berdua memilih dua buah sekolah yang berdekatan dengan bandar Kuantan. Nasib mereka agak baik kerana ada empat orang lagi pelajar UPM yang memilih sekolah berdekatan dengan mereka. Dapatlah mereka menyewa bersama. Sekurang-kurangnya kurang sedikit bayaran sewa yang perlu dibayar oleh setiap orang. Pada awalnya mereka ingin tinggal di rumah keluarga Iman namun perancangan mereka bertukar di saat akhir kerana jarak antara Sungai Lembing ke bandar Kuantan memakan masa lebih setengah jam. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menyewa.

Ayah Zaara juga berbesar hati membenarkan Zaara membawa kereta Viva miliknya bagi memudahkan mereka berulang-alik ke sekolah. Setiap pagi, Zaara akan menghantar Iman terlebih dahulu, kemudian barulah dia akan ke sekolah.

*************************

Hujung minggu itu, Iman dan Zaara mengambil keputusan untuk pulang ke kampung Zaara di Kuala Terengganu memandangkan tiada kelas tambahan diadakan. Minggu lepas mereka pulang ke rumah Iman kerana Zaara terlibat dengan Kem Kepimpinan pada hari Jumaat dan Sabtu.

Mereka bertolak pada hari Jumaat selepas tamat sesi persekolahan. Zaara memandu Perodua Viva milik bapanya dengan penuh cermat. Mereka lebih selesa memilih untuk melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 berbanding jalan pantai kerana lebih cepat. Perjalanan dari Indera Mahkota ke Kuala Terengganu hanya memakan masa hampir tiga jam jika menggunakan LPT2.

Jam di tangan menunjukkan pukul 03:00 petang sewaktu mereka berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat Paka. Usai solat Zuhur tadi mereka terus memulakan perjalanan tanpa sempat makan tengah hari. Kedua-duanya sudah merasa lapar dan mengambil keputusan untuk berhenti makan sebelum meneruskan perjalanan.

Baru Iman hendak melangkah keluar, dia terpandangkan kereta Honda City berwarna putih menyusur masuk ke kawasan parkir hentian rehat itu. Dia cam nombor plat kereta tersebut. Matanya memerhati sehinggalah kereta itu diparkir di hadapan kiosk menjual makanan.

"Iman, jomlah keluar."
Ajak Zaara setelah dia siap mematikan enjin kereta. Iman dilihat seperti memerhatikan sesuatu dan masih berada di dalam kereta.

"Kau tengok apa Iman? Jomlah keluar. Aku dah lapar ni. Kang ada yang kena makan dengan aku kejap lagi. Dah, cepat."

"Iya. Sabar. Aku turun ni."
Iman keluar daripada kereta dan pada masa yang sama, kelibat Iqbal dan seorang gadis cantik turut melalui kawasan parkir itu. Memang sahlah tadi kereta itu milik Iqbal. Tidak syak lagi. "Apa dia buat dekat sini ya? Siap ada perempuan temankan." bisik Iman sendirian.

"Iqbal? Eh tu bukan Iqbal ke Iman? Amboi menonong je jalan. Tak nampak ke kita depan ni?"

"Ya lah tu Iqbal. Bagus juga dia tak kacau kita."
Jawab Iman hambar. Senang menjadi seorang yang bernama Iqbal ni.

"Siapa perempuan tu ya? Dah dapat gading bertuah, gading lama dah tolak tepi."
Iman menjungkitkan bahunya tanda tidak tahu. Mereka berdua kemudiannya berjalan menuju ke tempat makan.

Iqbal sebenarnya sudah perasan akan kehadiran Iman dan Zaara. Tetapi oleh kerana dia sudah berjanji tidak akan mengganggu Iman, keterujaannya apabila terserempak dengan Iman terpaksa ditelan. Dia hanya mampu memandang dari jauh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience