Musim peperiksaan untuk semester tersebut kunjung tiba. Boleh dikatakan semua pelajar tekun menelaah pelajaran. Termasuklah Iman dan Zaara. Ini semester terakhir mereka berada di kampus. Semester akhir nanti mereka akan menjalani latihan mengajar. Mujur projek akhir mereka telah berjalan dengan lancar bermula dari awal sehinggalah pembentangan. Tesis akhir juga telah mereka hantar. Lega kedua-duanya dan sekarang dapatlah mereka mengulangkaji pelajaran dan bersedia untuk peperiksaan.
Di petang Isnin itu, perpustakaan sedikit lengang. Mungkin ramai yang memilih untuk menelaah pelajaran di tempat lain. Seperti biasa, Iman dan Zaara memilih tempat kesukaan mereka untuk belajar. Usai solat Zuhur dan makan tengah hari, mereka terus ke perpustakaan.
Sedang asyik mereka berdua mengulangkaji, tiba-tiba Zaara bersuara.
"Iman, masalah paling besar kau dah datang."
"Haa? Apa dia?"
Tanya Iman. Pelik. Masalah paling besar apa yang dia ada?
"Tu, tu, tu"
Jawab Zaara sambil memuncungkan bibirnya.
"Apa tu, tu! Elok-elok sikit. Nanti herot mulut kau, baru padan muka."
"Tuuuuuu! Pandang jelah!"
Dan, saat Iman berpaling, mahu luruh jantungnya apabila melihat Iqbal sedang berjalan ke arah mereka. Sejak pertemuan terakhir dua bulan lepas, memang Iman sengaja melarikan diri daripada Iqbal. Dan akhirnya, kali ini rekod dua bulan misi melarikan diri dari Iqbal nampaknya telah tercalar.
Iqbal mengukir senyuman. Akhirnya Iman tidak dapat lari daripadanya hari ini. Bukan dia tidak tahu, Iman sengaja melarikan diri jika hampir terserempak dengannya. Bukan sekali dua dalam dua bulan itu, malah berpuluh-puluh kali. Seronok bermain dengan si gadis jual mahal itu. Tetapi hari ini, pucuk dicita ulam mendatang. Oleh sebab idea si Zikri, dapat dia berjumpa dengan si gadis idaman. Dalam tak guna Zikri, banyak juga faedahnya.
"Hai sayang."
Iqbal menghampiri kubikal di mana Iman dan Zaara belajar. Ditarik kerusi berhampiran Iman sambil mengukir senyuman. Iman masih buat endah tak endah dan masih fokus pada nota di hadapannya. Zaara sudah tidak senang duduk. Bimbang Iman tiba-tiba buat sesuatu yang tak terjangkau dek akal. Dia teringat kata-kata Iman dua bulan lepas selepas kembalinya dia dari kampung.
"Kau pegang kata-kata aku ni tau Zaara. Kalau si Iqbal tu terus kacau aku, Iman is no longer Nurul Iman yang lemah-lembut. Kau akan nampak Nurul Iman yang baru nanti. Jangan halang aku kalau waktu tu datang."
Haaa sudah. Dapat dilihat dengan jelas, Iman mengepal tangan kirinya. Iqbal dilihat masih ketawa tenang.
"Senyap je sayang. Saya join awak boleh?"
Zaara makin berdebar. Sudah nampak merah genggaman tangan Iman. Pasti sedang menahan marah. Menanti waktu untuk meletup. Dalam hati, sempat Zaara berdoa agar Iman tidak mengamuk di situ. Tempat awam ni Iman. Jangan cari pasal.
"Oit Iqbal! Kau dah kenapa duduk sini? Puas aku dengan Mazwan tunggu kau dekat area sana. Rupanya kau merenyam dekat sini. Call tak berangkat, kau dah kenapa settttt... Opps! Maaf, maaf. Ada Zaara dengan Iman rupanya."
Fuh! Lega Zaara! Walaupun dia memang tak ngam dengan Zikri, tetapi kadang-kadang berguna juga si Zikri ni. Kalau tidak, mesti hari ini hari bersejarah. Mana tahu tiba-tiba Iman si lemah gemalai bertukar jadi singa lapar. Haru!
"Syuhhhh! Diam sikit boleh tak? Ini library, bukan kafe tempat lepak?" tegur seorang pelajar lain yang juga sedang menelaah pelajaran.
Zikri mengangkat tangan, tanda meminta maaf. Digetus Iqbal supaya mengikutnya.
Iman pula, nampaknya lebih tenang, tetapi tetap membisu. Tetapi Zaara tetap menarik nafas lega.
"Terima kasih Zikri."
Zikri pelik. Tak pernah sebelum ini Zaara bercakap dalam nada yang lembut dengannya. Apatah lagi mengucapkan terima kasih. Apa dah jadi sebenarnya sebelum dia muncul? Wah! Rasa macam nak jadi Detektif Conan pula Zikri rasa. Boleh korek cerita.
"Err, sama-sama. Tapi terima kasih untuk apa?"
"Eh salah ke ucap terima kasih? Kalau salah, saya boleh je tarik balik."
"Tak.. Tak... Mana ada salah."
"Boleh lah ambil kawan awak yang tersesat ni. Bimbang makin lama dekat sini, makin sesat pulak."
Ujar Zaara, memang niat mahu menghalau kedua-duanya. Sempat dia membuat isyarat mata kepada Zikri tentang emosi Iman yang tidak stabil itu. Elok-elok marah Iman dah reda, takut nanti membara semula.
"Ha, ye ye. Weh Bal. Cepat. Kau ni asyik lambat je. Kalau tak lambat, memang bukan Muhammad Iqbal ke?"
Cepat Zikri menarik tangan Iqbal. Mujur Iqbal mengikut. Seram juga dia tengok reaksi Iman tadi. Jangan disangka air yang tenang tiada buaya!
*********************************
"Zaara, aku ingat nak balik kampung lah dua tiga hari dalam study week ni. Dah lama aku tak balik kampung."
Ujar Iman, ketika mereka berdua selesai solat Isyak pada malam itu.
"Elok juga. Kau balik, aku pun nak baliklah. Aku rasa tiket bas banyak je kalau kita beli on the spot pun. Lagipun paper first kita pon hari Rabu minggu depan. Esok baru hari Selasa. Elok sangat kalau kita balik awal-awal. Minggu depan hari Isnin kita pulun study semula."
Cadang Zaara. Iman mengangguk setuju. Rindu sungguh dia dengan keluarganya di Sungai Lembing. Alang-alang mereka dalam study week dan tiada kuliah, bolehlah dia balik kampung sebentar.
"Kita naik Sani Ekspress macam biasa ya."
Nasib ada bas yang berhenti di Kuantan sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Dapatlah mereka naik bas berdua sehingga ke Kuantan.
"Okey. Kita balik esok ya Zaara. Aku rindu sangat dah dengan ma, abah, adik-adik aku."
"Ya cik Iman. Kita balik esok. Dah, jom makan. Kejap lagi kita sambung study sikit lagi."
Share this novel