Hari ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu buat Thaqeef dan Aneesa. Aneesa akan bertemu dengan keluarga Thaqeef. Dari semalam lagi Aneesa tak boleh lelapkan matanya memikirkan tentang hari ini. Gembira bercampur takut serta rasa gementarnya bercampur aduk. Perasaan ini sama seperti yang terjadi kepadanya 15 tahun yang dahulu. Semasa dia disakiti dan dikecewakan oleh seorang yang bernama kekasih.
Aneesa memarkingkan keretanya dihadapan rumah ibu ayah Thaqeef. Dadanya berombak kencang. Takut mula menguasai diri. Langkah dihayun sambil membaca doa penenang hati agar tidak terlalu gelabah. Thaqeef dihadapan pintu tersenyum memandang Aneesa. Thaqeef juga sudah memaklumkan kepada ibu ayahnya tentang kehadiran Aneesa. Aneesa membalas senyuman Thaqeef.
“Assalamualaikum” sopan Aneesa berkata sebelum melangkah kaki memasuki ke dalam rumah dengan hati yang berdebar-debar.
“Waalaikumussalam. Masuk lah Aneesa.” Berkata ibu Thaqeef sambil tersenyum ke arah Aneesa sambil bersalaman dengan Aneesa. Thaqeef hanya menjadi pemerhati. Manakala ayah Thaqeef hanya memandang Aneesa seperti pernah dilihat wajah itu.
“Duduk lah Aneesa, jangan malu-malu. Thaqeef dah cerita tentang Aneesa yang nak datang rumah” penuh ramah ibu Thaqeef berbicara. Aneesa hanya tersenyum tanpa mampu berkata-kata. Gementarnya sudah kembali.
“Aneesa kerja mana? Dah lama ka kenal dengan Thaqeef?” ayah Thaqeef memulakan bicara.
“Kerja dekat syarikat interior landskap. Tak jauh sangat dari tempat kerja Thaqeef. Kenal dah lama, dari sebelum Thaqeef habis SPM lagi. Cuma baru-baru ini baru berkenalan lebih rapat” lancar Aneesa berbicara, cuba menutup gementarnya.
“Dah lama la kenal. Boleh tahu, kenapa Aneesa berminat dengan Thaqeef?” cuba menduga Aneesa
“Sebenarnya Aneesa anggap Thaqeef macam adik sendiri. Sebab Thaqeef berkawan rapat dengan adik Aneesa, Adeeb. Tapi bila dah lama berkenalan, selalu berjumpa Thaqeef, timbul perasaan sayang tu. Tapi masih sayang sebagai seorang adik. Bila Thaqeef bersuara dihadapan mama dan papa Aneesa, Aneesa cuba untuk menerima Thaqeef bukan sebagai adik, tapi sebagai seorang lelaki” cuba berlagak tenang, dalam hati dah tak tentu arah.
“Thaqeef ada beritahu yang umur Aneesa sudah mencecah ke 40 tahun. Apa pendapat Aneesa bila berkawan dengan teruna yang masih muda, terasa diri pun masih muda?” ayat yang dikeluarkan oleh ayah Thaqeef sedikit terusik di jiwa Aneesa.
“Ayah” Thaqeef cuba memotong ayat yang keluar dari mulut ayahnya.
“Ya, Aneesa sudah memasuki usia 40 tahun. Agak ketara umur Aneesa dan Thaqeef. Mungkin hampir sebaya dengan tuan dan puan. Aneesa juga tak menjangka akan berkenalan dengan Thaqeef yang masih muda. Seperti yang Aneesa pernah beritahu pada Thaqeef, Aneesa tak mahu letak harapan yang tinggi dalam hubungan ini, restu keluarga juga penting dalam sesebuah hubungan. ” Tersenyum Aneesa cuba menutup sakit di hati.
“Aneesa berhubungan dengan Thaqeef bukan kerana ingin mengambil kesempatan, tetapi di atas keikhlasan Thaqeef yang berani bersuara di hadapan mama dan papa Aneesa. Thaqeef juga berkata tidak menjanjikan bulan dan bintang, jadi hanya restu keluarga yang diperlukan. Andai tuan dan puan rasa hubungan kami hanya sia-sia. Aneesa rela mengundur diri” masih mampu tersenyum sambil berkata-kata. Hati sudah menjerit kesakitan
“Kak Neesa, jangan semudah itu mengalah. Fikirkan perasaan Qeef sama” berkata Thaqeef seolah merayu.
“Saya tak sanggup nak terima menantu yang hampir sebaya dengan saya. Kita cuma berbeza umur 6 tahun saja. Andai saudara mara bertanya, agak malu untuk saya berkata-kata tentang usia menantu saya, dan masih mampukah Aneesa memberi cucu kepada kami” sungguh pedih kata-kata yang keluar dari mulut ayah Thaqeef.
“Ayah. Kalau tak boleh terima, kenapa nak keluarkan kata-kata yang menyakitkan hati. Dari dulu lagi ayah tak pernah nak faham perasaan Qeef. Ayah cuma fikirkan tentang diri ayah saja. Kami bukan buat benda yang tak elok, cuma nak minta restu dari ibu dan ayah saja. Jom Kak Neesa” Thaqeef menarik tangan Aneesa keluar dari rumah ibu ayahnya. Aneesa hanya mengikut langkah Thaqeef bersama linangan airmata.
ANEESA termenung di gazebo itu. Selepas kejadian tengahari tadi, Aneesa hanya berdiam diri. Hanya duduk termenung dan memandang langit malam menjadi pilihannya. Tanpa sedar air mata mengalir laju, dada terasa pedih dengan kata-kata yang dilemparkan oleh ayah Thaqeef. Umur menjadi penghalang antara kami. Hati budi ditolak ketepi, yang menguasai hanya angka yang dipilih. Tertunduk Aneesa sambil memeluk tubuhnya, air mata yang mengalir dibiarkan.
“Kak Neesa. Jom kita makan. Dah lewat ni, Kak Neesa tak jamah apa-apa pun dari tadi. Nanti perut masuk angin” Adeeb cuba memujuk kakak kesayangannya. Sayu hatinya bila melihat air mata yang tumpah itu. Selepas kejadian siang tadi, Thaqeef terus menceritakan hal yang sebenarnya kepada Adeeb, mama dan papa. Bukan salah Thaqeef semua ini berlaku. Tapi egonya seorang ayah.
“Akak tak lapar Adeeb. Bagi akak ruang untuk berfikir.” Aneesa berkata tanpa melihat wajah Adeeb.
“Adeeb tahu Kak Neesa sedih. Tapi jangan sampai sakitkan diri sendiri. Adeeb suap Kak Neesa ya” masih memujuk kakaknya, dengan harapan kakaknya menjamah sedikit makanan. Mama dan papa hanya melihat dari dalam rumah. Sayu hati mereka bila anak kesayangan disakiti sebegitu sekali.
“Adeeb tinggal la dekat situ, nanti Kak Neesa makan sendiri. Hati yang sakit, tapi tangan masih berfungsi dengan baik” berkata Aneesa cuba untuk membiarkan Adeeb pergi meninggalkannya. Dia perlu bersendiri.
“Yela. Adeeb tinggal dekat sini ya. Nanti makan tau” Adeeb berlalu meninggalkan Aneesa. Adeeb hanya menggeleng ke arah mama dan papa bilamana pujukannya tak berhasil.
Aneesa hanya membiarkan Adeeb. Tidak langsung melihat ke arah adiknya itu. Matanya tetap memandang ke arah langit malam. Air mata yang sekejap terhenti sekejap mengalir dibiarkan saja. Tanpa Aneesa sedari, seseorang datang mendekatinya.
“Adeeb, tak payah la pujuk akak. Nanti akak makan la. Tinggal sahaja dekat situ” berkata Aneesa tanpa melihat susuk tubuh yang menghampirinya itu.
“Kak Neesa, Qeef ni” Thaqeef menghampiri Aneesa dengan penuh hati-hati. Dia juga memerhati Aneesa dari tadi lagi. Adeeb ada memberitahu tentang keadaan Aneesa kepadanya, jadi dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Aneesa. Setelah penat berperang mulut dengan ayahnya. Dia keluar dari rumah untuk berjumpa dengan Aneesa.
Aneesa yang terkejut dengan suara Thaqeef, terus mengalihkan pandangannya kearah Thaqeef. Air mata yang tadi sudah berhenti terus mengalir laju bila terpandang wajah Thaqeef. Wajah sayu Thaqeef juga membuatkan Aneesa sedih melihatnya. Mata Aneesa yang sedikit bengkak itu, dipandang lama oleh Thaqeef.
“Kak Neesa, Qeef minta maaf atas apa yang terjadi siang tadi. Qeef tahu salah Qeef. Sepatutnya Qeef perlu jelaskan kepada ibu dan ayah Qeef. Qeef perlu dengar pendapat ibu ayah dulu sebelum mengajak Kak Neesa berjumpa mereka. Qeef ingat mereka akan setuju. Qeef tak sangka yang ayah keluarkan kata-kata yang menyakitkan hati itu. Qeef betul-betul minta maaf Kak Neesa” Thaqeef sudah tidak dapat menahan air matanya dari tumpah.
“Qeef sayangkan Kak Neesa, Qeef janji akan pujuk ayah Qeef. Qeef janji Kak Neesa. Qeef tak nak sakitkan hati Kak Neesa lagi. Bagi Qeef peluang untuk buktikan. Qeef akan pujuk ayah Qeef.” Merayu Thaqeef cuba untuk memujuk Aneesa. Dirinya juga tidak bersedia untuk melepaskan Aneesa pergi.
Aneesa yang mendengar hanya memandang sepi kata-kata dari mulut Thaqeef. Wajah Aneesa juga tidak menunjukkan sebarang riaksi. Hatinya yang terguris akan kata-kata ayah Thaqeef tadi seolah mematikan rasa sedih dihati. Mungkin benar kata orang, jangan terlalu mengharap selagi belum menjadi milik kita.
Menghembus nafas yang berat. Aneesa memandang wajah Thaqeef. “Akak dah fikir masak-masak. Qeef jangan salahkan ayah Qeef, dia berhak untuk membuat keputusan dan mencuba yang terbaik untuk Qeef dan keluarga Qeef. Akak ni hanya lah alasan untuk meretakkan lagi hubungan keluarga Qeef. Cukup la hubungan kita sampai disini. Akak undur diri dulu. Diharap keluarga Qeef kembali berbaik di atas perpisahan ini. Semoga Qeef jumpa seseorang yang boleh membuatkan ibu dan ayah Qeef merestui hubungan itu” Berkata Aneesa sambil tersenyum melihat Thaqeef.
Walaupun sakit, tapi Aneesa cuba untuk menjadi seorang yang matang. Berjalan meninggalkan Thaqeef tanpa menunggu jawapan dari Thaqeef. Tak rela dia membiarkan Thaqeef melihat airmatanya tumpah lagi. Biarlah dia merawat sendiri luka yang terjadi ini. Salah dirinya juga kerana mengharapkan sesuatu yang tidak pasti.
Thaqeef hanya membiarkan Aneesa pergi dengan penuh kesedihan. Memberi ruang dan waktu kepada Aneesa.
Share this novel