CUACA pagi ini cerah dan indah. Usai bersarapan Afiqah menyanyi kecil sambil menuruni tangga untuk turun menyapu di halaman rumah.
Dua minggu ini hubungannya bersama Harris semakin baik. Kekusutan dan salah faham kejadian malam itu juga sudah dijelaskan oleh Harris. Zahlia pula sudah dua minggu tidak ke sini. Entahlah apa yang difikirkan kakaknya itu sekarang. Dalam keadaan Zahlia yang sedang diuji dengan ujian kesihatan kakaknya itu seakan cuba mengambil Harris daripadanya. Namun janji Harris untuk terus bersama dengannya menyingkir rasa resah dihati. Ah. Isteri mana yang suka rumah tangganya diganggu orang ketiga. Apatahlagi adik beradik sendiri. Semua itu hanya akan mengundang kacau bilau. Kepalanya terlayar perbualannya bersama Hasnah dulu.
" Kalau Iqa kahwin dengan Abang Rris. Kak Lia balik? Macam mana nek?",
" Lia dah jadi bekas isteri Harris. Dah 3 tahun pun dia pergi. Dia juga cakap dengan Harris yang dia tak nak balik ke sini lagi. Entahlah apa yang dirajuk kakak Iqa tu",
" Iqa takut suatu masa Kak Lia balik dan mahukan Abang Harris semula",
" Kalau dia masih nak Harris dia tak tinggaIkan suami dia. Bukan nenek tak nasihat. Dah nak ikut kepala dia je. Doalah. InsyaAllah semuanya baik-baik sahaja", Hasnah sudah berfikir itu semua sebelum memberi cadangan cucunya itu bernikah dengan Harris. Tentu sahaja akan timbul konflik. Namun semuanya diserah pada Allah Taala.
Sudah diberitahu kepada Hasnah tentang status kesihatan Zahlia. Langsung tidak tenang seorang nenek mendengar berita itu walaupun Zahlia pernah membuat onar sebelum ini. Afiqah pula masih mahu bertimbang rasa dengan suaminya kerana keadaan Harris yang masih belum sembuh sepenuhnya. Ya. Memberi peluang kepada suaminya itu.
Sedang dia leka menyapu sambil kepalanya berfikir perihal Zahlia, dia bertanda tanya saat melihat motorsikal Talib memasuki laman rumah awal pagi begini. Jam baru menunjukkan 8.04 pagi semasa dia turun dari rumah tadi Jarang sekali Talib ke sini. Jika sebelum ini mahu berjumpa dengan Harris sekalipun Harris tentu akan mengajak bertemu di luar sambil mengopi di Kedai Pak Tahir. Namun selepas Harris hilang ingatan hubungan dua pupu itu seakan mula renggang. Masing-masing mula buat hal sendiri.
" Iqa", tiada salam dia menyapa Afiqah.
" Ya?", terhenti kerja Afiqah yang sedang membersihkan daun pokok rambutan yang gugur. Dia hanya berdiri dengan pencakar sampah masih di tangan.
" Tolong pujuk Mira rujuk dengan aku", wajah Talib nampak tidak terurus dan serabut. Nak pula dengan kolar baju tidak dirapikan. Butang yang terbuka lepas serta seluar jeans lusuh benar-benar nampak keadaan lelaki itu yang sedang dalam masalah.
Berkerut dahi Afiqah mendengar permintaan Talib di awal pagi begini. " Aku tak mahu masuk campur urusan rumah tangga kau Talib. Kau nak rujuk Mira bukan jumpa aku tapi pergi jumpa Mira",
" Masalahnya kau dengan Atun yang bawa Iqa ke pejabat agama hari tu kau cakap kau tak nak masuk campur?", tegang dan keras suara Talib. Dia masih lagi di atas motorsikalnya. Enjin motorsikal juga tidak dimatikan.
" Ya. Memanglah. Tapi Mira yang minta tolong aku dengan Atun. Bukan kami yang ajak atau paksa Mira. Mira yang buat keputusan sendiri", Afiqah tidak mahu mudah-mudah difitnah lelaki itu.
" Eh perempuan bodoh! Kau ingat aku tak tahu kau yang suruh Mira berpisah dengan aku!", ton suara Talib makin tinggi.
Afiqah begitu terkejut apabila mendengar suara Talib makin meninggi dan melihat lelaki itu mula turun dari motorsikalnya.
" Jangan menuduh Talib. Aku tak buatlah benda macam tu", tegas suara Afiqah. Bengang juga dituduh lelaki tak semenggah ini. Dia buat hal. Dia pula menuduh orang. Dasar play victim!
Tanpa diduga Talib datang meluru dan menampar kuat pipi Afiqah.
" Talib! Kau gila ke tampar bini orang!", pekik Hasnah dari beranda berlari mendekati Afiqah.
Afiqah masih kaku di situ kerana terlalu terkejut dengan tindakan tidak terduga lelaki itu. Berpinar rasa biji matanya dengan tamparan kuat tangan sasa Talib hampir sahaja dia rebah. Mujur ada batang pencakar di tangannya untuk menahan.
" Perempuan ni kurang ajar nek. Pecahbelahkan rumah tangga aku", tanpa rasa bersalah dia menghampiri motorsikal. Tidak menunggu lama apabila dia cepat berlalu meninggalkan Afiqah yang masih termangu.
" Sakit ke Iqa?", soalan polos Hasnah buat Afiqah mencerun memandang neneknya.
" Sakitlah nek. Gila sungguh la Talib ni", gerutu Afiqah masih memegang pipinya.
" Memang kaki pukul. Padanlah Mira tu minta cerai!", Hasnah juga melepas marah. " Telefon Harris",
" Tak payahlah nek. Nanti Abang Harris balik baru beritahu", Afiqah malas mengganggu Harris yang sedang bekerja kerana hari ini lelaki itu ke Kuala Lumpur menguruskan tender yang dimohon.
" Hmm..Kasihan Mira", keluh Afiqah. " Elok sangatlah Mira minta cerai. Iqa nak cerita dengan Mira nanti nek. Tak payahlah rujuk dengan lelaki gila macam tu. Nak minta tolong Iqa pujuk Mira rujuk semula alihnya Iqa pula ke tampar dengan dia", makin besar rasa marah dan sakit hatinya kepada lelaki itu.
MATA Harris terpaku pada pipi Afiqah yang ada kesan memerah. Hilang terus senyum di bibirnya saat melihat Afiqah sejurus keluar dari kereta tadi. Akid dalam dukungan Afiqah diambil apabila anak itu sudah menghulurkan tangannya lalu dikucup pipi gebu anak itu.
" Kenapa pipi ni?", pipi Afiqah disentuh perlahan. " Lia tampar Iqa?", tiba-tiba menyirap darahnya dengan soalan sendiri. Entah kenapa nama Zahlia yang bermain di kepalanya.
" Tak.. Talib", balas Afiqah sambil membiarkan Harris mengucup dahinya.
" Talib?", keras suara Harris. " Gila ke apa dia tu tampar isteri abang",
" Dia datang minta Iqa pujuk Mira untuk rujuk semula. Lepas tu tuduh Iqa dengan Atun yang suruh Mira cerai. Tiba-tiba je dia meluru tampar Iqa. Tak sempat Iqa nak halang",
" Jom buat laporan polis", tegas suara Harris.
" Hmm..tak payahlah",
" Tak payah apanya. Ini dah kira mengancam keselamatan Iqa dan menyebabkan kecederaan juga ni", masih keras suara Harris sambil tangannya sibuk memaut dagu Afiqah. Sekejap kepala Afiqah dipalingkan ke kiri sekejap ke kanan mahu mengesan jika ada kecederaan di bahagian lain.
" Biar je lah",
" Tak boleh biar. Hari ini Iqa. Lepas tu nanti dia tampar pukul si Atun pula",
Afiqah terdiam. Siang tadi sekian sudah Rabiatun mengajak dan membebelinya untuk membuat laporan polis. Namun dia tetap menolak. Sekarang Harris pula.
" Ada dia pukul atau cederakan tempat lain?",
" Tak ada",
" Dah. Pergi pakai tudung. Kita pergi buat report. Dia dah ada kes pukul Mira. Tak pelik pun kalau kita buat laporan", dalam pada tidak bersetuju Afiqah menurut juga. Tidak mahu panjang bebelan Harris yang akan memeningkan kepalanya.
MASUK ke dalam kereta Harris menyoal lagi. " Bila dia tampar ni?",
" Pagi tadi",
" Pagi tadi? Kenapa tak call abang?", terkejut sangat gayanya sedangkan dia sudah mendapat cerita daripada Hasnah ketika Afiqah bersiap tadi. Makin panas hatinya apabila Hasnah memberitahu Afiqah melarang dia menghubungi Harris pagi tadi kerana tidak mahu menggangu urusan kerjanya. Sekilas pandangan Harris ke arah Afiqah di sebelahnya.
" Iqa tak nak ganggu kerja abang. Abang ada mesyuarat kan abang cakap", Afiqah membela diri.
" Memanglah abang ada mesyuarat. Tapi kalau hal penting macam ni Iqa kena call abang. Jangan diamkan macam ni",
" Okay", datar suara Afiqah terasa seperti sedang dimarahi lelaki ini.
" Ini soal keselamatan Iqa. Habis mesyuarat tadi abang call Iqa. Iqa tak cakap apa-apa pun pada abang. Abang ni tak penting ke pada Iqa?",
" Penting..",
" Habis tu?",
" Pipi Iqa tak hilang lagi sakit. Sakit hati dengan Talib pun ya. Abang balik nak marah-marah Iqa pula. Sedihlah macam ni", rungutnya. Sudahlah langsung tiada pelukan daripada lelaki itu untuk memujuk hatinya. Terus sahaja dibebeli dan sekarang masih terus dibebeli lagi.
" Abang tak marah Iqa. Abang bimbangkan Iqa", terus Harris menarik tubuh Afiqah rapat dengan tubuhnya walaupun dia sedang memandu. Hanya sekejap apabila Afiqah minta dilepaskan.
" Abang tengah drive kan",
" Lepas ni apa-apa call abang. Sebelum abang pergi pagi tadi abang dah pesan. Apa-apa call abang. Tapi Iqa tak call. Abang call tadi Iqa pun tak cakap apa-apa. Mestilah abang mengungkit",
" Hmm.. Faham",
" Dah letak ais tak kat pipi tu",
" Dah..",
" Hmm.. Pipi tu masih sakit tak", lembut suara Harris begitu prihatin sambil tangan kirinya mengusap lembut pipi kanan Afiqah. Tapi matanya tetap tertumpu pada jalan raya di hadapan.
" Lagi sakit hati Iqa ni",
" Kalau abang ada pagi tadi tentu Si Talib tu tak berani buat macam ni pada isteri abang. Dasar lelaki pengecut. Abang punyalah jaga isteri abang. Dia suka hati je tampar isteri abang. Ada hati nak rujuk semula dengan Mira. Mira tahu?",
" Iqa tak beritahu..Dah pesan juga pada Atun jangan beritahu Mira. Mira tak salah pun. Iqa tak nak Mira rasa serba salah sebab perbuatan bekas suami dia", awalnya memang dia mahu memberitahu Amira namun ditahan dahulu. Dia mahu bercakap baik-baik dengan Amira supaya tidak berlaku salah faham yang akan merosakkan hubungannya dengan sahabatnya itu nanti.
" Nak abang pasang bodyguard ke?", naif soalan Harris mengundang tawa Afiqah namun seketika dia merengis sakit.
" Hshh..", pipinya diusap perlahan.
" Lepas ni kita ke klinik dulu. Lepas tu doktor akan buka kes. Kita buat report polis unsur dicederakan. Buatnya ada pendarahan telinga ke hidung ke kepala ke",
" Taklah..",
" Kecederaan dalaman kita tak nampak sayang. Lebih baik kita buat pemeriksaan"
" Yalah", Afiqah mengalah akhirnya walaupun agak leceh dengan kebimbangan melampau suaminya.
SAMPAI ke rumah Harris hanya memberhentikan kereta dan meminta Afiqah naik ke rumah. Apabila ditanya Afiqah dia mahu ke mana dia hanya memberitahu dia ada urusan kerja. Afiqah menerima sahaja alasan lelaki itu. Sebelum keluar dari kereta Harris tadi sempat dia berpesan kepada Harris supaya tidak mencari Talib. Walaupun kenal dengan personaliti tenang-tenang Harris lelaki itu ada barannya juga.
" Kita dah report polis. Biar polis ambil tindakan. Abang jangan pergi tumbuk pula si Talib tu", ujar Afiqah.
" Ya sayang. Kalau ikutkan hati memang abang kerjakan si Talib tu biar lunyai. Tapi sebab Iqa pesan je ni abang batalkan niat abang",
" Sabar. Kalau ikutkan Iqa yang patut tumbuk Talib tu",
" Patut Iqa ketuk je kepala Talib tu dengan batang penyapu tu. Biar betul sikit kepala biol dia tu", dia sudah menerima cerita lengkap dari Hasnah tadi. Afiqah diserang ketika sedang menyapu laman.
" Nanti Iqa pula yang masuk jail. Tak nak Iqa. Nanti siapa nak perhatikan abang dengan Kak Lia", sempat juga dia mengungkit nama Zahlia.
" Iqa benci Zahlia ke? Iqa dan Kak Lia kan adik beradik", Harris kurang senang dengan kata Afiqah tadi.
" Tak..Tapi benci perangai Kak Lia yang suka ambil kesempatan tu je",
" Lepas ni abang akan lari pada Iqa setiap kali Lia ambil kesempatan pada abang", pipi Afiqah yang masih berbekas dan kemerahan diusap perlahan.
" Yalah tu..", dia keluar dari perut kereta.
Pemanduan Harris dituju ke rumah Talib. Belum lagi sampai ke halaman rumah Zawiyah, Harris nampak kereta polis sudah ada di hadapan rumah sepupu ibunya itu. Dari kejauhan dia nampak seorang anggota polis menolak tubuh Harris masuk ke dalam perut kereta. Jika ikutkan marah yang membuak dalam hatinya mahu sahaja ditumbuk muka Talib sekuat hati. Biar pecah urat darah di wajah Talib. Namun dia cepat beristighfar mengawal marah yang mengasak jiwa.
Tidak mahu masuk campur Harris hanya menunggu sehinggalah kereta polis membawa Talib di dalamnya berlalu. Mungkin dibawa ke balai polis untuk urusan soal siasat. Paling tidak pun mungkin malam ini Talib perlu tidur dilokap sebelum layak untuk diikat jamin.
Kereta dipandu memasuki laman rumah Zawiyah. Zawiyah yang sedar akan kehadiran Harris tidak jadi masuk ke rumah dan berdiri menanti di anak tangga.
" Cik Yah minta maaf dengan kamu dan Iqa. Talib tu memang tak serik-serik. Kerja nak pukul orang je. Kalau tahu suka sangat pukul orang Cik Yah hantar masuk sukan tinju. Biar bertinju berdua tu. Untung menang dapat duit. Ni dapat apa?", dalam kecewa.
" Maaf juga Cik Yah. Rris terpaksa juga report polis sebab dia serang Iqa dan cenderakan Iqa. Merah lagi pipi Iqa tu Cik Yah", adu Harris.
" Hmm.. Kasihan Iqa pula jadi mangsa. Ada dia pukul dekat lain juga ke Rris?", prihatin soalan Zawiyah.
" Pipi je Cik Yah. Dah pergi check doktor tadi. Alhamdulillah tiada kecederaan teruk",
" Alhamdulilah. Cik Yah ni nak pergi tanya khabar Iqa tak ada siapa nak jagakan Pak Cik Leman kamu tu. Cik Yah malu dengan kamu dengan mak kamu Rris. Kamu banyak tolong keluarga Cik Yah. Tapi Talib tu langsung tak reti nak hargai. Macam ni pula dia balas kebaikan kamu Rris",
Bicara Zawiyah bikin Harris serba salah pula. " Jangan cakap macam tu Cik Yah. Kita kan satu keluarga. Ada rezeki lebih kita kongsi bersama", Harris langsung tidak menduga Zawiyah akan berkata begitu kerana dia langsung tidak berkira soal pertolongan kewangan kepada isteri sepupu ibunya itu. Baginya jika keluarga itu dalam kesusahan dia akan membantu setakat yang termampu. Dalam rezeki kita kan ada rezeki orang lain juga.
" Mak kamu tahu dah ke?",
" Oh..tak tanya pula Iqa tadi Cik Yah. Rris pun balik tadi baru tahu",
" Cik Yah minta maaf dengan kamu dengan Iqa ye Rris?", sekali lagi Zawiyah memohon maaf.
RENUNGAN tajam Zawiyah tidak mampu dibalas Sulaiman. Dia takut mahu memandang isterinya itu apabila masuk ke rumah tadi dia mendengar Zawiyah membebel itu ini.
" Kau dengan anak kau sama je. Suka menyusahkan aku Leman. Baik dua- dua mati cepat lagi bagus. Kau ni bila nak mati? Bagus juga polis angkut anak tak guna tu. Jimat beras aku. Tahu menghabiskan beras. Tak guna jadi lelaki jadi laki kalau hidup menyusahkan bini ",Zawiyah terus melepaskan kemarahannya.
" Menyesal aku kahwin dengan kau Leman!", Zawiyah mula melibas tali pinggang ke kerusi. Mahu dilibas ke tubuh lelaki itu tentulah akan ada kesannya nanti. Dah tentulah orang akan berkata dia mendera Sulaiman. Jika begitu bagaimana lagi dia mahu dapat duit dengan mudah dari anak sepupu suaminya itu. Sekarang. Kerana menjaga Sulaiman mudah-mudah sahaja Harris memberi wang RM300 sebulan kepadanya sebagai belanja keperluan Sulaiman.
Happy reading..
Share this novel