BAB 2

Romance Series 107602

MATA Afiqah jelas kelihatan agak sembab dek kerana penangan menangis malam tadi. Biar. Biar Harris nampak apa yang telah lelaki itu lakukan kepadanya! Namun Afiqah rasa sakit hati pula apabila Harris langsung tidak peduli malah anak dara sunti itu pula yang tunjuk prihatin.

" Mata umi kenapa?", soal Atiya apabila melihat bengkak pada mata Afiqah.

" Bengkak. Kena gigit dengan semut api masa tidur semalam", jawab Afiqah bersahaja sambil menuang susu segar ke dalam cawan untuk Atiya. Anak itu tidak minum minuman lain apabila bersarapan pagi. Hanya susu segar dalam kotak sahaja. Maklumlah. Anak perempuan seorang dan ayahnya berduit pula. Punya banyak kebun getah dan ladang kelapa sawit. Ada syarikat timbang getah dan buah sawit juga. Apa mahu anaknya diikut sahaja asalkan baik.

" Sakit tak mi?", prihatin sangat suara Atiya menyoal buat Afiqah diterpa serba salah kerana membohongi anak kecil itu. Cawan yang dipegang Atiya diletakkan semula tanpa sempat diminum dan dia menyentuh dan mengusap lembut bahagian bawah mata itu.

" Hmm..Sikit je. Umi okay je sayang",

" Bilik umi kan bersih. Ada juga semut api datang. Lepas ayah hantar Tiya ayah bawalah umi pergi klinik ya. Kasihan umi", ujar Atiya memandang wajah Harris yang mengunyah bihun goreng digoreng isterinya.

" Hmm..", Harris bersetuju sahaja tanpa banyak soal. Sekilas sahaja pandangan matanya terarah ke wajah Afiqah.

Balik sahaja dari menghantar Atiya Harris terus menuju ke pejabat tempat menimbang hasil getah dan kepala sawit berdekatan dengan rumahnya. Permintaan Atiya supaya membawa Afiqah ke klinik dibiarkan sahaja. Fikirnya tak perlu Afiqah ke klinik pun kerana bukan dia tidak tahu mata Afiqah bengkak kerana menangis dek permintaannya malam tadi.

Harris termenung seketika. Kepalanya terlayar bicara Afiqah malam tadi. Begitu mudah untuk Afiqah bersetuju dengan permintaannya kerana angsung tiada penolakan.

Iqa terima permintaan abang. Iqa setuju abang lepaskan Iqa.

" Hoi Rris", Azizan mengetuk cermin kereta pacuan 4 roda milik Harris apabila melihat majikan merangkap kawannya itu mengelamun agak lama di dalam kereta.

" Ya", agak terkejut suara Harris dan terus melangkah keluar dari perut kereta.

" Kau tak sihat ke Rris?", soal Azizan melihat wajah kelat Harris.

" Sihat",

" Lain macam je muka tu. Nampak kusut je. Ada bini kot. Bini lawa pulak tu. Takkanlah kena reject malam tadi", nakal usikan Azizan. Dia sahaja yang berani bergurau begitu. Pekerja lain semuanya takut kerana kenal dengan perangai dingin dan beku Harris.

"Kurang ajar kau kan", hampir sahaja Harris menyepak kaki Azizan namun cepat sahaja pemuda itu membaca fikiran Harris dan menjauhkan diri.
" Pak Kadir sampai pukul berapa ni? Dari petang semalam lagi kata nak hantar buah tak sampai-sampai. Rugi aku kalau delay tahu tak. Orang pun bising dengan aku, cop buah lambat dapat duit",

" Dah cop boss. Tengah loading masuk lori", Azizan mengikut sahaja langkah Harris menuju ke pejabat kecil itu.

" Hmm..",

MASUK sahaja ke dalam pejabat Harris disapa Rohaya, kerani akaun di pejabatnya. Sebelum ini Afiqah yang menjalankan tugas itu. Tetapi selepas Afiqah bernikah dengannya dia tidak mahu Afiqah bekerja lagi di situ. Cukuplah Afiqah menguruskan rumah sahaja. Wanita itu menolak cadangan Harris itu pada awalnya kerana selesa sahaja bekerja di situ namun menurut juga akhirnya. Taat pada suami!

" Kak Iqa call tadi. Dia cakap telefon Abang Rris tertinggal di rumah. Banyak kali ada orang call", mendengar sahaja bicara Rohaya, Harris terus bergerak keluar dari pintu pejabat. Kereta dituju dan terus memandu balik ke rumah. Sampai sahaja di rumah Afiqah sudah menunggu di hadapan rumah.

" Nak pergi klinik ke?", soal Harris lurus.

" Nak pergi klinik buat apa?", soal Afiqah berkerut juga keningnya.

" Atiya yang suruh tadi", jawab Harris merenung wajah di hadapannya.

Afiqah melongo dengan jawapan naif Harris. " Saya bukan kena gigit semut pun. Mata saya bengkak menangis sebab hati sakit terluka kena toreh. Doktor pun tak boleh nak ubatkan", hilang sudah gelaran Iqa yang dia gunakan selama ini. Sebelum bernikah pun memang Afiqah menggelarkan dirinya Iqa dengan lelaki itu. Lagipun lelaki itu adalah abang iparnya dahulu.

Telefon Harris dihulur namun lambat-lambat tangan Harris menyambut kerana kata-kata Afiqah yang hinggap di telinganya. Dia faham kata-kata Afiqah menuju kepadanya. Isterinya itu tidak pernah sinis padanya sepanjang enam bulan pernikahan mereka ini.

" Iqa..", lembut suara Harris memanggil apabila Afiqah mahu berlalu.

" Ada apa?",

" Awak marah saya?",

" Tak ada sebab saya nak marah awak. Saya banyak kerja nak buat ni. Awak keluar nanti tolong kuncikan pintu",

" Awak tak pernah macam ni dengan saya",

" Macam ni apa Encik Harris. Bukan macam ni ke yang Encik Harris suka. Lebih baik kalau saya tak ada terus kat sini kan. Jangan bimbang. Esok saya akan keluar dari sini", tegas suara Afiqah.

" Iqa..",

" Cuma awak kena jumpa nenek. Beritahu nenek. Awak nak pulangkan semula saya pada nenek. Saya tak nak cakap. Awak cakap sendiri sebab awak yang nak kita berpisah kan", masih serius suara Afiqah.

Harris cepat menyambar lengan Afiqah.

" Maafkan saya Iqa",

Afiqah mendengus dan tertawa sinis. " Tak perlu minta maaf Encik Harris. Awak tak salah. Selama enam bulan ni pun awak yang bertahan hidup dengan saya. Sepatutnya sayalah yang harus minta maaf. Esok saya akan balik rumah nenek", Afiqah juga tekad dengan keputusannya. Jika Harris memang tidak boleh terus bersama dengannya untuk apa dia menunggu. Dia pun ada hati dan perasaan juga. Jika enam bulan ini dia boleh bertahan kerana ketiadaan Zahlia. Tapi sekarang. Cinta hati lelaki itu sudah pulang setelah 3 tahun kepergian.

Harris diam dan berlalu.

Elok sahaja Harris keluar Afiqah segera mengemas barang-barangnya. Tidak banyak. Hanya pakaian sahaja sementelah segala keperluan di rumah ini segalanya sudah lengkap. Dia tidak mahu menunggu hari esok lagi. Hatinya nekad mahu meninggalkan rumah lelaki ini. Jika dari awal Harris menolak pernikahan ini kan lebih baik. Tidak perlulah dia merasai sakit kerana perpisahan ini. Ini tidak Harris juga yang setuju dengan pernikahan ini kerana permintaan ibu Harris dan Hasnah. Konon pilihan keluarga itu lebih baik. Tapi sekarang. Ah! Tak guna aku berharap pada yang tak sudi. Selamat tinggal Harris Bin Ismail.

ATIYA sudah kebisingan kerana masuk ke rumah sahaja tiada Afiqah di rumah. Puas dicari satu rumah. Tiada.

" Umi tak ada kat rumahlah ayah. Umi pergi mana? Selalukan kita balik umi ada tunggu dekat rumah", Atiya menanggalkan tudung dan melabuhkan punggung di sofa.

Harris menuju ke dapur. Melihat meja makan yang kosong tahulah Harris yang Afiqah tidak menyediakan makan tengah hari.

" Umi tak ada kat rumah. Umi tak masak. Tiya mandi siap-siap solat semua sebelum pergi sekolah agama kita singgah makan kedai Mak Orked",

" Okay ayah", Atiya terus bangun dan langkahnya terus terhenti. " Tapi umi pergi mana ayah ya", terus sahaja dia bertanda tanya kerana sebelum ini jika mahu ke mana-mana Afiqah akan memakluminya sebelum dia ke sekolah.

" Ayah call umi kejap lagi. Pergi mandi", arah Harris.

Tidak banyak soal lagi Atiya bangun dan menuju ke bilik tidurnya. Harris terus mengeluarkan telefon dari poket dan menghubungi Afiqah. Beberapa kali dihubungi nombor telefon isterinya namun langsung tidak dijawab walaupun talian dapat disambung. Mesej dihantar.

Iqa di mana. Tak ada di rumah.

Lama menunggu langsung tiada balasan panggilan mahupun mesej dari wanita itu. Usai solat mereka keluar semula dari rumah menuju ke kedai makan. Selesai sahaja makan Harris menghantar Afiqah ke sekolah agama di sebelah masjid.

Keretanya terus menuju ke rumah Hasnah nenek Afiqah. Tepat tekaan Harris Afiqah di sini apabila melihat Perodua Axia milik Afiqah elok sahaja terparkir di halaman rumah Hasnah.

" Iqa ada nek?", soal Harris usai menyalami Hasnah.

" Ada dalam rumah tu. Rris dengan Iqa bergaduh ke? Iqa balik bawa beg baju?", soalan Hasnah mengejutkan Harris. Sebenarnya tadi dia langsung tidak perasaan akan ketiadaan barang-barang Afiqah di rumah itu.

" Hmm..salah faham sikit je nek", jawab Harris sambil menggaru belakang lehernya.

" Kalau ada salah faham bincang elok-elok. Nenek dah nasihatkan si Iqa tu. Rris pun fahamlah Iqa tu macam mana. Degil, keras kepala dia boleh tahan. Pergilah naik. Pujuk bawa balik semula isteri kamu tu",

" Hmm..ya nek", mahu berterus terang apa yang berlaku dia takut pula. Namun digagahkan juga diri menuju masuk ke rumah tradisional itu.

AFIQAH terus termenung teringatkan peristiwa malam tadi. Fikirannya tidak lari dari memikirkan hubungannya bersama Harris akan putus.

" Iqa..",

Terus sahaja Afiqah berdiri saat tubuh Harris masuk ke bilik. Bila Harris sampai? Teruk betul aku mengelamun!

" Ada apa?",

" Kita balik",

Mendengar ujaran Harris buat Afiqah ketawa kecil.

" Bukan awak nak kita berpisah ke? Untuk apa saya balik ke rumah tu lagi. Pergilah kahwin dengan Kak Lia tu. Bawa balik Kak Lia tu ke rumah awak", entah kenapa panas pula hatinya dengan bicara Harris.

" Tiya bising balik sekolah tadi awak tak ada di rumah",

" Oh sebab Atiya lah awak datang sini. Saya ni mak tiri Atiya je Harris. Ibu kandung dia dah balik pun. Biarlah dia tinggal dengan ibu kandung dia. Lagipun saya dah bosan jaga awak dan anak manja awak tu",

Afiqah nampak akan perubahan air wajah Harris saat dia melepaskan kata begitu. Harris terasa ke? Hatinya mula diterpa serba salah.

" Jadi awak tak ikhlas jaga Atiya selama ni?", soal Harris agak tersentak dengan kenyataan Afiqah tadi.

" Tak..Menyusahkan saya je. Kita kahwin pun sebab mak awak dan nenek suruh kita kahwin kan",

Harris terdiam. Tidak tahu mahu membalas apa lagi. " Jadi awak betul-betul setuju kita berpisah Iqa",

" Ya. Lagi cepat lagi bagus. Saya pun tak naklah terus ada hubungan dengan lelaki tak sayang saya. Tak perlukan saya",

Harris merenung wajah isterinya. " Baik. Saya akan uruskan urusan penceraian kita secepatnya", yakin jawapan Harris.

Tekadnya mahu menganyam semula cinta lamanya bersama Zahlia. Cinta hatinya jadi dia mesti bulat dan nekad dengan keputusannya.

" Cakaplah dengan nenek baik-baik. Saya yakin nenek faham kita dah tak sehaluan untuk hidup bersama", dalam tegas dan nekad dengan keputusan yang dibuatnya dia tetap mahu Harris nampak baik di hadapan neneknya.

Happy reading..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience