"Cikgu Iman!"
Satu suara memanggil tatkala Iman ingin melangkah menuju ke surau untuk menunaikan Solat Zohor. Iman berpaling. Kelihatan Amirah, murid 4 Al Farabi sedang melambai-lambaikan tangan memanggilnya. Iman berhenti melangkah, menunggu Amirah sampai di tempatnya berdiri.
"Ya, ada apa Mira?"
"Cikgu, ustazah cakap hari Jumaat ni ada Majlis Sambutan Maulidur Rasul. Ustazah minta saya refer cikgu untuk tentatif majlis. Saya yang akan jadi pengacara majlis hari Jumaat ni."
Terang Amirah, seorang pengawas sekolah yang memang berkaliber. Bijak, berketrampilan dan juga lincah di padang. Anak kedua kepada sepasang guru.
"Wahhh, Alhamdulillah. Senang kerja cikgu. Boleh sangat-sangat. Amirah jumpa cikgu sekejap pukul 02:00 petang nanti di perpustakaan boleh? Ada subjek apa pukul 02:00 petang nanti?"
"Baik cikgu. Ngam-ngam pula memang pukul 02:00 petang nanti, sepatutnya kelas Cikgu Hafizi tetapi Cikgu Hafizi ada mesyuarat di PPD. Kelas kami diganti dengan Cikgu Arina."
"Okey baik. Nanti saya maklumkan pada Cikgu Arina ya."
"Terima kasih cikgu."
************
"Iman, ada tak Amirah, pengawas tingkatan 4 jumpa Iman tadi?"
Usai Solat Zohor, Iman disapa Ustazah Zaharah yang baru masuk ke dalam surau.
"Ya ada ustazah. Baru sekejap tadi. Untuk program hari Jumaat ni. Memang lepas solat ni, kami akan discuss dekat library."
Terang Iman sambil merapikan tudungnya. Makin ramai guru yang masuk ke surau. Kebanyakannya sudah habis sesi pdps untuk hari ini.
"Alhamdulillah. Tentatif program, saya dah share dekat Telegram sekolah. Kalau ada yang kurang jelas, Iman boleh tanya nanti ya."
"Baik ustazah."
"Haaa, alang-alang Ustazah kita ada dekat sini, saya ada nak tanya sikit berkenaan majlis jumaat ni. Ustazah amanahkan saya buat brosur. Saya akan cetak 10 keping untuk dokumentasi dan untuk guru serta staf, seperti biasa, dalam bentuk digital. Boleh ustazah?"
Cikgu Nadia bertanya, memandangkan dia diamanahkan untuk membuat latar pentas dam brosur untuk program kali ini.
"Boleh. Paperless dan jimat. Untuk banner, Nadia boleh teruskan dengan draf yang telah Nadia buat tu. Tuan Pengetua maklumkan, bajet PIBG dah lulus untuk bahagian tersebut."
Terang Ustazah Zaharah. Cikgu Nadia pula, mengangguk tanda faham.
"Oh ya Ustazah. Lupa nak tanya. Penceramah dah confirm?"
"Dah. Kita jemput Ustaz Razak dari PPD. Ustaz akan beri ceramah dan kita akan ada sedikit kuiz untuk anak-anak. Hadiah kuiz, saya dah amanahkan kepada Cikgu Siti untuk uruskan melalui koperasi sekolah."
"Baik ustazah. Jelas. Terima kasih ustazah."
"Sama-sama"
Begitulah keadaan di sekolah. Tidak hanya proses pdp di kelas, tetapi turut merangkumi pelbagai program yang memberi impak positif kepada murid-murid. Guru, murid dan staf saling bekerjasama memberikan yang terbaik di samping sokongan daripada pihak ibu bapa.
Share this novel