Bab 21

Romance Series 32341

"Cikgu, kita ada extra online class tak petang esok?
Tanya Zubair, salah seorang murid kelas 5 Al Biruni bertanya usai Iman menamatkan kelas Geografinya hari itu.

"Oh, nasib baik kamu ingatkan. Esok, online class kita, kita tunda ya. Esok guru-guru ada mesyuarat. Berkenaan Majlis Iftar Jamaei hari Jumaat ni."

"Baik cikgu!"

"Ada apa-apa lagi soalan sebelum saya keluar? Ustaz Ishak pun dah ada dekat luar, ready untuk masuk kelas kamu."

"Tak ada cikgu."

"Baik, itu sahaja pelajaran kita untuk hari ini. Jangan lupa siapkan latihan dalam Modul Skor A+ ya."

"Terima kasih cikgu!"

"Sama-sama."

Saat Iman berselisih dengan Ustaz Ishak di pintu kelas, sempat Ustaz Ishak menitipkan beberapa tugasan untuknya sempena Majlis Iftar Jamaei itu. Sudah menjadi kebiasan, Imanlah yang akan menyediakan buku program serta menempah bunting dan banner. Kerja-kerja sebegini harus mendahului program.

***************

Sedang asyik Iman mereka bentuk bunting dan banner untuk Majlis Iftar Jamaei, Cikgu Nadia datang duduk di tempat Cikgu Afiqah yang sedang dalam cuti bersalin.

"Cantik design kau ni Iman. Pandai betul kau design ni. Kalau suruh akak, mahu kejung. Silap-silap kalau suruh budak-budak buat, lagi advance."
Seloroh Cikgu Nadia. Iman hanya tergelak sambil meneruskan kerjanya.

"Kena minat Kak Nadia. Kalau tak minat, memang tak jadi."

Cikgu Nadia mengangguk-anggukan kepalanya beberapa kali. Sesekali perbualan mereka diselangi dengan ketawa dan celahan daripada guru-guru lain yang turut berada di bilik guru.

"Iman raya dekat mana tahun ni?"

"Kat mana lagi, dekat Sungai Lembing lah kak Nadia. Akak pulak?"

"Tahun ni turn raya Perak dik. Menangislah akak di pagi raya. First time ni nak beraya dekat rumah mentua."

"Haish Kak Nadia ni. Menangis pulak. Okey lah tu boleh kenal-kenal keluarga sebelah suami, rapatkan silaturrahim."

"Kau tak faham dik, feel dia tu. Kak Nadia mana pernah berpisah dengan family. Dulu masa belajar pun, nak dijadikan cerita, papa kak Nadia kena bertugas di Selangor. Tup-tup sekarang, kena raya ikut suami. Sedih tau."
Iman ketawa. Kak Nadia, Kak Nadia. Macam-macam hal. Padahal sudah tiga tahun berturut-turut mereka beraya di Kuantan kerana tuntutan kerja suaminya. Hanya tahun ini cuti suaminya diluluskan awal, jadi bolehlah mereka pulang beraya di Perak.

"Kau jangan layan perangai tak semenggah Kak Nadia ni Iman. Hahahahaha,"
Cikgu Edora, guru subjek Biologi baru sahaja melabuhkan duduknya di kerusi berhadapan Iman. Walaupun sudah berusia hampir 45 tahun, namun Cikgu Edora tetap nampak muda. Dalam lemah-lembutnya, ada ketegasan. Dia juga merupakan seorang guru penasihat Badan Pengawas Sekolah SMK Taman Desa Indah.

"Tak nak kawan Kak Dora tauuu."
Cikgu Nadia memanjangkan muncungnya.

"Berani kau tak nak kawan akak? Akak cancel buat kek buah yang kau order untuk raya tu, boleh?"

"Alah-alah Kak Dora sayang, gurau sikit ja."

Pecah ketawa mereka. Itulah mereka jika ada sedikit waktu lapang, pasti mencari idea untuk berborak ataupun bertukar-tukar fikiran.

"Seronok borak? Sampai ke bahagian depan sana dengar gelak ketawa akak-akak dan adik-adik kita ni."
Entah bila dan dari mana Cikgu Khairul muncul. Penuh buku Prinsip Perakaunan di tangannya. Mungkin mahu ke kelas, fikir Iman.

"Cemburulah tu. Geng lelaki dia semua ada kelas. Dia tak boleh nak ketawa-ketawa hilang stress."
Cikgu Nadia mengusik lagi. Iman nampak, Cikgu Khairul hanya tersenyum.

"Kami ni bercerita pasal turn balik raya. Kamu raya dekat mana Khairul? Itulah akak nak carikan kamu jodoh, kamu asyik menolak. Umur kamu tu bukan lama makin muda. Dah masuk 36 tahun. Dah sesuai sangat kamu beristeri."
Bebel Cikgu Edora.

"Dah 36 tahun rupanya Cikgu Khairul ni. Tapi memang nampak babyface. Mungkin sebab aktif bersukan kot." Detik Iman dalam hati.

"Belum jodoh Kak Dora. Nanti dah sampai jodoh, Kak Dora lah orang pertama yang saya beritahu."

"Ni si Iman depan mata ni, tak berkenan?"
Petik Cikgu Edora lagi. Iman terasa kaku saat itu. Harap-harap Cikgu Khairul tidak akan memberi jawapan yang akan menjeratnya.

"Iman ni dah ada orang yang punya. Lagipun saya ni dah tua. Jauh beza dengan Iman, Suraya."

"Isk kamu ni. Mana ada kamu nampak tua. Macam umur 20-an je kamu tu."
Cikgu Khairul tersenyum simpul. Iman masih lagi berdiam diri, pura-pura sibuk menyiapkan designnya.

"Saya gerak dulu kak. Ada kelas. Assalamualaikum."

"Waalaikummussalam."
Jawab mereka serentak.

"Iman, kamu tak berkenan ke dengan si Khairul tu? Kak Dora rasa, dia berkenan dengan kamu."
Cikgu Edora cuba memancing Iman. Iman hanya menggeleng laju.

"Isk kamu ni. Dia tu anak Tan Sri tau. Nampak je sempoi macam tu. Ayah dia kaya-raya. Dia tu anak lelaki tunggal. Ada dua orang je adik-beradik. Adik dia perempuan. Syarikat ayah dia sekarang pon memang diwariskan untuk dia. Tapi tulah, si Khairul ni tak minat bab-bab niaga, tak kena jiwa katanya. Dia lebih suka jadi cikgu. Tak kaya tapi kaya dengan pahala katanya."
Panjang lebar penerangan Cikgu Edora. Patutlah Cikgu Khairul langsung tidak berkira sewaktu membelikan Iman telefon bimbit baharu tempoh hari, rupanya anak orang berada.

*****************

Majlis Iftar Jamaei yang dirancang, berjalan dengan lancar. Banyak ibu bapa yang hadir meluangkan masa beribadah bersama-sama anak-anak dan warga sekolah. Usai berbuka puasa beramai-ramai, majlis diteruskan dengan Solat Maghrib berjemaah, disusuli dengan tazkirah oleh Ustaz Ishak, solat hajat untuk anak-anak menghadapi peperiksaan, solat Isyak dan solat Terawikh berjemaah. Majlis diakhiri dengan moreh pada jam 09:30 malam.

Sebagai warden, Iman pastinya menjadi orang yang terakhir berada di kawasan sekolah. Usai memastikan semua penghuni asrama telah pulang ke bilik masing-masing, barulah Iman balik ke bilik warden. Malam ini, Cikgu Suraya akan menemaninya memandangkan Cikgu Anita, seorang lagi warden Aspuri pulang ke kampung setelah selesai Majlis Iftar Jamaei tadi.

**************
Jam sudah menunjukkan pukul 01:30 pagi apabila pintu bilik warden diketuk bertalu-talu. Dalam mamai, Iman menyarung tudung, mengintai dari celahan tingkap gerangan siapa yang mengetuk pintu biliknya. Setelah memastikan itu adalah salah seorang penghuni asrama, barulah Iman membuka pintu.

"Kenapa ni Syafika, Nurin?"
Tanya Iman kepada dua orang murid di hadapannya. Tampak cemas.

"Cikgu, Irdina cirit-birit. Dah lebih 10 kali ke tandas. Tadi, tiba-tiba muntah. Dah lembik kami tengok dia."
Terang Nurin, cemas.

"Okey, baik. Bertenang. Saya kejutkan Cikgu Suraya dulu. Kamu berdua, balik ke bilik dan tengok-tengokkan Irdina. Sekejap lagi saya dan Cikgu Suraya pergi ke bilik kamu."
Dua orang murid tersebut mengangguk tanda faham dan beredar ke bilik. Iman lantas mengejutkan Suraya yang masih lena.

"Su, bangun Su. Su, bangun Su."

"Ada apa Iman? Dah nak pergi sahur ke?"
Terpisat-pisat Suraya bangun.

"Bukan. Ada penghuni Aspuri cirit-birit dan muntah-muntah. Jom, kita bawa ke klinik."
Ajak Iman.

"Aku bukan warden, boleh ke?"
Iman menggaru kepalanya. Ya tak ya juga. Suraya bukan warden asrama. Biasanya Cikgu Anita yang akan membawa penghuni asrama ke klinik berdekatan jika ada kecemasan. Mahu tidak mahu, Iman terpaksa melihat kepada jadual bertugas warden Aspura.

"Cikgu Khairul. Aduh, kenapalah dia yang bertugas malam ni?"
Dalam keterpaksaan, Iman mendial nombor milik Cikgu Khairul. Muridnya lebih penting. Dibuang segala rasa tidak selesanya.

"Assalamualaikum. Cikgu dah tidur?"
Tanya Iman saat panggilannya bersambung.

"Waalaikummusalam. Baru nak tidur. Kenapa Iman?"
Cikgu Khairul sedang menyimpan AlQuran ketika telefonnya berdering sebentar tadi. Sudah menjadi amalannya saban malam untuk bertadarus. Usai bertadarus barulah dia akan tidur.
Iman menerangkan keadaan Irdina kepada Cikgu Khairul. Beberapa langkah yang perlu diambil, diurus sebaik mungkin. Tanggungjawab sebagai seorang warden perlu digalas sebaik mungkin.

Tidak sampai lima minit kemudian, Cikgu Khairul telah tiba di hadapan Aspuri. Irdina dibaringkan di tempat duduk belakang manakala Iman duduk di bahagian penumpang hadapan. Suraya diamanahkan untuk menjaga penghuni Aspuri. Klinik berdekatan tidaklah jauh sebenarnya, tidak sampai lima perjalanan dengan menaiki kereta. Namun, bagi Iman, lima minit berlalu sangat lambat. Serasa lima jam.

Sampai di klinik, Irdina terus dirawat sambil ditemani Iman manakala Cikgu Khairul hanya menunggu di luar. Selesai rawatan dan urusan mengambil ubat, Iman memapah Irdina kembali ke kereta milik Cikgu Khairul. Dari dalam klinik, dapat dilihat Cikgu Khairul sedang rancak bersembang dengan seseorang yang membelakangi pintu klinik.

"Macam pernah nampak. Isk tak kan dia kot?"
Getus Iman dalam hati. Boleh pula dia teringatkan Iqbal saat ini. Tak mungkinlah kebetulan yang macam tu kot. Takkan lah tiba-tiba Cikgu Khairul kenal Iqbal kan? Malaysia ni besar kot. Iman bermonolog sendirian.

"Dah siap?"
Tegur Cikgu Khairul saat melihat Iman dan Irdina keluar dari klinik. Dan, apabila wajah figura yang bersembang dengan Cikgu Khairul tadi berpaling, Iman benar-benar terkedu saat itu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience