ZAWIYAH berjalan keluar dari bilik menuju ke beranda rumah apabila namanya diulang panggil beberapa kali. Sengaja dia tidak menyahut walaupun dia sudah dapat mengenalpasti pemilik suara yang memanggilnya. Dengan senyuman manis yang terukir di bibirnya dia menegur Salmiah yang sedang berdiri di beranda.
" Kak Miah..Ingat siapa tadi ", mesra dan lembut sahaja berpura-pura gembira dengan kehadiran tidak diundang wanita tua itu.
" Aku dengar kau marahkan Leman tadi", tiada basa basi langsung diterjah.
" Eh..Tak Kak Miah.. Mana ada..Kak Miah salah dengar tu", cuba meyakinkan dua pupu suaminya.
" Jangan nak menipu Yah. Aku dengar dengan telinga aku sendiri tadi", tanpa dipelawa Salmiah terus naik ke ruang rumah.
" Tak Kak Miah. Bunyi tv tadi tu", Zawiyah cuba menghalang pergerakan kakak dua pupu suaminya itu dari terus masuk ke dalam rumah.
" Bunyi tv benda Yah. Tv kau tu gelap je aku tengok. Beku keras dekat situ tak ada nyawa pun", matanya melirik pada skrin televisyen yang gelap tanda ia langsung tidak dihidupkan. Mahu sahaja dia terus menerjah masuk ke bilik namun sempat dia berfikir itu bilik tidur orang. Langkahnya terus terkaku. " Kau jaga Leman baik ke tak Yah?", Salmiah merenung tajam wajah bersahaja Zawiyah. Tiba-tiba hatinya diterjah rasa sangka buruk kepada Zawiyah.
" Baik. Kak Miah", mengawal cuak. Sedangkan jantungnya berdebar laju bukan kepalanh kerana menahan cuak dengan tingkah Salmiah. Juga marahkan Sulaiman. Keduanya bersatu. Jika Sulaiman tidak mengadu lapar tadi mungkin suaranya tidak tinggi dan tidak didengari Salmiah yang ada di luar rumah. Dia juga tidak menyangka pula Salmiah datang ke sini waktu ini. Selalunya jika mahu ke sini Salmiah akan menghubunginya dahulu. Bertanya jika mahukan apa-apa untuk dibawa. Hari ini wanita itu datang mengejut pula. Hish! Kacau!
" Leman..", panggil Salmiah.
" Si..ni..", Sulaiman menyahut perlahan.
" Aku nak masuk ni Leman. Boleh ke?", dia masih meminta izin. Yalah. Mahu melawat orang sakit bukan boleh main masuk sahaja kerana hari ini Zawiyah seperti tidak mahu dia naik ke rumah.
Selalunya jika Salmiah datang melawat, terus sahaja wanita itu dibawa masuk ke bilik. Bilik itu memang dijadikan bilik rehat Sulaiman. Luas dan lega. Hanya ada tilam bujang, kipas dan barang keperluan lelaki itu sahaja. Semuanya dibuat di situ. Makan, minum, mandi, segalanya dilakukan di situ. Pernah Harris mahu mengupah orang untuk menguruskan Sulaiman tetapi Zawiyah tidak bersetuju kerana mahu menjaga sendiri. Tidaklah Harris berkeras kerana Sulaiman itu suami Zawiyah..
Masuk sahaja ke dalam bilik Salmiah lihat Sulaiman elok sahaja terbaring di tilam. Keadaan lelaki itu nampak segar kerana nampak seperti baru lepas mandi. Salmiah makin mendekat sementara Zawiyah pula berdiri di belakang Salmiah.
Saat mendekat mata Salmiah terpaku pada lengan Sulaiman yang berbirat seperti dicubit dengan kuat.
" Kenapa lengan kau Leman?",
" Se.."
Tidak sempat Sulaiman menjawab. Zawiyah memintas membantu Sulaiman menjawab soalan Salmiah. Lagipun jika Zawiyah membiarkan Sulaiman menjawab nanti habislah dia. Nak pula dia ada alasan untuk membantu memberi jawapan kerana percakapan Sulaiman nanti sukar juga untuk difahami Salmiah.
" Semalam nyamuk banyak Kak Miah. Ubat nyamuk elektrik tu pula rosak. Tak beli lagi yang baru. Kesan nyamuk la tu..", cepat Zawiyah menjawab bagi pihak Sulaiman.
" Besar juga kesan nyamuk ni", ujar Salmiah walaupun masih bertanda tanya dengan kesan di lengan lelaki itu. " Nantilah aku suruh Azizan belikan ubat nyamuk elekrik tu. Nak harapkan Harris dia pun tak sihat sangat lagi. Aku tak lepas dia berjalan merata lagi. Tua dah pun anak kita kena juga jaga",
" Hmm..Ya Kak Miah..", setuju sahaja sedangkan tadi dia barusan meminta duit daripada Harris.
" Rehatlah Leman. Nanti aku datang lagi", sebenarnya Salmiah ada rancangannya tersendiri. Hari ini cukuplah sahaja buat masa ini. Tidak lama dia meminta diri untuk pulang ke rumah. Seminggu ini Hasimah jiran Sulaiman ada mengadu tentang Zawiyah. Dia akan menyiasat sendiri nanti.
SUARA mengeluh kesakitan langsung tidak dihiraukan Zawiyah. Dia mahu melepaskan rasa amarahnya kepada lelaki ini seperti mana dia merasainya dulu. Jika sebelum ini dia bertahan dengan emosi sendiri mengawal dari melakukan sentuhan fizikal kepada lelaki ini. Tetapi semenjak seminggu dua ini dia rasa puas. Puas dapat melihat penyeksaan yang dialami Sulaiman. Sebelum ini dia takut. Tetapi sejak melihat Sulaiman terseksa dia rasa seronok. Seronok dapat membalas apa yang pernah dilakukan lelaki itu dulu. Apatahlagi sejak sebulan ini dia mula berkawan rapat dengan Ghazali rakan Sulaiman yang sepertinya ada hati padanya. Ah. Apakah dia mahu Sulaiman cepat mati supaya dia dapat berkasih dengan Ghazali tauke kedai runcit yang boleh tahan kaya juga.
" Sakit..Yah..", suara Sulaiman terus merintih apabila tubuhnya disebat dengan tali pinggang.
" Sakit ke? Masa kau pukul aku dulu. Aku merayu sakit kau buat tak tahu je sebab kau tak rasa sakitnya kan? Hari ni baru sakit ya", tali pinggang singgah di betis Sulaiman untuk kali ketiga.
" Mana tahu. Lepas aku sebat ni mahu kaki kau ni bergerak. Boleh. berjalan sendiri. Tak susahkan aku lagi", dia membebel pula.
Seketika dia duduk memandang wajah Sulaiman yang masih meringis kesakitan.
" Aku minta.. maaf. Aku..dah.. taubat..", tersekat-sekat bicara Sulaiman kurang jelas namun sangat difahami Zawiyah. Dua tahun sudah dia menjaga lelaki ini tentu sahaja dia dapat memahami ulas butir bicara lelaki di hadapannya ini.
Seketika Zawiyah bangun. Botol ubat dicapai dan dia duduk bersila dia tepi kaki Sulaiman.
" Sini aku sapu ubat. Nanti Si Miah tu tegur pula kaki kau ni kenapa? Kau mengadu pada Miah siap kau Leman. Aku akan tambah lagi sesuka hati aku. Ni kira aku ni bagus ni. Lepas pukul kau aku kasi ubat. Kau? Lepas kau pukul aku kau biar aku tanggung sakit sendiri", minyak gamat disapu pada kesan birat yang bergaris. Namun sengaja disapu dengan kuat. Terjerit lagi Sulaiman menahan sakit.
Sulaiman terus menahan sakit. Dia sendiri sudah lama menyesal dengan perbuatannya dahulu. Masih dia ingat bagaimana tubuh Zawiyah dan Talib dipukul. Masih terngiang jeritan Talib meminta dia menghentikan perbuatannya. Namun, makin Talib merayu dan menagih belas kasihan darinya makin dia diamuk kemarahan dan rasa panas. Sehinggakan pengalaman hidup tidak indah anak itu dibawa dalam keluarga sendiri pula. Memukul isterinya Amira. Dan akhirnya bahtera pernikahan mereka tenggelam dan karam.
Talib..Maafkan ayah..Ayah tak jadi ayah yang baik untuk Talib..Rintihnya dalam hati menyesali perbuatannya dulu. Kalaulah dapat diputarkan masa..
Talib memberanikan diri menghampiri Sulaiman yang sedang mengepul asap rokok. Duduk dan bersila di hadapan Sulaiman." Ayah. Yuran sekolah Talib belum bayar lagi",
" Beritahu cikgu kau ayah tak ada duit lagi. Nanti ayah ada duit ayah bayarlah. Cikgu kau pun. Kata sekolah tinggi itu pun tak boleh nak fikir ke? Dah tak ada duit nak bayar dengan apa? Dengan daun getah? Sekarang ni dah lah harga getah murah. Mana nak ada duit nak bayar yuran sekolah kau", bentak Sulaiman mencampakkan putung rokok ke tanah.
" Kalau ayah tak berjudi mesti ayah ada duit", dia membalas berani. Menjawab! Itulah silapnya!
Berdesing telinga Sulaiman mendengar jawapan Talib.
" Kurang ajar! ", satu tamparan keras hinggap di pipi Talib tanpa sempat dia mengelak.
Talib meringis sakit. Sakit! Namun sakit lagi hati dia. Dia malu. Malu kerana rakan sekolahnya tahu siapa ayahnya. Ayahnya seorang kaki judi. Ayahnya seorang kaki botol. Ayahnya kaki nombor ekor. Dia malu. Hari ini dia terlepas kata kerana hatinya rasa marah kerana dia anak seorang lelaki kaki judi, kaki botol, kaki nombor ekor.
" Talib ni malu ayah. Malu ayah suka main judi. Ayah suka minum arak. Talib malu",
" Kalau kau malu. Tak payah tinggal dengan aku. Tinggal dalam kubur dengan mak kau tu! Anak tak sedar diuntung!", Sulaiman bergegas keluar. Panas hati dengan perangai anaknya yang sudah pandai menjawab.
" Hmm..Yang kau pergi menjawab ayah kau tu kenapa? Memang dapatlah Talib oi..Sini. Mak sapu ubat", Zawiyah yang hanya memerhati dari tadi mula mendekat. Mahu kasihan kepada anak itu? Dia juga patut dikasihani. Dia juga akan menerima tamparan dan pukulan lelaki itu jika berani-berani menjawab. Namun, jika tidak tahan dia akan menjawab juga dan tetap masih bertahan hidup dengan lelaki itu.
" Tak payah mak. Mak pun tampar saya juga semalam", jawab Talib berlalu ke biliknya.
Sangkanya jika ayahnya berkahwin lain dia boleh menumpang kasih, sayang diberi perhatian serta dilindungi oleh ibu baru. Tetapi sama sahaja. Malah kadang kala Zawiyah pun turut naik tangan padanya walaupun usianya sudah 16 tahun. Bukan tiada upaya mahu melawan namun dia cuba untuk bertahan kerana jika dia melawan tentu sahaja wanita itu akan cedera. Itu sahaja pilihan yang dia ada. Mahu menyuarakan ke pihak berkuasa tentang perbuatan ayahnya? Dia tiada kekuatan kerana dia masih ingat janjinya pada ibunya supaya terus menjaga lelaki itu. Sudahnya dia tetap terangkap hidup dalam keluarga kecil yang tidak bahagia itu.
Salmaih datang ke rumah Sulaiman bersama Harris tanpa memberitahu Zawiyah. Mereka berdua dapat melihat kesan lebam yang sengaja ditutup Zawiyah dengan memakaikan Sulaiman baju lengan panjang yang bertutup. Semuanya terbongkar apabila Sulaiman sendiri mengadu kepada Harris dia dipukul Zawiyah ketika wanita itu keluar seketika dari bilik.
" Kau pukul Leman Yah?", terus diterjah Zawiyah dengan soalan apabila wanita itu masuk semula ke dalam bilik. Sedangkan tadi mereka sudah terdengar apa yang berlaku. Dia cuma mahu melihat apakah Zawiyah mengakui perbuatannya.
Kali ini Zawiyah hanya terdiam. Mana mungkin dia boleh berbohong dan mengelak lagi apabila Harris sengaja menyelak lengan baju dan menyinsing kain pelikat dipakai Sulaiman. Jelas ada lebam pada tubuh tiada kudat itu.
Salmiah memberi kata putus. Jika wanita itu memperlakukan Sulaiman begitu lagi dia akan adukan kepada pihak berkuasa dan membiarkan Zawiyah dibawa ke muka pengadilan. Dia benar-benar serius. Kali ini dia tidak main-main. Ini soal nyawa. Berita semasa selalu memaparkan kes dera hingga hilang nyawa dan dia tidak mahu itu berlaku kepada Sulaiman.
Sebelum balik ke rumah Salmiah sempat menelefon Zaki anak kawannya yang baru habis latihan sebagai kejururawatan untuk bekerja menjaga Sulaiman dan memerhatikan Zawiyah.
Bukan Zawiyah tidak membantah keputusan Salmiah yang dianggap cuba masuk campur urusan rumah tangganya namun Salmiah tidak ambil peduli.
" Kalau kau jaga Leman elok aku tak panggil Zaki Yah. Ini tak. Kalau kau tak suka Leman kau benci Leman kau tetap tak boleh bua Leman macam ni Yah. Buruk mana pun perangai Leman pada kau dulu kau tak berhak pukul dia",
" Kak Miah mana tahu apa saya rasa dulu. Saya yang tanggung hidup dengan lelaki suami tak guna macam ni", keras suara Zawiyah tidak mahu kalah.
" Ya aku tahu apa Leman dah buat pada kau. Tapi Leman ni tetap suami kau. Dia dah dapat balasan pun. Nak tinggi suara dengan kau pun dia tak mampu apatahlagi nak naik tangan dengan kau. Maafkanlah dia Yah. Ya. Aku tahu tak mudah. Bercakap memang senang. Tapi Leman ni masih suami kamu", Salmiah cuba untuk memberi nasihat.
Sambil menunggu ketibaan Zaki Salmiah berterusan cuba menenangkan hati Zawiyah. Entahlah jika Zawiyah akan terus buat keras hatinya atau mahu mengikut nasihatnya Salmiah tidak tahu. Namun dia tetap mahu Zawiyah berfikir panjang dan menilai apa yang dia telah lakukan itu tetap menjadi satu keslahan.
HATI Salmiah penuh dengan pelbagai rasa. Langsung tidak menyangka selama ini, Zawiyah yang terlihat baik perilakunya membuat Sulaiman sebegitu. Sukar untuk dia percaya akan layanan Zawiyah kepada Sulaiman. Selama ini dia menganggap Zawiyah merupakan isteri yang taat kepada suami walaupun semua orang tahu bagaimana sikap dan perilaku Sulaiman dahulu.
" Mak tak sangka macam tu dia layan Pak Cik Leman kamu Rris. Mak tahulah Pak Cik Leman kamu tu bukan baik pun dulu tapi kenapalah buat macam tu. Selama ni mak tengok dia baik je layan Pak Cik Leman kamu. Rupa-rupanya macam tu layanan dia. Herdik maki. Pukul itu yang mak masih tak boleh nak percaya lagi. Itu yang kita dengar tadi. Yang kita tak dengar", merah muka Salmiah meluahkan perasaan apabila ketika sampai Zawiyah sedang memarahi Sulaiman.
" Mak bagi duit tu 300 sebulan kat Cik Yah kau tu. Bukan mak nak mengungkit. Tapi..kita ingat kita bagi duit dia jagalah baik-baik. Laki dia bukan orang lain pun. Kita ni kasihan. Leman tak boleh nak menoreh dah nak kerja nak cari duit. Duit zakat bagi, JKM bagi bukannya banyak sangat. Duit. Berjuta pun boleh habis kalau hari-hari guna ",
Harris dan Afiqah hanya diam mendengar sahaja bicara ibu itu. Namun hatinya sedikit tersentak. Mak bagi duit juga pada Cik Yah?
" Suruh upah orang mudahkan sikit urusan dia tak nak. Mak bagilah duit belanja. Dah dia pun tak kerja. Tapi ..Hish Tak fahamlah mak dengan Si Yah tu. Sebab nak duit je ke dia jaga Si Leman tu. Hah. Mulai hari ni biar si Zaki tu jaga Pak Cik Leman kamu sambil tengok-tengok kalau Cik Yah tu pukul lagi tak laki dia tu ",
" Kalau dia pukul Pak Cik Leman kamu tu lagi kita kena panggil polis", Salmiah masih belum habis mengadu dan melepaskan perasaanya. Dia tahu dahulu perilaku Sulaiman kepada Zawiyah bukan juga baik. Tetapi lelaki itu sudah mendapat balasannya. Kemalangan dilanggar oleh anak buah ketua geng judi dan sekarang sudah lumpuh.
Jika ikutkan jahat Sulaiman ni siapa pun tak nak jaga dia Kak Miah. Kira saya ni baik juga masih nak jaga dia. Kalau dia mati je hari tu lagi bagus.
Itulah ayah Zawiyah tadi. Salmiah tergamam seketika dengan bicara Zawiyah yang selama ni sopan dan cukup berbudi bahasa apabila berbicara dengannya. Tadi lain benar Apakah iru sisi sebenar seorang Zawiyah?
" Iqa tengok baik je Cik Yah tu mak", Afiqah mula menyampuk apabila dari tadi hanya diam dan mendengar.
" Itulah kita semua sangka macam tu. Tapi tak tahulah mak nak cakap. Tadi masa mak dengan Harris pergi dia tengah duk marah-marah ke Pak Cik Leman kamu tu. Tengah duk cubit lengan Pak Cik Leman kamu Hish! Leman tu taubat dah kan. Patutnya jagalah suami tu elok-elok..Cari pahala. Ni mencari dosa lagi pula. Tak tahu mak nak cakap. Harapnya si Zaki tu dapatlah jaga dan tengokkan Pak Cik Leman kamu. Mak dah bagi amaran tadi. Kalau sepanjang Zaki jaga ni dia pukul lagi si Leman tu kita bawa polis datang. Takut juga dia tadi. Tak nak masuk penjara. Tak tahulah tu", air sirap yang dibuat Afiqah dituang ke dalam cawan dan diteguk lagi. Entah apa lagi diujarkan Salmiah hanya sesekali Afiqah dan Harris menyampuk bualan.
RANCAK perbualan Amira, Afiqah dan Rabiatun terhenti apabila Harris mendekat. Wajah Harris yang seperti mahu mengatakan sesuatu buat Afiqah segera faham.
" Kenapa bang?" soalnya. Mata tiga wanita itu tertumpu pada wajah Harris yang berdiri di tepi pangkin.
" Mak..call..", pandangan mata Harris hanya tertumpu pada wajah Afiqah.
" Kenapa?",
" Cik..Yah..la..ri..",
" Hah?", serentak suara tiga sahabat itu terkejut dengan berita yang baru diterima.
" Lari ke mana?", Amira juga terkejut dengan bicara Harris. Zawiyah pernah ada kaitan dengan hidupnya tentulah dia terkejut.
" Tak..tahu..Za..ki..call..ta..di..",
" Hmm..Ke mana pula lah Cik Yah ni?", setelah hanpir beberapa bulan ini bulan elok-elok sahaja Zawiyah bertenang kerana dia sering diperhatikan Zaki tetapi hari ini wanita itu buat hal pula.
" Kalau macam tu jomlah kita ke rumah Pak Cik Leman sekejap bang. Tanya khabar apa yang jadi sebenarnya", Afiqah mahu bangun dari duduknya. Pergerakannya sedikit perlahan apabila kandungannya sudah membesar. Sudah 6 bulan usia kandungan Afiqah. Cepat Harris menghulurkan tangan menawarkan pertolongan. Senyum dibalas dan huluran Harris disambut Afiqah apabila lelaki itu menunjukkan keprhatinannya.
" Hmm..Dan lagi nak berdrama bercinta bagai.Tengok aku. Tak payah orang tolong pun elok je boleh bangun sendiri", berlagak sahaja tingkah Rabiatun. Namun seketika apabila kakinya terasa kebas dan laju sahaja dia memaut bahu Amira.
" Arghh..sesemut..", jeritnya ditahan.
" Hah. Mana semut. Ada semut ke. Dari tadi duduk tak ada semut pun?", mata Amira melihat kaki Rabiatun dan kakinya.
" Sesemut! Kebas. Kebas tahu tak?", marah Rabiatun dengan perangai lurus Amira. " Lurus sangat. Sebab tu kena buli!",
" Hahaha. Itulah kan dah dapat tulah ibu mengandunglah. Mengata lagi ibu mengandung. Anak aku ni dengar kau mengumpat umi dia tahu", Afiqah sudah menyarung seliparnya.
" Tulah tu sultan je", lagi-lagi dia menjawab. Amira hanya ketawa apabila Rabiatun tidak mahu kalah dengan Afiqah.
Amira mengikut langkah Rabiatun ke kereta. Afiqah pula bersama Harris. Senang nanti mahu balik kata Afiqah. Atiya di dalam rumah dipanggil supaya membawa Akid bersama. Sejak peristiwa rumah mereka dipecah masuk dahulu Afiqah masih tidak berani meninggalkan anak-anaknya tanpa pengawasan orang dewasa. Jika dia dan Harris ada urusan di luar, anak-anak akan dihantar ke rumah Hasnah.
SAMPAI sahaja ke rumah Sulaiman mereka lihat ada beberapa orang perempuan yang berusia di situ termasuk Salmiah. Mungkin juga jiran- jiran atau rakan Sulaiman. Langkah kaki mereka berempat tertuju pada beranda rumah Sulaiman tempat kumpulan manusia tadi
" Cik..Yah?", soal Harris.
Amira tidak menunggu di situ tetapi terus naik ke atas rumah. Siapa Sulaiman? Sulaiman pernah menjadi ayah mentuanya. Walaupun buruk perangai Sulaiman tetapi Sulaiman sangat sayangkan cucu-cucunya.
" Hmm..Lari dah. Tadi Zaki balik rumah dia sekejap. Rumah dia elektirk terpadam. Tinggallah Pak Cik Leman kamu dengan Cik Yah. Balik-balik tengok. Habis tubuh Pak Cik Leman kamu berbirat. Muka pun habis berdarah-darah tu. Zaki tengah rawat tu mana yang patut lepas tu nak bawa ke hospital ni. Zaki kata nampak luka tu dalam juga. Takut kepala la cedera ke apa. Mak nak buat laporan polis sekejap lagi lepas ke hospital", Salmiah terus memberi perincian apa yang baru berlaku.
" Lepas buat Pak Cik Leman Cik Yah lari?", soal Afiqah.
" Hmm..",
Afiqah cuba menerima berita baru diterimanya. Apalah Cik Yah buat ni?
Harris mencapai tangan Afiqah membawa Afiqah untuk duduk. Sejak sedar semula ini Harris jadi sangat melindungi isterinya. Langsung tidak boleh tengok Afiqah bekerja berlebihan. Malah dia sentiasa mahu Afiqah dalam keadaan selamat dan selesa.
" Du..duk..", arah Harris perlahan dengan matanya memandang penuh kasih wajah Afiqah.
" Ya..", menjeling namun menghulur senyum. Faham dengan perangai suaminya.
" Iqa..", panggilan Amira dari dalam rumah buat Afiqah terus terbangun semula.
Happy reading..
Share this novel