Mesyuarat Guru Pertama
"Sebelum kita mulakan mesyuarat kita pada hari ini, saya ingin memperkenalkan guru-guru baru yang akan berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Siswazah di sekolah kita bermula pada sesi akademik yang akan bermula pada minggu hadapan. Untuk makluman guru-guru, SMK Taman Desa Indah telah menerima dua orang guru baru yang ditempatkan buat kali pertama dan seorang guru yang berpindah masuk ke Negeri Pahang dari Sabah. Salah seorang daripada guru yang baru ialah Cik Iman Nadiah bt Abdul Halim, bekas guru praktikum kita dan Cik Suraya binti Sulaiman, pelajar lepasan UPSI. Seorang lagi guru ialah Encik Muhammad Razak, guru senior ni ya. Guru hebat Sejarah dari Sabah. Saya harap, dengan adanya guru-guru baru dan guru-guru yang sedia ada di SMK Taman Desa Indah ini, sekolah kita akan terus memacu kecemerlangan dalam pelbagai bidang, tidak kira akademik, kokurikulum mahupun sahsian."
Usai mesyuarat guru kali pertama selesai, semua guru bergerak ke kantin sekolah untuk menikmati sedikit jamuan yang telah disediakan.
Sedang Iman menyeduk lauk ke dalam pinggannya, dia ditegur lembut.
"Boleh letak dalam pinggan saya sekali?"
Iman berpaling ke kanan. Cikgu Khairul sedang berdiri di sebelahnya sambil tersenyum dan membawa sepinggan nasi yang masih kosong tanpa lauk.
"Errr..."
"Letaklah dekat abang Khairul awak ni Iman. Lama dia menanti tu. Pucuk dicita, ulam mendatang. Tak gitu Khairul?"
Usik Cikgu Nadia, seorang guru senior yang sangat disenangi oleh semua orang. Dalam ketegasannya, terselit sifat kelakar dan suka mengusiknya. Cikgu Khairul yang mendengar, hanya tersenyum.
"Minta letak lauk je Kak Nadia. Mana boleh lebih-lebih. Cik adik manis kita ni dah ada yang punya. Entah-entah dah jadi tunangan orang."
Jawab Cikgu Khairul. Iman serba-salah. Nak letak atau tidak. Sudahnya dia hanya bergerak ke kiri, dan memberi peluang kepada Cikgu Khairul untuk mengambil lauknya sendiri.
"Saya duduk dulu Cikgu Khairul, Kak Nadia."
Lembut Iman meminta izin. Walaupun sudah menjalani latihan praktikum di sekolah itu, namun sebagai guru baru, dia tidak berani bergurau lebih-lebih. Bak kata orang Kelantan, biar jeliro dulu.
******************************
Minggu persekolahan pertama berjalan dengan lancar. Guru-guru begitu komited dalam proses pengajaran dan pembelajaran, mengendali Minggu Orientasi Murid Tingkatan 1 dan 4 di samping mesyuarat-mesyuarat bidang dan panitia. Boleh dikatakan hampir setiap hari dalam minggu pertama diisi dengan mesyuarat.
Diamanahkan untuk mengajar subjek Geografi dan Pendidikan Jasmani & Pendidikan Kesihatan, meletakkan Iman di dalam bidang yang sama dengan Cikgu Khairul yang juga merupakan seorang guru PJPK di samping Prinsip Perakaunan.
Sebagai seorang guru baru dan terus diberikan amanah untuk mengajar kelas peperiksaan SPM, Iman begitu teruja. Lagi-lagi dia sememangnya telah mengajar murid-murid kelas berkenaan semasa mereka di Tingkatan 4. Besar harapannya agar murid-murid kelas 5 Al Biruni itu memberi kerjasama yang penuh kepadanya pada sesi persekolahan kali ini.
Teringat Iman sewaktu hari pertama persekolahan. Sedang elok, memang ada kelas Geografi pada hari berkenaan. Apa lagi, memang bersoraklah murid-murid kelas berkenaan apabila mengetahui bahawa Iman yang akan mengajar mereka subjek Geografi.
"Cikguuuuuuuu!!!"
Baru melangkah masuk ke kelas tersebut dan belum sempat memberi salam, satu kelas sudah menjerit cikgu. Iman tersenyum lebar.
"Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera murid-murid."
"Waalaikummussalam warahmatullahhiwabarakatuh dan salam sejahtera cikgu."
"Kamu semua boleh duduk."
"Cikgu, cikgu ajar kami Geo ke cikgu?"
Belum sempat semua murid duduk di kerusi masing-masing, Ammar, ketua kelas 5 Al Biruni pantas bertanyakan soalan.
Iman mengangguk sambil tersenyum manis.
"Ya. Kenapa? Tak nak belajar dengan saya? Saya boleh request pada Tuan Pengetua untuk tukar cikgu."
"Nakkkkkkk!"
Hampir serentak kesemua 21 orang murid menjawab soalannya.
"Kalau nak, tahun ni kena janji belajar sungguh-sungguh. Buktikan kepada semua yang kita juga mampu untuk mendapat keputusan yang cemerlang walaupun kita bukan murid kelas hadapan. Boleh kelas?"
"Boleh cikgu!"
Dan, kelas pertama dengan 5 Al Biruni pada hari tersebut berjalan dengan lancar dan seronok.
***********************
Sedang Iman menaip refleksi pada eRPH, Cikgu Khairul datang menyapa.
"Bersemangat murid-murid 5 Al Biruni masa kelas Geo tadi. Sampai ke kelas 5 Al Khawarizmi dengar. Sampai murid-murid saya faham cara nak lukis graf bar berganda dan graf garisan berganda. Bab Satu PP, tak faham pula. Hahahaha. Nampak gaya, Cikgu Imanlah pula kena take over kelas 5AK ajar Prinsip Perakaunan.
"Oh, maaf cikgu. Tak sangka pula kami mengganggu pdp kelas cikgu. Maaf ya cikgu. Lain kali, saya akan perbaiki pdp saya."
Dengan rendah hati Iman meminta maaf. Tidak dinafikan, memang dia teruja dengan kelas pertamanya.
"Eh, kenapa nak minta maaf pula Iman. Kalau first class pun murid-murid 5AB dah boleh bagi komitmen macam tu, saya rasa Iman patut teruskan atau tambah lagi usaha untuk tarik minat murid-murid tu untuk engange dengan pdp Iman. Saya bergurau je tadi. Iman jangan salah faham. Lagipun, saya turut tertarik dengan pdp Iman tadi. Jelas, mudah dan pendapat saya yang bukan dari bidang Geo ni, pendekatan yang Iman guna tadi sangat menarik. Tahniah untuk kelas pertama Iman. Hope to see another best thing. Boleh kan Iman?"
Lega Iman. Rupanya Cikgu Khairul memuji, bukan menhentamnya. Laju dia mengangguk, tanda menerima cabaran dari guru yang lebih berpengalaman.
Elok Cikgu Khairul berlalu pergi, teman sebelah mejanya, Cikgu Afiqah tiba. Baru habis kelas nampaknya.
"Fuhhhh, penat."
Keluh Cikgu Afiqah. Diteguk air dari botol air yang dibawa.
"Kenapa Kak Fiq? Nampak mengah betul ni."
Tegur Iman. Manakan tidak, kandungan Cikgu Afiqah sudah sarat benar. Kalau tidak silap pada perkiraan Iman, kandungan kedua Cikgu Afiqah sudah memasuki trimester ketiga.
"Penat Iman. Kelas Kak Fiq mula-mula Tingkatan 3. Lepas tu sambung dekat kelas Tingkatan 2. 4 masa berderet. Mak buyung macam ni lah Iman. Mengah."
Terang Cikgu Afiqah sambil melepaskan lelahnya.
"Kak Fiq bila due?"
"Lagi dua bulan Iman. Sekarang dah tujuh bulan lebih. Mengandung usia macam Kak Fiq ni penat Iman oi. Baik kamu kahwin awal-awal. Kak Fiq ni dah 32 tahun baru nak kahwin. Usia-usia macam ni ditambah dengan anak sulung Kak Fiq yang 3 tahun tu tengah melasak, memang rasa terberanak awal."
Dalam mengah, becok mulut Cikgu Afiqah bercerita. Terselut juga ketawanya.
"Muda lagi Kak Fiq. Baru 37 kan tahun ni?"
"Muda kamu kata 37 tahun? Tak larat Iman oi. Kamu umur berapa Iman? Kak Fiq rasa dalam 23,24 macam tu kan?"
Teka Cikgu Afiqah.
"Betul Kak Fiq. Tahun ni Iman 24 tahun. Muda lagi kan, jadi jangan fikir soal kahwin."
Iman mengenyitkan matanya. Cikgu Afiqah angguk, tanda setuju.
"Muda betul lagi kamu ya Iman. Capai cita-cita, gapai impian dan balas jasa mak ayah dulu. Satu pesanan Kak Fiq, dunia perguruan ni penuh pancaroba. Hati-hati melangkah dan jangan tersilap langkah."
Iman mengangguk. Mendalam pesanan Cikgu Afiqah. Dia mencoret pada buku catatannya. Mana mungkin dia mahu melepaskan kata-kata semangat sebegitu hanya terbang lepas di udara.
Share this novel