BAB 36

Romance Series 107602

TUBUH badan Harris berselirat dengan wayar. Bunyi mesin di dalam unit rawatan rapi itu menyesakkan dada Afiqah. Terasa seperti dia juga memerlukan bantuan oksigen untuk terus bernafas dengan betul.

Afiqah tidak dapat menahan air mata melihat keadaan suaminya. Sekali lagi lelaki itu terlantar begini mengingatkan dia kejadian tahun lalu. Bagaimana kalau abang hilang ingatan semula? Macam mana kalau kali ini abang lupa Iqa lagi? Macam mana kalau kali ini abang takkan ingat Iqa sampai bila-bila. Afiqah memegang kuat besi katil apabila tubuhnya hampir tumbang membayangkan semua itu.

Tubuh kaku itu ingin dipeluk namun keadaan Harris tidak membenarkan dia melakukan begitu. Berat mahu meninggalkan lelaki itu namun Afiqah terpaksa. Dia tidak dibenarkan menunggu di sini. Dia berjalan lemah meninggalkan ruang katil yang menempatkan Harris. Baru selangkah dia terdengar Harris memanggilnya. Afiqah berpaling. Namun hatinya dibalut hampa dan kecewa serta merta. Tubuh itu tetap kaku. Semuanya hanya bayangannya sahaja yang terlalu berharap Harris sedar dan memanggilnya.

Saat berjalan keluar, Azan Asar berkemundang dari surau hospital. Afiqah terus menuju ke surau untuk menunaikan solat. Tinggal dia sahaja sendiri di sini. Hasnah dan Atiya sudah pulang ke kampung dengan bantuan Azam selepas keadaan Zahlia baik-baik sahaja usai menerima rawatan kemoterapi untuk kali kedua. Akid di bawah dijaga oleh Azira adik sepupu Harris yang juga datang pada hari Harris dilanggar untuk menjagakan Akid kerana kanak-kanak tidak dibenarkan naik ke wad.

Usai solat dia menanti kehadiran Azira bersama Akid. " Kak Iqa baliklah sekejap. Mandi-mandi rehat. Nanti Zira hantar semula ke sini", prihatin suara Azira. Kebetulan juga dia baru sahaja habis menamatkan pengajian dan sedang mencari kerja sementara menanti majlis konvokesyen.

" Kak Iqa tak sampai hati nak tinggal Abang Rris Zira. Kak Iqa takut", tubuh Akid dipeluk erat. Faham kesedihan hati ibunya Akid membalas pelukan dengan erat.

" Jangan risau. Apa-apa doktor akan call. Jomlah. Kita balik sekejap. Mandi makan lepas tu Zira hantar Kak Iqa semula ke sini. Akid Zira akan jagakan", Azira yang sukakan kanak-kanak tentu sahaja tidak kisah menjagakan kanak-kanak comel itu. Lagipun dia juga masih belum bekerja sekarang. Bagus juga jika dia menjagakan Akid.

" Hmm..Yalah. beberapa hari ni Kak Iqa tak tidur sangat", sudah seminggu Harris tidak sedarkan diri.

" Hmm.. Boleh balik tidur sekejap. Rehat. Nanti Zira hantarkan semula. Jom", Azira terus tersenyum memaut lengan Afiqah. Jika dengan Zahlia dulu manalah Azira berani mahu memegang begitu kerana wanita itu tidak gemar dilayan begitu. Zahlia lebih suka menunjukkan dia sentiada boleh menguruskan diri.

DUA MINGGU. Keadaan Harris masih sama. Kaku dan beku terlantar di atas katil. Tiada langsung tindak balas. Dia seperti terlalu lena. Langsung tidak terusik tidurnya.

Salmiah bergilir menjaga Harris walaupun tidak dibenarkan berada di dalam bilik rawatan itu. Masuk ke bilik rawatan ketika waktu melawat dan terus menunggu di bawah jika ada apa-apa kecemasan. Hari ini giliran Salmiah ditemani anaknya Hanna.

" Kak Iqa baliklah rehat", Hanna memandang wajah lesu kakak iparnya.

" Hmm..Baliklah. Biar mak dengan Hanna kat sini hari ni", Salmiah juga bersetuju dengan cadangan anaknya. Apatahlagi dia juga bimbang akan kesihatan Afiqah.

Afiqah pengsan tadi. Fikirnya dia cuma kepenatan kerana berulang alik ke hospital. Setelah membuat pemeriksaan tadi rupanya bukan sahaja kerana penat tetapi dia sedang mengandung anak kedua! Kehamilan yang tidak diduga secepat ini. Kepalanya terlayar bicara Harris beberapa minggu lepas.

" Abang dah suntik sayang cukup-cukup. Malam tadi malam Jumaat. Malam berkat", Harris yang sedang membantu memakaikan baju Akid tersenyum nakal memandang wajah isterinya yang sedang menyangkut baju ke dalam almari.

" Astaghfirullahaladzhim. Harris Bin Ismail", baju yang mahu disangkut ke penyangkut baju dibaling ke arah Harris kerana bicara yang terlalu terbuka walaupun hanya mereka berdua. Harris dengan tawa besarnya sempat menangkap balingan dari isteri.

" Jangan panggil abang macam tu. Abang tak suka sayang panggil abang macam tu. Abang dah ingat kan sekarang. Masa abang tak ingat abang biar je. Sekarang abang takkan biarkan", Harris memandang wajah Afiqah yang setia merenungnya. " Kalau menjadi. InsyaAllah kalau lelaki kita doakan jadi hafiz kalau perempuan jadi hafizah. Kalau kembar lagi best. Arwah abah ada adik beradik kembar. Mana tahu rezeki kita dapat anak kembar" dia bangun dan mendekati Afiqah. Tubuh isterinya yang sedang merenung tajam diraih dan mengucup sekilas bibir Afiqah. Harris menurunkan badan dan mengucup pula perut isterinya. " Baby behave ya",

Afiqah ketawa dengan tingkah suaminya. " Yakin sangatkan",

Berlalu ke almari, baju yang baru dilipat Afiqah tadi dicapai. Terus berselerak baju yang tersusun elok. Tidak peduli dengan keadaan itu disauk baju ke tubuhnya yang terdedah kerana baru lepas mandi bersama Akid tadi.

" Hmm..ambillah elok-elok. Penat Iqa lipat", Afiqah membetulkan semula kedudukan baju yang berselerak. " Suami memang macam tu kan. Tak tahu isteri ni penat buat kerja rumah. Boleh je ambil baju tu elok-elok. Bukan susah pun..", bebelnya dengan memuncung mulutnya.

Harris hanya ketawa. Mendekat. Sekilas bibir Afiqah dikucup mendiamkan isterinya. " Abang tahu sayang penat. Dapat pahala tahu berpenat untuk suami ni. Nak pula bila suami redha. Sayang tak nak masuk syurga,?"

" Naklah. Manusia mana tak nak masuk syurga walaupun dosanya tak terhitung banyaknya",

Harris ketawa lalu pinggang Afiqah diraih. " Abang redha dengan isteri abang ni. Segala kebaikan Iqa pada abang tak dapat abang balas sayang. Bersusah payah mengandungkan anak abang, melahirkan, menyusukan, menjaga Akid untu abang siang dan malam. Walaupun mulut ni ada kalanya merungut. Syurga untuk isteri abang", sayu suara Harris buat Afiqah terharu. Perut Afiqah diusap perlahan. " Abang baca doa panjang tahu. Iqa mana tahu apa abang doa", sungguh dia berharap ada rezeki lagi untuknya.

" Iqa nak tunggu Akid dua tahun tapi abang tak sabar-sabar nak anak lagi. Akid baru masuk setahun. Kalau ikut jarak 2 tahun terbaik. Anak dah besar sikit. Lagipun kita masih muda abang", Afiqah tetap meneruskan kerjanya menyangkut baju ke dalam almari.

" Ya muda. Masih kuat dan bertenaga. Masih subur. Tapi muda bukan tak mati sayang. Tengok berita. Hari-hari ada berita kemalangan maut. Yang mati muda-muda. Kanak-kanak", langkah Harris dihayun ke arah Akid yang menanti untuk bermain bersama.

Afiqah tersentak dari lamunannya. Mati! Anak! Ya Allah. Apakah itu petanda Harris akan meninggalkan aku? Ya Allah. Abang jangan tinggal Iqa. Iqa tak sedia kehilangan abang. Tubuh Afiqah terasa melayang. Bualan Salmiah dan Hanna terdengar sayup-sayup di pendengarannya.

" Ya Allah. Iqa pengsan lagi", kalut Salmiah dan Hanna menyambut tubuh yang longlai di hadapan mereka.

WAJAH lena Akid ditatap penuh kasih. Ubun-ubun anak diusap perlahan dan bibirnya singgah mencari pipi gebu itu. Apabila teringat bagaimana Akid yang selalu tercari- cari Harris membuatkan hati Afiqah dibalut sayu.

" Akid doakan ayah sedar dan sembuh semula ya. Akid anak yang baik. Akid anak yang tiada dosa. Tentu Allah makbulkan doa Akid", pipi Akid dielus perlahan. Sekali lagi pipi itu dikucup.

Afiqah berbaring di sebelah anaknya. Tubuh anak kecil itu ditarik perlahan dalam pangkuannya. Malam ini dia berada di rumah Azira kerana Salmiah dan Hanna menunggu di hospital. Dia dipaksa balik ke rumah tadi kerana dua kali sudah dia pengsan di hospital. Dia perlukan rehat! Itulah kata Hanna tadi apabila dia berkeras mahu terus menunggu di hospital.

Melepas keluhan berat. Ah! Aku sedang mengeluh dengan ujian ini Ya Allah. Ampunkan aku. Ampunkan aku. Ya Allah. Kuatkanlah hatiku menerima ujian ini. Aku yakin setiap aturan ini adalah yang terbaik untukku.

Aku pernah merasa takut kehilangan dia Ya Allah. Sekali lagi perasaan itu datang kepadaku. Apakah kali ini kau akan benar-benar mengambil dia dariku Ya Allah. Aku tahu dia pinjaman untukku. Aku tahu. Tapi..tolonglah Ya Allah. Aku perlukan dia. Aku sangat perlukan dia di sisiku. Aku tidak bersedia untuk kehilangannya. Aku rindu dia Ya Allah. Aku terlalu rindukan dia Ya Allah.

Tubuh Akid dibawa rapat ke dada. " Akid..Umi rindu ayah. Umi rindu suara ayah. Umi rindu ayah marah umi, umi rindu ayah cemburu. Umi rindu ayah. Abang..Sedarlah. Iqa rindu abang..", Afiqah tidak dapat menahan tangisannya. Laju air mata membasahi bantal bersarung putih itu. Akid yang lena terjaga.

Suara teguran Akid menghentikan tangisan Afiqah. Namun seketika apabila tangisnya berlagu semula. Seperti faham perasaan ibunya Akid menciumi wajah Afiqah dan memeluk leher wanita itu. Penuh kasih. Itulah yang Afiqah rasa.

" Akid macam ayah. Pandai pujuk umi bila umi sedih", Afiqah cuba menguntum senyum. Bergetar bibirnya menahan tangis. " Ayah tak rindu kita ke..", sengaja Afiqah terus berkata-kata. Biarpun tiada balasan kata yang difahami bagi memujuk hati. Sentuhan Akid kepadanya sedikit sebanyak dapat mengurangkan rasa sedih di hatinya. Afiqah terus melepaskan rasa hatinya kepada anaknya yang setia mendengar. Hingga. Akhirnya mereka saling ketiduran.

LANGKAH kaki Afiqah menuju ke wad. Harris sudah dipindahkan ke wad biasa setelah hampir dua minggu di unit rawatan rapi. Masih lagi belum sedar namun menurut doktor keadaan lelaki itu semakin stabil. Bacaan vitalnya semua dalam keadaan yang baik. Cuma untuk menentukan bila waktunya Harris akan sedar doktor sendiri tidak memberi janji. Ya. Seperti dulu. Tiada siapa tahu bila Harris akan sedar. Mungkin hari ini, esok, lusa. Atau mungkin minggu depan. Ah!Bagaimana kalau sebulan? Setahun? Dua tahun? Afiqah redha dengan ketentuanNya.

Tangan Harris dibawa melekap ke perutnya. Senyum terukir di bibir Afiqah menghalau rasa sedih yang masih menginap di hati.

" Abang jahat. Abang langsung tak bagi peluang Iqa rehat kan. Iqa tak nak jaga baby seorang diri. Nanti Akid nak mandi, baby nak menyusu. Haa.. abanglah kena mandikan Akid. Dahlah tu tidur. Iqa bosanlah abang asyik tidur je", tangannya dibawa mengusap pipi Harris pula.

" Akid hari-hari cari abang. Kasihan Akid. Akid mana boleh masuk ke sini. Abang bangun eh. Bangunlah hari ni", tiada lagi pujukan yang bernada sayu. Dia mahu Harris mendengar dalam keadaan dirinya sedang dinanti dalam keadaan gembira.

Jika pertama kali Harris koma dulu Afiqah selalu membawa kesedihan hatinya tetapi kali ini dia tidak mahu begitu. Dia mahu jadi kuat dan tabah!

" Semalam Iqa muntah-muntah. Pening. Mak yang tolong jagakan Iqa sebab abang tak ada. Tapi Iqa nak abang jagakan Iqa. Abang yang buat Iqa mengandung abanglah kena jaga Iqa. Takkan mak pula. Baik abang bangun. Kalau tak..Iqa malas kawan abang. Malas nak masakkan untuk abang lagi",

Matanya merenung wajah Harris. Langsung tiada riak yang terpeta di wajah itu. Hanya riak kosong tanpa perasaan.

" Hmm..Abang ni memang tak ada perasaan kan. Kata sayang Iqa. Tapi dah berapa lama abang asyik tidur je. Bangunlah. Kebun sawit abang tu siapa nak jaga. Iqa mana larat nak. buat tu semua. Itu kerja abang. Bukan kerja Iqa. Abang cakap kerja Iqa layan abang je kan. Abang tak rindu layanan Iqa ke. Hmm..bangunlah..", pipi Harris dielus sambil terus merenung wajah yang sangat dirindui itu.

Afiqah terdiam apabila pintu bilik dibuka dari luar. Dia berpaling melihat Zahlia yang berkerusi roda ditolak oleh Atiya.

" Masih belum sedar?", soal Zahlia tidak memandang Afiqah namun matanya tertuju pada wajah Harris.

" Belum..",

Zahlia menolak sendiri kerusi roda mendekati tubuh Harris yang terbaring. Direnung wajah itu. Rasa bersalah menjerut hatinya. Jika bukan kerana dia meminta Harris menghantarnya ke sini tentu sahaja lelaki iti tidak menjadi mangsa.

Dia kenal lelaki yang melanggar Harris. Dia kenal Firman kerana lelaki itu pernah menjadi rakan sekerja Harris dulu. Dan dia juga tahu kes pecah amanah yang dilakukan Firman kerana dialah yang menemani Harris ketika perbicaraan di mahkamah dulu. Lama juga proses perbicaraan sehingga Firman disabitkan kesalahan. Hanya kerana cepat kaya. Amanah kerja dibuang jauh. Bukanlah peribahasa Melayu ada menyatakan orang tamak selalu rugi.

Zahlia melepas keluh. Berat.Tidak menyangka Firman masih menyimpan dendam kepada lelaki ini. Sedangkan diri sendiri yang salah. Mungkin fikirnya melanggar Harris buat dia rasa puas dan dendamnya terbalas. Tetapi dia lupa hukuman yang akan menanti.

" Kalau aku tak minta Rris hantar aku ke sini mesti Rris takkan jadi macam ni", sayu suara Zahlia.

" Semua ketentuan Allah Kak Lia. Tak ada sesiapa perlu disalahkan", mata Afiqah tetap memandang wajah suaminya. Jika ikutkan rasa kecewa tentu sahaja dia akan meletakkan kesalahan kepada Zahlia. Tetapi dia bukan orang begitu. Dia sudah mengajar hatinya menjadi manusia yang sabar dan redha. Sejak kehilangan kedua ibu bapanya dia sudah menanam dalam diri menjadi manusia kuat walaupun di hatinya sebenarnya rapuh. Dia terpaksa. Dari rasa terpaksa hingga akhirnya dia akui dia redha.

" Aku..aku sebenarnya yang salah", kendur suara Zahlia menzahirkan rasa serba salahnya. Dia sedih melihat keadaan Harris begini. Dia tidak mahu melihat Harris begini.

" Bila ayah nak sedar umi. Dah lama ayah macam ni", Atiya juga mendekati katil.

" Kita banyakkan doa ya. InsyaAllah. Allah Maha Mendengar dan Allah akan makbulkan doa kita. Ayah akan sedar semula. InsyaAllah", tubuh Atiya diusap perlahan bagai memberi sokongan.

Zahlia hanya diam. Matanya tidak lepas memandang wajah lelaki itu. Afiqah sedar akan perbuatan kakaknya. Cemburu? Dia tidak punya masa untuk cemburu sekarang kerana rasa bimbangnya kepada suami melebihi segalanya. Dia hanya mahu Harris sedar. Dia hanya mahu melihat pandangan mata suaminya. Dia hanya mahu mendengar suara suaminya. Dia tidak peduli apa perasaan Zahlia pada suaminya. Dia malas peduli itu semua. Semua itu tidak penting sekarang.

Habis waktu melawat Zahlia keluar menuju ke wadnya. Dia baru lepas menjalani rawatan pagi tadi dan menunggu urusan keluar dari wad. Setelah 3 kali menjalani rawatan keadaan Zahlia semakin baik walaupun tindak balasnya perlahan. Sekurang-kurangnya ada berita yang menggembirakan hati Afiqah.

MATA terpaku pada susuk tubuh yang sedang berdiri menanti tempahan siap. Langkahnya dituju dan berdiri dengan diam di belakang wanita itu. Minggu ini dia tidak berkesempatan berjumpa walaupun dia tahu wanita itu ada di sini menemani suaminya.

Afiqah langsung tidak sedar dirinya sedang diperhatikan seseorang. Dia begitu leka dengan perasaannya.

" Baru nak makan?", tegur Ibrahim.

Afiqah berpaling ke belakang. " Oh. Ib..Ya. Baru nak makan",

" Bungkus ke?",

" Hmm..",

" Jomlah makan sekalilah",

" Oh. Maaf. Saya makan dekat ataslah. Lama dah tinggal Harris sendirian tu", Afiqah menolak pelawaan lelaki itu. Walaupun Harris masih belum sedar dia tetap mahu menemani lelaki itu. Dia mahu Harris melihat dirinya saat lelaki itu sedar.

" Beruntung Harris punya isteri seperti Iqa", puji Ibrahim dengan senyum.

Dia sudah berjumpa beratus pesakit dan tidak semua pasangan sanggup menjaga pasangan mereka yang sedang sakit. Ada segelintir yang langsung tidak menjenguk. Ada juga bila menjenguk dalam keadaan terpaksa dan marah-marah. Malah ada juga yang langsung tidak ambil kisah. Hidup atau mati.

Tetapi dia seronok melihat pasangan yang saling bersusah payah bersama. Bahagia. Kadang kala dia juga terfikir jika dia sakit apakah pasangannya juga akan setia bersama dengannya.

" Saya seorang isteri Ib. Siapa lagi yang akan bersama suami mengharungi masa susah jika bukan isteri. ",

" Ya..", Ibrahim setuju sahaja.

" Saya naik dulu", Afiqah mohon berlalu apabila tempahan minuman siap disediakan. Makana sudah dibeli lebih awal tadi. Ibrahim hanya membalas dengan anggukan dan senyuman.

Kenapalah aku jumpa kau semula setelah kau bergelar isteri orang. Ah! Salah aku juga. Tidak mencari kerana terlalu sibuk dengan belajar dulu. Mahu mengejar cita-cita dan meninggalkan cinta. Cinta? Ah. Apakah aku tidak layak untuk mencinta dan dicinta. Seketika dia teringat mesej yang diterima Dr. Akma Husna. HO yang berani-berani cuba memikatnya. Dia tersenyum sendiri. Bukan main budak HO sekarang eh!

" Doktor..", panggil pekerja berbaju merah yang lengkap menutup kepala. Sudah dua kali dia memanggil lelaki itu namun lelaki itu bagai hanyut dalam dunia sendiri.

" Doktor..",

" Ya..ya..Maaf", dia mengulum senyum mengawal rasa malu dengan lamunannya. Mujur juga tiada pelanggan lain di belakangnya kerana sekarang sudah habis waktu makan tengah hari. Dia pula lewat turun kerana ada urusan tadi. " Coffe latte. Hot", dia membuat tempahan.

Dia berjalan ke arah meja kosong kerana malas berdiri lama menunggu di hadapan kaunter itu. Tangannya meleret skrin. Terpapar satu video yang dirakamnya beberapa minggu lalu senyap-senyap tanpa pengetahuan wanita itu.

Melihat Afiqah yang duduk di suatu sudut dengan tangisan yang ditahan buat hati Ibrahim diserbu pilu. Mahu sahaja ditarik tubuh itu dalam dakapannya meredakan kesedihan dan kesakitan wanita itu. Namun tak mungkin dia berani melakukan perkara begitu! Tanpa kebenaran dia merakam video tingkah Afiqah. Entahlah. Dia tahu salah. Salah besar merakam tanpa pengetahuan empunya badan. Lagi besar salahnya wanita itu isteri orang! Kenapalah harus hati ini terpikat pada isteri orang. Mata kau Ib! Salah Ib. Salah! Telefon ditutup dan berjalan ke kaunter apabila pekerja tadi memanggil nombor giliran tempahannya. Dia berlalu. Mungkin nanti dia akan mengajak Afiqah minum bersama. Ditolak? Hmm..Minum atas tiket kawan lama tak salah kan? Hatinya terus berkata sendiri.

" Ops!",

Mata mereka bersatu.

" Iqa okay?", gugup suara Ibrahim. Saat kepalanya sedang memikirkan wanita itu. Tanpa diduga wanita itu menjelma di hadapan mata pula.

" Okay..Okay..Maaf..Iqa nak cepat",

Ibrahim hanya memandang apabila melihat langkah Afiqah laju meninggalkannya. " Kenapa? Dah siap makan ke dia?", soalnya apabila langkah Afiqah menuju ke luar hospital.

Happy reading

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience