BAB 42

Romance Series 107602

TUBUH Harris yang sedang tekun menggali tanah direnung tanpa jemu. Kata Harris mahu menanam anak pokok ciku hibrid yang baru dibelinya di pesta pertanian pagi tadi. Walaupun cuaca sudah redup tapi tubuhnya sudah mula basah dengan keringat.

" Pokok kiwi abang tak nak tanam ke? Iqa suka kiwi juga..", soal Afiqah yang duduk di kerusi simen berhampiran dengan tempat Harris bekerja. Kata Harris ciku ini ditanam kerana Afiqah sukakan buah ciku. Terus terhenti kerja Harris lalu berpaling.

" Tak hi..dup ka..lu ta..nam
pun", cepat dia menjawab.

" Eh..ada lah. Orang Malaysia tanam kiwi hidup abang. Sebab kiwi ni asalnya dari China. Bukan New Zealand",

" Ye..ke..", berkerut dahi Harris kerana kurang percaya kerana Afiqah suka mempermainkannya sejak dia sedar semula ini. Kata Afiqah mahu Harris banyak menggunakan dan meransang otaknya berfikir sedangkan isterinya itu dengan senang hati cuba menbuat dia nampak keliru.

" Betul..Nanti Iqa tunjuk pada abang", bersungguh. Sedangkan apa yang dilihat adalah petani tersebut baru mencuba menanam bukan sudah mendapatkan hasil. Ya.. sekarang mungkin ada yang berjaya kerana cerita petani Malaysia menanam kiwi yang dibaca itu cerita lama dulu. Dia pun sudah lupa. " Kejap. Iqa google..", telefon di tangan ditilik.

" Hmm..ba..ru nak goo..gle..", meneruskan kerja tanpa mempedulikan isterinya.

" Abang..",

" Hmm..",

" Sempat tak Iqa rasa ciku yang abang tanam ni..", soal Afiqah tiba-tiba.

" Ke..na..pa ca..kap ma..cam tu.?", langsung tidak senang suara Harris.

" Tiba-tiba terfikir. Sebab tu tanya. Jambu batu tepi pagar rumah nenek tu nenek tanam dengan Iqa tahu. Sebab tulah jambu tu sedap, rapuh, manis. Kiranya mabaleslah rasa dia sebab Iqa yang tanam", tersengih memuji diri sendiri.

" Hmm..Ya..lah tu.", Harris melayan sahaja bualan isterinya.

Lama mereka berdua di situ. Namun Afiqah hanya duduk tanpa berbuat apa-apa. Matanya hanya melihat Harris ke sana sini membuat kerja mencabut rumput keliling tanam pokok lain, menyapu sisa daun dan menyiram tanamannya.

Petang mula menginjak senja. Langit yang berona jingga sangat indah di pandangan. Cantik. Ah. Itu yang dia sukai. Melihat keindahan langit hari ini terhias dengan awan berona ungu, merah jambu, kelabu terapung tanpa tiang. Tidak mungkin dia dapat pemandangan awan begini esok hari kerana langit berubah setiap hari.

" Cantiknya langit ni kan abang..", ujar Afiqah saat Harris mula mendekati.

" Se..can..tik is..te..ri a..bang..",

Afiqah ketawa. Sudah terbiasa dengan mulut manis suaminya yang suka memuji.

" Tapi..langit tu jingga dan mula memerah. Orang kata banyak syaitan berkeliaran masa ni. Tanda kita pun kena masuk rumah dah ni",

" A..bang pun tak nak du..duk lu..ar..",

" Jom masuk.. Bersiap. Malam ni kan ada ceramah kat masjid",

" A..bang cu.ti..", senda Harris.

" Cuti? Cuti apa?", berkerut dahinya. Cuti apa pula?

Harris ketawa demi mendengar kalut suara Afiqah.

" Jom ma..suk", bahu Afiqah dipaut perlahan.

" Busuk..", bau peluh terus menyeruak ke hidungnya saat tubuh Harris rapat kepadanya. Apabila Afiqah menghindar lagi Harris memeluk erat. " Abang..", rengek Afiqah namun keras suaranya. Jelas tidak suka.

Apabila Afiqah mahu berlari barulah Harris mengalah. Bimbang pula dengan tingkah isterinya. Harris membiarkan Afiqah menjauh sedikit namun isterinya itu berhenti pula. Saat Harris mendekat terus tubuh lelaki itu dipeluk Afiqah.

" Ka..ta bu..suk..", ujar Harris sambil memaut bahu Afiqah berjalan beriringan meninggalkan halaman tepi rumah.

" Kasihan..Tak sampai hati mak reject suami sendiri", tergelak dengan bicara sendiri.

" Re..ject..lah. L..ia nak a..bang",

" Huh! Bencilah", menjauh lagi dan membiarkan Harris yang terkekeh ketawa di belakang. Langsung tidak menunggu lelaki itu lalu masuk ke dapur rumah.

JELINGAN tajam Rabiatun membuatkan wajah Amira memuncung. Cerita tentang Talib yang ingin kembali kepadanya buat Rabiatun memandang penuh amaran. Lama juga dia menyimpan cerita itu. Baru hari ini dia mahu bercerita.

" Kaki pukul ni susah nak taubat tahu tak? Sekali dah buat tak mustahil dia akan buat lagi. Aku ni sayangkan kau Mira. Aku tak nak kau jadi punching bag di Talib tu. Kalau kau nak kahwin sangat kau kahwin je lah dengan laki Iqa yang gagap tu", habis sahaja ayat itu berdekah ketawa Rabiatun seronok dengan gurauan sendiri.

" Coi! Tak nak aku. Nanti aku jadi bini dipinggirkan. Harris tu kerja nak belek Iqa je",

" Hello..Gagap bukan sebarang gagap ya" marah Afiqah kerana suaminya dipermainkan. Dia lupa yang dia juga suka mengusik suaminya. " Lagipun Harris tu nak ke dengan kau Mira?", Afiqah juga tidak mahu kalah.

" Tak kuasa aku nak jadi madu orang! Baik aku hidup jaga anak aku je. Bahagia! Tak ada laki pun Allah bagi aku dengan anak aku cukup makan je. Siap boleh beli emas lagi okay ", gelang emas di lengan ditayang ala-ala Mami Jarum.

" Hah? Alang-alang cakap fasal ni. Atun..", manja suara Afiqah sambil tangannya sengaja menggesel peha Rabiatun. Cepat wanita itu menepis kasar. Geli dengan perlakuan Rabiatun.

" Tangan tu jangan menggatal boleh tak", mengengsot menjauhi Afiqah. Benci benar dia jika disentuh-sentuh begitu!

" Ada orang nak berkenalan ni. Kau berminat tak. Kacak, kerja bagus, sopan santun sesuai lah dengan kau yang agak tidak sopan santun. Kena berlawanan sikit barulah saling melengkapi",

" Tak nak dan tak payah sibuk nak carikan jodoh untuk aku. Kat rumah bapak aku sibuk nak aku kahwin. Sekarang kau pula. Aku bahagia begini. Indah dan bahagia hidupku. Tak payah semak kepala kepala fikir laki aku nak makan apa kat rumah. Dia skandal dengan siapa. Siapa nak sondol laki aku",

" Kalau fikir macam tu sampai bila-bila pun kau tak kahwin Atun", pintas Afiqah.

" Siapa kata aku nak kahwin?", popia goreng disuapkan ke dalam mulut.

" Nikah ni satu bentuk ibadah yang mulia. Sebab tulah muslimin dan muslimat dituntut untuk bernikah. Boleh benteng diri dari melakukan perbuatan keji yang Allah ingkari",

" Habis..orang kahwin tu aku tengok buat juga kerja keji. Dah ada bini dekat rumah pun sibuk berskandal dengan bini orang. Sama-sama dah kahwin dan ada tempat melampiaskan nafsu. Tapi sebab nafsu gila, kau cari juga bini orang laki orang. Buat dosa besar! Berzina!", bicara Rabiatun sudah makin tidak bertapis.

Afiqah tidak boleh menafikan apa yang dibicara Rabiatun memang ada benarnya. Suruhan dalam agama Islam itu adalah yang terbaik. Tetapi manusia yang memilih bernafsukan syaitan.

" Kahwin itu tak salah. Yang salah itu adalah manusia. Manusia yang tak ada iman dan takwa yang pilih jalan hidup macam tu. Fikir hidup di dunia ni untuk keseronokan semata-mata", Afiqah cuba memberi penjelasan lagi.

" Setuju", sepatah Amira bersuara. " Aku doakan kau dibukakan pintu hati untuk bernikah. Jangan kerana kau tengok sejarah buruk perkahwinan aku buat kau tak nak kahwin Atun. Setiap manusia tu Allah dah sediakan pasangannya. Tapi..siapa nak berkenalan tu?", wajah Amira teruja memandang Afiqah.

Baru nak teruja? Ah. Amira! Slow sangat kau kan!

" Doktor Ibrahim..", tersengih Afiqah mengerdipkan matanya ke arah Rabiatun yang sudah berkerut wajahnya. Cepat juga dia menggeleng memberi jawapan.

" Tak berminat!", bangun dari duduknya dan berlalu.

" Bagi pada aku lah Doktor Ib tu Iqa", nakal Amira sengaja mengusik Rabiatun kerana mahu membuat Rabiatun menyesal dengan penolakannya.

" Ha..Ambillah. Aku bagi free je..", santai sahaja dia membalas langsung tidak berminat.

" Aku ambil betul baru tahu", Amira juga tidak mahu kalah.

" Kau ingat Ib tu mainan nak ambil buang sana sini?", Afiqah marah pula kerana bicara seriusnya dipermainkan.

" Bukan mainan ke?", Rabiatun terusan berlaku tidak serius walaupun tahu Afiqah tidak main-main. " Yang pasti jangan kau balik pada si Talib kaki pukul tu Mira", masih lagi marah dengan perlakuan Talib kepada sahabatnya.

" Aku dah cakap tak nak..Tak tahulah kalau Allah lorongkan hati aku pada dia semula", Amira tidak boleh menolak jika itu takdir yang Allah tetapkan untuknya.

" Aku bawa peguam suruh dia sign akur janji. Langgar janji kita biar dia jalani hukum hudud pula kerana ingkar janji. Tak puas kan duduk penjara 3 bulan. Ambik kau!", ada sahaja idea Rabiatun mahu melindungi Amira.

SETIAP bulan seperti yang dijanjikan Talib memasukkan duit ke dalam akaun Amira untuk perbelanjaan anak-anak mereka. Hanya 500 sebulan kerana itu sahaja yang dia mampu buat masa ini.

Amira juga senang hati melihat perubahan Talib. Ya. Dia akui hidup Talib semakin baik. Jika diri sendiri berkehendak tidak mustahil perkara yang sukar dapat dilakukan.

Dia sudah berjanji untuk menjadi seorang ayah yang lebih baik. Dia tidak mahu anak-anaknya berdendam dengannya seperti yang dia lakukan pada ayahnya dahulu.

Bulan depan abang dapat bonus abang bagi lebih sikit ya.

Mesej diterima.

Amira segera membalas.

Kalau dapat bonus. Ada untuk Mira juga tak?

Hahaha. Ada..

Mesra perbualan mesej mereka tetapi Talib langsung tidak berani membuka topik hal perasaannya kepada Amira Dia bimbang jika hal perasaan yang diungkit hubungan baik mereka akan mejadi dingin. Dia juga menghormati permintaan Amira yang mereka hanya boleh berkawan. Tidak mahu memaksa wanita itu walaupun kasih dan sayangnya kepada Amira masih ada. Keputusan Amira dia terima dengan hati yang terbuka.

Minggu depan hari lahir Haziq. Abang balik. Kita sambut rumah mak. Boleh?

Mesej dihantar lagi.

Boleh..Suka sangat Haziq. Dah berapa hari sibuk beritahu nak beli kek hari lahir.

Biar abang belikan kek. Mira masaklah. Lama abang tak makan masakan Mira..

Okay..

Lama juga mereka berbual di pesanan mesej. Hati Amira makin senang dengan lelaki itu tetapi untuk kembali semula dia masih belum yakin sepenuhnya. Ya. Biarlah dia hidup bersama Haziq dan Hafiz. Itulah pilihannya sekarang. Bukan dia terfikirkan bicara Rabiatun. Kaki pukul tak mustahil dia akan buat lagi! Dia cuma mahu lebih berhati-hati.

LANGKAH Afiqah perlahan menuju ke ruang tamu. Baru sahaja siap memasak untuk makan tengah hari jadi dia mahu berehat seketika. Sejak kandungannya menginjak ke usia 9 bulan dan mula menghitung hari untuk melahirkan dia mudah berasa penat. Pergerakan juga semakin berhati-hati. Nak pula Akid semakin menjadi-jadi perangainya. Makin suka menangis. Makin suka memerap dengannya. Mahu berdukung sahaja setiap kali Afiqah mahu berkerja. Ada sahaja onarnya mahu Afiqah di hadapan matanya.

" Mi..", Afiqah yang baru mahu berbaring didekati. Terus naik ke sofa mahu berbaring di sebelah uminya.

" Tidur jom sementara tunggu ayah balik..", Afiqah menarik Akid dalam pelukannya.

Matanya sempat melirik jam. Harris sudah memberitahu dia lewat sedikit hari ini. Selalunya lebih kurang jam 1.20 begitu suaminya sudah balik untuk makan tengah hari selepas mengambil Atiya dari sekolah. Tetapi katanya tadi hari ini akan lewat sikit kerana mahu berjumpa dengan tuan tanah yang baru dibelinya. Tanah pertanian yang sudah ditanam dengan tanaman kelapa sawit. Sambil menguruskan perniagaan mengangkut getah dan kelapa sawit ke kilang suaminya juga membeli tanah jika ada penduduk kampung yang mahu menjual tanah. Bukan mahu mengumpul harta kata Harris cuma kadang kala ada penduduk kampung terdesak mahu menggunakan wang yang mencari suaminya. Ada juga yang mahu dipajakkan tanahnya. Ya dia faham semua keluarga perlukan duit!

Laju Akid menggeleng apabila mendengar perkataan tidur.

" Ops! Umi lupa pula. Makan dulu baru tidur. Kita tunggu ayah dengan Kak Ya balik sekejap lepas tu kita makan sama- sama. Okay?",

" Okay", balas Akid. Ya anaknya itu sudah mula faham setiap bicaranya. Malah jika siap bermain Akid sudah pandai sahaja menyimpan mainan sendiri kerana sudah dipesan kepada anaknya begitu. Tetapi ada masanya tidak juga. Ikut mood.

Tidak jadi tidur Afiqah melayan Akid bermain. Lego bersaiz besar. Pernah minggu lepas anak itu gigih menyumbat mainan saiz yang kecil ke dalam telinganya. Mujur juga di hadapan Afiqah. Sudahnya semua mainan kecil disimpan dan hanya tinggal mainan saiz yang besar sahaja.

Bunyi sahaja deruman kereta terus dia meninggalkan mainan tadi dan berlari ke pintu. Afiqah pula yang terkial-kial bangun dari sofa. Belum sempat membuka pintu, daun pintu ditolak dari luar. Dia tahu Harris ada kunci dan tentu sahaja disuruh Atiya yang membukanya.

" Ya!", sergah Akid.

" Ya Allah. Terkejutlah", balas Atiya melayan adiknya walaupun langsung tidak terkejut sebenarnya. Terus dipeluk tubuh gebu itu. Nampak sahaja Harris Akid minta dilepaskan.

" Assalamualaikum..", sapa Harris yang baru keluar dari kereta.

" Yah..", manja suara Akid mendekati ayahnya. Tubuh Akid terus dibawa dalam dukungannya seperti selalu. Wajah itu terus dicium. Langkah dituju ke arah Afiqah yang sedang duduk di sofa kerana tidak jadi bangun membuka pintu tadi.

Punggung dilabuh di sebelah Afiqah. Akid dari dukungan dilepaskan ke bawah. Terus dengan mainannya tadi.

" O.. kay ha..ri ni?", bahu Afiqah dipaut dan sisi dahi Afiqah dikucup.

Laju Afiqah menggeleng.

" Ke.na..pa? Sa..kit?", bimbang suara Harris.

Soalan Harris tetap dibalas dengan gelengan juga.

" Asyik nak buang air je..",

" Ba..by..dah..ma..kin..tu..run..la ..ni", perut Afiqah terus diusap perlahan turun naik beberapa kali. Tidak puas begitu baju Afiqah disingkap mahu melihat lebih jelas. Minggu ini kandungan isterinya cukup 9 bulan dan mula menghitung hari. Mulai esok di juga akan bercuti kerja. Kali ini dia tidak mahu terlepas menemani isterinya di bilik bersalin.

Perut bulat itu dikucup. Seperti selalu digeselkan hidungnya pada kulit yang terdedah. Afiqah ketawa kegelian setiap kali Harris melakukan itu.

" A..yah..sa..yang..a..wak" , ucapnya dan dikucup lagi. Baju ditarik menutup perut isterinya dan kepala didongak mencari wajah Afiqah. " I cant wait",

" Tak lama dah. Mungkin hari ini, esok, lusa minggu depan.." ujar Afiqah. Dia tahu keterujaan Harris menanti kelahiran ini. " Sabar ya ayah..",

" Tak..sa..bar..",

Afiqah ketawa dengan riak wajah tidak sabar lelaki itu. " Jom makan. Iqa masak ayam percik yang abang suka", dia mahu bangun dan seperti selalu pasti dibantu lelaki itu.

" Last ha..ri ni ma..sak. E..sok bi..ar a..bang ma..sak. A.bang nak sa..yang re..hat",

" Okay.. Okay suamiku sayang", jemari Harris dalam genggamannya dicium sekilas. " Akid..tolong umi panggilkan Kak Ya makan boleh..", oleh kerana Akid memanggil Atiya dengan Ya dia juga memanggil begitu.

" Oleh..", berlari ke bilik Atiya. Anak itu langsung tak boleh berjalan. Mahu berlari sahaja.

MALAM itu sedang menemani Afiqah menonton televisyen Harris perasankan sesuatu apabila melihat Afiqah asyik mengusap bahagian belakang pinggangnya.

" Sa..kit?", wajah Afiqah direnung.

" Hmm..",

" Hos..pi..tal?", Harris segera bangun namun cepat Afiqah mencapai tangan suaminya.

" Belum lagi abang. Lenguh je. Abang tolong urutkan perlahan-lahan boleh?",

" Jom da..lam bi..lik se..le..sa", televisyen dimatikan. Tangannya mencapai jemari Afiqah dan berjalan beriringan meninggalkan ruang menonton.

Afiqah terus berbaring mengiring. Harris naik ke katil dan duduk bersila di belakang tubuh isterinya. Minyak urutan dicapai dan disapu perlahan pada berlakang tubuh isterinya.

" Nyamannya..",

" Ti..dur..lah..",

" Tak nak..Jomlah sembang. Nanti tentu abang akan rindu sembang dengan Iqa..", ketawa kecil sambil melayan perasaan dengan sentuhan dan urutan lembut suaminya. Bahagia. Itu yang dia rasa. Harris terlalu memanjakannya sejak lelaki itu sedar semula. Terlalu dimanjakan hingga dia rasa seperti permaisuri sahaja. Kerja rumah semua diuruskan Harris. Cuma bahagian memasak sahaja dilakukan olehnya.

" Se..ti..ap ma..sa a..bang rin..du I
.qa",

" Ya..Tapi nanti lagi... rindu", sengaja perkataan lagi dipanjangkan dan ditekankan nadanya.

Harris kurang faham. Apa maksud Afiqah?

" Mak..sud..Iqa?", tangannya tidak berhenti dari mengurut belakang tubuh isterinya. Lebih kepada usapan bukan urutan pun. Dia bukannya tahu ilmu urutan. Berlebihan urutan bukan dari orang pakar pun bahaya juga pada ibu mengandung. Dia tidak mahu merisikokan isterinya.

" Nanti kan Iqa masuk hospital untuk bersalin. Abang mana boleh teman lama-lama dalam wad perempuan",

" Kan..per..gi pri..vate", Harris mahu isterinya bersalin dengan doktor perempuan. Jadi telah didaftarkan isterinya di hospital swasta yang menyediakan perkhidmatan doktor wanita.

Esok Afiqah ada temujanji bersama doktor pakar. Syukur sepanjang isterinya itu mengandung Afiqah dalam keadaan yang sangat baik. Tiada diabetis melitus, tiada tekanan darah tinggi, bacaan hemoglobin sahaja rendah sedikit tetapi masih dalam keadaan yang terkawal. Bukanlah kandungan yang berisiko. Tetapi dia tidak boleh ambil mudah soal kesihatan dan keselamatan isteri dan kandungan isterinya. Risiko tetap ada.

" Esok..kita jumpa doktor ya sayang.." perutnya diusap perlahan dengan senyum terukir manis.

" A..nak a..yah ja..ngan bu..at u..mi sa..kit ya..",

Afiqah ketawa dengan ujaran suaminya. " Abang..Bersalin memanglah sakit. Mati syahid je tak sakit. Abang janganlah risau sangat Iqa boleh bertahan dan tempuhinya dengan baik. Macam dulu. Walaupun abang tak ada masa Iqa bersalinkan Akid. Iqa berjuang demi Harris Junior abang",

" I..tu du..lu. A..nak ni dan se..te..rus..nya. In..sya..Allah a..bang a..kan te..man I..qa",

" Se..te. rus..nya? Berapa orang lagi? Akid baru 12 bulan dah mengandung lagi. Ni baby dalam perut baru 9 bulan nak Iqa mengandung lagi. Ingat Iqa ni mesin keluarkan anak. Nak Iqa jadi macam Cik Milah. Beranak sampai 16 kali. Cik Milah tak apalah. Umur 15 tahun dah kahwin bolehlah beranak 16 kali. Setahun seorang. Ini Iqa dah nak 30 tahunlah ", ujaran Afiqah yang lebih kepada bebelan dijawab dengan tawa besar dari Harris. Sedangkan itulah yang berlaku padanya sekarang. Setahun seorang. Ya Ampun..Kalau itulah yang berlaku mahu huru hara hidupnya!

" Ti..dak..lah sam..pai sa..tu e..nam o ..rang", perkataan enam belas disebut satu enam.

" Abang..anak kita ni 4 tahun baru Iqa mengandung semula ya. Kita kena amalkan perancangan keluarga tahu",

Harris menghentikan urutannya dan berbaring di belakang Afiqah yang masih mengiring. Tubuh itu dipeluk. Perut Afiqah diusap perlahan.

Bahagia. Itu yang dia rasa. Terasa sempurna kerana mempunyai isteri seperti Afiqah. Sanggup bersusah payah mengharungi hidup dengannya walaupun berbagai ujian bertamu. Afiqah tetap setia dengannya. Sanggup melahirkan anak untuknya.

Ya. Dia akui semasa bekerja di bandar dulu bukan tidak pernah dia mendengar hal rumah tangga seorang isteri tidak mahu melahirkan zuriat untuk suami. Ada. Malah tidak pelik pun kerana gaya fikir seorang wanita tidak sama. Ada yang mahu anak ada juga yang mahu menjadi wanita bekerjaya tanpa gangguan dari anak.

" Abang..", halus suara Afiqah dan tubuhnya digerakkan perlahan berpaling mengadap tubuh suaminya. .

" Ya..", membantu pergerakan isterinya.

Saat mata mereka saling berpandangan keduanya saling tersenyum. Wajah Afiqah dielus dan direnung penuh kasih. Tidak lama bibir isterinya dikucup lembut penuh cinta. Sekerita wajahnya ditarik Afiqah supaya rapat ke isterinya.

" Dengar degup jantung Iqa ni puas- puas", ujar Afiqah.

" Ke..na..pa ca..kap ma..cam tu. A..bang tak su..ka", ujar Harris mendongak wajah mencari wajah Afiqah. Tidak suka kerana sejak dua menjak ini Afiqah suka bercakap seperti dia mahu pergi meninggalkannya. Namun hanya dibalas dengan ketawa manja Afiqah.

Kepala Harris ditarik rapat ke dadanya. " Syhhh..diam..Dengar je..",

Happr reading..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience