SUARA tawa Atiya terdengar ceria dan bahagia di telinga Zahlia. Dia menjengah kepala melalui tingkap yang terbuka kerana mahu tahu apa yang membuatkan anak itu gembira begitu. Matanya tertunak pada Atiya dan Harris yang sedang berbual di pangkin. Nampak begitu menyeronokkan sahaja bualan Atiya dan Harris. Akid juga jelas ikut tawa bersama. Tanpa sedar senyum terukir di bibirnya saat melihat keceriaan dan kebahagian keluarga kecil itu.
Seketika Afiqah datang dengan membawa sebakul rambutan cepat Atiya berlari ke arah Afiqah dan membantu membawakan bakul yang dibawa Afiqah tadi. Ketika Atiya dan Afiqah sudah menghampiri Harris nampak Harris berkata sesuatu. Tidak tahu apa yang dibicarakan Harris apabila Atiya dan Afiqah sama-sama ketawa.
Ah! Aku cemburu! Aku cemburu! Kalau aku tak pergi dulu. Mungkin aku yang berada di situ. Zahlia melepas keluhan berat. Bukan Harris menghalang dia mengejar cita-cita. Tidak sama sekali. Malah Harris mengizinkan jika dia mahu menyambung pelajaran di universiti tempatan dan Harris sanggup menanggung kos pengajian. Tetapi dia sendiri yang membuat keputusan terburu-buru. Mahu lepas bebas kerana tidak mahu terikat terus dengan lelaki itu. Bukan Harris tidak merayu supaya jangan pergi meninggalkannya. Malah berkali-kali lelaki itu merayu kepadanya. Masih ingat air mata Harris saat merayu padanya. Entahlah waktu itu dia buta. Bukan buta mata sahaja tapi buta mata hati. Tidak nampak betapa sempurnanya Harris sebagai suaminya. Pada waktu itu cita-citanya lebih daripada segalanya sehingga dia sanggup meninggalkan suami dan anaknya.
Tanpa sedar air matanya mengalir. Satu persatu memoir indahnya bersama Harris terlayar di fikiran. Bagaimana Harris begitu mengasihi, menyayangi dan mencintainya. Bagaimana Harris begitu setia dengan percintaan mereka. Bagaimana Harris sentiasa cuba membahagiakannya. Ya. Dia akur dia bahagia bersama lelaki itu. Tetapi.. Ah! Tak ada gunanya dia menyesalinya sekarang. Semua keputusan itu adalah pilihannya sendiri. Tiada yang memaksa dia meninggalkan Harris. Namun sesal itu tetap singgah setiap kali melihat kebahagian lelaki itu dengan adiknya. Kadangkala terselit rasa marah kepada Afiqah kerana pentingkan diri sendiri mencuri bekas suaminya.
Tersedar mata Harris tertuju pada biliknya kalut Zahlia menutup tingkap dan terus bersandar di kepala katil. Lagipun dia juga tidak sanggup berlama-lama melihat kebahagiaan keluarga itu. Hatinya tidak seronok. Buku yang baru separuh dibaca dicapai. Cuba tenggelam dalam bait perkataan yang tertulis. Namun gelak tawa di luar benar-benar membuatkan dia tidak boleh fokus. Sudahnya buku ditutup. Berbaring dan cuba memejamkan mata.
Harris mengerling tingkap yang tertutup. Seketika tadi dari kejauhan dia nampak Zahlia yang berada di tingkap. Jauh di sudut hatinya ada perasaan kasihan dan simpati pada wanita itu. Bekas isterinya. Wanita yang pernah bertakhta di hatinya. Sama- sama menyulam cinta dan bahagia. Pernah hidup dalam kenangan manis bersama.
Afiqah juga tersedar dengan pandangan suaminya yang tertumpu pada bilik Zahlia. Riak wajah Harris yang tadi ceria mula terselit mendung yang cuba disembunyikan. Terus jiwanya diterpa pelbagai persoalan.
" Tiya nak bawa Akid tengok cerita pada zaman dahulu. Jom Akid", tangan dihulur lalu laju sahaja Akid menyambut huluran kakaknya. Mungkin sudah puas menjamu buat rambutan kegemarannya Atiya dan Akid mahu berlalu.
" Abang..masih nakkan Kak Lia?", entah kenapa Afiqah berani menyoal begitu usai Atiya berlalu.
Terentang jelas riak terkejut pada wajah lelaki itu.
" Iqa nampak abang pandang bilik Kak Lia tadi", Afiqah tidak mahu menyembunyikan apa yang dia nampak. Mana mungkin dia tidak bersyak wasangka.
Harris tersenyum nipis. Tangan Afiqah dicapai lalu dikucup lembut. Tiada penolakan daripada Afiqah kerana dia mahu tahu apa yang ada dalam hati suaminya.
" A..bang..sa..yang I..qa..A..bang cin..ta..I..qa..Li..a..ka..kak..i..par..a..bang", matanya merenung mata indah isteri. Pipi Afiqah dielus perlahan. Sorotan mata Harris jelas bersinar saat melihat wajah isteri di hadapannya. Seketika perut Afiqah yang nampak sedikit membukit disentuh dan diusap lembut " Buk..ti..cin..ta..a..
bang..pa..da..I..qa", senyum terukir bahagia.
" Hati Iqa rasa cemburu bila abang pandang bilik Kak Lia tadi. Rasa macam abang tengah layan perasaan abang pada Kak Lia. Abang kan cinta sangat pada Kak Lia dulu", terus terang sahaja. Tidak perlu dia sembunyikan perasaannya.
Harris tertawa. " Cem..bu..ru?",
" Hmm..",
" A..bang..su..ka..I..qa..cem..bu..ru",
" Kak Lia ada depan mata abang. Iqa tetap ada rasa curiga kalau hati abang kembali bertaut pada Kak Lia. Kak Lia cinta pertama abang. Abang cintakan Kak Lia tanpa paksaan. Tak mustahil semua itu akan kembali semula. Semua tu tak mustahil boleh berlaku sebab perasaan manusia ni boleh berubah. Pantai pun boleh berubah sebab hakisan pantai. Pantai pun boleh berubah sebab pasang surut apatah lagi hati manusia", serius sahaja wajah Afqah.
" Hmm..", mahu sahaja Harris ketawa dengan perumpamaan isterinya namun tidak sampai hati pula bila melihat riak Afiqah yang serius. Tidak sabar mahu membalas telefon dicapai. Laju menaip sesuatu.
Perempuan memang tak boleh kalau tak rasa curiga pada suami dan rasa insecure kan. Hati manusia memang boleh berubah. Tapi itu kehendak diri sendiri. Kalau dia pilih untuk setia dengan pasangan tak ada isu hati akan berubah. Abang cuma sayang Iqa. Isteri dan umi anak-anak abang. Iqa dah ambil semua hati abang sampai abang pun dah tak ada hati dah. Nak bercakap dalam hati pun tak boleh sebab dah tak ada hati.
Sambil menaip dia menggumam. Afiqah hanya mengerling melihat kelakuan suaminya. Tidak pernah apabila menaip sesuatu Harris begitu. Selalunya mata lelaki itu hanya melirik nakal, manja, tajam atau dengan senyum dan ketawa. Kadangkala bersahaja.
Telefon dihulur supaya Afiqah dapat membacanya. Afiqah cepat sahaja faham kerana selalunya begitulah. Jika ada perkara yang mahu diperkatakan Harris lelaki itu akan menaip sahaja. Lebih cepat. Sebab itulah telefon sentiasa ada dengannya.
Meletus ketawa Afiqah dengan mesej lelaki itu.
" Terima kasih. Sayang Iqa", bibir Harris dikucup sekilas. " Hati kita ni yang utama mestilah kepada Allah dan Rasulnya. Lepas tu barulah pada manusia", ulasnya pula pada mesej lelaki itu.
Telefon di tangan Afiqah ditarik perlahan. Saat Harris mula menaip Afiqah menanti-nanti apa lagi mahu diperkatakan lelaki itu. Saat dia mahu mengintai apa yang ditaip oleh lelaki itu, Harris menutup muka skrin dengan tapak tangannya menghalang daripada wanita itu mencuri lihat.
Huh! Nanti nak bagi aku baca juga! Saja je kan nak tunjuk mengada dia. Gerutu Afiqah apabila Harris sengaja bersikap begitu.
Ya. Cinta kepada Allah dan Rasul itu memang sudah jadi kewajipan kita sebagai hamba Allah dan umat Muhammad Saw. Tapi soal cinta pada manusia. Cinta seorang lelaki kepada perempuan. Cinta suami kepada seorang isteri salah seorangnya adalah cinta seorang Harris hanya kepada Afiqah. Cinta yang abang nak bawa sampai ke syurga. Abang nak bawa isteri dan anak-anak abang. Keluarga abang ke syurga. Di syurga nanti kita boleh duduk bawah pokok begini sambil menyulam bahagia.
Telefon dihulur.
Senyum terus terukir di bibir Afiqah saat matanya meneliti setiap ayat yang tertera di skrin. Benar-benar membuat hatinya mekar setaman..
" InsyaAllah abang. Aamin..", tangan diraup ke wajahnya.
" Pu..as..ha..ti?", soal Harris apabila Afiqah mencapai dan mengusap jemari lelaki itu.
" Hmm..", kepala dilentokkan di bahu Harris. Sekilas kepala itu dikucup. " Tangan abang manis. Pandai buat ayat manis macam tu", Afiqah bersuara. Dia suka jika berdua dan berbicara begitu dengan suaminya. Ya. Mungkin pasangan lain juga begitu. Berdua dan berkomunikasi dari hati ke hati. Jika tidak masakan pasangan itu boleh bertahan bertahun, berpuluh tahun hidup bersama jika tiada komunikasi yang baik.
Tangan Harris melingkari pinggang isteri. Namun sengaja dia merayapkan tangannya ke peha Afiqah. Afiqah hanya membiarkan mahu melihat keberanian lelaki itu menunjukkan kemesraan di tempat terbuka ini kerana Harris jarang sangat mempamerkan kemesraan di luar. Tapi kali ini lain macam pula!
Saat tangan Harris mula mengusap nakal peha Afiqah terus Afiqah bangun dan berdiri tegak merenung tajam wajah yang sedang tersenyum di hadapannya. " Gatal kan!", marahnya kerana tahu Harris sengaja mengusik.
" Bu..kan..sa..yang..su..ka", kening diangkat dan tawa langsung tidak ditahan.
" Tak suka! Dah. Jom masuk. Dah nak Maghrib ni. Banyak syaitan berkeliaran sebab tu nafsu abang pun dah tak terkawal tu", Afiqah cepat berlalu tanpa menunggu lelaki itu.
Terkekeh Harris ketawa dengan jawapan isterinya. Bakul berisi rambutan tadi dicapai dan mengejar langkah isterinya yang sudah ke hadapan.
AMIRA tertanya-tanya saat melihat ibu Talib menghampirinya. Lama ibu mentuanya itu tidak datang ke rumahnya. Perihal cucunya langsung tidak dipeduli. Ya. Mungkin kerana anak-anak Amira bukanlah cucu kandungnya kerana perkahwinan Zawiyah dengan Sulaiman ketika umur Talib sudah 16 tahun.
Sejak berpisah dengan Talib dan lelaki itu menerima hukuman, ibu mentuanya pernah datang tiga kali sahaja walaupun jarak rumah mereka bukanlah jauh malah sekampung sahaja. Jauh manalah. Itupun hanya menjenguk seketika. Katanya sibuk menjaga ayah Talib yang lumpuh.
Amira bukanlah rapat sangat dengan ibu mentuanya itu sementelah setiap kali datang ke rumah Sulaiman Zawiyah seperti mahu cepat anak menantunya balik. Seakan kedatangan mereka mengganggu urusan Zawiyah pula. Mahu mempelawa dan mengajak makan dan minum jauh sekali. Selalunya Amira yang bawa makanan kepada bapa mentuanya itu.
" Mak..", salam dihulur dan disambut acuh tak acuh oleh Zawiyah.
" Betul ke Harris hilang ingatan lagi?", soal Zawiyah. Bukan mahu menyoal khabar berita anak cucu.
Harris hilang ingatan. Itu berita yang diterimanya. Mahu menjenguk dia malas. Di rumah dia sudah penat menjaga orang sakit. Dia malas peduli lagi siapa pun yang sakit. Tetapi apabila duit untuk Sulaiman tidak diterimanya dia berasa tidak senang duduk. Ya. Orang lain mungkin tidak tahu pemberian anak muda itu. Dulu pun semasa Harris hilang ingatan dia yang mencari Harris. Jika kali ini Harris lupa ingatan lagi tentulah dia perlu mencari lagi lelaki itu untuk wang bantuan itu.
" Alhamdulillah. Tak mak. Cuma dia tak boleh bercakap macam biasa. Lambat sikit bila bercakap",
" Tapi kenapa..." Dia tak bagi duit. Ayat tidak dihabiskan. Tidak diluahkan.
" Mak tak pergi melawat? Dah dua minggu dah Harris balik",
" Esok-esoklah aku pergi. Mak balik dulu",
" Minum dulu mak..",
" Rumah aku ada air", menonong sahaja Zawiyah berlalu. Amira pula termangu. Nak tanya tu je?
" Nenek dah balik bu?", anak sulungnya yang baru siap mandi menjenguk.
" Hmm..", balas Amira mengajak anaknya masuk. Lagipun kedatangan Zawiyah bukan mahu berjumpa cucunya. Biarlah. Dia sudah biasa. Sudah biasa makan hati dengan Talib dan keluarga Talib. Kadangkala bila hati dibalut nafsu dia terfikir kenapa Talib tidak seperti Harris. Manusia mana ada yang sama! Itulah kenyataan yang dia harus terima.
KEESOKAN harinya Zawiyah ke rumah Harris. Langkahnya laju sahaja menuju masuk ke halaman rumah Harris. Tadi dia meminta anak jirannya Saudah menghantarnya ke sini. Dia perlu berjumpa Harris hari ini. Kerana Rm300 itu. Dia tidak peduli jika Harris sudah sihat ke tidak.
Salamnya dibalas oleh suara anak perempuan Harris.
" Masuklah Nek Yah", pelawa Atiya. Walaupun tidak begitu rapat dengan wanita itu.
" Umi ayah kamu ada?",
" Ada",
Saat masuk ke rumah Harris matanya meliar melihat hiasan cantik dan kemas rumah banglo ini. Kali pertama dia sampai ke sini kerana dia memang selalu berada di rumah sahaja. Jarang sangat dia keluar kecuali ada hal penting perlu diuruskan. Masanya banyak habiskan menjaga Sulaiman.
" Cik Yah", Afiqah datang menyambut dan bersalaman.
" Hmm..", senyum yang terukir dibuat tampak mesra.
" Duduklah. Tiya tolong panggil ayah. Kata Cik Yah datang melawat ayah",
" Okay", berlalu meninggalkan ruang tamu dan menuju ke bilik tidur ayahnya.
Tidak lama Harris keluar bersama Akid di dukungannya.
" Cik..Yah..", begitulah setiap kali berjumpa orang Harris akan cuba menyebut nama orang tersebut.
" Kamu sihat?",
" Si..hat..", punggung dilabuhkan di dada sofa dan Akid dibiarkan lepas.
" Hmm..Baru hari ni Cik Yah dapat datang jenguk kamu. Yalah. Pak Cik Leman kamu tu tak boleh tinggal sendiri. Ni pun minta anak jiran sebelah kanan, Syadiq tu tengokkan sekejap. Datang pun Saodah tolong hantarkan. Tak laratlah mak cik nak berjalan kaki ke sini", mesra suaranya.
Mungkin satu kilometer juga jarak rumahnya dengan rumah baru Harris ini jika diukur.
" Tak..a..pa",
Afiqah mohon berlalu masuk ke dapur untuk membuat air. Ditegah Zawiyah tetapi tidak dihiraukan Afiqah. Hasnah sudah mengajar jika ada tetamu bertandang, jika tiada makanan sekalipun sekurang-kurangnya jamulah dengan air kerana tetamu datang membawa rezeki.
" Rriss..", Zawiyah mencari peluang sementara Afiqah tiada di sini.
" Ya..",
" Dah dua bulan Cik Yah kesempitan wang uruskan Pak Cik Leman",
" Oh..", Harris juga baru teringat. Sejak dimasukkan ke hospital wang belanja Sulaiman tidak diberi. Wang belanja kepada sepupu ibunya itu memang diberi setiap bulan ke tangan Zawiyah.
" Nan..ti..Rris ba..gi",
" Kalau hari ni boleh? Cik Yah dah habis duit nak beli pampers Pak Cik Leman", sebenarnya bukan untuk Sulaiman tetapi dia mahu membayar hutang cincin emas yang baru dibelinya daripada Halimah tukang jual emas.
Harris bangun lalu berlalu ke bilik. Duit tunai yang baru dikeluarkan Afiqah semalam diambil dan diserahkan kepada Zawiyah. Dapat sahaja duit Zawiyah terus berlalu pulang tanpa menunggu minum dahulu. Afiqah yang baru menyiapkan air tercengang kerana baru sekejap Zawiyah sudah pulang. Kata orang tak panas punggung lagi.
" Iqa goreng keropok lekor itu yang lama dekqt dapur. Ingat dan Cik Yah minum", ujar Afiqah meletakkan dulang di atas meja.
" Tak..apa..Bi..ar..a..bang..ma..kan..",
Afiqah ketawa pula. " Setiap kali tamu datang abang yang tolong habiskan makanan dan minuman. Nanti gemuk baru tahu", dia duduk di sebelah Harris. Akid mula bergerak mendekat apabila tahu ada makanan.
" Tak.. sa..yang..a..bang..bi..la..a..bang..ge..muk?", berusaha menghabiskan ayat kerana dia tahu Afiqah akan menanti bicaranya.
" Sayang..abang gemuk ke, kurus ke, gagap ni pun Iqa tetap sayang", tersungging sengih di bibir nipis Afiqah.
" Ga..gap?", merenung tajam wajah isterinya.
Afiqah ketawa melihat wajah tidak puas hati suaminya. Akid yang melihat Afiqah ketawa juga ketawa. Makin galak Afiqah ketawa apabila melihat tingkah anaknya.
Mati tawa Afiqah apabila sekeping keropok Harris suapkan ke mulut isterinya.
" Hmm..abang..", cepat dikeluarkan kepingan keropok tadi. " Nasib baik tak tercekik Iqa", marah suaranya.
" Pa..dan..mu..ka.
ge..lak..kan..a..bang..la..gi..", puas hati dapat mendiamkan tawa isterinya. Suka benar mengusik.
" Lu..cu..I..qa..ge..lak..lah", masih mahu mengusik sengaja dia mengikut gaya percakapan Harris. Kemudian ketawanya terhambur kuat. Mendengar usikan dan tawa Afiqah, Harris terus bangun mahu meninggalkan ruang itu. Berpura-pura merajuk dengan usikan si isteri.
Cepat digapai pergelangan tangan Harris. " Okay..okay..Iqa tak buat lagi", pujuknya. Bangun dan mengucup sekilas bibir lelaki itu. Mata dikerdipkan beberapa kali dan sengaja mengembungkan pipi cuba memberi riak berwajah comel.
" I..ngat..co..mel?", masih tajam pandangan mata Harris.
" Comellah", senyum diukir menampakkan barisan giginya seperti iklan ubat gigi. Jom makan", tubuh Harris dibawa untuk duduk kembali. Akid langsung tidak peduli perihal kedua orang tuanya kerana dia leka dengan makanan di tangannya. " Tetamu tak makan. Kitalah yang makan. Tiya..", jerit Afiqah memanggil Atiya yang sudah masuk ke bilik tadi. Sejak Harris keluar hospital Atiya sibuk mahu tinggal bersama ayahnya. Zahlia juga tidak menghalang. Dia malas mahu kusutkan fikirannya.
SENANG hati buat Zawiyah bernyanyi riang. Duit diperolehi tadi akan digunakan untuk membayar barang kemas yang ditempah dengan Halimah. Lagi RM600 hutangnya kepada Halimah perlu dijelaskan.
Sampai sahaja ke rumah dapur dituju kerana mahu menghilangkan tekak yang kering. Sanggup dia balik ke rumahnya dengan berjalan kaki tadi kerana malas mahu menunggu anak jirannya datang ambil.
Bilik tidur Sulaiman dituju. Bau busuk yang menyengat hidung membuatkan rasa marahnya terus membara. Sudahlah panas berjalan kaki tadi belum habis. Ini lagi panas!
" Kau ni Leman. Makan berak. Makan berak. Itu je lah kerja kau", marahnya. Berbakul ayat makian keluar dari mulutnya. Sesuka hati sahaja dia memaki tanpa memikirkan perasaan Sulaiman. Walaupun dalam keadaan marah dia tetap juga berusaha menguruskan lelaki itu. Bukan mudah tubuh tuanya mahu menguruskan seorang lelaki yang lumpuh. Bersusah payah dia cuba menggerakkan tubuh lelaki yang semakin kurus itu. Mujur juga Sulaiman masih juga boleh menggerakkan tubuhnya. Rumah kayu itu telah dibuatkan lubang pada lantai. Jadi mudah untuk Sulaiman dibersihkan. Usai membersihkan suaminya Zawiyah memakaikan pakaian dan menukar cadar yang baru.
" Kalau ikutkan hati aku Leman aku tinggal je kau ni. Duit anak sepupu kau bagi tu pun bukan banyak sangat. RM300 je sebulan! Tapi sebab ada duit Zakat kau. Duit JKM kau bolehlah aku menumpang senang juga . Biarlah tak banyak. Tapi boleh juga aku beli emas sekali sekala. Harap kau belikan aku emas? Jangan diharap! Emas aku dulu pun habis kau jual. Ni kira kau bayar emas aku yang kau jual dululah",
Sulaiman hanya diam. Jika dia bersuara pun makin banyak makian dan cacian wanita itu. Jadi lebih baik dia berdiam diri dan bersabar sahaja kerana apa yang diperkatakan wanita itu semuanya benar.
" Kira aku ni isteri baik juga. Kalau nak bandingkan dengan dosa kau pada aku. Tak pernah bagi cukup nafkah pada aku. Kerja berjudi, togok arak. Haih. Kenapalah aku sabar lagi dengan orang macam kau ni ya. Patut buang je dalam sungai tu", sambil menukar cadar dia melepaskan perasaannya.
Bertahun dia tinggal dengan Sulaiman yang terkenal dengan lelaki kaki judi, kaki arak. Jika ada masanya lelaki itu naik tangan jika perlukan duit. Tapi sampai sekarang dia masih hidup bersama lelaki itu. Dia juga tiada saudara mara. Mungkin hidup matinya bersama Sulaiman. Mahu lari dia tiada tempat lain. Lagipun lama dia bersabar dengan kelakuan buruk Sulaiman. Apabila lelaki itu lumpuh dapatlah dia membalas apa yang dia rasa pada lelaki itu kini.
" Yah..la..la par..",
" Hah. Lepas berak. Makan. Makan berak!. Itu je kerja kau? Ingat aku ni kuli batak kau ke Leman", kuat suara Zawiyah melemparkan kemarahannya.
" Yah!", suara Salmiah dari tepi rumah juga jelas tinggi.
Zawiyah terkedu. Siapa? Tiba-tiba otaknya gagal berfungsi mengesan empunya suara.
Happy reading..
Share this novel
Terbaikk best . Suka sgtt. ? Nak lg sambungan sahabat.?
cerita sis xpernah xbest seronok baca santai aje