Pejam celik, pejam celik, hari konvokesyen mereka pun tiba. Masing-masing tidak melepaskan peluang bergambar bersama teman, keluarga dan pensyarah di hari bahagia mereka. Tidak kurang juga yang mengambil peluang mengabadikan kenangan dengan staf-staf universiti. Begitu juga dengan Iman dan Zaara. Seluruh ahli keluarga mereka turut serta meraikan kejayaan mereka. Lebih manis lagi apabila kedua-duanya mendapat PNGK lebih 3.50.
Hari itu, giliran Fakulti Pendidikan yang bergraduasi. Namun, dari kejauhan, sesusuk tubuh memerhati ke arah Iman dan Zaara yang sedang asyik bergambar. Kelibatnya mesti tidak disedari oleh mereka.
"Bal, jom. Aku dah siap hantar jubah."
Iqbal berpaling. Zikri sudah berada di belakangnya. Mereka sudah pun menerima skrol ijazah masing-masing pada semalam. Hari ini, giliran mereka untuk menghantar jubah yang dipakai semasa istiadat konvokesyen fakulti mereka.
"Jom."
Ajak Iqbal. Berat hatinya ingin melangkah dan melepaskan pandangan matanya namun apakan daya, bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Lagipun dia masih berpegang pada janjinya hampir setahun yang lalu.
"Kau masih berharap pada Iman? Aku tengok mata kau tak lepas pandang Iman, Zaara dengan family diorang bergambar tadi."
Ujar Zikri sambil berjalan beriringan menuju ke kereta milik Iqbal. Iqbal mengeluh, melepaskan keluhan pendek.
"Kalau dulu aku tak dekati dia dengan cara yang salah, tentu Iman terima aku kan?"
Zikri mengerutkan dahinya. Dia sendiri tidak pasti kenapa Iqbal terlalu ingin mendekati Iman sedangkan ramai gadis yang mengejarnya.
"Ada apa dengan Iman sampai sekarang kau masih berharap pada dia?"
"Dia ada something yang orang lain tak ada. Dia... bukan wanita biasa... Kau faham kan?"
Dan Zikri hanya mengangguk, tanda bersetuju.
Sementara itu, Iman sebenarnya perasan akan kehadiran Iqbal yang asyik memandangnya tadi. Namun, dia hanya buat tak tahu dan hanya menganggap tiada susuk Iqbal yang sedang memandangnya saat itu.
"Oit Iman! Kau pandang apa tu? Khusyuk semacam je. Kau ushar pakwe handsome ke?"
Iman menjegilkan matanya apabila Zaara menepuk bahunya tiba-tiba.
"Isk mana ada aku pandang apa-apa. Haaa, cuba kau tengok. Ada?"
Iman menarik tangan Zaara supaya membuang pandang ke arah apa yang dilihat tadi. Dalam masa yang sama, dia mencari kelibat Iqbal. Tiada. Tentu Iqbal sudah berlalu pergi dari situ. Sejujurnya, terdetik secebis rasa kecewa di sudut hatinya.
"Haa, yelah, yelah. Jom lah. Kita ambil gambar sikit lagi, lepas tu kita terus hantar jubah. Macam yang kita plan."
Iman mengangguk. Walaupun pihak universiti membenarkan para graduat memulangkan jubah pada keesokan harinya tetapi dia dan Zaara sudah berbincang dan bersetuju untuk memulangkannya pada hari yang sama. Mereka turut akan pulang ke kampung halaman masing-masing hari itu juga.
"Aku mesti akan merindui kau Zaara. Kau kena rindu aku juga tau."
Iman berkata, sayu. Zaara mencebirkan bibirnya sambil membalas.
"Mestilah kena rindu. Kau lah sahabat aku susah dan senang. Terima kasih untuk empat tahun yang cukup bermakna ni."
"Sedihnya. Sekejap je kan. Pejam celik, pejam celik rupanya kita dah empat tahun kita dekat sini. We did it, Zaara! We did it!"
Skrol di tangan digenggam kemas. Zaara dan Iman berpelukan sambil menangis teresak-esak. Sudah tidak dipedulikan lautan manusia di situ.
"Jangan lupakan aku tau Iman."
Kata Zaara dalam sedu-sedannya. Iman mengangguk.
"Kau pun, Zaara. Jangan nakal-nakal. Jangan boros sangat."
Giliran Zaara pula mengangguk.
"Kau nak bertunang dengan Iqbal nanti, jangan lupa jemput aku."
"Oit! Baru tadi menangis bagai nak rak, tak sampai seminit kau dah usik aku balik?"
Dan, kedua-duanya terus ketawa besar. Tamatlah kisah perjuangan mereka di universiti untuk segulung ijazah sarjana muda.
Share this novel