"Hati-hati sikit boleh tak. Jangan main keluar je. Lain kali bawa kereta, guna mata, guna kaki, guna tangan! Ini lah masalahnya kalau driver perempuan. Mesti main telefon lah kerjanya ni. Ini calar kereta saya ni, awak ada duit ke nak bayar ganti rugi?"
Iman terkedu. Tidak berani keluar dari kereta. Dia hanya membuka sedikit cermin keretanya. Entah apalah nasibnya hari ini. Malang sungguh. Dia tidak sengaja melanggar kereta di hadapannya tadi. Seingatnya dia sudah meletakkan kereta di gear N, rupanya tidak. Keretanya masih berada di gear D sewaktu dia melarikan kakinya dari pedal minyak. Sudahnya, BAM! Bonet keretanya sudah mencium bonet belakang kereta Honda Civic Type R berwarna putih di hadapannya.
Lelaki yang bercermin mata hitam itu masih mengetuk-ngetuk cermin Perodua Myvi milik Iman, meminta untuk Iman keluar. Iman masih teragak-agak untuk keluar. Kedua-dua kereta sudah diparkir di tepi jalan yang kosong bagi mengelakkan trafik menjadi sesak.
"Aku kata, turunkan cermin kau sekarang. Baik kau turunkan."
Iman masih berdiam diri. Fikirannya kosong tetapi dia seperti pernah dengar akan suara lelaki di luar keretanya. Iman cuba memandang, tetapi lelaki itu membalikkan tubuhnya ke belakang sambil bercekak pinggang. Menahan amarah mungkin.
"Tuk! Tuk!"
Sekali lagi, pintu kereta Iman diketuk. Lebih keras.
"Aku kata buka. Senang ya perempuan dah buat salah tak nak bertanggungjawab."
Mendengar ayat itu, Iman rasa tercabar. Ya, memang dia bersalah dalam hal ini dan tidak sepatutnya dia berdiam diri. Iman membuka pintu dan melangkah keluar, berhadapan dengan pemilik kereta Honda yang telah Iman langgar secara tidak sengaja tadi.
"Berapa yang perlu saya bayar?"
Lelaki tadi berpaling, dan sebaik sahaja berpaling, kedua-duanya tersentak.
"Awak?"
Iman berkata perlahan. Jantungnya berdegup kencang.
"Iqbal! Kenapa tak terurus sangat ni?"
Bermisai, berjambang, rambut panjang. Patutlah Iman tak cam itu Iqbal tadi sedangkan suara mereka seperti sama. Apa dah jadi dengan Kasanova UPM ni. Detik Iman dalam hati.
Dan tanpa kata, Iqbal tiba-tiba terus meninggalkan Iman yang tercengang-cengang di situ.
"Tadi bukan main marah, siap suruh aku keluar. Tup-tup, dia yang blah macam tu je."
Iman membebel sendirian sambil menuju ke bahagian hadapan keretanya. Cuma ada calar sedikit.
"Polish hilang ni. Aduh kereta Iqbal tadi teruk tak calar? Kenapa aku tak tengok tadi ya. Plat kereta dia pun aku tak tengok. Kali ni aku yang salah, jadi aku akan bayar ganti rugi tu. Tapi, mana aku nak cari dia? Hurmmm, aku ke kedai dia lah. Mana tahu dia ada."
************
Sementara itu, Iqbal berhenti di Shell. Cuba untuk bertenang.
"Macam mana aku boleh tak perasan tu kereta Iman? Padahal selama ni aku hafal kot plate number Myvi Iman. Ni semua syaitan punya kerja lah ni. Janganlah Iman cari aku. Aduh!"
"Kring, kring."
Telefon pintarnya berbunyi, tertera nama Zikri.
"Kau kat mana? Dah berjangkut aku tunggu dekat airport ni? Aku ni datang Kuantan, ada meeting. Bukan datang nak tunggu kau je oi!"
"Kau naik Grab. Aku ada hal. Sorry bro. Malam nanti aku belanja kau makan."
"Wehhhh! Kau dah janji kan!"
Belum sempat Zikri menyambung ayatnya, Iqbal mematikan telefon pintarnya. Dia harus cepat merangka strategi dengan staf di kedainya agar tidak ketahuan oleh Iman. Dapat diagak Iman akan ke kedai mencarinya nanti.
***********
"Assalamualaikum."
"Waalaikummusalam. Eh Cik Iman, ada apa Cik Iman ke sini? Nak beli kereta lagi?"
Ujar Fazli. Dan tanpa Iman tahu, sebenarnya semua orang di kedai sudah berpakat dengan Iqbal. Iqbal pun sebenarnya ada di pejabatnya, memerhatikan Iman dari atas.
"Ermmmm, Encik Iqbal ada?"
"Encik Iqbal tiada di Kuantan minggu ni Cik Iman. Minggu ni dia di Kota Bharu. Ada apa yang saya boleh tolong?"
Tipu Fazli. Iman sudah boleh mengagak, pasti mereka sudah berpakat menyembunyikan kehadiran Iqbal di Kuantan.
"Tak baik tau main tipu-tipu ni Fazli. Allah marah. Malaikat pun catat dosa awak."
Iman cuba memancing, Fazli masih kekal tenang. Mesti dah biasa back up boss ni!
"Bukan saya yang tipu. Saya hanya sampaikan. Sampaikan dan menipu, dua perkara berbeza tu Cik Iman."
Pandai Fazli bermain dengan kata-kata.
"Okey, tak apa. Jadi, Encik Iqbal tiada di Kuantan lah kiranya kan? Maksudnya, yang saya jumpa tadi tu mungkin roh boss awak tu. Hurm, kalau macam tu, Fazli boleh tolong saya tak? Saya tak nak nanti tiba-tiba kalau saga mati, mati dalam keadaan berhutang."
Iman mengambil dompetnya dan mengeluarkan tiga keping not RM100.00 dan kemudian dihulurkan kepada Fazli.
"Duit apa ni Cik Iman? Cik Iman nak rasuah saya ke? Jangan Cik Iman, saya bukan jenis yang makan rasuah."
Iman menjegilkan matanya. Ke situ pula si Fazli ni.
"Tadi, saya terlanggar kereta boss awak tu. Ni, nanti bagi dia. Duit ganti rugi. Kalah tak cukup, suruh boss awak tu jumpa saya. Nombor phone saya masih sama. Saya tak tukar pun. Dah, saya balik dulu. Assalamualaikum."
Iman berlalu pergi meninggalkan Fazli yang terpinga-pinga sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
*****************
Setelah memastikan kereta Iman hilang dari pandangan, Iqbal terus turun mendapatkan Fazli.
"Nah boss! Duit ganti rugi langgar kereta boss tadi katanya. Lepas tu Cik Iman beritahu, kalau tak cukup, call dia. Nombor phone dia masih sama. Saya dah tak nak masuk campur. Pandai-pandailah boss uruskan sendiri masalah boss. Tak pasal-pasal saya kena ceramah dengan Cik Iman. Baik saya pergi layan customer nak beli kereta dari layan kisah cinta boss dengan Cik Iman ni."
Not berjumlah RM 300 bertukar tangan. Iqbal rasa serba-salah. Pasti wang berjumlah RM300 ini begitu berharga untuk Iman memandangkan dia tahu akan keadaan keluarga Iman. Iqbal menatap not berwarna ungu itu. Dia harus mencari jalan untuk mengembalikan wang itu semula kepada Iman.
Share this novel