"Iman! Once again!"
Iman yang sedang membeli ais krim kelapa di sebuah kedai di Cherating itu berpaling ke belakang. Ternyata, dua figura yang dia kenali berada di belakangnya.
"Errrr, hai!"
Iman teragak-agak untuk menegur. Diangkat tangannya sebagai tanda menegur. Zikri membalas dengan senyuman, manakala lelaki berjambang dan bertopi di sebelahnya, tidak memberikan sebarang reaksi sebaliknya tekun membelek menu ais krim dan makanan ringan yang berada di tangannya.
"Iman seorang?"
Iman menggelengkan kepalanya, sambil menunjukkan ke arah sebuah Perodua Myvi berwarna biru yang diparkir tidak jauh dari kedai menjual ais krim tersebut.
"Tak. Berdua. Dengan Zaara. Zaara tunggu dalam kereta."
Zikri mengangguk-anggukkan kepala. Iman sudah tidak senang duduk. Entah kenapa dia merasakan Iqbal memandangnya di sebalik kaca mata hitam yang dipakai. Sebenarnya dalam hati, ingin Iman ketawa melihat fesyen Iqbal. Tengah-tengah hari pun boleh pakai spek hitam, siap berjaket. Rambut panjang, berjambang dan bermisai. Memang kena betul dengan perumpaan yang diberikan Zaara semalam, macam mati bini.
"Bal, lama sangat kau tenung menu tu. Kau nak yang mana satu? Cepatlah, aku dah siap order untuk aku ni."
"Kau order untuk kau jelah. Aku macam nak makan rojak buah dekat sebelah tu. Dengan air kelapa."
Terang Iqbal. Sebenarnya dia terkedu apabila terserempak dengan Iman di situ. Tidak disangka gadia berskirt hitam dan berblaus putih yang dipadankan dengan tudung abstrak berwarna hijau itu adalah Iman.
"Eh kau ni. Tadi kau yang beria-ia nak makan ais krim ni. Sekarang tukar fikiran pulak. Aku siku jugak kau dekat sini kang."
Iman yang masih menanti pesanannya siap, hanya mendengar dan memerhatikan dua sahabat itu bertikam lidah. Terasa lambat pula ais krim yang dipesan itu siap.
"Iman stay dekat sini atau balik Kuantan?"
"Insha Allah stay dekat sini. Terengganu cuti umum esok. Jadi Zaara beria-ria nak melepak dekat sini malam ni."
"Oooo kalau macam tu serupalah kita. Saya ada business meeting malam ni. Kalau tak keberatan, boleh saya tahu Iman dengan Zaara stay dekat hotel mana?"
"Residence Inn Cherating."
"Macam ada jodoh kita ya. Kami stay dekat hotel sebelah tu je, Royal Chulan. Bolehlah kita dinner sama-sama malam ni. Tak gitu Bal?"
Zikri mencuit bahu Iqbal. Haaa sudah, kau jangan buat pasal Zikri! Rugilah dua tahun aku berjaya lari dari Zaara, takkanlah dalam dua hari ni, aku boleh berdepan dengan dia. Jangan buat pasal Zikri oiii.
"Maybe next time. Kau lupa yang kau ada business meeting malam ni? Aku pun involve sama kan?"
"Ehhh, lupa pula. Alah tak ada rezeki saya nak makan malam dengan Iman dan Zaara."
"InsyaAllah, maybe next time. Saya gerak dulu. Ais krim saya dah siap. Assalamualaikum."
"Waalaikummussalam".
Sebaik sahaja Iman melangkah pergi, Zikri sekali lagi mencuit bahu Iqbal.
"Kau dah kenapa? Bukan dulu kau ke yang tergila-gilakan Iman? Kau cakap kau suka perempuan macam dia. Jual mahal, susah nak dapat. Ada ciri-ciri wanita idaman kau. Sekarang ni dah terbalik pulak aku rasa. Kau pulak yang larikan diri dari Iman. Kesian dia. Fazli beritahu aku yang dah banyak kali Iman ke kedai cari kau. Tapi boleh kau suruh staf-staf kau tipu Iman. Kau dah kenapa weh? Salah makan ubat ke apa sepanjang dua tahun ni?"
Bebel Zikri. Kadang-kala, dia sendiri tidak memahami isi hati sahabat baiknya itu.
"Kau tak akan faham apa yang aku rasa. Satu hari nanti, kau akan tahu juga kenapa, but, not now."
************
Deruan ombak memecah keheningan malam. Iman memerhatikan sekumpulan anak muda sedang membakar ayam, sotong dan udang sambil menyanyi girang. Dikuis-kuis pasir hadapannya dengan batang kayu. Zaara tidak ikut serta, mahu tidur katanya kerana badannya sedikit panas. Iman berjalan keseorangan sepanjang gigi pantai bermula dari belakang hotel yang diinapnya. Terasa lenguh kakinya berjalan, dia mengambil keputusan untuk duduk di batang kayu.
Ramai juga yang mengambil peluang untuk beriadah pada waktu malam. Sebab itulah Iman tidak berasa takut untuk keluar seorang diri. Ditambah pula, deretan kedai makan menambahkan suasana ceria di tepian pantai itu.
Sedang asyik Iman melayan perasaannya,
"Hai awak, seorang je ke?"
Datang seorang lelaki yang Iman tidak kenali menegurnya dan melabuhkan duduk di sisi Iman. Dengan pantas Iman bangun, menyarung seliparnya. Tetapi, dengan tidak dijangka, lelaki tadi bertindak dengan menarik tangan Iman sehingga Iman terjatuh di atas pasir pantai.
"Kenapa dengan awak ni? Lepaslah!"
Jerit Iman. Lelaki itu masih tidak melepaskan tangan Iman.
"Alah cik adik manis ni. Mehlah teman abang sembang-sembang. Awal lagi ni."
"Lepaslah, lepasssss!!!"
"Woi!!!"
Tiba-tiba ada satu suara menyergah kuat. Cengkaman tangan lelaki itu terlerai. Cepat-cepat Iman berlari ke arah lelaki yang menyergahnya tadi. Sinaran cahaya bulan dan lampu jalan membantu Iman melihat dengan jelas lelaki yang datang memberi pertolongan kepadanya saat ini.
"Datang dah hero Malaya kita. Kau siapa? Datang sergah-sergah orang ni?"
Iqbal senyum sinis. Ingatkan sebaya mereka, rupanya remaja awal 20-an tetapi stail, tak usah cakaplah. Macam mat rempit!
"Dik, adik boleh tanya abang ni siapa? Mari abang sekolahkan adik kalau adik tak lepas SPM lagi. Meh abang nak tanya sikit ni umur berapa ni?"
"Apahal nak tanya umur-umur orang pulak ni? Arhhhh takde-takde. Ni sekarang apa hal datang menyibuk dekat sini? Dah nak jadi hero Malaya pulak? Pergi masuk TV lah bro kalau nak jadi hero. Ini tempat orang cintan-cintun, bro."
Eh, eh budak ni. Menyirap pulak darah aku. Getus Iqbal dalam hati. Iman yang berada di belakangnya, tidak henti-henti menarik baju Iqbal untuk pergi. Ini kalau lama lagi, ada yang bertumbuk ni.
"Dik, kakak ni datang nak bercintan-cintun dengan abang. Bukan kau dik. Kau tu tak cukup umur. Tak lepas SPM pun ada hati nak mengorat bini orang. Kau dah puas tidur dekat rumah? Kau nak rasa tidur dalam lokap pulak? Kau blah sekarang sebelum aku call polis. Dah, blah. Kalau aku jumpa kau kacau mana-mana perempuan lagi, aku tak cakap banyak dah. Aku heret kau ke balai. Dah, blah!"
Dan, akhirnya, lelaki yang mengganggu Iman tadi terus berlari meninggalkan mereka tanpa membalas kata-kata Iqbal.
"Kau pun satu. Dah cukup ilmu jalan sorang-sorang dekat sini? Malam-malam buta macam ni?"
Iman yang masih ketakutan, tersentak apabila dimarahi Iqbal. Ditundukkan wajahnya, tidak berani memandang Iqbal yang sedang marah.
"Dah! Balik!"
Iman masih tidak berganjak.
"Woi! Kau pekak ke apa? Aku kata balik!"
Kedengaran suara Iqbal lebih keras. Iman tergopoh-gopoh memusingkan badannya untuk menuju ke hotelnya. Namun, nasibnya kurang baik apabila dia tersadung kayu.
"Aduh!"
Iman menjerit halus. Iqbal cepat-cepat mendapatkan Iman.
"Jalan elok-elok sikit boleh? Guna mata boleh tak?"
Marah Iqbal tetapi tetap membantu Iman untuk bangun. Mata Iman sudah mula berair. Sedari tadi, dia hanya berdiam diri.
"Dah, ikut aku masuk kereta. Aku hantar."
Dengus Iqbal.
"Kalau tak ikhlas nak tolong, jangan tolong. Saya boleh jalan balik sendiri."
Iman membalas. Sakit hatinya melihatkan perangai Iqbal. Nak tolong macam tak nak tolong. Ingat aku nak sangat dia tolong aku? Kebetulan je kot dia lalu situ tadi. Gumam Iman geram. Memang dia nekad untuk berjalan kaki balik ke hotel kali ini. Tidak ingin terhutang budi lagi sekali dengan Iqbal.
"Okey, silakan."
Jawab Iqbal selamba lalu melangkahkan kaki menuju ke keretanya, meninggalkan Iman yang masih sebal menahan rasa.
Share this novel